Bab 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

GAGANG telefon yang berwarna putih pudar itu diangkat lalu dilekapkan ke telinganya yang dilindungi selendang. Mata Maya terarah tepat kepada lelaki yang duduk bertentangan dengannya. Mereka hanya dipisahkan dengan sebuah cermin kaca lut sinar yang tebal.

Rambut lelaki itu kelihatan serabut dan wajahnya ada kesan-kesan luka. Tak perlu tanya, kerana Maya tahu luka di wajah Jack itu daripada banduan-banduan yang lain. Pasti Jack sedang dibuli di penjara kerana statusnya yang berprofil tinggi.

Perasaan serba salah menyerbu sekeping hati Maya. Keningnya bertaut sedikit melihat keadaan Jack kini. Namun lelaki itu masih tersengih dan tersenyum macam tiada apa-apa.

"Maya? Woi!"

Gadis itu tersentak. Bahunya terhenjut kecil. Anak matanya mencari-cari wajah Jack di hadapannya sebelum pandangan dikalihkan ke sisi, menghalang panahan mata Jack.

"Kenapa aku ni bodoh sangat sampai baru sekarang perasan kau?" gumam Maya bersama keluhan penuh sesal.

"Meaning?" soal Jack, agak keliru dengan ayat Maya yang dianggapnya masih tergantung.

"Maksud aku, kenapa aku baru perasan kebaikan kau sekarang?" jawab Maya, sedaya upaya mengukir sebuah senyum pahit.

Lelaki di sebelah sana tergelak. Tawanya kedengaran di hujung gagang telefon yang dipegang oleh Maya. Hati Maya menjadi sayu. Inilah gelak tawa yang dia sangat benci dahulu. Inilah tawa yang sentiasa membuatkan hatinya berasa jengkel. Tapi bila sudah berjauhan dengan lelaki itu, baru dia sedar.

Dia langsung tak benci suara ketawa itu malah kini Maya sangat merindukannya. Sangat-sangat.

Namun, mampukah masa diputar kembali? Jawapannya tetap sama dan takkan berubah.

Tidak! Maya tak mampu untuk pulang ke waktu lalu.

"It's my responsibility. Papa kau amanahkan kau pada aku. Aku khinati kau, tapi itu tak bermakna aku tinggalkan tanggungjawab aku. Lagipun, aku tak boleh bayangkan nasib kau kalau kau yang kena masuk dalam ni." Bibir itu dihiasi senyuman kecil.

Maya menggenggam erat gagang telefon. Bibir diketap rapat. Matanya terasa hangat tiba-tiba. Hatinya diserbu rasa sebak, kesal dan terharu. Tepi mulut Jack nampak sedikit biru kerana lebam. Terdapat juga kesan cakaran di tepi pipi lelaki itu. Semua ini berpunca daripada kekhilafan dirinya sendiri. Tapi yang mendapat akibat daripada perbuatannya kini ialah Jack.

Tangan Maya naik menyentuh cermin kaca itu. Seakan-akan sedang menyentuh wajah Jack sekarang. Ikutkan rasa hatinya, ingin saja diusap pipi itu dengan jarinya. Merawat sendiri luka pembantunya yang sentiasa di sisinya itu seperti selalu. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan. Dia tak boleh lagi membantu Jack mengurangkan kesakitan lelaki itu.

Air mata Maya hampir ingin menitis, namun matanya tetap digamkan pada Jack. Dia tahu derita yang dialami Jack sekarang ni tidak akan mampu dihilangkan dengan sekadar kata maaf. Oleh kerana itu, mulutnya bagaikan dikunci rapat. Hanya matanya saja yang berbicara dengan Jack.

Maafkan aku, maafkan aku. Aku sakitkan kau. Tolong maafkan aku. Maafkan aku, Jack.

Maya menggigit bibir bawah. Air jernih yang dari tadi hanya bertakung di tubir mata turun ke pipinya.

Lelaki itu terpaku seketika melihat wajah di hadapannya. Hanya sebentar. Dia tak sanggup untuk menatap wajah itu lama-lama. Pantas saja kepalanya dipalingkan ke arah lain. Melihatkan mata Maya yang berkaca-kaca itu, dia seolah-olah turut merasakan hiba yang dirasai oleh Maya tika ini. Sepasang mata berwarna perang cair itu memberitahu segalanya.

"Jack, aku kecewa sangat dengan diri sendiri. Aku... aku masih tak mampu untuk maafkan diri aku. Aku sakitkan Shafira. Aku buat kau terseksa sebab aku. I'm too obsessed with my rage, with my revenge sampai aku lupa. Aku lupa yang aku dah ada segalanya tanpa perlu aku korbankan apa-apa. I'm just too dirty to be forgiven." Entah sudah berapa kali untuk belakangan ini Maya asyik merembeskan air matanya.

Setiap kali melawat Jack, seolah-olah air mata Maya itulah hadiah buatnya. Dan Jack tak sukakanya. Namun, siapa dia untuk menghentikan tangisan gadis di hadapannya itu.

Ah, kalaulah cermin kaca ini tidak menghalang mereka berdua, pasti tubuh itu sudah dibawa ke dalam dakapannya. Bukan berniat jahat, tapi untuk menenangkan gelojak di hati Maya.

Melihatkan air mata Maya yang kian lebat, Jack tak senang duduk. Dia perlu lakukan sesuatu. Bukan sekadar statik di tempatnya dan menjadi pemerhati.

"Maya, jangan terperangkap dengan dunia lama. Mulakan hidup baru. A brand new life. Aku tak suruh kau lupakan kenangan silam dulu, tapi jadikan ia pengalaman dan pengajaran yang takkan kau ulang lagi."

"Dosa aku terlalu besar, Jack! Kau tahukan? Kau tahu sendiri macam mana kejam dan hodohnya diri aku dulu? Aku bunuh keluarga aku sendiri, Jack. Aku tak layak dapat hidup baru." Nada suara Maya naik pada permulaan dan kemudiannya mengendur apabila tiba di hujung kata. Kepalanya tergeleng-geleng. Pipi putih Maya sudah basah lecun.

Jantung Jack seakan-akan ditusuk-tusuk melihat keadaan Maya yang menyedihkan.

"Tapi tu dulukan?"

Maya terus menangis. Dadanya bergetar hebat. Kenangan waktu dulu berputar ligat di kotak memorinya. Dari bagaimana dia membunuh ahli keluarga Shafira, kemudian merancang untuk mensabotaj syarikat Shafira, mempertemukan Shafira dengan keluarga angkatnya kembali dan sekali lagi memusnahkan kebahagiaan kawan baiknya itu dan berakhir dengan rancangannya untuk membunuh Shafira yang langsung tak bersalah.

Mulut Jack terkunci rapat. Di sudut hatinya, dia mula menyalahkan diri sendiri.

Kalaulah aku jaga dia dengan baik. Kalaulah aku mampu betulkan dia dulu. Kalaulah aku dapat halang dia masa semuanya bermula. Kalaulah... kalaulah... Bisik hati Jack.

Penyesalan yang dirasai oleh Jack semakin kuat.

Kalaulah aku dapat jalankan tanggungjawab aku dengan betul, getus Jack sendiri.

Mungkin gadis itu tidak dapat melepaskan diri dari sangkar kehidupan lamanya adalah kerana dirinya. Mungkin sebab dirinya, Maya terus terjerat dengan kisah silamnya itu. Fikir Jack.

Sedang Maya leka melayan perasaannya, Jack bangun dari duduknya. Tangannya masih menggenggam erat gagang telefon di tangannya.

"Maya," panggil Jack. Gadis itu menunjukkan respon dengan panggilan Jack dengan mendongak memandang Jack yang kelihatan serius tiba-tiba.

"Aku rasa, lebih baik kita tak perlu jumpa lagi."

"Eh?"

"Kalau kau asyik lawat aku, kau takkan dapat keluar dari kisah pahit kau dulu. Lagipun, aku ni adalah sebahagian dari kenangan yang patut kau lupakan."

Maya tergamam. Seluruh sendi badannya terasa lemah-lemah. Saat Jack berkata begitu, jantung bagai direntap kasar dari dadanya.

Tanpa berkata apa-apa lagi, Jack terus memutuskan talian dan beredar dari situ. Namun bukan itu saja yang membuatkan jantung Maya seakan-akan dirobek-robek. Lelaki itu sempat berpaling ke arahnya dan berkata tanpa suara.

'Jangan. Kacau. Hidup. Aku. Lagi.'

Senyum manis yang penuh kepura-puraan terukir di dua ulas bibir Jack.

Pada luarannya, bibirnya tersenyum namun di dalamnya, hatinya meraung sakit dan kecewa. Tapi Maya pasti hidup bahagia tanpa dia.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro