26 Cemburu

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Sekeping gambar dalam perbualan dengan seorang rakan sekerja diperhatikan dari tadi lagi. Ibu termenung sendiri di kerusi bilik kerjanya. Jari menaip beberapa patah perkataan sebelum butang 'hantar' ditekan.

Kuakkan pintu mengalih perhatian wanita setengah abad itu. Dia menghadiahkan sebuah senyuman pada isteri anak lelakinya. Telefon ditelangkupkan ke atas meja.

"Mawar datang ke sini naik apa?" soal Puan Dalila.

Mawar yang baru menutup pintu mengatur langkah ke arah ibu. Dia segera bersalaman dengan Puan Dalila sebelum mengambil tempat di kerusi berdekatan. Nafas penat dihelanya, namun wajah kekal tersenyum.

"Hakim hantarkan. Ibu, Luth memang tak ingat apa-apa tentang kita?" soal Mawar. Khidmat yang ditawarkan Hakim diterima Mawar asalkan lelaki itu tidak meminta lebih. Sekali sahaja Hakim melanggar syarat, Mawar tidak akan naik kereta lelaki itu lagi.

Puan Dalila memandang Mawar. "Luth ingat ibu... Masa dia sedar semalam pun dia tercari-cari ibu dan boleh bersembang dengan ibu macam biasa. Hal lain ibu tak pasti dia ingat atau tidak. Macam mana dengan Luth hari ni?"

"Oh..." Hati Mawar merundum sedih. "Kenapa dia tak ingat Mawar? Dia tak sayang Mawar ke?"

"Sayang, jangan kata macam tu. Luth baru je sedar beberapa hari. Minum susu pun kena guna wayar lagi sebab dia belum sihat sepenuhnya." Ibu bingkas berdiri mahu berjalan ke arah gadis muda itu. Sisi kepala Mawar dipeluknya. "Luth sangat sayangkan Mawar. Sabar ya? Beri dia masa..."

Mawar mendongak memandang ibu. Rasa hati agak berbaur juga pada mulanya. "Mawar faham, ibu. Cuma... Luth banyak diamkan diri tadi."

Dari kerusi di meja kerja, mereka berpindah ke sofa pula. Punggung menghenyak kusyen kulit empuk. Mawar  pula perlahan-lahan bersandar Puan Dalila. Hangat kasih sayang seorang ibu membelai diri lemahnya. Dia tidak kuat mana mahu berulang-alik ke hospital demi Luth dan Aira.

"Luth masih keliru. Jangan paksa dia... Takut nanti dia memberontak. Mawar cuba perlahan-lahan untuk dapatkan hati Luth. Kemudian barulah dia akan terima Mawar. Masa ni lah Mawar boleh baiki diri supaya jadi isteri yang solehah buat Luth," pujuk Puan Dalila. Bahu Mawar dipeluk dari tepi membiarkan kepala si gadis mendarat di bahunya.

"Ibu, isteri yang solehah naik kereta lelaki lain sesuka hati tanpa pengetahuan suami dia ke?" soal Mawar polos. Setiap kali melangkah ke kereta itu, hatinya menjadi tidak tenteram.

"Mawar tak boleh buat macam tu... Hanya kalau Luth izinkan, barulah Mawar boleh naik. Lepas ni jangan tumpang Hakim dah ya?" balas Puan Dalila.

"Mawar tak tahu macam mana nak jadi isteri yang baik..." Gadis itu semakin pilu.

"Mawar dah baik dah. Cuma ada yang perlu dibaiki. Sebagai isteri, Mawar ada peranan besar dalam keluarga. Mawarlah universiti pertama untuk bakal zuriat Luth nanti. Mawarlah tempat Luth berkongsi kehidupan. Besar tanggungjawab bila dah berkahwin ni... Ini juga proses Mawar untuk belajar perbaiki kelemahan diri. Kalau sebelum ni Mawar asyik bergaduh dengan Luth, cuba kenal pasti titik permulaan pergaduhan tu."

"Hakim la punca perbalahan ni," bisik Mawar.

"Jadi, Mawar tahu kan Mawar kena jauhkan diri daripada dia?"

Kepala dijatuhkan sekali dua. "Mawar cuba jadi isteri yang solehah," ujar Mawar dengan bersemangat. Dia benar-benar mahu berubah. Tak nak pisang berbuah dua kali.

"Ibu faham Mawar muda lagi... Banyak yang nak kena belajar. Belajarlah, nanti tiba masa... Mawar pula yang kena ajar anak-anak. Perkahwinan bukan hanya berlandaskan cinta, bukan hanya antara dua jiwa. Perkahwinan ni akan melahirkan banyak jiwa yang sangat perlukan didikan agama. Ibu sentiasa doakan Mawar supaya Mawar jadi ibu yang solehah..." Telapak tangan diturunkan mengusap abdomen gadis muda itu. Tak siapa tahu usia kandungan Mawar mencecah tiga minggu. Ukuran janinnya dan Luth hanya sebesar jarum telah pun menempel sempurna pada dinding rahim.

Pada awal trisemester ini, janinnya sudah membentuk beberapa organ tubuh. Mulai dari pembuluh-pembuluh darah, tulang belakang, kelenjar tiroid, organ jantung, dan otak. Organ-organ ini akan terus mengalami perkembangan dan penyempurnaan di minggu-minggu kehamilan berikutnya menemani kantung rahim Mawar.

"Mawar nak belajar dengan ummi Fatihah lagi... Rasa tak cukup apa yang belajar hari tu... Ni pun dah ingat-ingat lupa. Mawar nak belajar ilmu fardhu ain sungguh-sungguh," khabar Mawar. Satu tekad mula dipasang demi diri sendiri dan keluarga.

"Macam tu lah anak ibu." Pipi Mawar diusap ibu.

"Tapi..." Terlintas pula hal kewangan keluarga, gadis itu mengetap bibir delimanya. Belajar saja tanpa usaha membaiki kewangan keluarga pun masalah juga. Beban jatuh ke bahu Mawar mengenangkan Luth masih terlantar sakit.

"Ada apa sayang?"

Pipi disembamkan pada bahu Puan Dalila kembali. "Mawar terfikir masa depan Mawar dan Luth. Luth kan sakit... Lepas ni pun dia kena buat enam sesi kemoterapi sebab tumor dia tak dibuang semuanya. Mawar tahu bertahun juga untuk suami Mawar sihat seperti sediakala. Dia tak boleh kerja macam lelaki lain... Mawar nak cuba cari duit dan pekerjaan yang sesuai untuk Luth. Mawar tak nak buat dia rasa tak berguna macam sebelum ni... "

"Luth memang macam tu, kan? Dia tetap nak buat sesuatu untuk orang yang dia sayang." Puan Dalila tersenyum sendiri. Perangai anaknya tak ubah seperti arwah Luthfi. "Luth tu tak ada kudrat macam lelaki lain, nanti ibu ikhtiarkan pekerjaan yang sesuai. Mawar jangan risau ya? Mawar cuma fokus untuk baiki hubungan yang dulu dan jaga Luth yang sekarang ni."

"Baik, ibu." Lega sedikit beban di bahu setelah meluahkan kepada pendengar sebaik Puan Dalila. Tangan memeluk tubuh setengah abad itu. Mawar sangat sayangkan ibu sebagaimana Luth menyayangi ibu. Orang yang Luth sayang, Mawar juga akan sayang.

"Jom kita balik. Kesian Aira duduk dengan Aida je... Dia rindu mama dia ni." Hari sudah senja nampaknya. Cahaja kuning kemerahan terpanjar di segenap dada langit.

"Jom." Gadis itu menggeliat kecil sebelum berdiri. Dia menghulurkan kedua-dua tangannya untuk menarik ibu bangun.

***

Hanya Allah yang tahu betapa bersyukurnya Mawar dapat melihat Luth menggerakkan kaki. Ini membawa makna pembedahan otak sebelum ini tidak menjejaskan saraf tunjang yang mengawal kaki dan tangan Luth. Buktinya, Luth sedang menurunkan kaki dari katil tanpa bantuan siapa-siapa. Lelaki ini semakin kuat berbanding sewaktu hari pertama sedar dari koma.

"Abang boleh bangun, tak? Sini Mawar tolong." Gadis muda itu segera memaut tangan kanan Luth selepas menarik kerusi roda mendekati.

"Boleh..." balas Luth. Dia yang tersarung baju sejuk tersenyum kecil melihat keprihatinan gadis bernama Mawar itu. Punggung berlabuh ke atas kerusi roda. Kedua-dua kaki ditapak pada penahan.

Tiba-tiba, batang leher Luth dipeluk dari belakang. "Mawar rindu abang," bisik Mawar. Perbuatan itu membuatkan Luth menyinpul senyuman kecil. Kepalanya terpaling ke sisi buat melihat wajah isterinya. Seraya dengan itu satu kucupan berlabuh di pelipis lelaki berkenaan.

"Mawar memang macam ni ke?" soal Luth. Tangan si bunga pada pangkal dadanya dielus lembut. Amat selesa dengan layanan sang isteri dari awal biar pun Luth masih teragak-agak untuk menyentuh Mawar.

"Apa maksud abang?" Pelukan itu dileraikan si bunga. Dia memandang sang suami terpinga-pinga.

"Suka menempel macam ni..." gumam Luth.

Mawar tertawa halus. "Tak ada lah... Selalunya abang yang buat macam ni. Kenapa? Abang rimas ke?"

"Bukan... Cuma abang tertanya-tanya apa yang abang dah buat untuk dapat isteri sebaik Mawar..." jujur Luth.

"Abang dah buat terlalu banyak benda untuk Mawar," balas gadis muda itu. Beg pakaian Luth yang telah dizip digalas pada bahu. Akhirnya Luth dapat pulang ke rumah, pelbagai pemeriksaan dijalankan oleh pegawai perubatan. Puan Dalila sedang membuat pembayaran bil perubatan Luth di kaunter.

Berkat duit sumbangan RM35 000, segala kos perubatan Luth dapat ditanggung tanpa perlu risaukan apa-apa. Sesi kemoterapi selepas ini pun akan dibayar menggunakan duit sumbangan itu. Satu sen pun Mawar tidak ambil duit berkenaan kerana wang itu telah diniatkan atas kesihatan Luth,  untuk kegunaan perubatan suaminya.

"Umur Mawar berapa?" soal Luth lagi. Hangat baju sejuk memberikan dia keselesaan di situ. Kerusi roda mula ditolak Mawar melintasi kawasan wad aras tiga.

"Umur Mawar nak masuk 23 tahun dah tahun ni. Abang dah 25 tahun. Kita beza dua tahun."

"Mawar tak sambung belajar?"

"Tak. Mawar tak minat nak belajar tinggi-tinggi. Sekarang ni Mawar cuma nak belajar ilmu fardhu ain dekat rumah ummi."

"Kenapa macam tu? Siapa ummi?" Luth tidak mengerti. Tolakan Mawar berhenti apabila mereka menapak ke dalam lift. Hanya mereka berdua.

"Mawar memang takde apa-apa sijil sekolah, abang. Macam mana Mawar nak sambung belajar? Lagipun Mawar tak nak sambung sebab nak utamakan mana yang wajib. Kewajipan Mawar sekarang ni adalah untuk belajar ilmu fardhu ain... Dan jaga cik abang seorang ni. Mawar nak jadi isteri solehah untuk abang." Mawar mempamerkan senyuman manis. Cukup manis buat menyenangkan hati suami.

Luth memandang Mawar seketika. Setelah apa yang dilakukan Mawar selama ni, Luth dapat menerima perlahan-lahan gadis muda berkenaan. Setiap hari pasti Mawar akan ke hospital untuk berjumpanya. Tubuh yang tak dapat bergerak banyak akan dibilas Mawar dengan kain basah agar kulit badan Luth kekal segar. Seusai mandi pula Mawar akan mengurut kedua-dua lengan dan kaki Luth dengan minyak bunga matahari. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki diuruskan si bunga. Luth merasakan dirinya tidak layak untuk memperisterikan gadis muda itu.

"Jangan fikir banyak. Nanti kepala abang sakit..." Tegur Mawar. Matanya memerhatikan wajah Luth yang asyik termenung seperti memikirkan sesuatu.

Luth menggeleng perlahan. Dia langutkan wajah buat membalas pandangan Mawar. "Mawar, nanti Mawar ajarkan abang solat ya? Abang tak ingat sangat..." polos Luth.

"Boleh, bang. Kita belajar sama-sama." Hati Mawar dijentik satu rasa. Ini diibaratkan permulaan pertama kepada peluang keduanya. Mata yang berair melihat ke arah lain.

Kerusi roda itu ditolak keluar dari lift menuju ke ruang legar hospital. Orang ramai yang lalu lalang tidak menggangu hangat cinta pasangan itu. Mereka bagaikan berada dalam dunia sendiri, terpisah dari keadaan sekeliling. Luth duduk diam sahaja di atas kerusi roda yang ditolak sang isteri yang hamil tiga minggu lebih.

"Luth, Mawar," sapa satu suara. Seorang lelaki berkaca mata dan berbaju kemeja biru gelap mendekati pasangan berkenaan.

Mawar buat tidak endah dan terus menolak kerusi roda suaminya.

Hakim tersenyum kecil. Langkahan sengaja seiring dengan Mawar. "Luth dah boleh keluar hari ni, kan?"

"Ya." Mawar menjeling tajam ke arah Hakim. Dia yang lelah berhenti menolak di sebuah tiang besar hospital. Punggung berlabuh ke atas kerusi yang disediakan. Badan cepat sahaja penat meski baru melangkah di sekitar hospital.

"Baguslah, aku risaukan Luth. Tak sangka kau hidup lagi sekarang ni," usik Hakim. Tangan berjabat dengan Luth.

Berasap juga telinga Mawar yang mendengar ini. Hakim masih tidak tahu tentang daya ingatan Luth yang merosot setelah sedar dari koma.

Luth tersenyum nipis. Tidak pasti siapa gerangan lelaki yang sedang menyertai mereka berdua.

Perbuatan Mawar yang sibuk mahu membaiki baju pada tubuh Luth diperhatikan Hakim. Dada sang suami diusap lembut pula . "Abang rasa okay dah sekarang? Tak sesak nafas lagi?"

"Tak." Luth menggeleng menjawab pertanyaan Mawar.

"Kalau sakit, beritahu Mawar. Abang lega tak bila Mawar urutkan macam sebelum ni?" Tangan runcingnya mengurut dada Luth lembut. Kerusi roda itu ditarik lebih dekat ke arah Mawar. Dapatlah Mawar memerhatikan wajah pucat Luth dari jarak dekat. Perlahan-lahan satu kucupan berlabuh pada pipi cengkung Luth.

Terus Luth tertunduk dan tersenyum kecil. "Mawar, malulah orang tengok."

Si bunga tertawa halus. Terhibur dengan wajah merah Luth. Kulit sawo matang lelaki ini susah menjadi merah melainkan jika malu yang teramat. "Nanti bila balik rumah tak ada siapa tengok. Abang hutang dengan Mawar satu ciuman. Mawar akan tuntut bila balik nanti."

"Kenapa pula?" Luth mengangkat wajahnya.

"Sebab dulu abang kata... Ciuman mesti dibalas ciuman. Abang dah jaga Mawar dulu, sekarang Mawar yang jaga abang. Kita dah janji untuk macam tu," terang Mawar.

Remuk bertambah di hati lelaki bernama Hakim ini. Kenapa dia menjadi pak pacak di sini dan menyaksikan adegan sampah di hadapan mata? Mawar memang sengaja memberapikan hatinya. Penumbuk digenggam erat. Padanlah Mawar tak mahu menumpang kereta lagi. Rupa-rupanya sedang hangat bercinta dengan lelaki sakit itu. Dia yang sihat dan mampu membawa Mawar ke mana-mana langsung tidak dipandang.

"Hakim datang juga?" Puan Dalila melihat wajah anak bujangnya.

"Ibu..." bisik Hakim. Anak mata dilarikan ke arah lain. Hakim tidak pasti ibu telah memaafkannya atau belum. Maka dia memilih untuk tidak pandang wanita tua itu. Jika ibu mahu mengherdik kerana dia berani berjumpa dengan Mawar lagi, Hakim redha. Ini perang cintanya dengan Mawar, ibu tidak ada kena mengena.

"Terima kasih, Hakim... Sebab tolong hantarkan Mawar selama ni. Ibu tahu anak ibu baik walaupun dia nakal sikit..."  ujar Puan Dalila.

"Ibu marah Kim lagi?" soal Hakim. Hati yang panas tadi diselimuti kasih ibu pula. Hakim mematikan hasrat untuk mendapatkan Mawar seketika. Hanya seketika. Selepas ini, dia akan terus memperjuangkan cinta pada Mawar.

"Tak. Jom balik rumah asuhan. Ibu masakkan makanan kegemaran Hakim, ya?" pujuk ibu.  "Mawar, Luth... Jom balik." Puan Dalila beralih pada pasangan muda itu.

Terlalu sibuk memerhatikan kebahagiaan orang lain hingga terlupa apa yang ada di hadapan mata.

***
votexkomen
***
ya Allah lagi 11 hari je preorder! Korang dah selit belum? Kalau tak beli, kita buat sad ending untuk Luth :p

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro