Chapter 15

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Tadi kau tarik tangan aku, sekarang kau nak tutup mata aku pula. Kau dah kenapa?" sedari tadi tangan Huang menutup mata Aihan dengan tangan kasarnya selepas mereka berjalan selama beberapa ketika.

Takut pula Aihan rasa sekarang. Gadis itu mula berfikiran yang bukan-bukan namun dimatikan niatnya itu apabila difikirkan semula, Huang merupakan lelaki yang baik. Takkanlah dia nak buat perkara bodoh bukan?

"Sabarlah, kita dalam perjalanan ni. Sudah hampir sampai ke tempat yang dituju. Tempat ini memang bagus untuk kau, sangat, sangat bagus! Jadi ini merupakan kejutanlah. Mana boleh aku nak cerita pada kau," balas Huang dengan senyuman yang disorok-sorok.

"Huff..." Aihan mendengus kasar. Tidak begitu suka diperlakukan sebegini, kalau nak tunjuk tu tunjuk sajalah. Buat apa nak menutup mata sampai tidak nampak jalan ni. Selama hampir lima belas minit mereka telah berjalan. Pada ketika itu barulah Aihan merasakan yang mereka keluar dari istana.

Akhirnya,

"Sudah sampai! Kau boleh buka penutup mata tapi ingat, jangan pula kau terkejut nanti." suruh Huang dengan senyum kecil, menanti reaksi dari gadis itu. Sama ada dia akan gembira atau bertambah duka sehingga merajuk.

"Kau suka tak? Daripada hari kau merajuk dan kurung diri dalam kediaman, aku tidak pernah lihat langsung kau bersiar-siar di kawasan sekitar istana ini. Dengan pengorbanan kecil yang aku lakukan ini harapnya dapatlah membantu melupakan rasa sedih yang dialami oleh kau. Bagaimana?"

"Aku... aku..."

Risau Ming, takut kalau gadis itu tidak menyukai langsung apa yang dia telah lakukan kepadanya.

"Aku suka sangat! Aku suka! Indahnya tempat ini! Wah, bunga itu, aku suka!" Aihan menjerit kegembiraan, dengan langkah pantas dia berlari turun ke arah taman bunga yang indah dan berwarna-warni. Tangannya naik mencapai setangkai bunga berwarna merah terang.

Atau lebih tepat lagi, bunga ros. Bunga yang telah lama menjadi keinginan Aihan untuk melihatnya di depan mata sendiri. Riak wajah kegembiraan Aihan tidak dapat menahan senyuman yang keluar dari jejaka gagah yang sedari tadi melihat gadis itu.

Huang merasakan bahawa inilah kali pertama dia melihat Aihan gembira seperti ini. Kali terakhir dia melihat Aihan tersenyum masa mereka berdua mula-mula berkenalan tidak lama dahulu. Itupun secara tidak sengaja.

"Aihan, kau tidak apa-apa bukan?"

"Mestilah aku tidak apa-apa! Malah aku rasa sangat gembira! Terima kasih banyak Huang, kau telah banyak menggembirakan aku!" Tangan Huang ditarik oleh Aihan, mereka berdua berlari merentasi padang yang dihiasi dengan bunga berwarna-warni itu bersama.

Bermain dan memetik bunga-bungaan yang mekar dengan cantik dan menawan rupa, tidak ubah seperti kanak-kanak yang sedang leka bermain permainan menyeronokkan sehingga lupa hendak pulang ke rumah.

Setelah lelah menguasai tubuh masing-masing, mereka akhirnya berbaring tepat di tengah padang yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga yang luas terbentang di bawah langit petang yang semakin menghampiri waktu senja.

Indah seindah hati yang sedang menanti kata cinta dari seseorang.

"Kau tahu tak Huang, inilah perkara terindah yang aku akan ingat sampailah bila-bila. Kau tahu kenapa?" Aihan bertanya Huang dengan nada cerianya seperti sediakala.

"Kenapa?"

"Kerana aku mengenali jejaka berhati mulia seperti kau Huang... kau adalah manusia kedua berhati mulia setelah pakcik Ming. Jasa kau orang berdua mungkin tidak akan terbalas nilainya,

Umpama menyokong padi yang hendak rebah. Membantu orang yang lemah, dan suatu hari nanti akan dibalas semula dengan budi baik orang yang telah ditolongnya itu. Kau orang berdua telah membuktikan perkara itu. Dan kau telah menunjukkan kepada aku bahawa kau tidak sama seperti adik kau yang pentingkan diri dan penipu itu."

Huang tersentak seketika. Baru sebentar tadi, dia dipuji oleh gadis yang mempunyai bermacam-macam emosi dan juga perasaan? Biar betul, adakah ini hanya khayalan dan hanya angan-angan yang tidak berkesudahan?

"Kau memuji akukah?" soal Huang bodoh, dia tidak menyangka setelah berhari-hari gadis itu tidak mahu makan, minum dan tidur dengan cukup dan tidak langsung bercakap dengan Huang... akhirnya akan memberi maklum balas mesra dan menggembirakan seperti ini.

Gembiranya!

"Tidaklah, aku tidak memuji kau. Aku cuma...berkata sesuatu yang jujur tentang diri kau sahaja."

Huang tersengih sinis, tidak percayalah dia yang gadis itu tidak memuji dirinya. Dia dengar nada suara gadis itu tadi pun dia sudah boleh agak jika Aihan sedang memuji dengan ikhlas ataupun dengan niat suka.

"Masih ada lagi perasaan keras hati? Kau ni kan..." sedikit kesal dan juga Huang rasakan sekarang. Gadis itu tetap ingin merahsiakan perasaan yang sebenar walaupun dia hampir mengatakan perkara yang sebenar.

Apalah yang susah benar nak ungkapkan perasaan. Mudah sahaja, bukan?

Lamunan Huang diganggu apabila dia merasakan hidungnya gatal kerana bunga yang sengaja diletakkan di hidung pemuda itu oleh Aihan. Menyebabkan dia...

Haccum!

Merah hidung pemuda tinggi lampai berambut panjang itu kerana kelopak -kelopak bunga ros yang berlumba memasuki hidung.

"Kau ni memang sengajakah?" Huang mengusap-usap hidungnya, tidak cukup dengan itu, Aihan sudah menghilangkan diri. Laju betul dia lari sampai gadis yang terlihat seperti manusia sebenar hanya tinggal halus seperti bayang-bayang yang semakin menjauh.

"Mana kau nak lari. Tunggu!" Huang ketawa termengah-mengah sebelum dia turut sama berlari mengejar si gadis yang melarikan diri.

❀❀

"Kau orang semua, semakin lama semakin mencurigakan. Cuba beritahu aku tujuan kau orang tidak membenarkan aku untuk meneruskan pengembaraan bersama dengan Aihan. Kenapa nak tahan aku bersama dengan dia di sini?" Ming duduk dengan kakinya yang dilipatkan mencerlung tajam wajah Niu.

Bukannya dia tidak tahu yang jejaka itu telah bertanggungjawab membuat Aihan terluka hatinya dengan merahsiakan identiti sendiri dari gadis itu.

Padan muka, maut tidak mencari dia. Tetapi dia sendiri yang mencari maut.

Niu tidak berani lansung menatap wajah Ming. Apatah lagi hendak mengangkat muka, dia hanya membiarkan Maharaja Hao yang memberikan penjelasan.

Tidak mahulah dia membuat lelaki yang mempunyai berambut putih berwajah muda itu mengamuk.

"Begini Ming... kami tidak pernah berniat hendak menahan kau atau perkataan lain yang sama maksudnya dengan apa yang kau cuba sampaikan sebentar tadi. Tapi kami sebenarnya berdepan dengan masalah besar yang tidak dapat kami elakkan. Dan kami berfikir untuk meminta bantuan dari kau."

Tapak tangan Ming yang kekar dan kasar menghempas meja kayu mewah tempat di mana terletaknya berhadapan dengan singgahsana Maharaja.

"Kepantangan terbesar dalam hidup aku adalah orang menyembunyikan niat sebenar. Jangan nak berkelakuan seperti orang yang lahir memperlihatkan yang batin,

Jangan nak tunjuk lagak seperti orang yang bijaksana dengan menyembunyikan sesuatu masalah yang kononnya dapat diselesaikan. Tetapi, kosong! Tidak berjaya."

Nah, terdiam Maharaja Hao bila terkena panahan kata-kata yang biasa di luar tetapi pedih di dalam hati. Kesabaran kian menipis tetapi memikirkan Ming seorang yang bukan biasa-biasa bijaknya, diurungkan niat tadi.

"Jadi bagaimana Ming, sudikah kau membantu kami?"

Ming kelihatan berfikir sebentar, menyusun sesuatu yang mungkin menjadi rancangan kedua jika tidak menjadi, "Baiklah, apakah bantuan yang kau inginkan dari aku?"

🇵🇸1090 Words🇵🇸.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro