48 + kecantikan tak terlihat

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

48 + kecantikan tak terlihat

SOLAR menangis.

Sebenarnya kenapa?

"Jangan lihat aku!" marah Solar seraya menutup wajahnya, merah padam.

Hayes mengangkat kening tidak mengerti. Tutup muka segala. Tersentak Solar apabila Hayes cuba melihat wajahnya. Bawah bibir digigit Solar, mana mungkin Solar memperlihatkan air mata di hadapan Halilintar a.k.a Hayes.

Terjerit kecil Solar saat Hayes berjaya menarik keluar tangannya agar tidak terus menutup wajah. Kedua-dua mata merah kerana menangis, bersama bibir yang menggigil hebat. Hidungnya memerah.

Hah, Solar ketahuan menangis.

"Kenapa kau menangis?" soal Hayes selamba. Ini hal yang jarang.

Laju Solar menyeka air matanya.

"Bo... bodoh! Aku tak nangislah!"

"Eleh kau, nak tipu pun agak-agaklah. Cengeng," ejek Hayes tiada tapis-tapis. Agak kesal kerana Solar memanggilnya 'bodoh'.

Merona merah wajah Solar menahan rasa geram. Kembali tunduk memandang bawa tidak mahu berhadapan dengan Hayes. Selama ini Solar cuba nampak kuat di hadapan lelaki itu, sekarang dia malah menunjukkan sisi lemahnya.

Mana Solar mahu letak mukanya?

Air liur ditelan Hayes. Rasa ingin tahunya mulai meninggi. Dia benar-benar ingin tahu mengapa Solar sendirian di sini. Pasti ada alasan yang membuat lelaki ini mengalirkan air mata.

"Nah, aku tanya betul-betul ni. Kau nangis sebab apa?" Hayes menyoal ingin tahu.

"Buat apa kau nak tahu? Sibuk je."

Ugh. Memang menyebalkan sungguh! Hayes cuba tahan rasa kesalnya daripada meledak keluar.

"Mana tahu aku boleh bantu."

"Kau tak faham." Berkerut dahi Hayes mendengarnya.

"Cuba buat aku faham. Kita mungkin tak berapa akrab, tapi aku pendengar yang baik. Lebih baik kau luahkan daripada pendam," pinta Hayes bersungguh-sungguh.

Sejak kecil, ibu mengajarnya agar tidak mengabaikan orang yang berada dalam kesedihan. Hayes dilahirkan dengan hati yang terlalu baik, kerana itu dia tidak boleh melihat orang-orang terus larut dalam kesedihan.

Selagi Hayes boleh bantu, dia akan bantu.

Solar tertawa sinis. Apa lelaki itu akan memahaminya? Tidak. Itu mustahil. Halilintar hidup dalam kemewahan, semua mencintainya, sedangkan Halilintar tidak melakukan apa-apa dan berusaha keras, orang-orang tetap tidak meninggalkannya.

Apa ini adil?

"Solar, kalau kau ada masalah, kau boleh bincang dengan yang lain. Kau ahli Sakura, kan? Aku juga termasuk. Kita sama-sama ahli Sakura, sepatutnya sekarang kita lebih rapat, kan? Aku mungkin tak suka kau, tapi aku tak begitu jahat abaikan orang yang berada dalam kesedihan."

Tergamam Solar mendengarnya. Seluar digenggam erat Solar sambil mengetap bibir. Apa lelaki ini benar-benar Halilintar? Halilintar tidak mungkin bicara begini.

Lelaki itu, begitu dingin. Tidak punya rasa peduli, tatapan yang tajam dan sesiapa yang mengganggu dia menerima padahnya.

"Siapa kau sebenarnya?"

Terkelu lidah Hayes mendengarnya. Solar angkat kepala menatap tajam Hayes buat Hayes kehilangan kata-kata. Tidak mungkin Solar tahu sesuatu, tanpa sedar Hayes sudah berpeluh-peluh.

Hayes akui, Solar memang bijak. Namun untuk mengetahui identitinya, itu mustahil.

"Apa... maksud kau?" Tergagap-gagap Hayes membalas sambil tertawa canggung.

Jangan sesekali ketahuan, Hayes mohon.

Semakin tajam Solar menatap Hayes. Suara lelaki itu jelas tergagap-gagap, pasti dia menyorokkan sesuatu. Hayes tidak mampu menatap matanya, fokus memandang tempat lain dan berpeluh-peluh.

Hayes tidak dapat menipu.

"Kau memang nampak macam Hali, tapi kau bukan dia." Gulp. Kenapa lelaki ini sangat bijak? Hayes kehilangan kata-kata.

Solar mula mengenakan cermin matanya semula seraya bangun dari terus duduk atas kerusi panjang tersedia.

"Aku tak tahu siapa kau, aku harap lepas ni kau tak ada keinginan nak masuk campur urusan aku. Aku boleh selesaikan sendiri," kata Solar tanpa berlengah lagi terus mengundurkan diri.

Hayes terlopong tidak percaya. Wah, lelaki ini! Punggung mulai dilabuhkan atas kerusi panjang, sambil memandang dada langit yang tidak berbintang. Hampir sahaja identitinya ketahuan.

Setelah ini, Hayes harus lebih berhati-hati.

+++

AIR tin berkarbonat yang dibeli ditatap Blaze. Blaze mengeluh berat, dia gagal memberi ini kepada Thorn sebagai tanda permohonan maaf. Sedangkan Thorn sekelas dengannya. Kenapa sulit begini untuk memohon maaf?

Blaze meraup wajah sendiri. Bibir ditampar berkali-kali, kerana bibir ini telah menuturkan kata-kata jahat.

Habis sekolah, waktunya pulang ke kediaman masing-masing. Namun Blaze tidak mahu pulang lagi, lebih baik dia menenangkan fikirannya. Hati acap kali rasa bersalah terhadap Thorn. Kalau Thorn tidak memaafkannya, apa yang harus Blaze takukan?

Buntu.

Saat Blaze menyelak semak samun yang terlindung, kelihatan seorang gadis sedang melukis pada kanvas putih. Hanya ada gadis itu sendirian, meluahkan segalanya melalui kanvas putih. Sepasang iris ungu yang indah, sesiapa yang memandangnya pasti terpesona.

"Kakak?" Ah, Harlett.

Terhinjut kedua-dua belah bahu Harlett saat dipanggil. Tidak pernah sesiapa berjaya menemui tempat persembunyiannya, bagaimana lelaki itu boleh tahu? Wajah tersipu-sipu saat sedar lelaki yang memanggilnya ternyata Blaze.

Hero Harlett.

"Blaze?" Blaze hanya mengukirkan senyum. Kedua-dua kaki mula menghampiri Harlett. Gadis itu sedang melakar pemandangan.

"Kakak tak balik? Semua orang dah balik," soal Blaze ingin tahu. Pemandangan yang dihasilkan Harlett, sungguh indah.

Berus digenggam Harlett erat, cuba mengawal rasa gugupnya. Acap kali berhadapan dengan penyelamatnya, jantung ini berdebar-debar. Melihat tiada sebarang respons daripada Harlett, selamba sahaja Blaze merampas berus di tangan gadis itu.

"Apa... awak cuba buat?"

Blaze hanya mendiam, dia mula membasahkan berus dengan cat, seraya menyentuh kanvas putih yang terlakar pemandangan indah. Harlett tertanya-tanya apa yang cuba Blaze lakarkan pada pemandangannya.

Lelaki itu leka melukis sesuatu. Harlett tatap sepasang iris jingga milik Blaze, warna matanya seperti api yang berkobar-kobar. Menyilaukan, kadang seperti matahari. Sedangkan warna mata Harlett, ungu gelap seperti malam.

Jika Blaze ialah matahari, Harlett ialah bulan. Matahari dan bulan yang mustahil berjodoh.

Usai melakar apa yang patut, Blaze angkat kepala menatap Harlett buat Harlett malu sendiri. Sebentar tadi, mata mereka berdua sempat bertembung.

"Tadaa! Aku rasa ada yang kurang, jadi aku lakarkan rama-rama ungu. Mirip seperti warna mata kakak, cantik." Can... cantik?

Apa Blaze baru sahaja memujinya? Harlett menggenggam erat skirt sekolah, sambil menahan rasa malu yang teramat. Benar, rama-rama ungu yang dilakar Blaze sangat cantik di mata. Harlett tidak pernah terfikir untuk menambah rama-rama pada pemandangannya.

Apa dirinya yang gemuk dan hodoh ini, layak menerima pujian? Sedangkan Blaze cukup sempurna di mata Harlett.

Apa dia layak menerima pujian itu? Saat Harlett menyedari dunia mereka berdua berbeza, merobek-robek sekeping hatinya.

"Saya tak cantik. Hodoh, lepas tu gemuk. Tak menarik." Tergamam Blaze mendengar balasan daripada Harlett.

Raut wajah Blaze berubah ketat. Apa ada yang mengganggu Harlett tanpa pengetahuannya?

"Siapa cakap? Kakak cantik di mata aku," kata Blaze sambil menatap wajah Harlett.

Ya, gadis itu cantik. Namun hanya orang-orang tertentu sahaja yang dapat melihat kecantikan itu. Dan Blaze dapat melihatnya.

Kecantikan yang tidak terlihat.

"Sesetengah mereka kata macam tu sekadar nak menyedapkan hati. Dalam hati kita tak tahu. Saya tak boleh percaya awak," bicara Harlett panjang lebar. Inilah realiti menyakitkan.

Kalau dilahirkan dengan paras yang cantik, mahu dia baik atau jahat, orang-orang akan tetap memilih yang cantik. Saat Harlett mengetahui kenyataan itu, wajah hodoh sepertinya kalau hati baik atau jahat, tetap dilayan buruk.

Apa salahnya? Sedangkan yang membezakan hanya cantik dan hodoh.

"Masalah kakak sebab kakak tak pernah cuba anggap diri kakak cantik. Kakak lebih pedulikan pendapat orang lain sampai diri kakak sakit. Anggap saja mereka tak pernah wujud, kakak. Aku tahu betapa cantiknya kakak, aku harap kakak boleh cintakan diri kakak," ujar Blaze sambil tersenyum tipis.

"Macam mana saya nak cintakan diri sendiri kalau saya rasa semua ni tak adil? Macam mana?" soalnya keliru.

Bibir mengukir senyuman buat Harlett.

"Sebab kenapa kakak tak boleh cintakan diri sendiri sebab kakak juga menilai orang berdasarkan paras mereka, kan? Kakak sama saja macam mereka, mengagumi kecantikan yang terlihat."

Kata-kata Blaze buat Harlett terdiam. Jadi itu sebab dia tidak boleh mencintai diri sendiri? Kerana terlalu mengagumi kecantikan orang lain sampai sakit hati. Kepala Harlett tunduk memandang rumput.

"Tapi, kakak masih dapat cintakan diri sendiri kalau berusaha. Aku akan selalu sokong kakak!" ujarnya bersemangat.

Ah, betapa menyedihkan. Berkaca-kaca mata Harlett mendengarnya. Dia anggap tiada lagi orang baik, namun ternyata masih ada menerima segala kekurangannya. Cepat-cepat Harlett menyeka air mata yang mahu mengalir.

Kepala diangkat menatap Blaze. Bibir mengukir senyuman buat lelaki itu.

"Terima kasih, Blaze."

Senyuman Harlett dibalas Blaze. Tatkala Harlett tersenyum, ada rama-rama yang singgah. Blaze ingin menuturkan kata-kata yang boleh buat orang tersenyum, bukan sakit hati. Orang-orang yang mendengarnya ingin berubah menjadi lebih baik.

Perlahan-lahan, Blaze cuba berusaha berhenti menuturkan kata-kata jahat yang menyakitkan.

"Kakak..." Terangkat kening Harlett apabila Blaze malu-malu sendiri.

Kenapa tiba-tiba malu ini? Blaze mula menggaru pipinya yang terasa hangat, air liur diteguk.

"Apa kakak tahu macam mana nak minta maaf kat orang?"

Terkebil-kebil Harlett mendengarnya. Apa Blaze ada berbuat salah? Tidak lama itu Harlett lakarkan senyuman, hatinya rasa suka apabila Blaze memerlukan bantuan.

Oh, hati Harlett berbunga-bunga.

"Kalau orang yang awak sakitkan hati dia lembut, minta maaflah dengan tulus. Pasti dia akan terima permohonan maaf awak."

Tersentak Harlett apabila Blaze tiba-tiba tunduk 90 darjah di hadapannya.

"Baik!"

+++

[tambahan]

"Thorn, aku minta maaf sebab dah buat kau sakit hati! Pukul je aku!"

Tersentak Thorn yang sedang menyarungkan kemeja sekolah dengan kehadiran Blaze secara mendadak. Sejak bila Blaze sudah tiba ke kediaman Sebastian dan selamba masuk ke dalam kamarnya?

"Maaf tuan muda, kami tak dapat halang..." Beberapa pengawal menundukkan diri kerana gagal menghalang kehendak Blaze.

Sepasang iris jingga itu bertembung dengan bola mata hijau bersih milik Thorn. Tidak sampai beberapa saat, wajah Thorn merona merah seperti epal masak ranum. Kamarnya diterjah.

"Aku... maafkan! Dahlah, keluar!" Dengan wajah yang merah padam, lantas Thorn cuba menolak tubuh Blaze agar keluar dari kamarnya.

Bersinar-sinar mata Blaze mendengarnya. Apa Thorn sudah memaafkannya? Semudah ini?

"Thorn! Tubuh yang mengagumkan, kau benar-benar lelaki sejati!"

"Ke... keluar!" Kenapa Blaze melihat tubuhnya pula? Ini nak minta maaf ke atau melihat tubuh?

Terkekeh Blaze ketawa kerana berjaya mengenakan Thorn. Memang yang paling menyeronokkan buat Thorn merah seluruh wajah! Nampaknya Blaze telah menunjukkan ketulusan dalam memohon maaf.

'Kakak, aku berjaya!'

Finished on Friday, 17 May 2024
Published on Monday, 27 May 2024

1617 words

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro