Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Hujan.

Dia tak sukakan hujan. Kerana baginya hujan membawa rasa pilu yang sakitkan hati. Ketika dia ingat kembali hari-hari itu, giginya terketap dan matanya membahang.

Masih jelas dalam ingatan, peristiwa lama yang membawa memori buruk saat dia melihat hujan. Bagaimana sadisnya seorang wanita merayu kepada si suami agar tidak pergi tinggalkan dia bersama seorang anak perempuan yang masih polos.

Dalam renyai hujan, si wanita melutut merayu belas kasihan. Masih berusaha untuk mempertahankan hubungan yang sudah jelas retak disebabkan orang ketiga. Si suami pula angkuh berdiri memayungi si betina ketiga. Dua-dua sudah mati hati, tiada belas.

Tak habis fikir, bagaimana sanggup seorang lelaki menengking wanita yang sudah hidup susah dan senang bersamanya. Tengkingan penuh hina. Malah budak berumur 8 tahun pun mengerti apa yang dibicarakan lelaki itu.

"Kau tak faham bahasa ke? Kita dah bercerai, Suraya! Aku sudah tak bahagia dengan kau. Jadi bawa anak kau pergi jauh dari sini. Aku tak nak tengok muka kau orang lagi."

Katanya.

Yang dengar kata-kata lelaki itu bukan cuma Suraya dan betina ketiga itu. Tapi dia. Ya dia, anak yang dikatakan lelaki itu. Nadiah, si budak 8 tahun yang telah dihalau dari rumah dikatakan syurga oleh ibu.

Sadis bukan?

Lelaki yang dianggap hero akhirnya membawa betina ketiga hingga dia dan ibu dihalau keluar.

Awalnya, si betina ketiga merupakan sahabat baik Suraya sendiri. Kononnya dia dilanda masalah berat hingga Suraya jatuh simpati dan bawa betina itu ke rumah. Diberi makan, dilayan baik, diberi pakaian sampailah sanggup berkongsi suami.

Setahun mereka hidup bermadu. Nadiah sudah membiasakan diri dengan dua ibu dan seorang ayah. Hinggalah si betina mengandung. Semuanya berubah. Kasih ayah padanya turut berubah. Tiada keadilan. Si betina dibawa bercuti manakala Suraya dibiar bekerja tanggung diri sendiri di dalam rumah suami.

Dia masih tidak faham derita ibunya saat itu. Ibu tetap tersenyum menutup sakit cemburu di wajahnya. Yang lebih menyakitkan, kembali sahaja daripada bercuti. Ayahnya menceraikan ibu.

Tragisnya. Talak tiga.

Dulu dia cuma faham derita dirasa ibu dibalik air mata bercucuran dari sepasang mata redup itu. Sekarang dia faham apa itu talak tiga, apa itu curang dan apa itu madu.

Ya, dia sudah mengerti semuanya.

Andai kata lelaki itu datang memohon maaf pada dia dan ibu. Demi apapun, dia akan menghalau lelaki itu sama seperti di lakukan pada ibu saat itu.

Dalam lebat hujan, selepas lafaz cerai dilepaskan. Razif, si suami melempar beg pakaian Suraya ke luar rumah. Tubuh kecil Nadiah turut ditolak hingga terjelupuk rebah di laman. Masih terasa betapa pedihnya luka dilututnya ketika itu.

Ya, saat itu hujan..

Matanya berkaca melihat si ibu melutut dan merayu kepada betina dan suaminya sendiri.

Sungguh sangat menyakitkan.

"Tengok hujan?" Terenjut bahu disapa seseorang dari belakang. Wajah segera dipaling lantas Nadiah koyak senyum buat si lelaki yang tegap berkot hitam menghampirinya.

"Affan. You dah habis meeting ke?" Nadiah kerling jam dipergelangan tangan. Sudah pukul 6 petang. Mana tak penatnya si Affan tu. Nak balik awal, eh tiba-tiba ada mesyuarat mengejut dengab bos besar.

"Dah. Jom balik." Affan mengeluh sambil dia tanggalkan kot hitam pada tubuh.

"Oh, bos besar kita tu mana?" Dah setahun dia kerja disitu, batang hidung bos besar pun tak pernah tengok. Dia orang sibuk, sekejap di Malaysia, sekejap di Singapore. Kemungkinan untuk jumpa dia hanya tiga puluh peratus. Lagi-lagi pekerja bawahan seperti Nadiah. Lainlah Affan, dia ketua department.

"Dia dah turun lif rasanya. Kalau kita turun sekarang, mungkin sempat bertembung dengan dia." Cara Affan bercakap macamlah si Nadiah tu terdesak nak tengok muka bos tu. Tapi penting juga dia kenal muka bos sendiri. Silap hari bulan, tiba-tiba terserempak bos dengan perangai tak semenggahnya. Mahu diterajang keluar dari syarikat agaknya.

"Jomlah balik, kita pun dah lewat ni." ujar Nadiah. Affan terus mengangguk dengan senyum kecil. Affan kekasihnya, kalau diikutkan perancangan bulan depan mereka akan ikat tali pertunangan.

Lima bulan Nadiah bekerja di syarikat itu, akhirnya dia jatuh cinta dengan seorang lelaki. Ini pertama kali dalam hidupnya. Jujur dia masih ragu-ragu dengan lelaki. Tapi tingkah dan perangai Affan membuktikan lelaki itu bukan seperti lelaki yang ada di imaginasi Nadiah. Suara rendah Affan, pemikiran matangnya dan juga setiap kata-kata yang bagi Nadiah mempunyai makna di masa depannya.

Jadi, dia terima Affan.

Hubungan mereka tiada masalah, Nadiah pula sudah membiasakan diri dengan cara layanan Affan. Baginya Affan menghormati dia sebagai perempuan dan anak yang dibuang oleh ayah sendiri disebabkan orang ketiga. Jadi Affan begitu berhati-hati dengan perasaannya.

Disebabkan itu, Nadiah yakin Affan lelaki yang tepat. Buat masa ini.

Kecuali untuk yang satu ini.

"Nad! Affan!" Nadiah hela nafas panjang mendengar namanya dan nama Affan dipanggil seseorang. Kepala dipaling malas-malas kebelakang.

Farah, nak dikatakan kawan baik. Tidak juga. Mereka bergaduh, berbaik dan bergaduh lagi. Entahlah, dia nak kata diri tak matang pun, Farah satu-satunya orang yang suka bergaduh dengannya. Ada sahaja perkara nak dibangkitkan perempuan itu. Dari zaman pratikal sampailah ke tempat kerja tetap, Farah mengikutnya. Dia tak faham apa motif perempuan itu mengikutnya kerja disitu. Kata Farah rezekinya dapat kerja disini padahal Nadiah tahu sebelumnya Farah sudah dapat tawaran kerja di syarikat lain yang jawatannya lebih bagus di syarikat ini.

"Kenapa Farah?" Affan menyoal. Oh ya, Farah masuk kerja di syarikat ini setelah sebulan Nadiah bercinta dengan Affan. Farah tahu semua itu dari kawan-kawan Nadiah yang lain.

Nadiah tak ada masalah mengenai itu. Dia tahu Affan setia. Walaupun beberapa kali dia cemburu melihat cara Farah cuba mendekati kekasihnya itu.

Buat masa ini, dia perhatikan sahaja tingkah Farah pada Affan. Tak mahu bersangka buruk dengan imaginasi masa lampaunya.

"Saya nak tumpang balik boleh? Kereta saya rosak. Semalam masuk bengkel." Farah cebik bibir.

"Boleh." Affan menjawab.

"Alhamdulillah. Harap kau tak keberatan Nad." Farah jeling aku yang diam memerhati.

"Aku okay je. Buat apa aku keberatan." Nadiah senyum tipis sebelum dia paling wajah ke lobi utama. Ada beberapa orang berkot hitam mengiring seorang kelaki berkemeja biru gelap.

Dia hanya lihat belakang tubuh lelaki itu.

"Itu Tuan Faisel. Bos besar kita." Farah berkata, turut memandang ke arah apa yang dilihat Nadiah.

"Kau dah jumpa dia?" soal Nadiah.

"Ya, dia handsome gila! Aku sampai tak dapat berkelip tengok muka dia tadi." Kalau Farah ni cakap handsome, dia tak percaya sangat. Cita rasa Farah dan dia tak sama. Orang umur 50 an pun Farah boleh cakap handsome.

"Ha yelah, jangan puji lelaki lain handsome depan Nad, I jealous." Affan berseloroh buat Nadiah melepas tawa kecil.

"Seriuslah Affan?" Nadiah pandang Affan dengan muka tak percaya.

"I serius." Affan tiba-tiba tukar riak serius buat tawa Nadiah makin kuat. Tak pernah-pernah Affan tunjuk cemburu, sekarang dia geli hati. Iyalah, celah mana Affan nak cemburu dengan perempuan hati beku macam dia ni.

Nadiah perasan Farah tidak ketawa bersama mereka, selain tersenyum tipis dan hambar melihat mereka. Tahan je lah Farah, kau yang sanggup nak tumpang kami.

Pandangan Nadiah hala kembali pada tubuh bos besar. Kali ini dia lihat lelaki itu sudah masuk ke dalam perut kereta yang dibuka luas untuknya. Wajahnya tidak jelas, jadi dia tak mampu nilai tahap handsome dicakapkan Farah. Sampailah pintu kereta bercermin gelap itu dikatup. Nadiah sudah tak berminat untuk tahu.

"BALIK rumah atau ke hotel Tuan Faisel?"

"Tunggu kejap, saya tunggu call dari mama." Faisel membalas. Dia peluk tubuh sambil melempar pandang keluar tingkap kereta. Pandangannya terhenti pada tiga batang tubuh.

"Siapa dua perempuan dengan Affan tu?" soal Faisel. Kali ini pembantu peribadinya turut menoleh memandang keluar tingkap kereta.

"Yang tak bertudung, Nadiah. Dia dari operations department. Dia kekasih Affan, sebulan lagi mereka akan bertunang." Jelas dan lengkap Afri menjawab soalan ringkas Faisel.

"Yang bertudung, Farah. Orang cakap dia kawan baik Nadiah. Dia baru enam bulan kerja di syarikat kita." Sambung Afri lagi. Kali ini Faisel cuma mengangguk kepalanya. Mata masih tetap memandang Affan dan dua perempuan itu berjalan ke tapak parkir kereta.

"Kenapa tuan tanya?" Afri soal kembali.

"Saya cuma curious. Selama ni, Affan tak nampak dekat dengan mana-mana perempuan. Baguslah kalau dia dah ada girlfriend." Faisel mengalih pandangan memandang skrin telefon bimbitnya. Nama mama memenuhi skrin telefon dengan deringan telefon mencelah perbualan mereka tadi.

"Ya, mama"

"Okay Faisel datang sekarang." Faisel matikan talian.

"Hotel." Ujarnya.

Sebaik itu kereta bergerak melintasi tubuh tiga orang yang masih berjalan itu. Pandangan sekilas Faisel berubah dua kali pandang saat wajah si perempuan bernama Nadiah berpaling memandang tepat ke arahnya.

Dia yakin Nadiah tidak dapat melihatnya di balik cermin gelap kereta itu. Tapi dia dapat lihat dengan jelas wajah perempuan itu. Sangat jelas.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro