27 Belajar

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Serius, belajar kali kedua lagi faham," bisik Mawar pada gadis bertudung litup di sebelahnya. Sudah lama rasanya tidak menyelak kitab. Jadi rindu pula.

"Sebab tu lah ulama' kata... Sekurang-kurangnya tiga kali mengulang kitab. Kena tiga kali khatam, barulah kefahaman tu lagi mantap," balas Fatihah. Dia amat gembira menerima kedatangan Mawar ke rumah ini untuk belajar ilmu fardhu ain sekali lagi. Mawar masih muda, maka senang sekali segala ilmu hendak melekat di ingatan.

Ummi Mahfuz tersenyum melihat keakraban gadis di hadapannya. "Suami Mawar apa khabar?"

Mawar berpaling ke arah Puan Munirah. Buku notanya dikatup usai pengajian pada pagi itu. "Abang Luth makin sihat. Alhamdulillah, cuma kena banyak berehat. Dia tak ingat banyak benda. Mawar kena banyak ingatkan dia..."

"Bagusnya Mawar. Suami sakit pun sempat lagi nak belajar. Insya Allah nanti Allah gantikan darah dan daging Luth dengan lebih baik selepas ni. Sabar ya?" ujar ummi.

Tubuh Luth berisi daging yang mengalir arak dan zina sebelum ini. Terlalu banyak dosa dilakukan lelaki itu andai hendak dihitung. Ujian ini bagaikan tamparan juga pada Mawar yang kadang-kadang terleka mencari duit.

"Terima kasih, ummi. Semoga Mahfuz cepat sembuh juga." Nasibnya dan Fatihah sama sahaja. Suami masing-masing ditimpa ujian kesihatan. Fatihah boleh sekuat ini, maka Mawar pun boleh juga.

"Mawar okay?" Soalan cepumas itu terbit di bibir Puan Munirah setelah menatap wajah Mawar yang kelihatan kusam.

"Maksud ummi?" Mawar menggeleng kerana tidak mengerti.

"Mawar nampak penat... Tak macam sebelum ni," sambung wanita berkenaan. Dia dapat melihat perubahan pada Mawar dengan jelas sekali. Tidak sesegar waktu pertama kali berjumpa.

"Penat sikit... Sebab asyik ulang alik ke hospital. Tapi abang Luth dah balik rumah dah. Senang Mawar nak jaga dia..." Si bunga tersenyum nipis. Dia tidak tahu lelah yang hadir ini atas sebab apa.

"Rehatlah kalau penat. Mawar pun tengah menyusu anak juga, kan?" Puan Munirah teringatkan bayi bernama Aira yang sedang terulik lena dalam bilik tetamu. Bayi itu kelihatan elok terjaga dengan pasangan muda ini. Tiada satu bintat gigitan nyamuk pun melekat pada kulit gebu Aira.

"Ummi, Mawar nak tanya soalan... Tapi sensitif sikit... Takpe ke?" Pandangan Mawar menurun ke bawah dek malu yang amat. Namun, dia masih perlu bertanya hal ini.

"Tanyalah. Apa yang Mawar keliru?" Ummi lagi berbesar hati untuk menjawab pertanyaan Mawar. Untungnya Fatihah mempunyai Mahfuz sebagai tempat rujukan, Mahfuz memang arif dalam banyak hal. Jika Mawar pula, hanya ummi yang menjadi kaunter soalan. Luth sendiri masih bertatih.

"Kebelakangan ni... Mawar asyik ulang alik ke hospital. Memang rasa penat bila balik rumah. Bila Mawar periksa seluar dalam Mawar, rasa basah. Mawar tak tahu bezakan yang mana najis yang mana tak..." jujur Mawar.

"Cecair yang keluar dari faraj kita semasa kepenatan namanya air wadi. Hukumnya najis, jadi Mawar tak boleh terus solat macam tu sahaja. Mawar kena tanggalkan seluar dalam yang terkena air wadi tu dan bersihkan dulu faraj. Sebab kalau Mawar terus solat, ia akan dikira menanggung najis. Tak sah solat kita nanti."

Patutlah begitu. Ia hanya kerana dia keletihan menguruskan suami dan anak ke sana ke mari. Najis rupanya. Kalau tidak bertanya pada hari ini, pasti Mawar main solat sahaja. Ilmu hadir menjaga kita. Tanpa ilmu, banyaklah cacat cela dalam amalan seharian.

Mawar menundukkan wajah. Ada satu lagi soalan yang bermain di minda. Namun, dia segan untuk ungkapkan.

" Mawar ada lagi soalan?" Puan Munirah memandang gadis itu dengan jongketan kening.

"Lagi satu... Kalau mandi wajib lepas buat hubungan intim dengan suami dan masa kencing ada air mani yang keluar... Kena mandi wajib semula ke?" Perlahan sahaja suara. Tidak tahu lagi harus bertanyakan pada siapa.

"Yang ni ada dua keadaan. Kalau masa bersetubuh tu isteri tak keluarkan mani, hanya suami sahaja... Jadi yang keluar ketika mandi wajib tu ialah mani suami. Tak perlu mandi wajib semula tetapi ia membatalkan wuduk.

Lagi satu, kalau masa bersetubuh isteri keluarkan mani juga, jadi yang keluar ketika mandi wajib tu ialah mani isteri. Perlu mandi wajib semula. Faham tak?"

"Perempuan pun boleh keluarkan mani?" Kening Mawar berkerut seketika. Dia ingatkan hanya lelaki sahaja yang begitu.

"Ya, Mawar. Air mani ni ada tiga ciri. Mawar lupa? Kita ada belajar sebelum Mawar kahwin dengan Luth hari tu. Kalau ada salah satu ciri ni, jadi kita boleh hukum air yang keluar dari faraj kita tu sebagai air mani. Dan bila keluar mani sendiri, perlu untuk mandi wajib. Kalau keluar mani suami dari faraj kita, tak perlu mandi wajib semula. Cukup mandi wajib atas sebab bersetubuh. "

"Mawar... Dah lupa sebenarnya," jawab si bunga. Buku nota dibuka kembali kerana mahu menyelak ke bahagian kebasahan faraj.

"Jumpa?" soal Puan Munirah.

Pencarian Mawar terhenti pada satu muka surat yang tercatit pengajian sebelum ini. Benarlah, tarikh yang tertera  atas kertas ialah hari di mana dia belum lagi bernikah dengan Luth. Banyak yang dipelajari demi menjadi bidadari buat suami. Luth juga tak kurang tekunnya mahu belajar sewaktu itu walaupun baru lepas sedar daripada koma.

Ciri-ciri mani ada tiga. Kalau ada salah satu, terus dikira mani.
1. keluar memancut-mancut, bukan seperti aliran air kencing
2. berasa lazat ketika ia keluar
3. waktu basah baunya seperti adunan tepung, waktu kering baunya seperti putih telur

"Jumpa," jawab Mawar.

"Biasanya lepas mani kita keluar, syahwat pun akan berkurang. Mani ni berbeza pula dengan mazi. Contohnya kalau baru bergurau dengan suami, ada cecair jernih yang keluar dari faraj kita... Tu namanya air mazi. Air yang keluar ketika syahwat lemah. Hukumnya juga najis, tak boleh dibawa dalam solat. Sangat-sangat penting untuk kita belajar apa yang keluar dari faraj kita supaya kita tahu mana yang perlu mandi wajib mana yang tidak. Mana yang najis... Mana yang bukan, " tambah ummi lagi. Semoga dengan penerangan itu Mawar akan lebih cakna tentang segala kebasahan faraj.

Fatihah di sisi mendengar ilmu itu buat kali kelima. Banyak perkara baharu hadir walaupun bab yang sama diulang kaji.

" Jadi... Kalau keluar mani sendiri walaupun tak bersetubuh dengan suami, perlu mandi wajib. Kan, ummi? Kalau mazi.. wadi semua ni tak payah mandi wajib. Cukup basuh faraj kita dengan air je." Mawar inginkan kepastian. Kenapalah dia ambil mudah sahaja hal sebegini. Berat mulut nak bertanya pada sesiapa, hasilnya dia buat tidak endah.

"Ya. Mazi dan wadi ialah najis, perlu bersihkan kalau nak solat. Mani pula bukan najis tapi perlu mandi wajib. Kalau Mawar tak faham, beritahu ummi. Ummi boleh terangkan lagi." Islam telah memberi garis panduan kehidupan secara menyeluruh. Hanya dengan menuntut ilmu secara berguru ia akan menjadi semakin bermakna.

"Terima kasih, ummi. Ummi baik sangat..." Mawar tahu dia sendiri banyak kejahilan. Sudah lama tidak merasai kemanisan dalam majlis ilmu.

Kringgg

Getaran telefon pintar di tepi kaki meja lipat menarik perhatian Mawar. Gadis itu meminta kebenaran Puan Munirah seketika buat mengangkat panggilan dari sang suami.

Kaki menapak ke beranda rumah. Senyuman gadis itu terkoyak.

"Kenapa, abang?" Hairan si gadis. Baru dua jam tinggalkan rumah sudah diminta pulangkah?

"Abang tertekan."

"Apa? Kenapa? Abang stress fikirkan apa?" Dua ulas bibir diketap.  "Mawar nak balik dah ni... Sabar, ya?"

"Bukan. Abang tertekan nombor Mawar. Tak sengaja." Jelas suara garau di hujung talian. Tak lama selepas itu, tawa halus pula menyapa gegendang telinga Mawar.

Luth sedang ketawa dengan kesalahfahaman Mawar. Gadis itu menggulingkan biji mata ke atas. Wajah cemberut tidak bertahan lama kerana tawaan Luth mencuit hati. Luth semakin sihat, dia mampu ketawa. "Abang saja kan nak kenakan Mawar?"

"Dah nak balik ke? Tak apalah tertekan pun, dapat call Mawar. Abang sunyi tak ada Mawar. Selalunya..."

Balasan sekecil ini pun sudah membahagiakan hati. Kebahagiaan itu mudah sahaja. Apabila bersyukur dengan apa yang ada, setiap detik terasa bermakna.

***

Air sejuk di dalam gayung dicurahkan ke atas kepala botak Luth. Aliran air itu tidak dapat melegakan kebas tempat jahitan. Bahkan seluruh kepalanya terasa kebas.

Umpama kaki yang terlipat bersila terlalu lama, rasa menyucuk-nyucuk hadir akibat darah tidak mengalir. Itulah apa yang Luth alami. Kepala kebas semenjak maghrib tadi.

"Kebas lagi?" soal Mawar. Air paip deras mengisi baldi di bilik air. Bunyinya memecak benak.

Luth yang terduduk dengan kain basahan menggeleng perlahan. Kening berkerut menahan sakit itu.

Mawar mencapai satu tuala di bahagian penyangkut. Bahagian wajah dan kepala sang suami dilap lembut. Kemudian, dia mengesat badan suami sehingga kering. Tuala itu dibalutkan pada pinggang Luth.

Selepas makan malam, Luth mengadu sakit dan ketidakselesaan. Lelaki itu meminta Mawar mengalirkan air ke kepalanya.

"Lepas ni Mawar picit kepala abang."
Gadis itu pun berlabuh di birai katil bersama-sama Luth. Baju baharu yang terlipat di sisi disarungkan Mawar pada lelaki itu. Kebiasaan malam, Aira akan ditidurkan di bilik ibu kerana Mawar mahu mengutamakan Luth. Sesudah saja menyusukan anak itu, gadis berkenaan akan mendapatkan Luth.

Nafas berat dihela Luth. Dia membaringkan kepala pada bantal pemberian Mawar. Kaki hanya dipakaikan seluar pendek separas lutut yang kemudiannya diselimuti comforter. Kedua-dua kaki tersarung sepasang stoking buat memberikan kehangatan setelah mandi malam.

Picitan jari Mawar tidak memberikan apa-apa rasa. Bagai sudah hilang deria rasa pada kepala.

"Abang, Mawar tak berani nak picit kuat-kuat. Mawar takut abang sakit," khuatir Mawar. Bengkak pada kepala suaminya telah lama surut sewaktu di hospital. Namun, kesan jahitan melarang Mawar untuk berbuat sesuka hati. Takut tersalah tekan, Luth yang akan meraung kesakitan.

"Tak apa. Mawar dah picit pun dah cukup. Abang nak tidur..." ujar Luth separa berbisik. Dia tidak mahu terus bersengkang mata dan menahan sakit kebas di kepala. Solat isyak belum ditunaikan lagi dek keadaan yang tidak mengizinkan.

"Selamat malam," ucap Mawar. Kekura tangan sang suami ditarik buat bersalaman. Kata Fatihah, suami perlu dihormati. Usaha seperti bersalaman sebelum tidur pun akan menghadirkan nilai kasih. Sungguh Mawar rindu belaian Luth. Disangkakan Luth tidak akan membalas, jauh terpesong. Lelaki itu menarik kepala Mawar lalu dilabuhkan bibir pada dahi gadis itu.

"Mawar pun tidurlah."

Mawar menggeleng kecil. "Mawar ada kerja nak buat. Nak jahit tudung sampai siap."

Sementara menunggu Luth terlena, tangan sang suami diusap lembut. Semakin lama Luth semakin mengantuk.

Mawar merenung wajah lelaki di hadapan mata. Banyak pengajaran hidup dikecapi sejak bergelar isteri. Antaranya ialah perkahwinan bukan sekadar berbekalkan cinta. Dia yang muda ini perlu terus mengisi dada dengan ilmu fardhu ain. Tanpa ilmu, porak peranda masa hadapan Aira nanti. Mawar tidak mahu semuanya jadi begitu. Mawar mahu Aira jadi solehah bahkan lebih baik dari dirinya. Luth pasti inginkan perkara yang sama. Cuma mereka ini jahil dan terlalu banyak dosa. Rasa tidak layak untuk berharap lebih.

Tiba-tiba, angin dari perut Mawar naik ke tekak. Kehangatan isi perut meminta dikeluarkan. Perubahan tekanan itu ditahan Mawar dengan ketapan bibir. Dia bingkas turun dari katil dan berlari ke bilik air di luar.

Singki seramik dipasakkan kedua-dua tangan.

Dada beralun laju setelah memuntahkan makan malamnya bersama-sama Luth tadi. Air mata berkumpul di tubir. Tekak terasa perit sekali. Semalam juga jadinya begini. Tak cukup dengan penat, ditambah pula rasa mual tidak kenal waktu.

Dia menahan rasa pitam yang tiba-tiba membaluti. Bibir dibilas dengan basuhan air. Perlahan-lahan gadis muda itu melangkah ke bilik kembali. Dada sendiri diurut lembut.

Kakinya merangkak ke atas katil lalu kepala direhatkan ke atas lengan kiri Luth. Dia memencilkan badan di situ sambil wajah dibenamkan pada bahu sang suami. Rasa mual ditahan seorang diri.

Perbuatan itu membuatkan Luth tersentak. Dalam mamainya, lelaki itu membalas pelukan Mawar memberi perlindungan kepada gadis berkenaan sebelum kembali terlelap.

Mawar tersenyum lemah. Dentingan mesej yang baru masuk diabaikan gadis itu. Kelopak mata diturunkan perlahan-lahan.

Daripada: Hakim
Assalamualaikum. Mawar, dekat pejabat aku ada kerja kosong. Kau berminat tak? Aku boleh tolong kau guna kabel.

Daripada: Hakim
Betul ke Luth hilang ingatan? Dia tak ingat siapa diri dia?

***
votexkomen
***

Double update! Nampaknya ramai yg nak happy ending

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro