33 Mahfuz

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Boleh ke Maisarah je yang jaga budak-budak tu seorang diri?" soal Hakim. Bawah matanya melingkar kesan hitam dek sanggup berjaga buat menunggu khabaran doktor tentang perkembangan Puan Dalila. Dia telah mengemelkan surat mohon cuti selama seminggu ke pihak atasan.

Diri sendiri pun tidak terurus apatah lagi jika hendak kerja.

"Boleh. Tapi jangan lama-lama. Kalau waktu tengah hari selalunya budak-budak tu dah tak dapat dikawal. Kesian Mai tak cukup tangan nanti," balas Aida. Bayi dalam dakapan ditepuk-tepuk memujuk. Botol susu formula langsung tak mahu dibukakan bibir apabila dihulurkan.

Aira sudah dapat mengenali mana satu susu ibunya mana satu susu tiruan. Tambahan, Aira lebih gemar jika berada atas tiba Mawar. Bau minyak wangi yang dipakai sang ibu mendamaikan hati.

"Kenapa bukan awak je yang hantarkan Aira kepada Mawar?" soal Aida. Dia terkesan juga dengan apa yang dikhabarkan Hakim.

"Tak boleh. Saya lelaki, tak manis orang pandang. Mawar ada suami dah." Keadaan tegang seperti ini hanya akan bertambah buruk jika Hakim mengambil langkah kiri. Ibu, Luth dan Mawar ketiga-tiganya sedang berkampung di hospital. Barangkali Mawar dapat pulang ke rumah hari ini kerana keadaannya tidak serius mana. Yang menjadi masalah sekarang ini ialah ibu dan Luth.

Sebelah tangan memegang pelipis. Hakim hanya mampu berdoa agar segalanya bertambah baik hari ini. Tangannya ini banyak memporak perandakan rumah tangga Luth hinggakan ibu menjadi korban keadaan. Hati telah tahu mana yang salah mana yang betul, akal pula masih menyalahkan diri.

"Pergilah dekat Mawar. Maklumkan pada dia tentang keadaan ibu dan Luth. Aku nak pergi cari parking sekejap... Lepas ni aku akan ke wad ibu." Cermin hitam kereta dinaikkan Hakim.

***

Mawar berkerut hairan apabila yang datang itu Aida. Dia sudah bersiap hendak pulang ke rumah hari itu. Kaki yang terlunjur ke hadapan dilipat bersimpuh. Senyuman naik ke telinga, matanya disajikan dengan wajah mamai Aira.

"Mana Luth?" soal Mawar pada Aida. Aida sudah dianggap seperti adik kandung kerana mereka tinggal di bawah satu bumbung yang sama. Sejak tadi Mawar duduk seorang diri menanti kehadiran Luth untuk menjemputnya. Kata jururawat kos perubatan hospital telah dibayar. Jadi, seingat Mawar Luthlah yang harus hadir ke sini. Barangkali Luth tunggu di luat kerana ini kan surau perempuan?

"Kesiannya anak mama..." Mawar tertawa halus. Aira yang mengecam suara Mawar terkapai-kapai tidak henti di udara. Tangan kecilnya tergenggam erat dek lapar. Rengekan turut kedengaran.

Bau minyak bayi membelai hidung Mawar tika sebuah kucupan dilabuhkan pada rambut hitam Aira. "Ya-ya... Mama tahu Aira lapar." Gadis muda itu segera menyuakan susu pada bibir bayinya. Punggung berlampin Aira ditepuk perlahan. Senyumnya tidak lekang melihat bayi sendiri begitu berselera.

"Kak Mawar... Aida ada benda nak cakap."

Mawar mendongakkan wajah. Bahagian abdomen yang terdedah dapat diselindungkan dengan tudung bawalnya yang sengaja dilabuhkan ke bawah. Pandangan Aira bertukar gelap dek terkatup kawasan sekeliling.

"Tapi kak Mawar kena dengar baik-baik dengan hati yang sabar. Kak Mawar istighfar banyak-banyak..." Aida takut mahu maklumkan kejadian rompakan malam tadi.

"Cakap je... Ni awak datang naik apa? Dengan ibu ke?" Pandangan diluaskan buat melihat ke pintu surau yang tertutup rapat. Selang beberapa minit, ada beberapa muslimat melangkah masuk buat menunaikan solat dhuha. Mawar terpaksa memperlahankan suara keran tak mahu mengganggu ketenteraman orang lain beribadah di surau itu. "Luth ada dekat luar ke?"

"Semalam ada perompak masuk rumah kita. Ibu kena tikam dengan pisau dan masih dalam bawah jagaan doktor. Alhamdulillah, tikaman tu tak cederakan organ dalaman yang penting. Ibu kehilangan banyak darah dan perlu berehat," khabar Aira.

Mawar terdiam di situ. Sebuah berita yang tak pernah diduga. Baru semalaman rumah ditinggalkan, sudah macam-macam terjadi.

"Luth?" bisiknya. Dia mula risaukan keadaan sang suami. Luth masih belum sembuh daripada luka jahitan di kepala, semangatnya pun baru saja hendak pulih. Mawar tidak boleh berhenti memikirkan keadaan Luth dalam setiap alunan nafas. "Apa jadi dengan dia?" Nada suara gadis itu kedengaran keras.

"Luth kena tumbuk dengan perompak. Lidah dia luka... Darah banyak... Hakim kata kena tiga jahitan," tutur Aida.

"Allah... Mana dia?" Berkaca-kaca mata Mawar.

"Dekat wad. Ibu pun..."

"Siapa lagi cedera?" soalnya. Dia harus menenangkan Luth. Kasihan suaminya asyik ditimpa ujian. Mawar tidak sanggup menyakitkan Luth lagi walau secubit. Luth benar-benar terkesan dengan pelbagai dugaan. Fizikal dan mental semakin dilemaskan dalam kehidupan.

Aida menggeleng. "Itu je. Sebab lepas ibu kena tikam, perompak terus larikan diri."

"Akak nak pergi dekat Luth. Tolong jagakan Aira..." Dalam keadaan tergesa-gesa, Mawar menurunkan bajunya. Aira terkebil-kebil memandang dek belum puas mengisap susu badan.

"Ta-tapi Aira lapar..." halang sang pengasuh.

Rengekan kecil bayinya kedengaran. Mata Aira terpejam, barisan gusi atas kelihatan apabila dia menangis tidak henti.

Helaan nafas mematikan hasrat di hati. Bingit esakan Aira hingakan ada mata-mata memandang. Muka dibuat tembok. Lebih baik susukan Aira hingga anak itu kenyang terlebih dahulu sebelum pergi menjenguk Luth. Dia ada tanggungjawab sebagai seorang ibu terhadap Aira. Setiap titisan susunya adalah hak Aira.

"Datang naik apa?" soal Mawar. Bayi perempuannya diam terulik di atas tiba. Sumber susu diberikan lagi. Minumlah sang bibir kecil dengan senduan sisa tangisan.

"Hakim hantar."

"Serius?" Lain macam baik pula lelaki berkaca mata itu. Selalunya kebaikan Hakim tidak datang dengan tangan kosong.

"Ya. Dia tengah jaga ibu," balas Aida.

"Perompak tu macam mana? Kena tangkap tak?" Mawar cuba untuk bersabar.

"Tak tahu. Kena tanya Hakim sebab dia yang uruskan kejadian semalam. Polis ada datang juga pagi tadi sebelum kami bertolak ke hospital."

Mawar memaksa bibir buat tersenyum tatkala mata Aira memerhatikannya. Sibuk mahu dengar perbualan orang tua sedang bibir masih menghisap susu. Senyuman itu nipis.

Biar pun dia tidak lagi melihat keadaan sang suami, namun hati itu yakin Luth dalam keadaan tertekan.

***

Jemarinya bersulaman dengan si bunga. Fikiran jauh menerawang di luar kawasan pembaringan fizikal. Mata terkaku pada hujung kaki yang diselimutkan kain putih.

Lidah kebas sejak sedar daripada tidur. Kepala pula sakit kerana memikirkan terlalu banyak perkara. Bau ubatan menusuk masuk ke rongga membuatkan dia bertambah pening.

"Abang..." panggil Mawar lembut.

"Mawar, betul ke ibu kena tikam semalam? Atau abang mimpi..." soal Luth polos biar pun sukar. Lidahnya tidak dapat digerakkan banyak. Kepala dipalingkan memandang sang isteri. Kaburnya memori lama yang menyumbat masuk ke dalam otak. Dia seakan-akan keliru biarpun telah sedar tengah hari itu.

Diamnya Luth di katil hanya kerana menanti kalau-kalau 'mimpi' ini akan berakhir. Makin lama hidup, makin keliru yang mana satu realiti.

"Ya, abang. Ibu dekat ICU..." Senyuman terkoyak sedikit. Luth sudi untuk bersuara setelah lama membatukan diri. Mawar tegur sebagaimana cara pun tidak berkesan tadi.

Luth melirikkan ekor mata ke langsir yang berwarna hijau lembut. Air liur juga payah ditelan lelaki itu. Pergerakan otot lidah mengeras.

Jika benar apa yang difikirkan selama ini ialah realiti, benar jugalah bahawa gadis kesayangannya mengandungkan anak haram setelah dirogol tempoh hari.

Badan diiring ke tepi. Tangan pun ditarik menjauhi Mawar. Dia hanya mahu menyendiri. Kepala asyik sakit sahaja hinggakan tiada apa yang Luth mahu kecuali beradu.

Perbuatan Luth itu menghairankan Mawar pula. Mawar sedikit berkerut. "Abang, abang boleh keluar hari ni tau kalau tak ada apa-apa. Kita balik rumah dan rehat dekat rumah," ujar Mawar dengan ceria. Hasrat di hati mahu menghilangkan mood suram Luth itu.

Luth membatukan diri. Dia memejamkan matanya. Bayangan zaman jahiliyah datang berpusu-pusu. Bermula dengan perbuatan sendiri memecah masuk rumah orang buat mencari duit haram. Kemudian, berzina dengan perempuan yang berlainan pada hujung minggu. Botol arak ada di tangan, hilaian ketawa sendiri mengisi benak ruang fikiran. Luth menggeleng perlahan. Air mata berlinang dengan sendiri. Sejujurnya kepalanya benar-benar sakit.

"Abang... Kalau ada apa-apa Mawar boleh bantu, beritahu Mawar," pujuk sang isteri. Mawar tidak nampak air mata suaminya namun dia sendiri tahu ada perkara yang tidak kena.

Terbatuk-batuk lelaki itu apabila tersedak dengan liur sendiri. Luth bingkas duduk dan mengurut dadanya. Lidah pula sakit hendak menuturkan apa-apa. Air liur jernihnya menitis ke bawah.

Mawar tersenyum kecil. Ada sehelai sapu tangan dibawa keluar buat mengesat kawasan bibir pucat Luth. "Susah nak telan air liur ya?" soal Mawar.

Luth memandang perbuatan gadis itu. Mata dikelipkan beberapa kali, air matanya dipaksakan untuk tidak menitis.

"Nanti kita balik, Mawar masakkan bubur untuk abang. Kesian abang..." ujar Mawar lagi.

"Mawar, abang... Abang penat. Abang tak tahu mana yang betul sekarang ni." Lihatlah, ibu kena tikam pun dia boleh tidak risaukan apa-apa dek keliru itu realiti atau mimpi. Tertunduk kepalanya menekur cadar katil. Puas mengamuk pada subuh tadi, semakin kurang kudratnya.

"Apa yang abang teringatkan? Biar Mawar beritahu betul atau salah." Suara Luth meleret dan kabur pada gegendang telinga. Pergerakan kecil mulut Luth masih dapat dibaca Mawar tanpa tutur bicara yang jelas. Sapu tangan tadi diletakkan pada besi katil buat sementara waktu.

"Betul ke ibu kena tikam?"

"Ya."

"Betul ke abang perompak?"

"Tapi... Tu dulu. Sekarang ni abang dah bertaubat," jawab Mawar.

"Kalau abang perompak... Maksudnya abanglah penyebab ibu kena tikam. Abang rompak rumah orang, lepas tu Allah balas dosa abang tu...." Berkaca-kaca mata lelaki itu.

"Abang...." Mawar menyentuh kekura tangan Luth.

"Jangan sentuh." Luth segera menarik tangannya jauh dari sang isteri. "Abang banyak berzina dengan perempuan lain, jadi sekarang ni isteri abang mengandung anak haram."

Senyuman nipis terbit di bibir lelaki itu. Dia melinangkan air mata lagi dan lagi. Terbayang-bayang peristiwa Mawar diperlakukan seperti haiwan oleh Ciko. Tempurung kepala berlapiskan kulit yang dijahit dipegang Luth. Nafasnya melalui bukaaan mulut.

"Salah. Mawar mengandung anak abang." Mawar memandang wajah Luth.

"Apa lagi? Abang kutip Aira tepi longkang sebab abang pun pernah kena buang tepi longkang? Isteri abang pernah curang belakang abang dengan Hakim sebab abang sendiri pernah niat nak apa-apakan isteri Mahfuz? Macam tu?" Dada berombak laju. Kepenatan Luth dapat dilihat dengan redupan pandangan. Urat pelipis jelas kelihatan, terlalu banyak yang difikirkan Luth saat itu.

"Abang dah tak nak hidup," gelengnya. Kepala direhatkan ke atas bantal.

Mawar terdiam sendiri. "Abang kenal Mahfuz?" Dia agak terkejut kerana nama suami Fatihah pula yang disebut walhal Mawar tidak pernah pertemukan Luth dan Mahfuz. Pelbagai andaian hadir di fikiran si bunga.

Kenapa Luth kata dia pernah nak apa-apakan Fatihah? Bila masa pula perkara itu berlaku? Jika benar, kenapa Fatihah sendiri tidak maklumkan pada Mawar.

***
votexkomen
***

Rindu Luth? Nah. Dia masih lagi keliru dgn dunia dia. hm

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro