79

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                "EHEM!" Mia buat-buat berdehem. Sengaja memecahkan suasana janggal mereka di ruang tamu. Melihat Dato Idris dan Husna saling berbalas pandangan tajam, manakala dia pula seperti orang tengah yang menjadi 'penonton'. Bahkan, dia juga tidak menjangka kehadiran Dato Idris pada malam ini. Tahu-tahu buka pintu utama, Dato Idris sudah tercongok di hadapan pagar.

Sebagai tuan rumah, haruslah dia jemput Dato Idris masuk meskipun Husna pada mulanya memberi isyarat untuk tidak benarkan. Akan tetapi siapalah dia hendak menghalau orang tua itu pergi? Lagipun, dia juga ada salah dengan Dato Idris kerana biarkan Husna duduk di sini selama berminggu-minggu. Langsung tak pujuk untuk balik ke rumah asal semula.

Lantas, Mia bangkit daripada sofa. Wajah Dato Idris di pandang dengan sengihan.

"Saya buatkan air ya, Dato?" Pamit Mia. Itu sahaja alasan yang paling munasabah muncul di kepala untuk berikan ruang kepada dua beranak itu berbincang. Dia tak mahu jadi pengganggu, oleh itu lebih baik dia pergi.

"Tak payah!"

Langkah Mia automatik terpasung saat Dato Idris menghalang. Tak jadi dia hendak ke dapur.

"Saya datang sini sebab nak jemput anak saya balik, bukannya nak minum air!" Tegas Dato Idris berkata. Matanya masih melekat pada Husna yang duduk di hadapannya. Masih lagi dengan riak wajah yang sama. Tegang.

Sekonyong-konyong bibir Husna terjuih apabila mendengar perkataan anak saya. Dia tak rasa gelaran itu masih berguna kepada dirinya setelah melangkah keluar daripada rumah agam Dato Idris.  Rasa macam lucu pula. 

Sudahlah datang pun secara tiba-tiba, selepas itu mahu paksa dia balik? Kalau minta maaf dahulu tak mengapalah juga, ini tidak! Terus gunakan cara kasar dengan menggunakan gelaran 'bapa dan anak' supaya dia dengar cakap.

"Pergi kemas baju. Masuk kereta." Dato Idris mengarah dengan begitu selamba.

"Dah berminggu-minggu Husna duduk di sini sampaikan dah terasa selesa. Tiba-tiba muncul dan paksa Husna untuk balik? Selalunya ayah akan bertindak ikut cakap perempuan itu sahaja. Apa lagi yang dia hasut ayah? Takkan dia pujuk ayah untuk bawa Husna balik kut?" Husna berdecik kecil. Muka penuh mengejek ditayangkan. Kepala digeleng-geleng. 

"Tak mungkinlah. Dia mungkin jadi orang pertama yang seronok masa Husna keluar daripada rumah itu..."

"Kamu cakaplah apa pun, ayah tak kisah. Sekarang ni, ayah cuma nak anak ayah balik ke rumah asal dia. Bukannya menumpang di rumah orang macam pengemis tiada tempat tinggal!" Hambur Dato Idris, mula hilang sabar. Dada berombak turun dan naik. Jujur, dia rasa malu dengan tindakan anak perempuannya yang menumpang di rumah orang. Kalau pihak media tahu, mulalah timbul spekulasi yang bukan-bukan. 

'Anak Dato menumpang di rumah kawan.' Tidakkah tajuk itu akan merosakkan imej dia sebagai Dato Idris? Seolah-olah dia sudah jatuh miskin sampaikan anak sendiri kena menumpang rumah orang lain.

"Apa salahnya kalau Husna menumpang sekalipun? Mia pun tidak kisah!" Balas Husna, berani. Siap menunding jari ke arah Mia yang mengangguk kepala tanda sokong.

"Oh, atau ayah malu jika ada orang lain tahu yang anak perempuan ayah ni lari dari rumah huh?" Soal Husna dengan sebelah kening terjongket. Sinis.

Riak wajah Dato Idris terus berubah. Bibir diketap. Seakan sedang menahan geram.

"Ayah mungkin akan malu kalau orang bercakap-cakap tentang anak ayah lari rumah. Tapi ayah akan lagi malu kalau orang dapat tahu yang anak perempuannya tergila-gilakan lelaki kampung yang tiada masa depan tu!"

Tangan Husna sudah mengepal penuh amarah. Berasap telinganya apabila Dato Idris mula menghina lelaki kampung itu di hadapannya.  Tiada masa depan? Heh, andai ayah tahu siapa Lanun itu... pasti dia akan tarik balik kata-katanya!

Dan tiba-tiba bibir Dato Idris menyenget. Sinis.

Husna terkedu sejenak. Kening berkerut.  Entah mengapa dia rasa berdebar.

"Jadi sebelum orang lain tahu Husna ada hubungan dengan lelaki itu, lebih baik ayah hebohkan dahulu yang Husna dah terikat dengan calon pilihan ayah sendiri." Ujar Dato Idris.  Dia tersenyum menang tatkala melihat perubahan riak wajah Husna yang jelas terkejut.

Spontan terbangun Husna daripada duduk di sofa. Mata terbeliak. Mulut ternganga. Sungguh, dia tak percaya Dato Idris akak bertindak sejauh itu!

Kepala Husna menggeleng berkali-kali.

Tidak!

Mungkin Dato Idris sengaja reka cerita untuk menakut-nakutkan dia? Husna buat-buat ketawa. Namun, ketawanya masih terselit rasa gelisah.

"Tak mungkin. Ayah sengaja cakap macam itu, kan?" Seboleh-bolehnya Husna cuba menyedapkan hati sendiri, namun...

"Esok rombongan meminang daripada pihak lelaki itu akan sampai! Sebab itulah ayah nak kamu balik. Ayah nak kamu jumpa dia. Berkenalan dengan dia dan lupakan pasal lelaki di Sabah tu! Ayah nak kehidupan kita yang dahulu..." Tutur Dato Idris, serius. Jelas menunjukkan dia tidak cuba permainkan Husna dengan kata-katanya. Dia telah pun buat keputusan.  Dan ia muktamad.

Bahu Husna turun dan naik saat menarik dan menghembuskan nafas. Adakala tangan naik memicit kepala yang tiba-tiba terasa berdenyut kerana menahan amarah. Sungguh, dia tak suka dipaksa! Apatah lagi jika melibatkan perkahwinan. 

Apa kesalahan yang dia lakukan sehingga Dato Idris hendak menghukum dia sampai begini sekali? Jika jatuh cinta kepada Lanun itu salah, perlukah seberat ini hukuman yang dia harus terima?

Husna geleng kepala dengan bibir terketap.

"Tidak! Husna takkan terima lelaki itu! Ayah tiada hak untuk kahwinkan Husna dengan lelaki yang Husna tak suka!"Keras Husna.

Langsung Dato Idris bangun dari tempat duduknya. Turut sama berdiri membalas renungan tajam anak perempuannya. 

"Ada ayah beri kamu pilihan ke sama ada harus terima atau tak? Tidak, kan? Suka ataupun terpaksa, ayah dah pun buat keputusan. Dan Tan Sri Raqib juga setuju untuk terima kamu sebagai menantu dia!"

Tatkala mendengar nama Tan Sri Raqib disebut, Husna terus terdiam. Mata berkelip-kelip. Sekejap amarah yang menggunung tadi runtuh dengan sendirinya. Kini, muka Husna berkerut dengan penuh tanda tanya. Nyatanya dia benar-benar bingung saat ini.

Sekilas Husna menoleh memandang Mia yang masih lagi menjadi penonton setia. Wanita itu seakan memberi isyarat mata untuk mengikut sahaja setiap arahannya yang keluar daripada mulut Dato Idris. 

"Huh?" Husna makin tak faham. Mia seperti tahu sesuatu. Tetapi apa?

"Ehem! Ehem!" Mia buat-buat berdehem sekali lagi. Menarik perhatian Dato Idris memandangnya. Ada senyuman yang cuba disembunyikan. 

"Dato janganlah marah-marah. Biar saya yang tolong kemaskan pakaian Husna. Ada betulnya cakap Dato, sampai bila dia nak menumpang di sini, kan? Padahal dia juga ada rumah sendiri." Sampuk Mia.

"What? Mia..." Husna seakan tak percaya. Sangkakan si Mia akan berpihak di belakangnya tapi lain pula. Siap nak tolong kemaskan pakaian serupa hendak menghalau pun ada juga.

Namun, sekali lagi Mia menghadiahkan jelingan dengan maksud tersirat. Buatkan Husna kembali terdiam. Kenapa dengan mata Mia tu asyik jeling-jeling serupa masuk habuk?

Kepala Dato Idris terangguk-angguk.  Akhirnya, ada juga yang faham dengan tindakannya. Kan bagus jika Husna tidak keras kepala seperti Mia.

"Hmm, baguslah kalau kamu faham Mia.  Nanti beri sahaja beg dia pada bodyguard di luar. Biar mereka masukkan dalam kereta. Dan kamu Husna..."

Kepala Husna kembali teralih kepada ayahnya. 

"Masuk ke dalam kereta dan jangan cuba beri alasan. Kalau tak nak ayah guna cara kasar, lebih baik kamu ikut." Arah Dato Idris dengan nada tegas. Tanpa berkata apalagi, dia langsung berlalu keluar daripada rumah.

Sebaik sahaja memastikan kelibat Dato Idris menghilang melepasi pintu pagar, Husna terus berpaling memandang Mia. Pantas tangan kanan wanita itu ditangkap saat dia ingin pergi ke bilik. Amboi, bukan main laju lagi si Mia mahu buat kerja.

Husna tayang muka tak puas hati.

"Kenapa kau macam nak halau aku? Kot iya pun kau tak selesa aku duduk dalam rumah ni, kau beritahulah aku!"

Mia tersentak. Jauh betul pemikiran Husna dengannya!

"Ish, siapa cakap aku nak halau kau?"

"Habis tu? Yang kau beria bukan main nak kemaskan baju aku itu kenapa?"

Mia menepuk dahi. Alahai, sebab itu sahajakah Husna ingat dia hendak menghalau? Kemudian, tangan Husna yang menggenggam pergelangan tangan kanannya ditolak perlahan. Kini, kedua-dua belah tangan Mia memegang bahu Husna. Mata coklat itu ditenung.

"Aku bukan nak halau kau. Sejujurnya aku lebih suka kau duduk di sini, tidaklah aku bosan setiap hari. Tapi... mulut Dato Idris tu. Bising sangat! Mak aku sudahlah tengah tidur dalam bilik. Nanti dia terjaga macam mana?"

"Tapi kalau aku balik, aku kena paksa terima rombongan lelaki tu. Kau sanggup ke tengok kawan kau ni terseksa?" Belum apa-apa lagi Husna sudah terbayang macam-macam. Teringatkan drama cinta berkaitan kahwin paksa, lagilah buat Husna berfikir yang bukan-bukan. Buatnya lelaki yang hendak dijodohkan dengan dia itu turut sama dipaksa macam mana?

Tak pasal-pasal mula babak benci jadi cinta pula? Tidak pun... kena dera dahulu baru jatuh cinta?

Oh, please no!

"Ish, kau ni... sampai ke situ pula!" Bahu Husna ditampar perlahan. 

"Kau tak dengar ke Dato Idris cakap apa tadi? Bakal bapak mertua kau Tan Sri Raqib! Anak lelaki dia semua kacak tahu? Salah satu contohnya buah hati aku, si Noar Nathan. Kalau kau kahwin dengan anak dia, sah-sah kita jadi satu keluarga nanti!" Bibir Mia sudah tersengih-sengih apabila terbayang detik-detik itu.

Kini, bahu Mia pula yang ditampar. Menyedarkan wanita itu daripada bermimpi.

Mia cebik bibir sambil menggosok bahunya. Apa? Dia salah cakapkah?

"Buatnya dia nak kahwinkan aku dengan Nathan macam mana? Kau bukannya tak tahu, ayah aku dah lama suka dengan cara kerja Encik Nathan tu!" Ujar Husna. Hatinya masih rasa gelisah. Tak senang duduk dia jadinya. Tak boleh duduk diam. Harus berjalan, ke hulur dan ke hilir. Memikirkan cara untuk hentikan semua karut ini.

Sedangkan Mia mengeluh kecil. Kalau Nathan adalah calon pilihan Dato Idris, memang dia akan jadi orang pertama yang menyerang akad nikah mereka nanti. Tapi, dia tahu buah hatinya takkan buat keputusan gila seperti itu.
Nathan setia orangnya. 

Mia mengulum senyuman nakal.

"Tuan Andikha Rafaelkan ada..." Sengaja Mia menyebut nama itu dengan nada meleret.

Tiba-tiba pipi Husna terasa membahang. Merah. Ish, tak mungkinlah!

"Ayah aku bencikan dia, tak mungkin dia akan satukan aku dengan dia..."

"Tettt! Salah!" Potong Mia.

Kening Husna berkerut.

"Apa yang salah?"

"Ayah kau bencikan Encik Pirate, bukannya Tuan Andikha Rafael. Encik Pitate kau tu orangnya baju T shirt, duduk pulau, selekeh, bau laut. Tapi Encik Rafael tu pula..." Tersenyum-senyum Mia saat membayangkan wajah lelaki itu. Alahai, nasib baiklah dia jumpa adik dahulu bukannya abang. Kalau tidak... dah lama dia pikat si abang.

"Bau wangi, bergaya, kacak, senyuman dia... ish, tak boleh bayanglah aku! Serba cukuplah pendek kata. Jadi mereka orang yang berbeza. Tak mustahil kalau Dato Idris pilih Tuan Andikha tu daripada Nathan. Dia bukannya kenal pun!"

Husna kecilkan mata. Boleh percaya ke si Mia ni? Buatnya nanti tiba-tiba si Nathan yang muncul macam mana dan bukan Andikha Rafael? Dia pun tidak mahu menghampakan perasaan lelaki itu buat kali kedua. Cukuplah dia pernah tolak lamaran lelaki itu sekali. Tidak mahu kali kedua!

Malah, dia juga tak sanggup melukakan hati Tan Sri Raqib.  Banyak jasa orang tua itu kepadanya selama ini. Mungkin sebab rombongan meminang itu juga, Tan Sri Raqib menasihati dia untuk pulang ke rumah.

Katanya, kalau nak tengok Raf bahagia harus pulang. Jadi... ada kemungkinankah rombongan itu dihantar oleh Andikha Rafael?

"Kau balik aje dulu, okay? Apa-apa nanti, kau beritahu aku siapa lelaki yang masuk meminang kau tu. Sekarang, kau nak aku tolong kemaskan baju kau atau kau nak kemas sendiri?"

Husna melepaskan nafas perlahan. Sejujur, dia masih berat hati ingin balik. Tapi, dia tiada pilihan kedua.

"Tak perlu. Biar aku packing sendiri."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro