Bab 1🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Papa tak kira! Mira kena kahwin juga dengan anak Dato' Azlan."

Biskut Marry dikunyahnya malas. Entah banyak mana biskut ini sudah ditelan dari awal episod drama itu. Rasanya sudah separuh bekas dimakannya. Sesekali mulutnya menguap sambil menonton drama di skrin telefonnya.

'Lepas ni, mesti perempuan gedik tu melawan cakap bapa dia tu.'

Dia meneka.

"What? No! Mira tak boleh terima lelaki yang Mira tak kenal. Kejamnya papa! Papa ingat Mira ni anak patung ke? Boleh main-main kahwin macam tu saja," Kelihatan pelakon perempuan itu memeluk tubuh sambil memuncungkan mulut tebalnya.

'Lepas ni, mesti perempuan tu terpaksa juga kahwin dengan anak Dato' tu sebab bapa dia tak nak tanggung hidup dia.'

Dia meneka lagi. Matanya fokus pada lakonan anak beranak itu. Mahu pastikan apa yang dia meneka itu kena pada sasarannya.

"Apa yang Mira tak suka sangat dekat Ryan tu? Dia ada duit, dia boleh tanggung hidup Mira. Dia bukan CEO tua macam papa, dia CEO muda. Bukan senang nak dapat gelaran tu pada usia muda. You are lucky to have him..." Balas si bapa.

"Well, yeah. Dia masih muda. Kenapa dia perlu kahwin? Mira pun masih muda. I want to enjoy my life. You don't have to ask me to!" Lawan perempuan itu lagi.

"Fine! Kalau Mira tak nak ikut cakap papa, papa tak akan bagi satu sen pun harta papa dekat Mira."

Gadis di skrin telefonnya itu tercengang. Matanya membulat besar.

"No, pa... Papa tak boleh paksa Mira macam ni! Kalau papa tak bagi Mira duit, macam mana Mira nak hidup? Sampai hati papa buat Mira macam ni..." Mata pelakon itu berkaca sambil melihat wajah orang tua di hadapannya.

"Dafinah Awatif! Kau buat apa dalam bilik tu?"

Pintu biliknya diketuk kuat. Belum sempat dia berkata apa-apa, pintunya sudah dikuak dari luar. Wajah rakan serumahnya tersembul di sebalik pintu itu.

Dia mencebik. Sibuklah perempuan ni.

"Apa, Amal?"

"Ni dah kali ke tiga mak kau telefon aku dari semalam. Apa masalah kau kali ni tak angkat?" Rakannya yang bernama Amal itu melangkah masuk ke dalam biliknya.

Drama yang sudah pause itu dilihat sebelum retina matanya memandang wajah Dafinah. Kalau sebelum ini, alasannya ialah bateri telefon habis. Kali ini, menonton drama melayu pula? Entah apa-apalah cerita cliché rakannya layan ini.

"Oh lah... Aku lupalah pula nak call mak aku balik. Ha ni aku nak call mak aku. Thanks, Amal."

Dia baru teringat semalam Amal ada memberitahunya bahawa emaknya yang tidak mendapat sahutan panggilannya. Dia menayangkan gigi barisnya pada rakannya.

"Mak kau call aku lagi siap kau."

Amal memusingkan badannya seraya keluar dari bilik kecil itu. Biskut Marry di tangannya diambil lalu segera dia menyambung semula perbalahan tadi.

"Mira bukan kecil lagi. Mira dah besar. Takkan sampai Mira dah tua, papa kena suap lagi. Kalau Mira tak mahu kahwin dengan Ryan, Mira carilah kerja sendiri."

Dafinah mencebik.

'Mesti perempuan si Mira tu suruh bapa dia carikan dia kerja.'

"Okey, Mira nak kerja! Mira nak kerja dengan papa."

"Company papa tak ada jawatan kosong selain jadi pembersih syarikat. Mira nak?"

Hampir tersembur biskut yang dikunyahnya keluar dari mulutnya.

"Pembersih? You mean... Cleaner?"

Lelaki berumur 50-an itu mengangguk.

"No, papa. How dare you want your own daughter work like that?" Mahu menangis wajah perempuan yang dikenali sebagai Mira itu.

"Then, find your own work..."

"Papa!"

Sunyi buat seketika. Gadis itu mendekati bapanya.

"Fine. Mira akan kahwin dengan mamat tu!"

Bersambung...

Dafinah tersenyum girang. Inilah drama tipikal melayu. Kahwin paksa. Asalkan seorang kaya, seorang miskin. Atau... Dua-dua kaya. Cuma yang seorang tu kena up sikit.

"Kalau aku dapat lelaki handsome macam Ryan ni pun aku akan kahwin juga. Tak bahagia pun, at least dapat juga duit." Dia bermonolog sendiri.

"Dafinah!"

Suara Amal bergema.

Ah sudah...

"Ya. Ya. Aku nak call lah."

Cepat-cepat jarinya menekan skrin telefonnya untuk mendail nombor emaknya.

"Mak..."

"Assalamualaikum."

Kata-katanya dipotong dengan ucapan salam daripada emaknya.

"Waalaikumussalam." Dia menjawab perlahan. Baru sahaja mahu hendak mengatakan dirinya sedang sibuk sekarang ini. Tapi itulah. Tak baik menipu. Layankan sahajalah.

"Bila kau nak balik ni? Dah lima bulan tak balik. Sibuk saja memanjang."

"Tengoklah macam mana, mak. Acik banyak kerja pula lately ni." Kepalanya digaru. Macam dah selalu sangat alasan ini dilontarkan.

"Mak bukan apa. Mak ada benda penting nak bincang dengan kau ni, acik."

"Ha apa dia tu?"

Kalendar yang tergantung di hadapan mejanya diselak sehelai demi sehelai. Mencari masa yang terluang untuk balik ke Perak. Nampaknya... Minggu depan boleh balik ni. Otaknya bercadang.

"Kau kenal Nashif?"

Kepalanya ligat memikirkan gerangan orang yang bernama Nashif itu.

"Yang mana satu eh, mak?"

"Dia kata dia pernah sekelas dengan kau dekat kolej dulu."

Ah! Nashif Khairul. Antara orang yang popular juga di kolejnya pada masa dulu. Bijak, kaya, kacak. Bila ingat semula, dia tidak pernah ada mana-mana teman wanita. Lelaki yang bernama Nashif ini lebih gemar bersendiri dan tidak banyak bercakap. Apa khabar dia sekarang ini ya?

"Kenal, mak. Kenapa?"

"Dia ada datang rumah minggu lepas..."

Entah kenapa degupan jantungnya berdegup kuat tatkala ini.

"Dia datang nak bernikah dengan kau, Acik!"

Suara Kak Longnya menjerit kegembiraan di corong telefon itu.

"Hish. Kau diam, Long."

"Ha?"

Betulkah apa yang didengarinya sebentar tadi? Nashif Khairul nak...

Dengan orang macam aku?

"Acik? Hello? Kenapa kau diam?" Kedengaran suara risau si ibu menjengah koklea telinganya.

"Arr... Minggu depan Acik balik, mak. Nanti kita bincang lagi." Perlahan suaranya menjawab.

"Yalah. Baik-baik kau dekat Kuala Lumpur tu. Nak suruh Kak Ngah ambil tak nanti?"

"Tak payahlah, mak. Acik balik sendiri naik bas."

"Nashif tu merisik kau. Kau fikirlah elok-elok. Aku tengok dia macam budak baik. Tapi kau lagi kenal perangai dia kan sebab dia pernah sekelas dengan kau."

"Hmm..."

Butang merah ditekan laju. Dia terdiam sebentar. Nashif tu tak pernah pun bersembang dengannya. Tak pernah bertegur sapa. Tak pernah juga membalas mesej di telefon.

Berat nafasnya dilepaskan. Haih... Tadi baru saja kata boleh kahwin dengan lelaki kacak. Tak bahagia tak apa, asalkan ada duit. Otaknya mengganggu tuannya.

Kepalanya menggeleng laju. Bukan dia tak mahu. Cuma...

Hatinya pada orang lain.

Kain tuala kecil yang berada kemas di lehernya diambil lalu mengelap dahinya yang laju membasahi kulitnya. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi plastik sebelum dia meneguk air mineral yang dibawanya sehingga habis.

"Weh, Man. Kau memang merancang sampai ke tua ke nak kerja ni?" Lelaki bertopi biru itu melepaskan asap rokok dari mulutnya. Matanya mengerling pada rakan sekerjanya.

Huzaiman hanya membalas dengan senyuman nipis. Tidak tahu sebenarnya hendak menjawab apa kepada lelaki berumur 40-an itu. Dia seperti tiada arah tuju sejak di bangku sekolah lagi. Graduate pun tidak. Belajar pun tidak. Iyalah... Siapa mahu mengutip seorang banduan untuk menjadi pekerja?

Keluar sahaja penjara, semua orang kampung memandangnya serong seolah-olah dia memang akan kekal jahat selama-lamanya. Merata tempat dia meminta kerja di dalam kampungnya, malang sekali apabila semua orang menolak dirinya. Dia dapat kerja sebagai pemandu lori pun kerana tempat kerjanya ini berada jauh daripada kampungnya.

Itu pun tak tentu dapat pulang ke rumah atuk dan neneknya setiap hari kerana dia berkemungkinan perlu menghantar barang-barang ke negeri lain. Lori itulah menjadi tempat tinggalnya setiap kali ingin menghantar ke tempat-tempat yang jauh. Rindunya tak terkata dengan katil single dalam biliknya di rumah. Itulah tempat untuk badannya berasa seperti dicas semula tenaga baharu.

"Eh. Aku tanya, dia berangan pula. Bisu ka apa kau ni, Man?"

Huzaiman tersentak.

"Nampaknya macam tu lah hidup saya. Nak hidup, kena ada duit, bang. Kerja ni saja dah cukup." Jawabnya.

"Kau tak nak try kerja syarikat mana-mana? Kau tu muda lagi. Melayu pula tu. Kalau orang Vietnam tu aku fahamlah juga tak ada sijil SPM." Pak Kasim berkata lagi.

Huzaiman tersenyum hambar. Kalaulah lelaki di sebelahnya itu tahu yang dia tidak habis bersekolah...

"Tengoklah macam mana, bang. Nak cari kerja sekarang susah sikit. Banyak saingan. Kalau ada rezeki tu dapatlah nanti." Dia menggosok tengkuk belakangnya.

"Baguslah tu, Man. Aku doakan kau dapat kerja bagus-bagus nanti..."

"Ayah!"

Belum sempat Pak Kasim menghabiskan ayatnya, seorang budak perempuan lari mendapatkannya.

"Haish budak ni. Ayah dah cakap jangan datang kerja ayah. Bahaya. Banyak orang jahat dekat sini." Ayat terakhirnya diungkapkan perlahan. Takut didengari lelaki muda disebelahnya.

Dia begitu risau dengan anak gadisnya yang disahkan penyakit autisme ini. Apa yang dihalang, lagi galak mahu dibuatnya.

"Kayra tak pernah jumpa pun orang jahat. Ayah ni tak habis-habis cakap macam tu." Lantang gadis itu menjawab.

Mata sepetnya memandang Huzaiman yang berdiam diri itu.

"Abang Man. Hari tu kata nak main guli dengan Kayra. Last-last ayah kata Abang Man dah balik. Hmph!" Budak kecil berusia 5 tahun itu memeluk tubuh.

Huzaiman tersentak. Alamak peristiwa itu sudah terjadi minggu lepas. Boleh pula budak kecil ni ungkit balik. Ketika itu, dia teringat lagi bahawa rakan sekerjanya, Lim meminta bantuannya untuk menggantikan waktunya disebabkan demam panas.

"Oh masa tu... Abang Man ada kerja sikit. Sorrylah, Kayra." Dia memohon maaf.

Kayra sudah dianggapnya sebagai adik. Selalu sahaja mereka meluangkan masa bersama. Pak Kasim yang selama ini khuwatir tentang dirinya, sudah mula mempercayainya. Cuma dia mengharapkan anaknya tidak datang ke tempat kerjanya kerana ramai lelaki yang datang dari luar negara untuk bekerja. Disebabkan itu, Huzaiman dan anaknya sering keluar berjalan-jalan di kampung yang penuh kehijauan itu.

"Sorry-sorry. Penatlah dengar." Bibir munggil gadik itu sudah muncung seakan-akan mulut itik.

"Habis. Kalau bukan sorry, Abang Man kena cakap apa? Ke Kayra nak aiskrim?" Huzaiman sudah tahu apa yang budak perempuan itu mahukan.

"Abang Man kena beli aiskrim unicorn."

Pak Kasim sudah mahu meletus tawanya. Dia tahu anaknya akan meminta aiskrim. Cuma, jenis aiskrim yang berbeza-beza.

"Sekarang?"

"Iyalah."

Pak Kasim mengerling jam tangannya. Jarum jam tepat menunjukkan 6.50 petang.

"Besok sajalah, Man. Nak dekat pukul 7 ni. Kau baliklah. Rumah kau tu jauh."

Kayra mencebik.

"Abang Man... Besok eh... Kalau tak, Kayra tak nak bagi coklat telur!"

Huzaiman menahan tawanya. Coklat telur yang dimaksudkan Kayra ialah Kinder Bueno. Dialah tu yang mengajar budak kecil itu untuk memanggil coklat telur. Asyik lupa sahaja gadis itu pada jenama coklat itu.

"Ya... Abang Man janji."

Sempat dia dan Pak Kasim bersalaman sebelum kakinya melangkah bergerak ke motorsikal Yamaha ss 110 milik datuknya. Laju pedal motorsikal itu dipulas.

Angin senja itu lembut menampar wajahnya. Dia sudah tidak sabar lagi mahu berjumpa tok wan dan neneknya di rumah. Sudah 3 hari dia tidak pulang kerana penghantaran barang yang perlu dibawanya sehingga Perlis. Itu tidak kira lagi kesesatan dialaminya.

Rumah konkrit berwarna hijau gelap itu dihampirinya lalu segera kakinya menongkat motor tersebut. Bau masakan neneknya menjengah rongga hidungnya.

'Ah... Ini ikan keli masak cili api!' Hatinya bersorak girang.

Terkocoh-kocoh dia memasuki rumah itu setelah dia memberi salam. Sudah pasti dapur menjadi hala tuju kedua-dua tapak kakinya.

"Ha balik pun kau, Fuad. Nenek kau tu suruh aku pergi periksa kau dekat tempat kerja kau. Risau betul nenek kau tu bila kau balik lambat." Tok Abu Wasim menutup surat khabarnya.

"Ya Allah... Fuad. Baru sekarang nak sampai. Mari makan. Nanti sejuk pula makanan kegemaran kamu." Segera Nek Embun mencedok nasi ke pinggan cucunya.

"Aku dah cakap, neknya... Budak ni kalau jadi apa-apa sekalipun, dia tahu jalan balik." Tok Abu Wasim lantas menarik kerusi lalu diduduknya.

"Kenalah juga risau, toknya... Dah berapa hari dah tak balik."

"Eh kau macam tak biasa pula."

"Untuk berjaga-jaga, bang..."

"Kau tak risaukan aku macam itu pun dulu. Selalu ja aku balik lambat." Perlahan kata-katanya diluahkan dengan berbaur cemburu.

Dulu ketika Tok Abu Wasim bekerja tidak pulang, tidak pula isterinya dilayan seperti dia melayan cucu sulungnya. Entah apa bezanya pun tidak pasti. Nak kata kacak, dua-dua sama kacak.

Huzaiman tersenyum melihat gelagat dua merpati sejoli ini. Dia tahu kedua-dua mereka sayangkan dirinya. Merekalah yang menjadi pelindungnya. Apabila semua mula mengata dan mengkejinya, mereka tegas dengan pendirian mereka bahawa cucu mereka bukan orang jahat tetapi dianayai. Inilah kebahagiaannya. Inilah keluarganya.

Tiada yang lain.






Do your vote ⭐

1962 words

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro