32 Kekuatan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Ibu..." bisik Luth. Tangan bergetar hebat dengan darah merah pekat. Lututnya yang lemah longlai jatuh menyembah bumi.

Dia cuba mengawal diri namun gagal. Dada itu bagai dihempap sesuatu yang amat berat hingga saluran pernafasan tersekat. Sakit pada lidah sendiri tidak lagi dirasai. Sungguh kejutan ini merentap segala akal fikiran.

Perlahan-lahan air mata mengalir dalam samar-samar kegelapan malam. Dia mendakap tubuh wanita kesayangannya. "Ya Allah..."

Otak sudah tepu. Dia terlalu takut hinggakan tidak dapat melakukan apa-apa kecuali melinangkan air mata di saat ibu tersandar pada dadanya. Dada Puan Dalila berombak perlahan. "Ibu, sa-sabar... Jangan cemas. Nanti ba-banyak darah keluar."

Ibu tersenyum nipis melihat Luth. Sungguh wanita setengah abad itu tidak cemas, yang cemas itu ialah Luth sendiri. Air mata ikhlas anaknya jatuh silih berganti. Wajah Luth tika itu bagai tiada secebis darah pun yang mengalir. Tangan yang memeluk ibu pun terasa sejuk. Ibu membisikkan kalimah syahadah dengan kudrat yang ada. Kalimah itu diulang berulang kali sambil memerhatikan wajah darah dagingnya.

Sebuah telefon pintar tertiarap berhampiran kaki Luth sejak tadi lagi. Perompak tadi melarikan diri setelah tidak sengaja menikam ibu dalam pergelutan mereka. Malang sekali niat mahu mengacah dengan pisau bertukar padah.

Saraf ibu jari tidak dapat dikawal. Sedang tremor di seluruh tangan terjadi, dipaksa jua diri itu buat mendail satu nombor. Sebelah lengannya memeluk tubuh ibu. Jantung berdetak kencang, sekencang tika dia hampir dilanggar lori tika beberapa bulan yang lalu.

"Allah..." bisik Luth lagi. Sungguh dia tidak kuat. Jarinya asyik tersalah tekan ikon yang lain. Bunyi bising yang entah dari mana menerpa telinga pula.

Apabila mata dipejamkan, bunyi perlanggaran motornya dan lori terus menerjah masuk ke corong telinga. Berdentum satu bunyi yang amat kuat. Cebisan motor terseret sepanjang jalan. Nafas Luth menjadi tidak menentu. Dia menekur wajahnya.

Telefon pintar itu luruh dari pegangan tangan Luth.

Sentuhan hujung jari Puan Dalila pada rahang dagu membawa Luth kembali ke realiti. Tubir mata dikesat Luth sekali lalu. Fikirannya mula bercampur baur dengan memori lama. Dia mengambil kembali telefon pintar tadi. Nombor Hakim dicari dengan sisa kekuatan diri. 

Jeritan Mawar memanggil panggilan 'abang' pula mengetuk gegendang telinga. Air liur berdarah ditelan Luth kesat. Apa yang terlayar dalam fikiran saat itu ialah tubuh adik angkatnya sedang ditindih seorang lelaki.

Bayangan sang isteri hadir melayari. Mata Mawar terkelip-kelip memandang siling rumah kosong seperti tahu maruahnya tidak akan kembali. Dia terbaring di atas lantai rumah sendiri. Badannya diratah seekor syaitan bertopengkan manusia.

"Ibu... Luth tak kuat." Suara seraknya mengadu pada ibu.

Darah merah pekat mengalir daripada pergelangan tangan si gadis yang telah ditoreh sendiri. Menitis-nitis cecair itu ke lantai. Mawar terbaring lemah di atas katil bilik. Gadis itu mengangkat pergelangan tangan yang sama, mata pisau tajam dilalukan sekali lagi.

Kepala menggeleng perlahan dengan harapan bayangan memori lama itu berakhir tersiar. Dia tidak mahu mengingati apa-apa lagi. Nama 'Hakim' ditekan lemah.

Pisau belati yang tertusuk pada perut ibu dibiarkan sahaja. Takut jika ditarik nanti pendarahan yang lebih teruk berlaku.

Bunyi api membakar sesuatu pula hadir perlahan-lahan. Semakin lama semakin nyaring dengan jeritan suara sendiri. Dia sudah tidak nampak apa-apa pada kaca mata. Kesakitan di kepala menyegat. Setiap kerlipan kelopak mata akan mengalirkan air.

Hangat nafas Luth dapat dirasai ibu. "Luth..." bisik ibu. Puan Dalila sayu melihat anaknya tidak keruan begini.

"Luth.. Ibu sayang Luth," sambung ibu. Dalam kesakitan pun masih mahu menenangkan Luth. Tubuh itu yang menahan sakit melahirkan putera sulung, dan tubuh itu jualah yang akan tergores setiap kali puteranya menangis teresak-esak. Nafas dalan ditarik ibu.

Luth memandang wajah Puan Dalila. Esakan makin kedengaran. Jiwanya sudah terlalu rapuh. Mana satu realiti dan fantasi pun dia tidak dapat bezakan lagi. Segalanya disumbatkan dalam kepala, lelahnya akal untuk memproses memori-memori itu.

Kringgg

Kringgg

***

Jari menekan suis lampu di pintu bilik. Deringan telefon dibiarkan berlalu sepi. Mata sedang menyajikan sekujur tubuh wanita kesayangan dalam dakapan seorang lelaki.

Tanpa berlengah, Hakim mendapatkan Puan Dalila. Dia menyerahkan kunci kereta pada tangan Luth dan menolak Luth menjauh. Tubuh ibu angkatnya dipapah agar berdiri. Sayang sekali ibu tidak mampu menguatkan lutut di kaki. Kesakitan pada tempat tusukan menghilangkan kemampuannya untuk berjalan.

Hakim tercengang melihat Luth statik sahaja.

"Pergi start enjin kereta aku. Nanti aku dukung ibu keluar. Pergi!" jerkah Hakim. Air mata jantannya gugur setelah Luth pergi. Dia tahu Luth tidak mampu berbuat apa-apa kerana mental dan fizikal yang luluh. Hanya dia yang boleh mencempung tubuh ibu.

"Ibu, Hakim bawa ibu ke hospital ya?" ujar Hakim. Mata putih bertukar merah. Keadaan menjadi tegang. Setiap saat amat berharga, ini antara hidup dan mati seorang insan yang membesarkan mereka berdua.

Allahuakbar.

Lelaki itu perlahan-lahan berjalan membawa ibu dalam pelukan. Hampir terputus urat nadinya jika menjatuhkan pandangan ke bawah. Dia tidak sanggup melihat darah merah ibu dan jatuh tersungkur seperti Luth. Langkah diatur satu per satu melintasi ruang tamu rumah.

Berlagak bak ketua sejak dari kecil meletakkan Hakim sentiasa di hati ibu. Dia amat menonjol, yang menjadi jetua rumah asuhan juga Hakim. Memang pun Hakim melakukan semua itu demi meraih perhatian ibu. Dia amat gembira dengan belaian kasih sayang Puan Dalila. Kasihnya suci tidak mengharapkan apa-apa balasa. Ibulah idola Hakim sejak kecil. Hakim hanya ada ibu dalam hidup. Dia tidak punya keluarga lain. Dia ini anak yatim yang tidak mengenal kasih sayang ibu melainkan dari Puan Dalila. Mutiara jernih menitis lagi tak kira bagaimana kuat pun hati dipujuk. Empangan air mata pecah jua.

Tiba di luar rumah, dia tidak dapat melihat apa-apa pancaran lampu kereta. Ternyata Luth masih berdiri terpacak dengan pintu kereta yang terbuka. Pacuan empat roda yang diparkir dalam kawasan halaman rumah didekati Hakim segera.

"Luth..." panggil Hakim.

Luth menoleh dengan wajah yang kosong. "Kim, ibu akan tinggalkan kita?" soalnya polos. Darah merah masih mengalir di tepi bibir. Air liur tidak dapat ditelan dek keadaan lidah yang teruk.

Hakim menggeleng perlahan sambil tersenyum kecil. Lihatlah apa yang terjadi pada Luth. Adik rumah asuhannya benar-benar sedang lemah. Dia gagal menjadi abang pada Luth. Terlalu sibuk mencemburui layanan ibu pada Luth selama ini menjarakkan silaturrahim mereka berdua. Dia sentiasa memandang rendah terhadap Luth buat menyedapkan hati sendiri. "Luth, buka pintu belakang."

Luth pun akur.

Tubuh ibu disandarkan kepada Luth di tempat duduk belakang. Pintu itu dikatup kembali. Kunci kereta dimasukkan ke dalam lubang lalu enjin kereta berderum memecah kesunyian malam.

Memang nikmat yang ada di tangan tidak pernah dihargai. Kehadiran ibu selama ini diketepikan demi kerjaya. Sudah berjaya menjawat jawatan hebat, ibu diketepikan lagi demi cintanya pada Mawar. Dia memang buta. Bahkan lebih teruk daripada orang yang buta penglihatan.

Apa yang berlaku pada malam ini tidak akan Hakim maafkan. Diri sendirilah yang harus dipersalahkan.

Pedal minyak ditekan. Tangan menggenggam stereng kereta erat. Sesekali ekor mata mengintai perbuatan Luth di belakang sana. Ternyata Luth tidak melakukan apa-apa melainkan mendakap ibu seperti mana yang ibu lakukan selama ini. Hangat kasih sayang anak dan ibu itulah dicemburukan Hakim selama ini.

Masa yang berlalu terasa sungguh lama. Suasana sepi pemanduan tidak diselangi satu pun patah bicara. Baik Hakim mahupun Luth, kedua-dua bibir terketap rapat.

Luth sedang mengesat renik peluh di dahi ibu. Kepala ibunya dipeluk erat ke dada. Jiwa kosong, begitu juga dengan fikiran.

Pacuan Hakim membelah jalan raya. Paparan jam digital menunjukkan angka tiga. Sudah tiga pagi rupanya. Masing-masing menyepikan diri.

***

"Luth."

Bukaan mata semakin mengecil. Terasa pipi ditolak ke kiri dan kanan oleh satu tangan.

Ibu sudah tiada di riba Luth.

Wajah bimbang Hakim menemani malamnya. Tangan dipaksa untuk melingkar ke belakang leher Hakim sebelum Luth dipapah keluar dari kereta. Bangunan hospital tersergam gah di hadapan mata.

"Ibu..." bisik Luth. Terpinga-pinga mencari ibu kandungnya. Kepala menoleh melihat ke sekeliling. Ke manakah ibu menghilang?

Dua pemuda itu tetap melangkah hingga ke bilik rawatan kecemasan. Orang yang lalu lalang di sekeliling diabaikan. Ada juga mata-mata mengerling Luth yang dipapah Hakim.

"Aku minta maaf," bisik Hakim. Usah katakan tidak layak memohon kemaafan, untuk menyentuh Luth pun lelaki itu patut melutut terlebih dahulu. Kejadian pada malam itu memberi tamparan hebat pada Hakim.

Luth hanya mampu mendiamkan diri. Pandangannya berpinar sejak tadi kerana dipaksa untuk terus berjalan sedangkan kudratnya berkurangan.

Baju yang dipakai Luth habis dikotori darah merah ibu. Dari hujung jari hingga ke lengan juga comot. Bibir pucatnya diwarnai darah sendiri sewaktu itu.

Perbualan doktor masuk ke telinga kanan dan keluar pula melalui yang kiri. Apabila dikelipkan mata, dia telah pun terbaring di atas katil. Ada satu ubat disuntik terus ke pembuluh darah pula. Kelopak mata mengerdip lemah.

Lidah yang terbelah terpaksa dijahit doktor sedang Luth lali dengan ransangan cecair bius. Dia menarik nafas dalam melalui bukaan mulut. Reseptor sakit tidak dapat berfungsi lantas mengizinkan doktor mengenakan beberapa jahitan dengan benang tanpa pergelutan Luth.

Setelah selesai pembedahan kecil berkenaan, tubuh dan wajah Luth dibersihkan pula dengan kain lembap pakai buang. Bau hanyir darah kuat menusuk hidung. Baju yang tersarung ditanggalkan jururawat di situ. Sepersalinan pakaian hospital dikenakan pada lelaki yang terlantar tidak sedarkan diri.

Para pegawai perubatan beredar pergi setelah memastikan keadaan pesakit malam itu dalam keadaan stabil.

***
votexkomen
***

berilah Luth ghost hug. Dia dah penat sangat dah tu....
.
.
.
Cepat!! DAH NAK TAMAT PREORDER NOVEL SULUNG SAMPERITMILO!




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro