13 Cari Umar

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Seraut wajah suci menatapnya sejak tadi lagi. Perbuatan Luth yang sedang berdiri sepi di bingkai pintu dapur diperhatikan Umar. Dia melangkah perlahan-lahan ke arah lelaki itu.

"Abang nak keluar beli ais krim hari ni?" soal mulut merah itu. Mata bulatnya tahu bahawa Luth sedang bersedih hati.

"Tak," jawab Luth lemah. Umpama orang mati bini sahaja dia bersedih. Terkelip-kelip melihat jalan kecil di belakang rumah, Luth akhirnya melabuhkan punggung di bendul. Kakinya dilunjurkan ke hadapan. Rasa sakit kepala dan sakit hati menjadi satu hingga membuatkan dia lelah buat bernafas setiap saat.

"Abang dah minta maaf dekat ibu?" Apabila melihat Luth duduk, Umar turut duduk.

"Tak." Bibir diketap rapat. Kenapa dia yang harus meminta maaf? Walhal ibu yang bersalah dalam hal ini. Bikin serabut sahaja dengan masalah yang baru dicetuskan ibu. Luth tak mahu fikirkan bahawa Puan Dalila itu ibu kandungnya.

Pada satu titik, Luth juga sudah penat menanggung rasa sakit luka lama di hati.

"Abang... Papa dan mama tak datang ambil Mar lagi," adu Umar. Tangan kanak-kanak itu mula meramas sesama sendiri. Barangkali anak itu sedang kerisauan.

"Mar, jangan tunggu dorang dah... Nanti sakit macam abang." Luth tersenyum nipis. Bertahun-tahun lelaki itu menunggu kehadiran ibu bapa kandung sewaktu kecil, yang menjemput hanyalah angan-angan palsu.

"Mana boleh..." gumam Umar. "Mama dan papa sayang Mar..."

"Betul ke mama dan papa sayang Umar?" soal Luth kembali.

"Ya... Dah janji nak sayang..." Umar tertunduk pilu di sisi Luth.

"Dah, jangan sedih." Belakang kanak-kanak itu ditepuk lembut. Lengan dilingkarkan pada bahu kecil Umar. "Jom kita cari mama dan papa, nak?"

"Betul ke ni?" Berputiklah sinar harapan di dada. Terujanya hingga kedua-dua kaki berdiri. Umar bertanya lagi, "betul ke?"

"Erm, ya." Hujung bibir disengetkan. Luth sangat memahami perasaan anak-anak yang kehilangan ibu bapa seperti ini. Pernah berada di kasut yang sama membuatkan diri itu bersikap empati.

"Tapi... Abang bukan tahu pun rumah Mar kat mana." Keluhan pula yang dilepaskan Umar.

"Abang boleh tanya orang ramai. Mar ingat tak rumah Mar dekat mana?" Luth menarik tangan kanak-kanak menyuruhnya duduk kembali.

Umar menggeleng. "Mar cuma tahu dekat mana tempat papa selalu suruh Umar bagi tepung dekat kawan dia.... Selalu dekat dengan lorong yang ada lori lama... Abang tahu?" Bebola mata menatap lelaki di hadapannya.

"Lori?" Luth berfikir sejenak. Pandangan dilontarkan ke kawasan berumput. Dia mungkin dapat menebak lorong mana yang dimaksudkan Umar. Namun, tempat berkenaan agak jauh di kota. Sebelum ini Luth pernah menetap di kota bersama-sama Mawar. Mustahillah itu tempatnya, banyak sahaja lorong yang punya lori lama. Pasti bukan 'lorong' itu.

"Lepas tu ada kedai jual air, Mar selalu nampak orang bergaduh dekat tengah jalan. Ada kakak pakai skirt... Tapi suara kakak tu macam suara lelaki. Dia baik, dia selalu tegur Mar," sambung Umar. Jari telunjuk menekan-nekan pelipis buat memutarkan kembali pita ingatan yang masih segar.

Yang dimaksudkan kedai jual air itu ialah kedai arak. Berdekatan lorong itu juga kawasan kupu-kupu malam mencari rezeki haram. Luth melihat anak itu lama. "Betul ke mama dan papa orang baik?"

"Ya." Laju Umar mengangguk. "Abang boleh carikan? Mungkin papa dan mama lupa nak ambil Mar..."

Susah juga untuk Luth memutuskan. Tahu dek Puan Dalila nanti, habis kecoh satu rumah asuhan. Rumah ini ialah rumah perlindungan kanak-kanak di bawah akta mahkamah. Pasti ada satu asbab kukuh untuk Umar diletakkan bersama-sama kanak-kanak lain.

Wajah Umar suci. Sekecil-kecilnya telah menyaksikan senario gelap kehidupan.

"Abang boleh bawa Umar ke tempat tu... Tapi janji kita tengok mama dan papa dari jauh je?" Hati Luth memberat. Dia mudah kasihan pada kanak-kanak kecil. Dalam masa yang sama, tak mahu tindakan kononya kasihan ini membawa masalah di kemudian hari.

"Kenapa tengoj dari jauh je?" Hairan Umar.

"Janji, okay? Nak pergi cari mama dan papa tak? Kalau tak abang nak masuk main dengan Aira." Luth sudah berura-ura hendak berdiri. Bingkai pintu dipautnya.

"Hm... Nak peluk sekejap pun tak boleh?" pinta kanak-kanak itu. Umar merapatkan kedua-dua telapak tangan.

"Okaylah, boleh peluk sekejap je." Senyuman nipis terulit. Rambut lebat Umar diusapn lembut. Ada baiknya Luth tunaikan permintaan anak kecil itu. Kasihan Umar siang malam meminta agar ketemu kedua orang tua yang entah hilang ke mana. Dari terbit matahari hingga terbenam pun Umar masih setia menunggu di pintu pagar rumah.

"Kita cuba cari ya? Kalau tak jumpa, sebelum senja kena balik. Nanti ibu marah..." ujar Luth.

"Abang takut kena marah ya?" sakat Umar. Jelas kelihatan kegembiraan yang terpancar.

"Ish, mana ada. Abang cuma tak nak susahkan orang. Abang dah susahkan ramai orang dengan sakit abang ni..." Senyuman ikhlas Mawar terlayar di fikiran. Luth mengangkat wajah yang sayu. Dia tidak tahu setara mana Mawar masih mencintai diri itu.

"Eleh, kalau takut kena marah dengan ibu tu cakaplah," balas Umar.

Kening Luth yang elok tersusun berkerut. Tidak sesaat pun dia memikirkan soal ibu. Fikiran kecilnya sibuk merisaukan keadaan rumah tangga dengan gadis kesayangan. "Abang malas nak cakap pasal ibu."

Siapa ibu pada Luth?

***

"Mana laki kau? Tidur?" soal Hakim yang baru berlabuh di kerusi dapur.

Mawar sendiri tidak tahu ke mana Luth telah hilang seharian. Si gadis mengambil tempat bertentangan dengan Hakim. Bahu diangkat seraya menggeleng ke kiri dan kanan.

Niat untuk melawat ibu ditangguh seketika alang-alang mahu menjemput Mawar pada petang itu. Lagi bagus, Luth pula tidak menampakkan tanda-tanda akan muncul pada bila-bila masa. Peluang sebaik ini akan dimanfaatkan Hakim untuk membelai kecelaruan jiwa si bunga. Wajah Mawar ditatap sedalam-dalamnya.

"Sedih lagi fikir pasal duit?" tebak Hakim sepintas lalu. Masam mencuka sahaja Mawar ini.

"Em, ya. Aku tak tahu nak cari mana lagi duit... Tambah pula..." Nafas dihela Mawar.

"Hm?" Hakim meminta ayat itu disambungkan.

"Tambah pula... Luth asyik nak gaduh je. Dia tak habis-habis minta orang dengar cakap dia." Dagu ditongkat Mawar sendiri.

"Kau sayangkan Luth?"

"Dia suami aku... Kalau aku tak sayang, aku tak akan kerja jadi orang gaji rumah kau." Ekor mata hanya memandang singki dapur. Sayu hatinya melihat Luth langsung tak mahu bertegur sapa.

" Maksudnya kau sanggup buat apa sahajalah?"

Tanpa ragu-ragu, Mawar mengiyakan.

"Macam mana kalau aku bagi kau RM30 000 tu?"  tawar jejaka lewat 20-an itu.

Mawar terus memencilkan mata. Mati hidup kembali pun dia tidak akan percaya ada orang sanggup beri wang semudah ABC. "Hutang? Aku kena bayar balik?"

"Nope. Aku beri sebagai hadiah. Tapi ada syaratnya." Gaya percakapan Hakim tidak kedengaran seperti gurauan. Dia benar-benar sedang serius.

"Apa?" Gadis itu hanya fokus pada Hakim. Kelopak mata tak mahu berkelip.

"Nanti malam ni aku beritahu kau," putus Hakim. Sengihannya menampakkan barisan gigi putih di belakang bibir.

"Tak payahlah nak main rahsia-rahsia. Cakap je," dengus Mawar sakit hati.

"Jomlah pergi rumah aku. Kita bersiap untuk makan malam dekat hotel. Jangan fikir sangat pasal masalah Luth tu. Semua orang ada masalah. Kalau kau asyik layan Luth, sampai ke sudah tak akan selesai. Dia tu pentingkan diri sendiri je. Tengoklah isteri baik macam kau pun dia nak marah-marah," bebel lelaki itu. Kunci kereta bersebelahan kekura tangan digenggam erat. Mawar yang bertudung litup amat indah pada pandangan mata.

" Luth marah aku keluar malam ni... Aku tak rasa kalau aku ikut kau, dia akan maafkan aku," khabar Mawar.

" Sempitnya fikiran lelaki tu. Bini nak cari duit pun tak bagi. Ni dia hilang pergi mana? Entah-entah dengan perempuan lain." Tiba-tiba sahaja nak batalkan pelan akhir? Sudahlah persalinan Mawar telah dibeli menggunakan duit gajinya.

" Tak mungkinlah Luth curang... Luth tak ada kenalan dekat sini. Mungkin dia sedang ambil angin dekat luar sana?" Luth memang begitu, tatkala sesak asyik berehat di bilik pasti nanti akan ambil udara luar. Sama ada naik motor atau hanya duduk di beranda rumah. Luth bukannya kuat mana untuk bekerja sekarang ini.

Hakim pula yang serabut. Wajah diraup seketika."Nanti kau pujuklah dia balik, dia akan faham usaha kau ni. Kau kata kau sayang dia, kan?"

"Ya, aku sayang."

"Dengar sini, Mawar," panggil Hakim yang mahu gadis itu mengangkat wajah. Perlahan-lahan mata mereka bertaut. "Kau isteri yang baik, kau hanya nak tolong bayar bil perubatan suami kau. Aku yakin Luth akan hargai semua penat lelah kau ni. Aku tahu kau penat nak jaga Aira bila balik kerja, nak kena layan suami pula. Kalau tak ada siapa nampak usaha kau, aku nak kau tahu yang aku sentiasa nampak usaha kau... "

"Aku cuma..." Sungguh hati Mawar berat.

Lelaki itu menggeleng perlahan. "Luth akan faham. Aku tahu, aku kan kawan dia?"

***

Rasa sakit mencengkam kepala. Tangan bergantung harap pada dinding bangunan lama. Luth menarik nafas dalam. Langkah kekal diatur ke hadapan kerana niat di hati mahu bawa Umar berjumpa dengan kedua ibu bapa.

"Mar, kepala abang sakit..." adu lelaki itu.  Sebelah kelopak mata telah terpejam. Langit makin senja. Terbentang cahaya keperangan di atas sana. Jarak perjalanan dari rumah asuhan ke kota agak jauh. Motosikal telah diguna pakai untuk merentasi hingga ke lorong ini.

Tiba-tiba ada satu daya menolak bahu dari arah hadapan. Luth terkelip-kelip membuka mata. Pandangannya disapa pula dengan wajah dua orang lelaki.

"Aku nak duit," minta lelaki asing itu. Mereka berdua sedang menghalang Luth dengan dada bidang.

"Aku takde duit," balas Luth. Tak bermaksud ingin mengelak, memang benar Luth tiada wang belanja. Yang terselit dalam dompet hanyalah kad pengenalan dan lesen motor. Mata dilirik ke kiri dan kanan. Umar telah hilang.

Tatkala Luth melangutkan wajah ke hadapan, seraya dengan itu satu penumbuk mengenai wajah. Dia tersentak ke belakang. Badannya bertemu dengan dinding bangunan.

"Bagi aku duit!" jerkah lelaki berkenaan. Seorang rakannya memaksa Luth buat berdiri. Dikunci pergerakan Luth dengan kedua-dua lengan.

"Aku takde duit..." geram Luth. "Kau pekak ke? Lepaslah!"

Usaha untuk meloloskan diri bagai menyiram air ke daun keladi. Tubuh lemah yang sekarang ini tidak mampu membuat banyak perkara. Segalanya jadi terbatas.

Kepala ditolehkan pula ke belakang. Luth tercari-cari keberadaan Umar. Ke mana sudah anak itu hilang? Habislah nanti Puan Dalila mengamuk.

DUSH

Selepas satu pukulan mengenai pipi yang lagi satu, lelaki berkenaan memeriksa poket seluar Luth. Terdesak sangat inginkan wang, sanggup dibuat begitu. Pandangan Luth semakin kabur, dia makin tenggelam dengan kesakitan.

"Hoi, kau nak buat apa tu?" Satu suara garau memecah benak.

Mudah sekali pegangan itu dilepaskan. Terjelopoklah tubuh mencium jalan. Sedang si fulan meleraikan pergelutan cetusan dua orang pemuda mabuk itu, Luth memandang kawasan sekeliling tidak henti. Tangan dipasakkan menolak tubuh untuk bangkit duduk.

"Kau pergi sana, jangan datang sini dah," marah suara itu. Barilah dua orang pemabuk itu mahu beredar.

Bau arak murah yang diminum menusuk ke rongga hidung Luth. Sudah lama tidak menikmati air haram selepas kemalangan jalan raya tempoh hari. Dia yang hendak berdiri dibantu oleh si fulan berkenaan. Di manakah Umar?

"Kau nak apa lalu dekat sini?" Suara garau itu menegur. Rupa parasnya seperti gadis namun suara yang terlantun keluar yakin milik lelaki.

Luth memandang 'gadis' itu. Lama juga dia berfikir disebabkan kepalanya yang asyik sakit menyucuk. Kebolehan berfikir pun kadang-kadang merosot.

"Kau pergi balik kalau tak ada urusan dekat sini," marah si pemakai skirt separas peha. Setelah memeriksa tiada kecederaan yang serius pada Luth, hatinya sedikit lega.

"Kau selalu datang sini?" soal Luth.

"Ni kawasan kerja aku. Memanglah aku selalu datang," omel Nabil. Nama panggilannya di situ 'Abil', tampak lebih feminine dan cocok dengan rupa paras gadisnya.

"Kau selalu pakai skirt macam ni?"

"Kau ni kenapa, jantan?" Soalan itu kedengaran sebagai satu sindiran. Nabil memasamkan wajahnya. Kening berkerut, mata pula menjeling tajam.

"Jadi mesti kau selalu nampak seorang budak kecil dekat sini, kan? Budak tu kata kau selalu tegur dia bila dia lalu sini..." Senyuman nipis milik Luth terbentuk dalam kepenatan. Ini akan menggembirakan hati kecil Umar.

"Maksud kau Umar ke?" Ketegangan wajah mengendur perlahan-lahan.

"Ya, Umar. Kau kenal dia?" Tidak sia-sia Luth menunggang motor jauh dari rumah asuhan. "Mana mak ayah dia?"

"Aku kenal. Tapi... Kenapa kau nak tahu pasal mak ayah dia?" soal Nabil.

"Umar cakap dekat aku yang mak ayah dia jual tepung... Aku rasa mak ayah dia baik je, Umar pun sayang dorang. Jadi aku nak bawa Umar jumpa mak ayah dia. Sekejap pun jadilah..." rayu Luth.

"Kau demam ke ni?" potong lelaki berupa gadis itu. Dadanya bidang seperti teruna, tangan kasar naik memeriksa wajah pucat Luth. Hangat dahi Luth berpindah ke kulit kekura tangan Nabil. "Kau demam... Kau datang sini naik apa?"

"Mana mak ayah Umar?" Pegangan Nabil ditolak ke tepi.

"Mak ayah Umar bukannya jual tepung. Tapi dia jual dadah." Tanpa berdalih, Nabil menjawab dengan suara mendatar.

Air liur yang hendak ditelan menjadi kesat. Luth tidak menjangkakan itu sejak awal. Wajah yang pucat tidak mengalir sebarang darah.

Nabil melihat perubahan raut pemuda asing di hadapannya. "Dorang kena tangkap polis... Dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati."

****

votexkomen
***

maaf lambat update!! rindu Luth :( hm Umar pun :( Mawar pun satuu :/

***
Dah dapatkan novel saya yang bakal dicetak? boleh dapatkan segera dengan harga preorder & FREE POSTAGE

**hanya untuk pembeli terawal

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro