81

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KINI semua orang sudah berkumpul di satu ruang tamu yang luas. Bahagian tengah diantara mereka disusun dulang-dulang pinangan yang dibawa, cantik-cantik belaka dekorasi yang ditempah. Ada buah dan manis-manisan seperti mana adat melayu datang bertandang ke rumah keluarga perempuan.

Husna pula duduk penuh sopan bersebelahan Mak Timah. Dengan berpakaian baju kurung kedah berwarna cream, dipadankan dengan tudung bawal sama warna.

Turun dan naik bahu Husna saat menarik dan menghembuskan nafas, cuba untuk menenangkan diri. Debaran di dada makin menjadi-jadi. Dan saat anak mata curi-curi mengerling memandang Raf yang kelihatan segak berbaju melayu hitam di samping Tan Sri Raqib, makin berkocak jantungnya.

Memang kuat betul aura lelaki itu apabila mengenakan pakaian tradisional melayu. Husna pasti, bukan dia sahaja yang terpikat sekarang. Ada mata-mata wanita kampung lain juga turut curi-curi pandang ke arah Raf.

Teringat pula Husna semasa Lanun berpakaian gaung ke kenduri dahulu.
Tanpa sedar bibirnya Husna tersenyum sendiri. Tatkala menyedari Raf juga menoleh ke arahnya, cepat-cepat Husna tunduk kepala ke bawah. Menyorokkan pipi yang sudah berona merah.

Husna dapat merasa Raf sedang mengertawakan dirinya sekarang. Aduh, malunya!

"Alang-alang semua dah sampai. Bolehlah kita mulakan hajat sebenar datang ke sini. Benda baik seharusnya dipercepatkan. Tak ke begitu?" Tan Sri Raqib bersuara daripada pihak keluarga lelaki. Pertama kali buat rombongan meminang jadi terlebih excited sikit. Kalau boleh, dia mahu pinangan ini selesai dengan jayanya.

Dia memandang Dato Idris yang sudah lama membisu. Adakala perasan juga anak mata Dato Idris bergerak-gerak memerhati Raf di sampingnya. Riak muka bersalah masih lagi terserlah pada seraut wajah tua itu.

Sejujurnya, Dato Idris masih diselubungi rasa malu apabila mengetahui siapa si anak sulung Tan Sri Raqib. Terkenangkan mulut jahatnya yang asyik menghina lelaki kampung di hadapan rakan sendiri, buatkan dia bertambah malu.

Sudahlah dia sendiri mahu jauhkan Husna daripada lelaki kampung. Nyatanya dia juga yang menyatukan mereka. Kalau ada cermin di hadapannya, pasti bayangan di cermin itu akan ketawa kepada diri sendiri.

"Sebelum tu... Raf." Dato Idris bersuara perlahan. Namun masih cukup kuat untuk sampai ke telinga pendengar. Menarik pandangan Raf menoleh ke arahnya.

Tiada suara yang keluar. Seakan-akan tersekat di celah kerongkong, namun Dato Idris paksakan bibir untuk berbicara. Dia menekur ke bawah penuh sesal. Tak mampu untuk bertatapan dengan lelaki muda itu. Sebal dengan diri sendiri.

"Maafkan pak cik." Rayu Dato Idris dengan nada berat.

Datin Khadijah yang berada di sisi terus berpaling memandang suaminya dengan riak wajah tak percaya. Dalam tak sedar bibirnya mengetap tidak puas hati. Kenapalah pergi minta maaf kepada lelaki itu? Mana pergi keangkuhan Idris selama ini?

"Pak cik sedar pak cik salah. Pak cik cuma... tak nak Husna berkahwin dengan sebarangan lelaki dalam dunia ni. Sebab itulah Pak cik halang dia untuk bercinta dengan kamu. Kerana Pak cik fikir hidup dia akan musnah bila kahwin dengan..." Dato Idris pejam mata sesaat. Kaku lidahnya mahu menyebut perkataan itu.

"Lelaki kampung." Sambung Dato Idris penuh kecewa.

"Tapi salah tetap salah. Pak cik akui kesilapan itu. Pak cik tak sepatutnya hukum sebelum mengenali kamu. Jadi tolong maafkan pak cik... dan Raqib, aku harus minta maaf kepada kau juga." Ujarnya, sekejap dia memandang Tan Sri Raqib dengan harapan kesalahannya dimaafkan. Kemudian memandang Raf pula.

Tubir senyuman kecil di bibir Raf saat mendengar permohonan maaf daripada Dato Idris. Sekilas Raf berpaling ke sisi memandang bapanya, orang tua itu sekadar memberi isyarat mata. Seakan menyuruh dia untuk memaafkan sahaja perbuatan Dato Idris sebelum ini.

Lagipun, Raf juga tak lama lagi akan menjadi sebahagian keluarga Dato Idris.
Eloklah jika semuanya diselesaikan sekarang.

Kemudian, Raf kembali memandang Dato Idris.

"Saya faham. Bapa mana aje yang sanggup lepaskan anak dia berkahwin dengan lelaki yang tiada apa-apa. Sebab itulah saya datang ke sini dan kenalkan diri. Pak cik jangan risau, saya tak ambil kisah pun tentang hal yang dah berlalu. Yang penting... kita sedar dimana kesilapan kecil kita." Ujar Raf penuh ikhlas. Tiada sekelumit dendam yang ditanamkan di hati tentang terkena bahana tamparan Dato Idris tempoh hari. Siapalah dia mahu menghukum orang.

Dan tiba-tiba Datin Khadijah mengeluh berat. Mengalihkan perhatian mereka kepadanya pula.

"Haih, itulah... kami betul-betul rasa bersalah dengan kamu, Raf. Sudahlah Dato Idris pernah hina kamu, tampar kamu. Rasa macam tak layak pula kalau kamu tiba-tiba jadi ahli keluarga kami. Mungkin ada keluarga lain yang akan lebih hargai kamu daripada kami yang cepat menilai ni, kan?" Sampuk Datin Khadijah, dia buat-buat tayang muka kesal.

Mengundang kerutan di dahi Tan Sri Raqib saat mendengarnya. Tidak faham. Bahkan, bukan dia sahaja. Husna dan Raf juga sama.

"Apa... maksud kamu, Dijah?" Tan Sri Raqib menyoal.

Datin Khadijah tersenyum kelat. Sekilas dia menjeling ke arah Husna dengan maksud tersirat.

"Maksud saya... daripada Raf berkahwin dengan Husna dan jadi menantu kepada kami yang pernah caci dia, lebih baik dia cari orang lain yang lebih bagus. Bukan Raf yang tak layak masuk ke dalam keluarga ni, tapi kami." Ujar Datin Khadijah.

Jatuh rahang Husna dibuatnya. Apa yang perempuan tua itu merepek? Hendak sahaja dia bersuara menempelak Datin Khadijah secara berdepan, namun ada suara lain yang dahulunya berbicara. Laju.

"Eh, apa maksud mak cik layak dan endak layak? Yang mau kahwin itu Husna, bukannya mak cik! Susah payah kami datang jauh-jauh, ko suruh Lanun cari sumandak lain pula!" Cantas Orkid, hati dia pula yang berasa dongkol saat ini. Odu di sebelah terus menampar paha Orkid. Menyedarkan wanita itu yang mereka cuma orang luar sahaja. Tak sepatutnya masuk campur.

Terkedu Datin Khadijah apabila diherdik oleh orang tak dikenali. Siapa perempuan itu hendak marah tentang keputusannya?

Namun, Orkid tak peduli. Dia dan orang kampung sudah lama menantikan hubungan Lanun dan Husna di satukan. Tiada siapa yang boleh jadi penghalang.

"Maaf, Datin. Tapi saya tak kisah pun tentang hal itu. Saya ikhlas nak jaga Husna dan bimbing dia sepenuh hati saya." Tutur Raf. Sempat dia mengerling memandang Husna saat mengucapkan ayat itu.

Tersenyum manis bibir Husna mendengar. Sungguh, terharu macam nak nangis. Namun, Husna cuba kawal perasaan.

Kepala Tan Sri Raqib juga terangguk-angguk tanda sokong.

"Yang penting meraka saling suka antara satu sama lain. Kita sebagai orang tua tugasnya memudahkan urusan diaorang aje. Bukan jadi penghalang." Ujar Tan Sri Raqib. Sengaja dia menekan perkataan penghalang itu biar Datin Khadijah tersentap.

"Betul cakap Raqib tu. Mungkin dengan pinangan ni, boleh jadi salah satu cara untuk kita minta maaf kepada dia." Dato Idris juga setuju dengan kata-kata rakannya.

Datin Khadijah tidak berkata apa-apa. Terasa kecil dirinya apabila semua orang di dalam rumah ini tidak menyokong kenyataannya. Bibir mengetap, geram. Makin terbakar hatinya apabila menangkap senyuman menang di bibir Husna. Seakan-akan mengejek dia kalah pada hari ini.

Padan muka! Kau takkan dapat sekat kehidupan aku lagi. Omel Husna di dalam hati. Puas melihat kejatuhan Datin Khadijah.

"Kalau begitu, eloklah kita mulakan sekarang." Pelawa Tan Sri Raqib. Pinangan sudah pun terbuka.

Suasana di dalam rumah terasa semakin mendebarkan. Dato Idris juga mengangguk kepala tanda setuju. Tiada apa lagi yang hendak dibicarakan selain memulakan tujuan sebenar mereka.

"Selalunya kalau nak masuk meminang ni harus berpantun. Biarlah keluarga kami yang mulakan." Tawar Tan Sri Raqib.

"Silakan." Dato Idris membuka ruang untuk rakannya memulakan pantun.

"Pucuk pauh ditepi permatang, buah berangan rasanya lazat. Daripada jauh kami datang, datang dengan seribu hajat." Tuturnya penuh lenggok gaya pantun. Acewah! Itupun Google di saat-saat terakhir.

Kini tiba giliran Dato Idris pula mahu membalas.

"Malam-malam pasang pelita, pelita dipasang di atas peti, kalau sudah bagai dikata, silakan terang hajat di hati." Balas Dato Idris.

Tan Sri menggosok tangan seketika. Nervous juga berbalas pantun!

"Kebaya moden, kebaya nyonya. Untuk dipakai majlis keramaian. Kami datang besar hajatnya. Untuk memetik bunga di taman." Ujar Tan Sri Raqib.

Dato Idris mengangguk faham akan hajat mereka. Baru hendak balas semula, tiba-tiba si Orkid menyampuk di tengah bicara.

"Macam siuk(seronok) sija berbalas pantun. Sa pun mau cuba bulih ka?" Sampuk Orkid dengan bibir tersengih-sengih. Jakun. Melihat Tan Sri Raqib berpantun, dia juga mahu cuba. Entah jadi entak tidak, itu belakang kira.

Malahan Dato Idris memberi isyarat tangan, tanda pelawa Orkid untuk memulakan pantunnya. Silakan.

Orkid tersenyum menang. Inilah masanya dia tunjukkan bakat terpendam!

"Dua tiga kucing berlari, manakan sama si kucing belang, rombongan lelaki sudah pun mari, lebih baik pinangan diterima sebelum ditimpa malang." Orkid mula berpantun. Kemudian dia ketawa sendiri. Bahkan semua tetamu yang berada di dalam ruang tamu itu juga turut meletuskan tawa. Ada yang terangguk-angguk tanda menyokong.

Sempat lagi Orkid menghadiahkan jelingan penuh amaran kepada Datin Khadijah yang masih ada di situ. Berani cubalah halang! Namun, orang tua itu cuma menjuling anak mata ke atas penuh menyampah.

Tergeleng-geleng Dato Idris mendengar pantun jenaka daripada Orkid. "Kalau nak tahu jawapan pinangan ini diterima atau tidak, kenalah tanya tuan badannya sendiri. Jadi Husna..."

Semua mata tumpu kepada Husna pula.

Gulp!

Air liur ditelan. Gugup. Sekali lagi jantung Husna diserang debaran kuat.

"Kamu sudi atau tidak untuk terima pinangan ni?" Tanya Dato Idris.

Husna diam sejenak. Padahal jawapan sudah tersemat di dalam kepala sejak awal lagi. Tiba-tiba rasa malu pula hendak jawab apabila terlalu banyak pasang mata tumpu kepadanya. Lantas, Husna cuma anggukkan kepala seperti burung belatuk sebagai jawapan terima.

Langsung mereka mengucapkan perkataan alhamdulillah setelah mendapat jawapan. Syukurlah pinangan hari ini berjaya.

"Kalau Husna dah setuju, kamu nak mas kahwin apa?" Tanya Tan Sri Raqib. Bab berlanjutan sampai ke mas kahwin pula.

Husna tersesat seketika. Mas kahwin? Apa itu? Tiba-tiba otak jadi lembab.

"Mas kahwin?"

Tan Sri Raqib angguk kepala. "Ya, cakap aje dekat Raf kamu nak apa? Sepuluh ribu? Senaskah al Quran? Atau... gelang emas?"

"Eerr..." Husna tidak tahu hendak jawab apa. Sekejap dia mengerling ke arah Raf. Macamlah Raf boleh bantu dalam memberi jawapan. Lelaki itu juga sedang ternanti-nanti permintaan yang hendak dibuat. Berkerut kening tebal Raf saat melihat Husna serupa tercari-cari sesuatu.

Nak minta apa ya?

"Boleh tak kalau beri masa saya fikir dahulu?" Pinta Husna. Entah mengapa otaknya tiba-tiba blur hari ini. Mungkin kerana terlalu resah dan berdebar. Mujurlah Tan Sri Raqib faham dan setuju untuk berikan ruang untuk dia memikirkan jawapan.

Topik dilanjutkan kepada tarikh dan majlis pula. Banyak benda yang dibincangkan. Soal bajulah, tema warnalah... macam-macam lagi. Hendak dekat satu jam juga perbincangan mereka di ruang tamu.

Setelah selesai, mereka bergerak ke bawah kanopi yang terpacak di halaman luas rumah agam Dato Idris. Menikmati hidangan ketering yang tersedia. Harap-harap cukuplah makanan yang ditempah dengan jumpa rombongan yang dibawa.

Manakala Husna berdiri jauh daripada kanopi. Ke hulur- ke hilir memikirkan mas kahwin yang hendak di minta. Apa yang payah sangat pun tak tahulah. Asyik terganggu dengan perasaan bersalah jika permintaannya terlalu tinggi hingga menyusahkan Raf.

"Duit atau gelang? Gelang atau Quran?" Berulang-ulang Husna mengucap ayat yang sama. Kesudahannya tetap tak jumpa pilihan yang terbaik.

Aduh, susah juga nak kahwin ya?

"Fikir apa sampai kusut benar muka kau tu?" Tegur satu suara dari arah belakang. Husna terus berpaling.

Raf rupanya.

Lelaki itu menghampiri dengan kedua belah tangan diseluk ke dalam kocek seluar hitamnya. Berhenti di sebelah kanan Husna. Menatap wajah kusut wanita itu dengan bibir tersenyum-senyum.

Alahai, muka tengah kusut pun masih comel di matanya. Tak sangka, wanita yang sedang ditatapnya sekarang hampir menjadi isterinya tidak lama lagi. Bersyukur kepada Tuhan kerena memudahkan semua urusan mereka. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia bahagia sangat hari ini.

Sedangkan Husna pula melepaskan satu nafas kecil.

"Saya tengah fikir nak mas kahwin apa? Susah betul nak buat keputusan. Mungkin sebab saya nervous sangat hari ini sehingga tak boleh nak berfikir." Ujar Husna, dia menunduk memandang tangannya yang masih basah akibat peluh. Perasaan gementar belum hilang lagi biarpun hampir kesemuanya mahu selesai.

Terjongket kening Raf mendengar. Punya lama Husna berdiri di sini, masih belum dapat jawapan?

"Itu aje yang daripada tadi kau fikir?"

"Yalah. Habis nak fikir apa lagi? Saya tak tahu nak minta apa tahu tak? Saya takut saya menyusahkan awak! Walaupun saya tahu awak mampu tapi seboleh-bolehnya saya nak elak daripada pergunakan awak. Saya takut... kalau nanti saya gila harta pula selepas ni. Tak pasal-pasal awak menyesal pilih saya jadi isteri." Rungut Husna. Bibir dicebir.

Dan tiba-tiba Raf meletuskan ketawa. Menarik perhatian Husna di sisi berpaling memandangnya dengan riak wajah pelik. Haih, dia ada buat lawakkah tadi? Orang tengah serius boleh pula si Lanun ini gelak.

Husna mendengus tidak puas hati. Muka cemberut ditayang.

"Kenapa awak ketawa? Kelakar sangat ke apa yang saya cakap tadi?!" Soal Husna, tidak puas hati.

Malahan Raf geleng kepala perlahan. Dia menghabiskan sisa tawanya sebelum mengulum satu senyuman. Pandangan dilemparkan ke hadapan, memerhati orang-orang kampung yang berada di bawah kanopi sedang menikmati makanan.

Jiwa Husna rasa terpesona seketika. Kenapa kacak sangat senyuman bakal suaminya ini? Tak lama kemudian, Husna geleng kepala laju-laju. Mengusir perasaan aneh itu pergi.

"Tak sangka, itu yang buatkan kau susah nak jumpa jawapan. Benarlah pilihan aku tak salah. Aku tak pernah salah bila pilih kau." Ucap Lanun, kepalanya terangguk-angguk menyokong keputusan yang dia lakukan. Jelaslah, dia tidak salah memilih calon isteri. Husna adalah jawapan yang paling tepat dan sesuai.

Kemudian, Raf melepaskan hembusan nafas kecil sebelum memusing menghadap Husna. Kepala sedikit tertunduk menatap laman wajah Husna yang separas dadanya. Merenung anak mata coklat itu dengan dalam bersama senyuman penuh makna.

"Beginilah... kalau kau tak tahu nak minta apa, mahu tak Cik Husna terima apa-apa sahaja harta karun daripada Encik Lanun ni? Sebagai mas kahwin." Soal Raf. Dia mahu pendapat daripada Husna dahulu. Tidak mahu tentukan sesuka hati.

Bahkan, kening Husna berkerut. Harta karun? Raf nak beri satu peti emaskah?

Mata Husna membeliak luas. Dengan pantas kepala digeleng. Gila! Dia nak buat apa emas banyak-banyak. Bukannya dia suka pakai perhiasan berat di badan.

"Ish, tak naklah!"

"Kenapa pula?" Raf sedikit tersentak. Tawaran nya ditolak mentah-mentah sahaja oleh Husna. Terus riak wajahnya berubah.

"Awak nak beri saya barang kemas, saya bukannya suka pakai pun. Inipun saya pakai satu aje. Gelang cangkerang yang awak beri." Ujar Husna, siap tayang gelang tangan cangkerang pemberian Lanun yang masih utuh terikat di pergelangan tangannya.

Raf menjuih bibir.

"Siapa pula yang cakap aku nak beri kau gelang emas?" Tanya Raf.

Lah, dia sendiri yang beritahu nak beri hartakan? Harta tu emaslah. Takkan tekaannya salah kut?

"Habis kalau bukan gelang emas, awak nak beri saya apa?" Soalan berbalas soalan. Kepala Husna masih melangut memandang Raf dengan muka penuh persoalan.

Malahan Raf cuma menyimpulkan senyuman sebagai jawapan. Siap kening dijongket ke atas berkali-kali. Sengaja hendak buat Husna makin tertanya-tanya harta apa yang dia mahu serahkan.

"Nanti kita tengoklah sama-sama." Jawab Raf selamba sebelum kaki diatur melangkah ke bawah kanopi. Bibir ditahan daripada ketawa. Membiarkan Husna terpinga-pinga menunggu jawapan di belakang.

"Tengok? Tengok apa pula ni? Beritahu ajelah sekarang! Hey, Mr Pirate!" Terhegeh-hegeh Husna mengelar Raf yang semakin menjauh. Dia tak boleh tunggu. Nak tahu juga apa harta karun itu!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro