Bab 27

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

RAIHANAH membawa dirinya keluar dari wad dewasa itu. Dah tak sanggup rasanya nak terus berlama-lama di dalam satu bilik dengan Jazlan.

Meskipun rasa rindu, tapi saat melihatkan keadaan Jazlan, rindu itu hilang. Lelaki tua itu tidak habis-habis menggila, meronta-ronta ganas minta dilepaskan. Deraman suara garau itu benar-benar menakutkan hati Raihanah.

Gadis itu merasakan yang berada di dalam bilik hospital itu bukan lagi ayah yang dia kenal. Entah-entah, memang lelaki tua itu bukan ayahnya.

Raihanah membuka pintu kecemasan lalu anak tangga dituruni perlahan-lahan. Dia kini hanyut dengan dunianya sendiri walaupun kakinya terus melangkah.

Hampir saja dia ingin tersadung di anak tangga namun cepat-cepat palang besi di sepanjang tangga kecemasan hospital dipegang. Setelah itu, dia meneruskan perjalanannya.

Dia terus menapak hingga tiba di lobi. Tak perasan tiada lagi anak tangga yang perlu dia turuni. Raihanah membuka pintu dan gadis itu biarkan kakinya membawanya ke mana saja. Tanpa arah tuju. Tanpa destinasi yang pasti.

Apa yang Raihanah tahu adalah apa yang dalam fikirannya saja. Air matanya sudah tidak mampu mengalir lagi. Penat untuk biarkan matanya bengkak. Lelah untuk terus hanyut dirundung duka. Letih rasanya untuk membenarkan diri ini menjadi lemah.

"Encik Jazlan perlukan rawatan lanjut di hospital sakit jiwa. Ni hospital biasa, Cik Raihanah. Hanya hospital khas yang merawat pesakit seperti Encik Jazlan saja yang mampu sembuhkan dia. In Syaa Allah, apa-apa pun, pihak kami sentiasa berikan yang terbaik. Jangan risau, Encik Jazlan ada harapan untuk sembuh. Dia cuma perlukan rawatan dari yang lebih pakar. Saya harap cik faham ya?"

Suara lembut daripada Doktor Anita tadi kembali terngiang-ngiang di lubang telinga, bergema di kepala seperti radio rosak yang tidak dijumpai punat 'off'nya.

Sudah beberapa hari dia bermalam di hospital, dengan harapan Jazlan akan menunjukkan perubahan positif tapi tiada guna menyimpan harap.

Lelaki itu takkan sembuh dalam masa seminggu dua. Ia mungkin akan berlarutan hingga ke bulan atau mungkin juga tahun.

Tanpa sedar, dia kini kembali di ruang tangga kecemasan. Setelah merasakan lutut kakinya sudah terlalu penat, Raihanah mencangkung di lantai. Perbualan ringkasnya bersama Doktor Anita kembali terbayang di mata batin.

"Kenapa dengan ayah saya, doktor? Kenapa dia jadi sampai macam tu?" soal Raihanah, resah sambil badannya mendekat ke meja doktor yang memisahkan mereka berdua.

Doktor Anita terdiam lama. Sedang mencari ayat yang sesuai untuk dilontarkan kepada Raihanah. Rasanya, dia sudah pun merangka mukadimah yang akan dimulakan tapi kerana emosi, dia jadi kelu.

Sesuatu yang berdefinisikan profesionalisme tak mampu diguna pakai tika ini.

Wanita berusia lewat 30-an itu berdehem beberapa kali sebelum menghela nafas pendek. Tangan dibawa ke meja lalu dicantumkannya rapat.

"Cik Raihanah tahukan yang Encik Jazlan dah lama terkurung dalam bilik bawah tanah tukan?" duga Doktor Anita, lembut.

Gadis itu pantas mengangguk. Tidak menjawab dalam bentuk lisan.

"Dua tahun lebih Encik Jazlan di bawah tu. Tanpa sumber matahari. Tanpa makanan atau minuman. Tanpa apa-apa. Hanya beberapa orang yang telah menjadi tawanan saja duduk dalam tu. Itu pun kebanyakannya mati kebuluran. Hanya Encik Jazlan dan seorang tawanan baru yang hidup. Cik Raihanah tak rasa pelik macam mana Encik Jazlan boleh hidup dengan keadaan macam tu? Bertahun lamanya?" Sekali lagi, Doktor Anita cuba berteka-teki dengan gadis itu supaya gadis itu berfikir dahulu.

Raihanah terdiam. Tak pernah terfikir tentang perkara itu. Apa yang dia tahu, ayahnya selamat.

Perlahan-lahan, Raihanah menggeleng. Dia tak punya jawapan untuk itu.

Beberapa saat kemudian, Doktor Anita bersuara selembut mungkin, "Encik Jazlan punya semangat yang kuat untuk hidup. Sangat kuat sehinggakan dialah yang berjuang dalam tu waktu yang lain berputus asa. Dia lelaki yang kuat. Sampaikan dia sanggup cari jalan untuk hidup."

Wanita itu membisu seketika. Keyakinan dan profesionalismenya hilang ditelan perasaan bernama simpati. Dia juga turut ingin menangis mengenangkan pedihnya hakikat sebenar yang perlu dia beritahu selepas ini. Tapi, apa saja yang mampu dilakukannya?
Raihanah perlu tahu juga.

"Kenapa, doktor?" tegur Raihanah apabila perasan doktor itu seperti mengelamun.

Pantas Doktor Anita tersedar. Dia menggigit bibir sebelum bersuara dengan teragak-agak,

"Err... Sebab waktu tu terlalu mendesak, Encik Jazlan terpaksa... terpaksa makan orang lain yang ada di situ untuk terus hidup atau kata ringkasnya, kanibalisme."

Raihanah bungkam. Bibirnya berat untuk menuturkan walau sepatah kata. Hanya badannya saja yang tersandar lemah ke kepala kerusi dan otaknya mula sibuk dengan bermacam persoalan. Dia keliru dengan apa yang dia baru saja dengar.

Tak semena-mena, tubuhnya menggeletar. Dada yang berombak halus dipegang. Anak matanya berair bersama perasaan yang kian bercelaru.

Gerun.

Kecewa.

Raihanah terduduk di lantai tangga kecemasan lalu kepalanya ditundukkan hingga mencecah ke lantai. Air matanya kembali tumpah. Berderu turun dari tubir mata.

Lantai kotor itu ditumbuk bertalu-talu sepenuh tenaganya. Melepaskan kemarahan di lantai keras itu. Meluahkan kekecewaan yang entah kepada siapa. Mungkin pada takdir. Atau mungkin juga kepada diri sendiri.

"Arrghhh!!" jerit Raihanah, kuat. Bergema suaranya di ruang tangga kecemasan itu. Melantun-lantun sebelum singgah di telinga Raihanah kembali.

Tudung ditarik-tarik hingga kain di kepala itu senget-benget dan berkedut. Rambut di sebalik sehelai tudung itu dicengkam dan direntap-rentap hingga menyakitkan kulit kepala yang sememangnya berdenyut hebat.

"Aku penat! Aku penat!! Tolonglah, aku penat, Ya Allah," rintih gadis itu dengan suara yang turun naik meluahkan rasa. Tangisan lirihnya mampu menyayat hati sesiapa saja yang mendengar. Mendayu-dayu, seolah-olah memberitahu melalui suara esakannya bahawa dunianya kini sudah tamat riwayatnya. Dunianya kini sudah hilang harapan.

Seksa di hati ini... derita di jiwa ini...

Siapa yang dapat mengubati?

HARIES melihat gadis itu melalui cermin hadapan kereta Farhan. Matanya tak berkelip melihat wajah yang sembap itu. Sepasang mata itu bengkak dan hidungnya merah seperti baru saja menangis. Farhan yang sedang memandu di tempat duduk sebelah dibiarkan saja.

Dirinya lebih ingin difokuskan kepada gadis itu. Gadis yang telah berjaya mencuri perhatiannya sejak dua menjak ini.

"Raihanah," panggil Haries.

Gadis itu diam. Tidak mendengar.

"Wei, Raihanah."

Raihanah langsung tidak bereaksi.

"Raihanah Jazmin!" Suara dikuatkan sedikit sehingga Farhan di sebelah mula menjeling.

"Sayang oi!!" Kali ini, Haries menjerit terus. Geram saja melihat panggilannya dibiarkan sepi.

Farhan menahan tawa mendengar perkataan sayang yang keluar dari bibir Haries. Tidak menyangka perkataan keramat itu juga yang akan digunakan hanya untuk menarik perhatian Raihanah yang jauh termenung.

"Ya... ya?" Gadis itu kelihatan agak tersentak sebelum pantas menjawab. Matanya terkalih ke arah Haries yang sudah memalingkan sedikit tubuhnya ke belakang.

"Sehari ni, awak duduk rumah mama dulu. Lagipun, saya ada sesuatu nak beritahu lepas ni," ujar Haries, tenang namun matanya terus menilik wajah si anak dara. Sengaja mahu mengambil kesempatan. Dia pun tak faham mengapa dia suka mencari-cari peluang untuk kesempatan seperti sekarang ini berlaku.

Raihanah hanya mengangguk perlahan. Meskipun bibirnya terukir senyum namun ia tiada rasa.

"Hana, cubalah ceria sikit. Murung je. Semalam menangis, hari ni menangis. Takkan esok pun nak menangis juga?" rungut Haries, sengaja. Dia mahu Raihanah membalas setiap rungutannya dengan memarahinya sepertimana Shafira akan buat dulu.

Tapi Raihanah bukannya Shafira. Mereka berbeza. Gadis itu lebih senang tersenyum nipis daripada melawan dan menjelaskan kesedihannya kepada Haries. Membuatkan hati lelaki itu geram. Dia mahu Raihanah meluahkan apa yang terpendam di hati gadis itu kepadanya.

Haries mahu tahu semuanya tentang Raihanah Jazmin. Suka dan duka yang selama ini gadis itu simpan sendiri. Sama ada baik mahupun buruk gadis itu. Jiwanya meronta-ronta ingin tahu segalanya yang berkaitan dengan Raihanah.

"Saya minta maaf. Saya tahu saya membosankan awak," balas Raihanah seraya menundukkan kepalanya. Gayanya macam seorang pesalah yang sedang mengakui kesilapannya.

Haries meraup rambutnya yang lebat itu ke belakang. Sikap Raihanah benar-benar buatkan dia geram. Mahu saja diugutnya Raihanah supaya gadis itu sekurang-kurangnya melawan kata-katanya. Bukan ke kata-kata dia tadi dah dikira agak kejam?

"Farhan, aku geram," bisik Haries dengan bibir diketap rapat.

"Geram macam mana?" soal Farhan di tempat duduk pemandu. Masih tenang memandang ke jalan raya di hadapannya.

"Geram yang buatkan aku rasa nak gigit dia. Tak pun peluk dia macam anak patung sampai dia tak boleh bernafas. Sampailah dia melawan dan kata berhenti." Haries memberitahu idea peliknya kepada Farhan dengan keningnya bertaut rapat. Tak puas hati.

Farhan menghela nafas panjang sebelum menjeling sekilas Haries yang sudah memuncung.

"Kau memang betul-betul nak attention dia ya?" tebak Farhan membuatkan lelaki di sebelahnya tersedak sendiri. Batuk Haries berterusan untuk beberapa ketika sebelum Haries menjawab,

"Ak... Aku tercekik air liur sendiri." Lelaki itu memegang lehernya yang terasa perit. Tak sangka, tersedak air liurpun sakit.

Manakala Raihanah di belakang kembali ke dunia khayalannya sendiri. Nampaknya berita tentang penyakit yang dialami Jazlan benar-benar buat dia terganggu.


SETIBANYA Haries dan Raihanah di pintu rumah Tan Sri Hazman, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terus saja berlari menuju ke muka pintu. Tubuh si kakak yang sudah beberapa hari tidak bersua muka, dipeluk erat. Ingin melepaskan rindu.

Gusar di hati Raihanah pudar sedikit apabila melihat adik kesayangannya ceria dan sihat. Malah keadaannya lebih baik dari sebelum ni. Dia melutut di hadapan Raziq lalu tubuh itu turut dibawa ke dakapannya.
Sungguh, dia rindu dengan kehangatan Raziq.

Tiba-tiba tangan Raziq menepuk-nepuk belakang tubuh kakaknya, meminta dileraikan pelukan apabila terasa nafasnya sesak didakap terlalu lama.

Gadis itu hanya tersengih-sengih sebelum melepaskan Raziq. Kanak-kanak lelaki itu turut tersenyum melihat si kakak walaupun jelas sekali mata itu tersembunyi kecewa.

Tapi Raziq sengaja biarkan dulu. Dia tak mahu mengungkit dan buatkan darah dagingnya semakin sakit dengan pertanyaannya nanti.

Kemudian, Raziq terus mencapai tangan Haries yang berdiri tegak di sebelah Raihanah. Tangan besar itu dikucup hormat sebelum kepalanya mendongak.

Sepasang mata bundar itu merenung Haries bersama senyuman lebar. Sinar matanya jelas memberitahu, dia mahukan sesuatu daripada lelaki yang sudah dianggap abang sendiri.

Haries yang faham benar dengan tingkah dan isyarat Raziq mencebik halus. Kepala Raziq disekeh kasar.

"Yalah, yalah. Abang tahu," ujar Haries, acuh tak acuh. Ni mesti nak tuntut janji daripada dialah tu. Raziq ni nampak saja lurus bendul tapi sekali berjanji, sukar untuk budak kecil itu lupa. Cepat saja dia ingat.

Bibir merah Raziq tersengih-sengih sebelum tangan Haries ditarik-tarik. Wajah budak lelaki itu tergambar perasaan teruja yang amat.

"Raziq, janganlah macam ni. Kan Abang Haries tengah sakit tu. Janganlah ajak buat macam-macam," tegur Raihanah, lembut. Memang dia terkenal dengan sikapnya yang jarang untuk memarahi si adik. Dan dia sebenarnya memang bukan seorang yang suka membiarkan perasaan marah menguasai percakapannya.

Dia menjeling sekilas lengan Haries yang berbalut. Seram pun ada apabila teringatkan punca kepada luka yang dialami Haries kerana ayahnya mahu menjadikan Haries sebagai sarapan paginya waktu itu.

"Eh, no worries. I'm okay, Hana. Jom, Raz." Haries hanya tersenyum ke arah Raihanah dan kali ni, memimpin pula tangan Raziq untuk menuju ke biliknya. Ada rahsia yang ingin mereka berdua kongsikan bersama.

Raihanah yang mendengar kata-kata Haries tadi terdiam. Dahinya berkerut.

"Raz? Sejak bila Haries pandai-pandai pendekkan nama Raziq ni? Aku sendiri pun tak pernah panggil adik sendiri dengan nama tu," gumam Raihanah dengan wajah yang jelas tidak puas hati.

Entah mengapa, dia rasa cemburu melihat kemesraan dan perhatian yang berlebihan Raziq kepada Haries.
Sedangkan, bukan ke dia sebagai kakak yang patut diajak bermain dulu?

Tanpa sedar, bibir Raihanah memuncung sedikit. Pelik bercampur geram.

Puan Sri Naina yang dari tadi hanya memerhati, mendengar butir bicara halus Raihanah. Dia merenung gadis itu sebelum ketawa kecilnya meletus. Kepalanya tergeleng perlahan melihat sisi kebudak-budakkan Raihanah yang jarang sekali terpamer.

"Dah, Hana. Kamu biar jelah budak berdua tu. Pergi rehat. Mesti penatkan duduk hospital je? Nanti dah larat, jangan tak turun tolong mama pula. Kang mama masuk bilik, babab bontot kamu. Nak?" usik wanita itu dengan mata yang sengaja dibuntangkan.

Raihanah terkelu seketika sebelum dia melepaskan gelaknya. Lucu mendengar bebelan mesra si ibu yang sudah sekian lama tidak dia dengar.

Dia mengukir senyum panjang sebelum mengangguk laju. Hilang sedikit pilu di hatinya melihatkan keceriaan di rumah ini.


DARI tingkat atas, Haries dapat melihat air muka si gadis cemberut. Keningnya turut bercantum. Namun tak lama apabila bibir merah itu tiba-tiba saja memuncung kecil.

Comel sampai buat Haries rasa geram sangat.

Mamanya kemudiannya kelihatan bercakap-cakap dengan Raihanah.
Daripada gaya Puan Sri Naina, Haries dapat menebak bahawa wanita tegas itu sedang membebel. Bibir lelaki itu tersungging sengih. Kelakar melihat wanita kesayangannya bercakap tiada henti.

Namun sengihannya mati saat tawa halus keluar dari bibir Raihanah. Jelas terhibur dengan bebelan Puan Sri Naina. Kali ini, dahi Haries pula berkerut-kerut sendiri.

"Dengan mama nak pula gelak? Dengan aku? Kenapa dingin sangat?" Nadanya jelas kedengaran tak berpuas hati. Comel memang comel tapi bila mengenangkan bukan dia yang membuatkan gadis itu tertawa buatkan dia sedikit kecewa.

Tak sempat nak melayan perasaan lama-lama, bajunya ditarik-tarik dari belakang oleh Raziq. Bibir itu tersenyum lebar sambil jari telunjuk diletakkan ke bibir.

Haries menghela nafas sebelum turut menghadiahkan senyuman ikhlasnya. Rambut kanak-kanak lelaki itu diusap kasih sebelum bersuara,

"Ya, abang tahulah. Ini rahsia kitakan?"

Dan kepala Raziq terangguk-angguk teruja.


Huwaaa... Sori sangat sebab author lambat update. Kalau awak semua nak marah, marah dekat sini cepat. Author tak kisah. Marah sepuas hati sebab author tahu author salah. 👉🏽

And sorry juga sebab chapter ni macam hambar gila. I'm so sorry. Ampunkan author, my lovely readers.
(Ayat bodek ni)

Kali ni, kauorang tak nak vote pun tak apa. Author tau author salah sebab lama gila nak update. Huk huk. Bye!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro