Chapter 16

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Kami inginkan bantuan buah fikiran kau yang bijak."

"Mengapa? Selama bertahun-tahun ini tidak pernah pula kau orang ingin mencari keberadaan aku untuk meminta bantuan. Mengapa hari ini tiba-tiba sahaja?" soal Ming sengaja ingin mencari kecurigaan di sebalik wajah-wajah yang ada di situ. Terutamanya sang Maharaja.

"Begini Ming. Kau tahu bukan, pembunuh upahan terkenal yang ditakuti ramai, Ju. Namanya kebelakangan ini telah menjadi sangat terkenal kerana pembunuhan yang telah dilakukan oleh kumpulannya." dahi tua Maharaja Hao yang sentiasa berkedut itu sedikit ringan apabila menceritakan tentang permasalahan yang telah lama dihadapi kerajaan itu.

"Ya, sudah semestinya aku tahu. Siapalah yang tidak mengenali Ju, musuh ketat yang selama ini cuba meruntuhkan dinasti pemerintahan engkau. Apa pula yang dia telah lakukan kali ini?"

Ming duduk sebelah lututnya menyamai ketinggian kepala dengan tangannya memegang kepala lutut. Dengan santai dia mengambil cawan teh dan meneguk air minuman sehingga habis. Menunggu sang Maharaja memberi penjelasan.

"Baru-baru ini...Ju telah menghantar surat ugutan yang menjadi kebimbangan beta dan juga seluruh pembesar. Huang, tolong ambilkan surat itu," perintah Maharaja Hao dituruti oleh Huang.

Dengan segera dia berlalu dan mengambil sebuah peti kecil yang hanya berukuran dua tapak tangan manusia dewasa sahaja. Diperbuat dari kayu dan warnanya gelap, kotak itu dibuka dan ada sebuah surat dengan kertas yang berwarna keperang-perangan. Diambil surat itu lalu diserahkan kepada Ming.

"Banyak kali kami cuba mengenal pasti isi kandungan surat ini, namun tidak pernah berjaya. Bahkan ahli nujum terhandal dalam China pun tidak mampu untuk menebak isi kandungan surat tersebut," tambah Maharaja Hao lagi dengan wajah yang sedikit gusar.

Kening lelaki abadi berambut putih itu berkerut, penting sangatkah isi surat ini? "Jadi hanya sekadar surat misteri? Kalau begitu tidaklah begitu parah-"

Kata-kata yang keluar dari mulut Ming tergantung apabila gulungan surat itu dibuka, bau hanyir yang sangat kuat sehingga pengawal istana yang sedang berkawal di pintu luar dewan juga boleh terbau.

Maharaja Hao dan pengawal istana lain menutup hidung, manakala Huang dan Ming tidak menutup hidung mereka. Sudah terbiasa dengan bau begitu.

"Aku tarik semula kata-kata aku. Memang parah..." Ming memegang sudut atas dan bawah surat itu dan cuba membaca isi kandungan yang tercatat dalam kertas tercemar darah itu. Diteliti setiap isi yang ditulis.

Ming perlahan-lahan meletakkan semula surat itu ke dalam kotaknya. Keningnya yang berkerut tidak lagi kelihatan tegang. Sangka Maharaja Hao, mungkin hanyalah masalah kecil sahaja.

"Ming, adakah masalahnya kecil?"

Ming bangun dari duduknya. Memperkemaskan jubah berwarna merah yang sedikit terlibat ketika dia duduk tadi. Langkah kaki diatur menghala ke arah jendela istana, menghadap gunung yang indah terletaknya.

Dengan melodi suaranya yang mendayu-dayu, Ming menuturkan puisi yang dikarang dalam surat berdarah itu...

Gendang perang telah berbunyi,

Menandakan tiba masanya revolusi,

Pemerintahan takhta lama wajib diganti dengan yang baharu,

Pemerintah durjana tiadalah akan selamat,

Dibunuhnya maka bergembiralah hamba sekalian,

Setelah selesai membacakan ayat yang dikarang dalam surat tersebut. Ming berjalan menghala ke arah maharaja dan menepuk bahunya,

"Ini bukannya perkara remeh Hao...ini...ini surat ancaman perang. Aku sudah pernah melihat surat seperti ini sebelumnya. Dan apabila surat ini dikirimkan kepada pemerintah, bermakna peperangan pastinya akan berlaku dalam masa yang terdekat."

Bulu roma sang Maharaja berdiri tegak tatkala mendengarkan segala apa yang yang diungkapkan Ming. Tubuhnya melemah dan terduduk dia di atas takhtanya. Huang meluru untuk menenangkan baginda namun tidak berjaya.

"Ming...tolonglah kami, jikalau engkau berjaya meneka isi dalam surat ini. Kau pasti dapat membantu kami dalam urusan peperangan. Beta mohon pada engkau...bantulah dinasti kami." Maharaja Hao tunduk buat kali pertamanya kepada seorang rakyat biasa. Inilah kali pertama dia menzahirkan kehormatan kepada seseorang begini.

"Sudah! Bangun." Ming membantu Maharaja Hao untuk berdiri, dia tidak suka dirinya disembah dan ditunduk sebegini rupa oleh orang lain. Dia bukanlah siapa-siapa.

"Jangan nak menjadikan diri kau lemah! Kau seorang maharaja, jangan menunjukkan kepada orang ramai kau seorang yang lemah. Ingat pesanan aku Hao, jangan sesekali menjatuhkan maruah kau sebagai seorang pemerintah dengan berbuat begini lagi. Pemerintah adalah orang yang sangat dipandang mulia dalam kalangan rakyat. Jangan sesekali tunduk kepada musuh!"

Maharaja Hao tidak tahu ingin berkata apa selepas mendengar nasihat makan dalam dari Ming. Tidak dia sangka yang rakyat biasa seperti Ming lebih mulia budi pekertinya berbanding dengan orang-orang kehormat seperti baginda.

"Jadi pakcik... sudikah pakcik membantu kami," soal Huang pula sedari tadi telah mendiamkan diri untuk masa yang lama. Apabila mendengar tentang sesuatu mengancam negara kelahirannya, tidak mungkin dia akan mendiamkan diri dan melihat sesuatu yang buruk berlaku.

"Aku tidak dapat nak berkata tidak. Sekiranya aku berdiam diri seperti seorang pengecut melihat sekumpulan orang jahat cuba mengancam tanah air sendiri, maka aku bukanlah seorang lelaki dan bukanlah seorang manusia yang mempunyai perikemanusian,

Aku bersetuju, namun aku mempunyai syarat sebelum aku membantu kau orang."

"Apakah syaratnya pakcik?" soal Huang dengan rasa ingin tahu. Harapnya bukanlah syarat yang sangat berat melibatkan emas mahupun harta benda lain.

"Mudah sahaja. Aku mahu memegang jawatan...sebagai jeneral perang dan mengetuai peperangan ini."

Huang mencelah, "Pakcik, bukannya kami tidak membenarkan pakcik untuk menjadi jeneral perang. Tapi bahagian ketenteraan dikawal oleh Pembesar Yuan. Beliau orang yang bertanggungjawab dalam mengerahkan askar dan melantik jeneral."

Dengan selambanya Ming membalas, "Namun dalam hal ini, kalian tidak boleh menolak permintaan aku. Kau orang sedar, tiada apa yang boleh menolong kerajaan ini selain aku,

pendek kata, hanya aku seorang sahaja yang mampu untuk menyelamatkan takhta ayahanda engkau dan juga seluruh rakyat dari dibunuh dengan kejam oleh penyangak tak guna ini."

Ming memegang surat itu dan menghalakan kertasnya ke arah lilin yang menyala berhampiran dengan meja kayu dalam dewan itu. Apinya membakar seluruh isi kertas sekali dengan darah.

"Takkan sesekali aku benarkan penyangak ini bermaharajalela di tanah air aku sendiri. Takkan kita nak diamkan diri sedangkan tanah air kita dilanda kekacauan dan huru-hara yang dicetuskan oleh si tak guna ini?"

Huang mengangguk dan lantas bersetuju dengan pendapat Ming. Dia melihat lelaki itu mempunyai semangat yang tinggi, dan dia tidak salah mempercayai Ming.

"Ayahanda, anakanda rasa lebih baik ayahanda ikut sahaja permintaan dari pakcik Ming."

"Kamu yakin?"

"Anakanda sangat yakin dan pasti yang pakcik Ming akan pulang dengan membawa kejayaan kepada kerajaan kita. Kelak, kerajaan dan juga ayahanda akan dipandang tinggi dan disenangi seluruh rakyat China. Bukankah ayahanda juga berhajat sedemikian?"

Maharaja Hao tidak membalas, ada betulnya juga cakap anakandanya. Dia mahu dirinya disenangi rakyat dan juga mendapat nama yang baik. Dengan itu, tiada sesiapa yang akan berani untuk menentang Maharaja Hao lagi. Lebih mudahlah untuk dia meluaskan pengaruhnya ke wilayah lain.

"Baiklah Ming, beta bersetuju. Bawa pulanglah kejayaan kepada beta dan pastikan Ju ditangkap...

tidak kira sama ada dia dalam keadaan hidup mahupun mati..."

(Hensem siot! Ini tsweetestrain Rain punya hal lah ni! Kita dah terminat Huang pulak! TQQ Rain for this art!)

🇵🇸 1100 Words 🇵🇸

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro