Bab 13

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Teks kiriman Munirah dibaca sekali lalu. Bila aku selamat sampai di kampung, Munirah mula meluahkan kebimbangan takut kehilangan aku. Mulalah dia sebut pasal kahwin. Bukan itu saja, dia mengaku nak duduk di Kedah selepas kami kahwin. Aduh, belum pun sehari berlalu, Munirah dah buat aku pening.

Entah kenapa dia boleh ajak aku berkahwin? Sepanjang kami kenal dan keluar bersama, aku tak pernah luah sayang atau belikan dia apa-apa hadiah. Berkali-kali aku bagi hint yang kami hanya kawan! Aku layan dia sama macam aku layan kawan perempuan lain. Agaknya Munirah betul-betul dah jatuh suka tahap gaban dengan aku. Aduh, ni namanya cari penyakit.

Pap!

Tiba-tiba bahu aku ditepuk kuat. Aku melangut mencari kelibat orang yang mematikan lamunan aku terhadap Munirah. Tangan mak rupa-rupanya. Patutlah berbisa. Pedih. Laju mendarat tanpa apa-apa signal.

"Duk teringat apa ni sampai mak panggil pun tak dengar? Ralit. Ni mesti duk teringat dekat anak dara orang. Haip!"

"Awatnya, mak?" soalku malas-malas.

"Lusa Kimi kena jumpa Hazie. Semua urusan buat sementara waktu ni dia yang uruskan. Kalau tak ada dia, mak pun tak tau macam mana nak sambung kerja-kerja tu semua. Dia masih cekap buat kerja macam dulu-dulu. Suruhlah apapun, semua cekap," bicara mak terus-terusan memuji-muji bekas anak murid kesayangan.

"Kimi jangan risau. Mak dah bagi tau Hazie minta dia tolong tunjuk ajar Kimi apa yang patut," sambung mak lagi.

"Okey," kataku sekadar mengiakan pesanan mak. Hanya Tuhan yang tahu betapa malas aku nak melangkah ke kilang lusa. Hati aku tak kuat nak hadap wajah Hazie kerap-kerap sangat. Hati dan perasaan mudah berbolak-balik. Macam mana aku nak fokus dalam kerja andai punca gangguan ada di situ? Ah, serabut!

"Mak rasa lapang dada bila dia balik kerja kat situ. Orang macam dia memang jenis kenang budi. Kalau tak ada dia, mak pun tak tau macam mana nak handle macam arwah abah buat dulu-dulu." Sekali lagi mak menabur pujian.

"Bukan dia saja kerja kat situ. Berlambak lagi pekerja lain. Awat mak duk puji dia saja?" tukasku laju.

"Yang lain pun bagus tapi budak Hazie ni memang cekap. Patutlah arwah abah puji dia pandai."

"Pandai? Dulu dia duduk kelas paling hujung kut mak?" bidas aku laju.

"Tu dulu. Duduk kelas paling hujung bukan petanda tak pandai tapi belum cukup berusaha. Belum bermotivasi. Manusia ni berubah-ubah bila makin dewasa dan matang. Cuba Kimi tengok dia sekarang. Memang lain berbanding di sekolah dulu. Makin segak. Rajin. Sejuk perut mak dia mengandung dulu."

Aku tahan gelak. Segak celah mana? Aku tak nampak apa yang berubah pun. Dari dulu sehingga sekarang sama aje. Penampilan dia macam mak cik-mak cik. Dia pakai tudung pun melebar macam sayap pesawat.

Pula tu awning wanita lain muncung elok terpacak keras macam KLCC tapi dia kelepet rapat di dahi. Masya-Allah. Dah serupa Nek Pah aku yang duk mengaji di Pondok Labu. Tapi... Kenapa mata aku tetap nampak dia lawa? Saat melihat wajah itu, bibir pun auto terukir senyuman. Payah nak kontrol urat senyum.

"Kimi pi jumpa dan belajar daripada dia. Mana yang tak faham tu, tanya terus dekat dia atau orang lain. Insya-Allah, nanti pandailah tu. Pak Cik Razak pun ada."

"Hmmp." Aku kemam bibir lama. Sekadar beri respons supaya mak tak susah hati. Alahai, akhirnya aku terjelepok juga atas kerusi bos KBHH. Terus rasa kedua-dua bahu menanggung berat sepuluh tan.

Lusa aku akan masuk kerja. Mak dah boleh berehat puas-puas di rumah. Selepas aku bagi tau dah berhenti kerja, dia senyum lebar sampai ke telinga tau. Satu lagi, dia tak sebut dah pasal kucing bulu tebal macam karpet jual di Nilai tu.

Berkali-kali mak peluk dan cium dahi aku. Bibir dia tak letih ungkap terima kasih! Waktu tu, hati aku benar-benar tersentuh. Yeah, aku rasa aku buat keputusan yang tepat.

Kak Ana dan Kak Izah pun bertepuk sakan bila tau perkhabaran tu. Selamatlah depa dua tu bila adik bongsu dah setuju ambil alih. Makan untung ajelah nanti. Pandai kau, kak. Memang pandai!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro