Shuheizy

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Pagi itu, Syifa melangkah riang ke tempat kerja. Kasut merah beriben satu seakan memberi semangat baru kepadanya. Langkah yang dihayun kelihatan ringan, seperti melayang-layang. Mudah sahaja Syifa sampai ke pintu wad.

"Selamat pagi semua," sapa Syifa penuh ceria.

Balas jururawat di kaunter, "Selamat pagi Dr. Syifa." Cepat sahaja jururawat itu mengecam kasut baru sang doktor. "Lawa kasut doktor!"

Pujian yang membuatkan Syifa tersengih hingga ke telinga. Rekod pesakit diperiksa satu-persatu. Kemudian, sambil diiringi seorang jururawat, Syifa memulakan tugas melawat katil-katil pesakit.

Sampai di sebuah katil, langkah Syifa terhenti. Seorang pemuda yang berbalut separuh wajah, serta cedera di bahagian kanan badan sedang terbaring tidak sedarkan diri. Jelas jururawat, "Encik Shuheizy ini masuk malam tadi. Khabarnya terlibat dengan pergaduhan di kelab malam."

Syifa mengangguk-angguk. Rekod pesakit disemak, luka-lukanya diperhatikan. "Luka kerana diserang dengan cangkuk?"

"Kalau ikut kata Azmi di kecemasan, itulah yang diberitahu oleh rakan pesakit."

"Dia bernasib baik kerana tidak terkena organ yang penting. Tetapi mungkin nanti dia perlukan terapi untuk menggunakan tangan kanan." Syifa terhenti pada wajah si pemuda. "Luka di muka akan memberi parut yang besar."

Setelah itu, Syifa mencatat sesuatu di rekod dan berlalu untuk memeriksa pesakit yang lain.

++++
"Doktor, pesakit di katil tujuh itu sudah terjaga."

"Yang cedera di muka itu?"

"Encik Shuheizy."

"Baiklah."
++++
Pemuda itu hanya terkebil-kebil. Soalan yang diajukan kepadanya dijawab perlahan. Adakala hanya dijawab dengan anggukan atau gelengan. Namun begitu, sebelah mata Shuheizy yang tidak berbalut, terus merenung Syifa.

"Baiklah, Encik Shuheizy berehat sahaja. Nanti kalau perlukan apa-apa, boleh panggil misi."

Pemuda itu mengangguk dan mengangkat tangan kiri. "Doktor, nak tanya!"

"Silakan."

"Ada sesiapa pernah tawarkan doktor untuk jadi model?"

Soalan yang tidak dijangka itu hanya dijawab dengan gelengan.

"Ketinggian doktor sesuai untuk jadi model." Shuheizy terdiam seakan berfikir. Matanya kembali kuyu. Gumamnya sebelum lena, "Kalau ada tawaran, jangan diterima. Doktor langsung tidak sesuai jadi model."

Mujur sahaja Shuheizy berada dalam keadaan cedera. Jururawat yang berada berhampiran, hampir sahaja mahu melempang pemuda itu. "Patutlah dia cedera teruk. Mulut macam longkang!"

Doktor Syifa hanya tertawa kecil. Tetapi sebaik sahaja jururawat tadi beredar, Syifa berbisik, "Tentu sahaja tidak sesuai. Saya tidak cantik. Hanya tinggi seperti gergasi."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro