Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SABTU. Cahaya fajar perlahan-lahan memanjat dinding rumah banglo dua tingkat itu. Burung-burung menongkah angkasa dinihari demi mencari rezeki. Awan berubah warna menjadi keperangan saat matahari mula menjalankan tugas hakikinya.

Haries masih di perbaringannya selepas menunaikan tanggungjawab kepada Sang Pencipta. Lazimnya, dia kini berada di bilik mandi, bersiap-siap untuk turun ke bawah dan bersarapan bersama keluarga. Kemudian, akan terus bergerak ke rumah sewanya untuk memantau anak-anak buahnya.

Namun hari ini berbeza. Pagi ini lain daripada pagi sebelum ini. Baginya, Sabtu pada minggu ini dan seterusnya bakal menjadi neraka dunia buat dirinya.

Haries menekup mukanya dengan bantal. Tangan dan kakinya didepangkan. Matanya sudah segar tapi badannya rasa berat.

Kahwin? Sejujurnya, dia cemburu melihat ramai kawan-kawannya sudah pun mendirikan rumah tangga. Tipu sangatlah kalau dia kata dia tak rasa apa-apa apabila sahabat karibnya kini sudah bahagia dengan si isteri.

Kejap-kejap Shafira. Kejap-kejap isteri dia. Pantang sejam tinggal, mesti tangan Farhan tu gatal je nak pegang telefon. Gerutu hati kecil Haries tatkala terkenangkan Farhan yang baru saja tiga bulan bergelar pengantin baru.

Namun bila dengar saja perkataan kahwin, rasa takut pula yang datang. Apa taknya, dia salah seorang anggota polis rahsia yang sentiasa dikejarkan identitinya. Seorang LBP yang sering sibuk dengan anak-anak buahnya. Haries seorang lelaki yang selalu saja tiada di rumah.

Daripada dia membuat gadis itu hidup merana bersama dia, ada baiknya saja dia membuat tindakan awal dengan membatalkan perancangan mamanya. Itu fikiran Haries.

Namun sayang, fikirannya kali ini tak sehaluan dengan Puan Sri Naina dan akhirnya, dia terpaksa menyerah. Tapi berjuang pada masa yang sama.

Derap kaki seseorang kian kuat menerjah gegendang telinga. Berdasarkan bunyi derapan yang pantas tetapi lembut itu memberitahu Haries bahawa itu ialah Puan Sri Naina.

Haries menutup kedua-dua telinganya dengan bantal.

Kini, bunyi ketukan di pintu pula kedengaran sebelum suara lunak merdu namun tegas bermain di cuping telinga Haries.

"Haries, dah siap belum? Pukul 8.30 pagi nanti, Raihanah nak datang. Kamu jangan lambat ya. Jangan buat malu air muka mama dan papa. Kamu tu lelaki. Orang lelaki yang sepatutnya kena tunggu orang perempuan. Ni nasib baik Raihanah sudi datang ke rumah kita. Kalau tak, kamu yang kena pergi ke sana. Kamu nak... "

"Okey, ma! 10 minit lagi saya turun ya?" Haries memintas laju kata-kata Puan Sri Naina apabila wanita elegan itu sepertinya tiada tanda-tanda ingin berhenti meluahkan keluh kesahnya di hadapan pintu kayu bilik Haries.

Puan Sri Naina tersenyum puas. Kemenangan berada di dalam genggamannya kini. Dia yakin Haries tak mampu untuk melawan lagi.

Suka atau tidak, Haries perlu berkahwin tahun ini juga. Jikalau tidak...

Senyuman di bibir Puan Sri Naina pudar.

... sesuatu yang buruk akan terjadi.

Kepala Puan Sri Naina menggeleng laju. Tidak! Dia takkan biarkan seorang pun daripada keluarganya ditimpa bahaya.

Tangan tuanya melekap di pintu kayu bilik Haries yang masih tertutup rapat.

"I'm sorry, sayang," bisik Puan Sri Naina lalu bergerak pergi.

▶️▶️▶️

JAM tepat menunjukkan pukul 8.20 pagi. Haries sudah sedia terpacak di pagar rumah, kononnya ingin menyambut kedatangan gadis bernama Raihanah yang akan dijodohkan bersamanya.

Haries tiada pilihan lain selain menurut. Bukan cara dia untuk melawan Puan Sri Naina walaupun hatinya jelas membantah dengan semua ini.

Setelah beberapa minit menunggu, deruman motor lama kedengaran di cuping telinga Haries. Enjin motor itu kedengaran seperti sudah uzur benar. Sampaikan maklumat yang sampai ke telinga Haries memberitahu, dia sepatutnya bersimpati dengan pemilik motor lama itu kerana tak mampu membeli motor yang lebih baik.

Motor berwarna hitam lusuh itu berhenti di hadapan Haries yang berdiri sambil menyilangkan tangannya. Mata Haries terkalih melihat si pemilik motor dengan kening bertaut, hairan.

Seorang gadis berbaju blouse berwarna biru muda yang dipadankan dengan seluar palazo hitam turun dari motor. Topi keledar ditanggalkan dari kepalanya yang manis dilitupi selendang berwarna merah jambu lembut.

Haries mengerutkan keningnya lalu melihat gadis itu dari atas hingga bawah. Gadis itu menghulurkan segaris senyum buat Haries yang masih tak menyangka dengan kehadirannya.

"Assalamualaikum Encik Haries. Saya Raihanah Jazmin, calon isteri encik."

"Kenapa awak naik motor je?" soal Haries, keliru. Siapa sebenarnya Raihanah Jazmin? Ah, dia lupa untuk tanya perkara penting sebegini kepada Puan Sri Naina.

Bakal isterinya itu siapa?

"Saya tak ada kereta. Ni saja kenderaan yang saya ada." Jujur si gadis menjawab tanpa rasa malu.

"Oh, saya ingatkan awak anak Datuk ke apa." Tanpa sedar, kata-kata itu dilontarkan keluar. Sesaat selepas itu, baru Haries tersedar dia sudah terlajak kata.

Tapi sekekap! Bukankah ini matlamatnya? Untuk membuatkan gadis itu benci gila-gila dengannya? Haries berdehem perlahan.

"Saya tak sangka mama pilih calon isteri dari orang biasa-biasa je." Selamba saja Haries menuturkan ayat sedangkan hatinya benar-benar rasa bersalah.

Haries langsung tidak memberikan peluang untuk gadis itu bersuara dan terus-terusan melontarkan kata-kata nista,"Takkanlah awak ni miskin sangat sampai motor buruk ni je yang awak ada? Kereta? Langsung tak ada? Kereta kancil pun tak mampu?"

Berdas-das tembakan yang Haries lancarkan sehingga hatinya jadi kecut sendiri dengan keberaniannya melukakan hati gadis yang tak berdosa.

Kening Haries terjungkit, meminta jawapan apabila gadis bernama Raihanah itu terdiam seribu bahasa.

"Takkanlah mulut pun awak tak ada untuk jawab soalan mudah saya?"

Raihanah melepaskan keluhan panjang dan berat. Manakala Haries berkali-kali berdoa supaya gadis itu tak menangis di hadapannya.

"Saya bukan tak ada mulut untuk menjawab, encik. Tapi saya tak tahu nak balas persoalan encik sedangkan saya sendiri tak mampu nak tahu kenapa hidup saya miskin? Mungkin ke sebab saya belum cukup berusaha? Atau mungkin pendidikan saya yang kurang? Ke sebab memang takdir Tuhan saya kekal miskin macam ni? Sejujurnya, saya pun tak tahu untuk membalas apa." Dengan tenang, gadis itu menjawab tanpa tergagap walau sedikit.

"Tapi walau apa pun jawapannya, saya harap encik takkan pinggirkan saya sebagai bakal isteri encik," sambung Raihanah bersama senyuman.

Haries terkelu. Tak sangka gadis genit itu jenis yang bijak menyusun ayat sehingga dia sendiri tergamam. Atau sebab Raihanah ni terlebih jujur? Jadi dia pun beritahu saja apa yang ada dalam kepalanya kepada orang?

"Encik, mama encik dah panggil. Tak nak masuk ke?" soal Raihanah sambil menudingkan jarinya ke arah Puan Sri Naina yang sedang melambai-lambaikan tangan ke arah mereka berdua.

Haries tersentak. Dia menggaru kening. Okey, dia speechless. Serba salah pun ada juga.

Haries memandang sekilas mamanya sebelum mengangguk perlahan. Ikut saja memandangkan otaknya tiba-tiba menjadi kosong. Haries rasa dia baru saja berlaku kejam.

Keluhan terlepas dari bibir Haries. Tak boleh! Dia kena keraskan hati! Semuanya demi kebaikan gadis itu juga.

Gadis yang tak pernah dia kenal sebelum ini tapi mampu untuk membuat dia hilang kosa kata.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro