Belon merah

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

'Maaf sayang, saya agak sibuk sekarang. Esok ada mesyuarat penting. Banyak yang perlu diuruskan. Kita jumpa lain kali.'

Mesej daripada Reanna membuatkan Syifa mengeluh. Syifnya baru tamat pagi itu dan rancangan untuk minum-minum terpaksa dibatalkan. "Tak seronok minum sendirian."

Kemudian, dari tingkap ruang rehat, kehijauan taman di seberang jalan hospital seperti menarik perhatian Syifa.

Taman itu kecil sahaja. Namun begitu, ia menjadi tumpuan ramai warga kota. Ada yang bersenam, ada yang sekadar bersantai. Tidak kurang juga yang datang untuk meniaga makanan ringan, permainan dan barangan kecil lain. Mata Syifa terus tertumpu kepada penjaja belon. Senyuman Syifa memekar dan langkahnya ringan menuju ke arah penjaja.

"Saya mahu belon warna merah. Lima."

Lima biji belon merah bertukar tangan. Serta-merta Dr. Syifa yang sering berwajah serius, bertukar menjadi keanak-anakan. Dia melompat-lompat riang di atas laluan pejalan kaki.

"Doktor! Hei doktor!"

Langkah Syifa terhenti. "Siapa?"

"Awaklah doktor!" Marah seorang lelaki berkepala botak. Wajahnya kelihatan begitu bengis. Baju Hawaii corak bunga raya merah, hanya menambahkan gerun kepada orang sekeliling.

Manakala rakan yang berdiri di samping pula membawa penampilan yang bertentangan. Aneh dan kurang menyenangkan. Rambut lurus paras bahu, baju-t ungu gelap dan pembayang mata fuchsia. Jauh lebih feminin daripada Syifa sendiri.

Rupanya Syifa terlupa menanggalkan seragam perubatan yang sengaja dipakai untuk menghalang hawa sejuk hospital. "Ada sesiapa yang tercedera?"

Lelaki itu mengusap-usap kepala yang gondol dan licin. Pantas dia menunding ke arah belon merah yang dipegang oleh Syifa. "Boleh saya beli belon doktor?"

"Huh?"

"Berapa harga sebiji belon?" Dompet dikeluarkan daripada poket bermuda. Masih dengan corak bunga raya. "Penjaja belon di sana kehabisan belon warna merah. Hanya tinggal belon kartun yang langsung tidak comel."

"Saya tak jual belon."

Tiba-tiba sahaja muncul seorang kanak-kanak perempuan yang sangat manis, berbaju merah jambu. Beberapa orang pemuda berperawakan seperti samseng kelihatan termengah-mengah di belakang. Jerit si kecil, "Hei botak!"

"Saya bukan botak!" Lelaki itu marah-marah, tetapi dibiarkan sahaja anak kecil lingkungan usia lima tahun itu memanjat kakinya. "Belon itu untuk dia." Anak kecil tadi diangkat dan diletakkan duduk di bahu.

Penjelasan yang membuatkan Syifa tersenyum senang. Kelima-lima belon merahnya dihulurkan kepada si gadis kecil. "Ambillah semua. Tidak perlu bayar."

Mata anak gadis itu membulat. Tangannya didepa luas-luas. Jerit si gadis kecil, "Belon!"

Belum sempat belon-belon itu bertukar tangan, lelaki tadi menahan. Dia hanya mengambil sebiji belon. Bakinya dipulangkan semula kepada Syifa. "Tidak eloklah jika kami ambil semua belon doktor."

"Nak belon! Nak belon!" Gadis kecil itu meronta-ronta lalu menggigit kepala si botak.

"Jangan tamak!" Belon yang diambil tadi, diberikan kepada anak kecil tersebut. "Kamu hanya perlukan satu belon sahaja. Kalau banyak-banyak, nanti kamu diterbangkan angin pula. Penat kami nak kejar!"

Riang si anak ketawa mengekek. Syifa tersenyum-senyum.

"Kenapa doktor ketawa?" Jerkah si botak.

Kali ini perasaan gerun di wajah Syifa seperti telah ditiup pergi. "Saya suka lihat cara awak layan anak awak. Comel!"

Pujian Syifa membuatkan lelaki botak itu terus meletup, "Ini bukan anak saya! Saya hanya bawa anak bos berjalan-jalan!"

Rakannya di sebelah, ketawa terbahak-bahak. "Aku tak boleh bayang kau ada anak!" Lelaki-lelaki yang tadi lelah mengejar si gadis kecil juga ketawa.

"Kenapa kalian ketawa? Ketuk ketampi seratus kali! Sekarang!" Suara tegas pemuda tanpa rambut itu membuatkan pengikutnya segera patuh. Setelah itu dia berpaling semula kepada Syifa. "Terima kasih doktor. Kami tidak boleh terima sesuatu tanpa membayarnya. Apa kata kami belanja doktor makan?"

Cepat-cepat Syifa menolak. "Tidak perlulah, benda kecil sahaja. Lagipun saya ada hal lain."

"Lain kali pun boleh. Berikan nombor doktor." Lelaki itu memberi arahan penuh autoriti.

"Ah, kau hanya menakutkan dia." Rakannya mengambil tempat di hadapan Syifa. Sekeping kad dihulurkan. "Ini kad kami. Sekiranya doktor ada sebarang masalah, telefon sahaja. Oh ya, nama saya Yuti, ini Ikmal dan si kecil ini Yaya."

Kad tadi dibelek-belek. "Syarikat keselamatan ZK Sdn. Bhd.?"

"Syarikat kami membekalkan pengawal keselamatan dan pengiring peribadi." Kening Yuti ternaik-naik. "Jika doktor ada sesiapa yang difikirkan, kami boleh bereskan." Senyuman sinis penuh muslihat yang dilempar oleh Yuti, membuatkan Syifa terundur beberapa langkah.

"Sayuti, jom pergi!" Ikmal dan Yaya telah pun melangkah pergi.

Marah Yuti, "Berapa kali aku nak kata. Jangan sebut nama penuh aku!" Sebelum ikut berlalu, Yuti berkata, "Terima kasih Dr. Syifa. Jumpa lagi!"

Syifa melihat tag nama yang tersemat di kot putih. "Oh, ini pun saya lupa tanggalkan?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro