Bab 12

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Mr. Chew pandang surat tanpa kerdip. Aku agak dia sedikit terkejut dan kecewa bila aku hulurkan surat berhenti kerja. Mata sepetnya sengaja dibesarkan. Dia cekak pinggang tunjuk rasa tak puas hati. Hari tu aku minta cuti aje, tup-tup hari ni, aku masuk kilang bawa sekali surat keramat tu. Mahu tak terkejut beruk Mr. Chew. Berkali-kali dia mengurut dahinya.

"Why, Lutefi? Why?" soalnya pelat dengan muka tak puas hati. Aku senyum plastik dan berpura-pura tenang padahal aku nak sangat ambil surat tu balik.

"Mana I nak dapat pekerja work hard macam you? Ambil balik surat ni. Kalau you ada problem pergi sambung cuti. Kasi settle all the problem first then baru balik sini," cadang Mr. Chew. Aku pandang surat yang dihulurkan kepadaku. Patutkah aku ambil? Surat atau mak? Mak atau surat?

Senyap.

"Terima kasih Mr. Chew atas segala tunjuk ajar selama ni. Sekarang I kena balik ke kampung untuk jaga mak," ucap aku dalam nada mendatar. Aku harap Mr. Chew faham. Dia pun ada mak yang sudah uzur. Bezanya mak dia tinggal sekali dengan dia. Isteri dia boleh tengok-tengokkan bila Mr. Chew terlajak overtime. Mr. Chew tampak kecewa bila dia mengeluh kecil.

"Kalau itu yang you mahu... I tak boleh paksa. Sayang sekali," ucap Mr. Chew mendatar. Kata-katanya membuatkan aku lagi pasrah. Betul ke tindakan aku ni? Huhuhu... Aku sayang gila kilang ni. Banyak kenangan kut. Lingkungan kawan-kawan aku pun banyak dalam kilang ni. Keputusan aku ambil ni memang mengejutkan Hafiz dan Dani.

Hurm, kadang-kadang hikmahnya belum nampak sekarang. Apa yang aku buat hari ini akan mengubah seluruh hidup aku. Dari bandar aku akan memulakan hidup di kampung selama-lamanya.

"Kau dah habis fikir ke?" soal Hafiz bila kami bertiga duduk melepak di kedai makan. Aku angguk sekali. Sebab dah habis fikirlah aku berani hantar surat berhenti. Orang kata bila berjasa dengan orang tua, rezeki akan makin melimpah ruah. Jadi aku bulatkan hati dan serah semua kepada-Nya.

"Kakak-kakak hang kan ada," tambah Dani.

"Dua-dua dah kahwin. Depa pun ada kerja sendiri. Tak apalah, ni kira pengorbanan yang aku buat untuk famili aku."

"Kerja di kilang padi mana sama macam kilang kereta. Lima tahun kita bersusah payah tiba-tiba kau nak blah gitu saja. Tak rasa rugi ke?" soal Hafiz.

"Besar ke kilang tu?" celah Dani pula.

"Nak tau besar ke dak nanti datanglah melawat aku kat situ. Tengok macam mana padi diproses jadi beras yang kau orang melantak dua tiga pinggan tu."

"Kau tak kesah ke Mr. Chew lantik aku ganti position kau?" soal Hafiz lagi. Kali ini aku geleng laju. Kalau aku mengaku marah, geram dan menyesal dengan tindakan yang diambil sudah tiada guna. Sekali melangkah ke hadapan usah berpaling lagi. Bila aku dah berundur, kiranya rezeki orang itulah yang menggantikan tempat aku.

"Kau orang kerja baik-baik. Kalau free tu, rogerlah aku. Kita boleh lepak-lepak dan pi memancing sekali."

Dani dan Hafiz terdiam. Selepas malam ni mungkin susah mereka nak berjumpa lagi kalau aku dah balik ke Kedah.

"Weh... Janganlah buat muka macam bini lari. Bukannya aku masuk gua bertapa. Roger aje aku anytime kalau ada plan cantik punya. Jangan pula kau orang buat plan lepas tu buat-buat lupa kat aku." Aku memberikan amaran. Sesaat kemudian wajah Dani dan Hafiz kembali mengukir senyuman.

"Kalau kau kahwin, jemput kami tau," pesan Dani.

"Kahwin? Hurm, aku mana ada girlfriend. Lambat lagi nak settle down."

"Aik... Zati ada. Munirah, Siti... Siapa lagi?" Dani berpura-pura mengira.

"Syafikah... Sorang lagi... Budak akauntan tu. Siapa nama dia, Kimi?" Hafiz bertanya.

"Bibi," jawab aku bangga. Semua nama yang disebut ada kaitan dengan diri aku. Aku bukan buaya darat yang gatal kumpul awek keliling pinggang. Aku berkawan dengan semua orang tanpa kira latar belakang cuma nama-nama yang disebut tadi anggap aku lebih daripada seorang kawan. Itu bukan salah aku dan bukan salah mereka juga sebab mengharap. Bukan aku tak cuba untuk terima salah seorang tapi aku memang tak ada sekeping hati. Tak ada! Wanita lain dah curi.

"Takkan dalam semua tu, sikit pun tak cukup syarat nak buat isteri?" soal Dani.

"Entahlah. Semua lawa-lawa dan baik tapi satu pun tak jentik hati aku. Kalau aku berkenan, mak aku pula tak bagi green light. Yang aku suka, tak suka aku. Payah!"

"Pergh, kalau level kau pun ada perempuan yang reject, muka macam kami ni lagilah kena tepis jauh-jauh." Hafiz geleng kecil.

"Soal hati ni susah. Aku nak yang paling segak sebab hari-hari nak tengok, kan." Aku bergurau padahal aku masih teringat yang nun jauh di sana. Hati aku dah pandai berbisik kerinduan sejak kami bertemu semula di hospital.

"Fuyooo... Demand bukan main anak tauke beras ni," usik Hafiz. Kami tergelak besar bila bersembang kosong. Ketawa yang sedikit sebanyak menghambat kesedihan dalam hati aku.

"Aku doakan semoga kau sukses selalu. Insya-Allah, jalan yang kau pilih pasti akan jadi jalan yang lapang. Tak payah susah-susah nak keluar masuk simpang."

Aku kerutkan dahi. Kurang faham dengan kata-kata dari Dani.

"Adoi, lembablah kau ni. Kau dah berkorban untuk jaga mak, Allah akan buka seluas-luas pintu rezeki untuk kau. Percayalah. Sejujurnya aku memang sedih kau nak blah, tapi aku puji apa yang kau buat ni. Tak semua orang sanggup berkorban walaupun mulut tu sedia mengaku sayang," ujar Dani panjang lebar.

"Betul! Aku setuju." Hafiz mencelah.

Aku tersenyum. Kata-kata mereka bagai menyuntik semangat untuk memulakan perjalanan baru. Semoga kata-kata tadi benar belaka dan menjadi doa buatku. Kuatkanlah semangat aku, Ya Allah. Bukan senang nak pikul tanggungjawab sebesar ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro