BAB 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Movie anime tu dah nak keluar kan?" Tiba-tiba topik anime dibualkan mereka. Nadiah bertongkat siku pada cermin kereta dan meletak dagunya di tapak tangan.

Dia bosan.

"Ya, awak minat anime juga ke?" soal Affan penuh teruja.

"Ya, saya peminat anime. Dari kecil lagi saya dah minat. Terikut-ikut abang-abang saya." Farah ketawa kuat.

Entah bila si Farah tu minat Anime, dia tak pernah pula tengok perempuan itu layan Anime, selalunya drama Thailand aje memanjang.

"Jadi awak tengok juga lah anime yang saya cakap ni? Dah tengok movie dia?" soal Affan lagi.

"Belum, saya tak ada teman."

"Sama lah kita, Nadiah ni bukan suka sangat anime, jadi saya tak boleh bawa dia." Affan jeling Nadiah diam disebelah. Sedar Nadiah sudah bosan dengan topik perbualan mereka.

"Kita boleh tengok sekali." Sudah diagak itulah respon Farah. Nadiah tayang wajah bosan.

"Boleh juga." Kali ini matanya membulat memandang Affan. Agak terkejut. Dia fikir Affan akan menolak tapi lelaki itu dengan senang hati menerima perlawaan Farah. Sekarang hatinya membara, lagi-lagi mengerling senyuman lebar Farah di tempat duduk belakang.

Ah panas!

______

"MAMA." Faisel depa tangan apabila matanya menangkap susuk wanita tercinta berjalan terkedek-kedek dari jauh. Dengan jubah abaya yang dia hadiahkan bulan lepas. Datin Noor kelihatan lebar senyumnya.

"Faisel lama ke tunggu mama?" soal si wanita tercinta. Faisel geleng kepala dan serentak itu dia dakap si ibu lantas menghadiahkan kucupan di kepala mamanya.

"Tak lama, Faisel baru je sampai. How was your class?" soal Faisel lantas melerai pelukannya.

"Alhamdulillah, hari ni mama dapat ramai kawan. Belajar banyak benda baru." Faisel tarik nafas lega. Awalnya Datin Noor yang beria-ria mahu menyertai kelas mengaji, jadi Faisel minta pembantu peribadinya mendaftarkan kelas mengaji diadakan di hotel itu. Syukurlah, mamanya nampak selesa dan gembira.

"Oh itu kawan baru mama. Dia banyak tolong mama sepanjang kelas." Dari jauh Faisel menangkap susuk seorang wanita ralit bercakap dengan beberapa orang wanita lain disisinya.

"Dia ustazah sini ke?" soal Faisel kambali.

"Tak, dia pun join kelas mengaji, katanya baru tiga bulan." Puan Noor tersenyum memandang kawan barunya menghampiri.

"Noor, dah nak balik?"

"Ya, Suraya. Awak balik dengan siapa?" soal Datin Noor kembali. Faisel hanya peluk tubuh memerhati dua wanita itu.

"Saya drive sendiri." Suraya hulur senyum dan serentak itu matanya menangkap renungan Faisel.

"Ini anak awak ya, Noor?"

"Ya. Ini anak saya. Faisel nama dia." Noor tepuk lengan Faisel dan serentak itu Faisel menunduk wajah menyapa Suraya.

"Terima kasih sebab banyak bantu mama saya, aunty." Sopan Faisel menyapa.

"Aunty tak bantu banyak pun Faisel. Mama kamu ni memang rajin nak belajar. Lagipun kami sama-sama belajar. Tak salah saling bantu- membantu. Iyalah, tua-tua baru saya nak fokus belajar mengaji. Muda-muda dulu sibuk sangat dengan dunia." Suraya menyambung dengan tawa dihujung ayat.

"Kita sama Suraya, syukur Allah masih bagi kita peluang pada kita untuk belajar lebih tentang DIA."

Faisel yang mendengar hanya mampu tersenyum. Syukurlah, mamanya kembali bangkit dari mimpi ngerinya. Semoga masih ada sinar dari mata derita itu. Dia tak mahu melihat mama bersedih lagi.

________

"ASSALAMUALAIKUM."

"WAALAIKUMUSALAM, ibu. Macam mana drive hujan-hujan ni." Dari dapur, Nadiah terus keluar menyambut ibunya.

"Ibu bawa pelan-pelan je, Nadiah." Suraya hulur tangan dikucup si anak.

"Nad baru teringat nak call ibu. Tapi takut ganggu ibu drive. Itu Nad tunggu dulu. Kalau ibu balik lambat, Nad call ibu bebel-bebel." Bertukar siapa yang ibu dan siapa anak sebenarnya ni?

"Nad dah masak ya?" Suraya ubah topik.

"Baru je nak masak, Nad balik lambat sikit hari ni. Tunggu Affan meeting dengan bos besar." Nad melangkah ke dapur diikuti ibunya.

Nadiah tiada kereta sendiri lagi, dulu dia berulang-alik kerja dengan pengangkutan awam sahaja. Tapi sejak bercinta dengan Affan, lelaki itu banyak menumpangkan anak daranya itu. Puas Suraya menyuruh Nad menggunakan keretanya, tapi Nad keras menolak. Dia risau ibunya ada urusan penting mahu menggunakan kereta.

"Oh, Affan sihat?" Walau dah bercinta lama, rasanya baru sekali Suraya melihat Affan. Kata Nadiah, teman lelakinya itu terlampau sibuk. Jadi dia tak ada banyak waktu untuk datang ke rumah.

"Sihat, alhamdulillah." Nadiah kembali mengacau lauk di dalam periuk.

"Ibu nak cakap sikit ni. Tapi ibu harap Nad jangan marah ibu ya." Suraya henyak punggung di atas kerusi dapur. Mata tak lepas memandang belakang tubuh anaknya.

"Apa tu?" Nadiah soal sambil dia cedok kuah Tom Yam, ditiup-tiup lantas diletak di atas tapak tangan. Tapak tangan dibawa ke mulut merasa kuah itu sudah cukup rasa atau belum.

"Ini pasal pertunangan kamu dengan Affan bulan depan." Nadiah berhenti dengan kerjanya sejenak. Dia tutup dapur dan memaling tubuh memandang Suraya.

"Kenapa ibu?"

"Ibu tak kisah kalau kamu bertunang. Tapo ibu nak tanya, Nadiah dah fikir ke kahwin bila? Sebab urusan wali." Suraya teguk air liur melihat wajah anaknya berubah kelat.

"Kalau Nadiah dah fikir bila nak kahwin, ibu nak siap-siap jumpa ayah kamu." Mereka tahu dimana Razif itu tinggal tapi mereka tidak pernah ambil peduli tentang kewujudan lelaki itu.

"Kenapa dia tak mati je."

"Nadiah.. dia kan.."

"Dia bukan ayah Nadiah." Belum sempat Suraya habiskan ayat, Nadiah sudah memotong. Nampak sangat betapa bencinya Nadiah pada Razif.

"Tak apa lah, nanti ibu fikir macam mana urusan wali kamu." Suraya angkat punggung.

"Tak apa, Nadiah yang nak kahwin. Ibu jangan risau, nanti Nadiah dengan Affan akan uruskan."

Suraya angkat wajah memandang raut wajah anaknya. Redup. Dia tahu, derita lama masih tersisa di hati Nadiah. Tak mudah maafkan lelaki yang membuang mereka seperti sampah. Sedangkan dia sendiri masih tidak ikhlas dengan apa dilakukan Razif dahulu.

***

"LAMA ke kau duduk Malaysia? Bila balik Singapore?" Faisel berpaling melihat Aril datang membawa gelas air padanya. Sekarang mereka berdua berada di stor belakang rumah membuat rak bunga untuk Puan Noor.

Pagi-pagi lagi, mama Faisel itu sudah kejutkan anaknya untuk buat rak bunga itu. Kebetulan si sepupu datang dengan langkah kiri. Terus diheret Faisel untuk membantunya.

"Aku rasa mungkin stay sini je kot. Mama aku ada join kelas mengaji. Nampak dia happy." Faisel buang sarung tangan digunanya untuk mengergaji kayu tadi. Gelas dibawa Aril disambut lalu dia meneguk air di dalamnya.

"Bagus juga. Dah lama kau berulang alik Malaysia ke Singapore. Aku rasa rindu mak long dah terubat." Aril menyambung. Faisel letak kembali gelas dibawa Aril di atas bangku sebelum dia capai kembali sarung tangan lalu dipakai.

"Mama aku yang tiba-tiba cakap dia nak belajar mengaji dekat Malaysia. Aku bersyukur. Pagi ni pula, dia minta aku buatkan rak bunga untuk dia. Kau rasa?" Faisel tersenyum lebar. Gembira betul dengan permintaan mamanya.

"Mama kau dah nampak tanda-tanda nak duduk lama kat sini. Alhamdulillah." Aril membalas.

Tiga tahun yang lalu, Faisel hilang Ayah dan adik lelakinya di dalam sebuah kemalangan. Di dalam kereta itu ada tiga orang, seorang pemandu, Dato' Yunus, papa Faisel dan Aysar adik lelaki Faisel yang umurnya muda empat tahun dari dia dan Faisel. Ketiga-tiga mereka meninggal. Tiada motif pembunuhan ditemui, semuanya berpunca daripada kemalangan biasa.

Kematian itu memberi kesan begitu lama buat Datin Noor. Mana taknya, wanita itu orang terakhir menemui Dato' Yunus dan Aysar sebelum keduanya meninggal dunia. Pelbagai cara diguna Faisel untuk mengubat luka mamanya. Malaysia terlalu memberi duka pada Datin Noor, akhirnya Faisel memilih untuk berpindah ke Singapura, sementara Datin Noor mengubat rindunya dan mengikhlaskan kematian suami dan anak bongsunya itu.

Lama dia berulang alik dari Singapura ke Malaysia untuk Datin Noor dan syarikatnya di Malaysia. Hampir 3 tahun masa diambil untuk Faisel membantu ibunya mengikhlaskan semuanya. Dia bawa Datin Noor melancong, dia beri sepenuh perhatian untuk rawat wanita itu.

Entah bagaimana, Datin Noor terbuka hati untuk pulang ke Malaysia. Tujuannya untuk menyertai kelas mengaji di adakan di Malaysia. Bersyukurnya Faisel hanya tuhan sahaja yang tahu. Lagi-lagi melihat respon positif sejak mamanya kembali ke rumah itu.

Kali ini dia yakin, Datin Noor sudah mula menerima takdir hidup mereka.

"Kau dah boleh slow-slow cari teman untuk mama kau." Aril mengusik sambil dia capai tukul dan paku.

"Teman?" Kening Faisel bercantum memandang sepupunya.

"Lah, kau tak faham? Teman. Wife. At least mama kau ada kawan berborak. Mama kau mesti happy. Lagi-lagi kalau kau bagi dia cucu. Aku jamin, Sedih dia terubat sama. Orang cakap, lepas hujan, ALLAH hadirkan pelangi. Haa, macam tu lah rasa dia." Aril berkata macam dia tu dah kahwin. Padahal sama dua kali lima. Sama-sama bujang tua.

"Aku ada terfikir. Tapi sekarang aku takut."

"Kau takut apa?" Aril kerut dahi.

"Kau letak dua ratu dalam satu istana, kau rasa?" Faisel tarik senyum sinis sambil mencapai gergaji kembali.

"Aku tak nak pergunakan wife aku untuk bahagiakan mama aku. Dan aku tak nak, nanti mama aku tersisih bila aku dah kahwin. Aku tak nak benda tu terjadi. Sebab tu kahwin, tak ada dalam future list aku." Mudah jawapan Faisel buat Aril terdiam dengan helaan nafas berat.

Mahu menentang pendapat Faisel, lelaki itu ada alasannya. Kalau dia jadi Faisel pun, mungkin dia akan fikir perkara yang sama. Tak mudah meninggalkan seorang ibu yang sudah sendiri. Sakit dan emosi Puan Noor di bawah tanggungjawab Faisel sekarang.

Dan misi hidup Faisel sekarang cuma satu, membahagiakan wanita dipanggil mama itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro