Bab 10🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Kepalanya sudah dilentokkan pada cermin tingkap bas. Matanya sudah bengkak kerana menahan diri daripada menangis tetapi gagal sama sekali. Mana tidaknya. Banyak persoalan bermain di benak fikirannya tatkala ini.

Siapa orang itu? Siapa yang cuba diburu oleh orang yang tidak dikenali itu? Mak dan along ada mencari pasal dengan orangkah? Adakah adiknya, Dara dan kakaknya, Dayana juga mendapat mesej yang sama? Dayang? Apa sudah terjadi pada kakaknya yang satu itu?

Argh! Kalaulah dia boleh mendapatkan semua jawapan itu. Pasti fikirannya tidak serabut!

"Finah, ni nombor nenek aku. Dia suruh bagi dekat kau. Dia kata kalau kau dah selamat sampai kampung kau nanti, telefon dia. Kau jangan ingat aku yang nak sangat nombor kau tu."

Entahlah. Dia tidak tahu nak cakap macam mana. Dia selalu berasa terhibur, mencuit hati dan selamat kalau lelaki itu berada di sisinya walhal lelaki itu bukannya buat apa-apa pun. Merokok saja tahu.

Lehernya menoleh pada orang di sebelahnya. Perempuan yang belasan tahun itu sudah pun tertidur. Buku subjek Biologi masih terbuka dan terletak elok pada ribanya. Satu kejadah apa pun dia tidak faham. Sempat dia membaca sesuatu.

Umbilical vein.

Gambar rajah bayi dan rahim seorang ibu menjadi panduannya. Urat itu ialah urat yang menyalurkan laluan nutrisi, oksigen dan hormon kepada janin.

Bibirnya diketap kuat. Sekarang dia sudah merisaukan Daniza yang sedang sarat mengandung. Suaminya pula asyik sibuk dengan kerja outstation. Itu yang Daniza membuat keputusan untuk tinggal dengan emaknya. Kalau diingatkan semula, bayi itu sudah 7 bulan di dalam kandungan kakaknya. Anak buahnya itu perlukan nutrisi yang secukupnya.

Adakah orang jahat itu tidak memberikan makanan langsung kepada keluarganya di kampung? Jam di telefonnya diperiksa. Pukul 5 petang. Berat keluhan dilepaskan. Lama lagi ni!

Ini sahaja pengangkutan yang dia mampu bayar. Kapal terbang dan kereta api sudah penuh dan perlukan tempahan awal. Silap-silap kalau ingin menunggu gilirannya, minggu depanlah dia dapat tiba ke sana.

Satu mesej dari seseorang singgah di halaman muka depan telefonnya. Matanya yang kuyu tadi sudah terbuka luas.

Nashif!

Lupa pula bahawa ada seseorang sedang menunggunya selama ini. Bolehkah dia meminta bantuan daripada lelaki ini? Mesej daripada Nashif ditekan lalu chat antara mereka berdua terpapar di skrin.

Awak dah ada dekat kampung awak?

Jarinya pantas menaip papan kekunci telefon pintarnya setelah dia membaca mesej daripada lelaki itu.

Saya dalam perjalanan ke sana. Awak dekat mana, Nashif?

Saya plan nak datang ke sana juga sekarang.

Kalau macam tu, tolong cepat ke sana, Nashif. Mak, along dan anak saudara saya dalam bahaya sekarang.

Mesej dari orang yang tidak dikenali tadi dihantar kepada Nashif. Dia berharap sangat lelaki itu dapat menolongnya.

"Tolonglah..."

Astaghfirullah... Saya akan datang ke sana sekarang. Awak jangan risau, saya akan pastikan mereka selamat.

Dada Dafinah yang tadinya berombak, sudah kembali tenang apabila Nashif berkata demikian. Pantas jari-jemarinya menaip.

Terima kasih, Nashif.

Matanya yang kuyu akibat menangis sebentar tadi membuatkan dirinya mengantuk. Masih jauh perjalanannya untuk tiba ke destinasi. Mungkin ini waktu yang sesuai untuk dia berehat. Semoga Nashif dapat selamatkan keluarganya. Itu doanya sebelum kelopak matanya sudah dilabuhkan untuk merehatkan si tuan badan.

"Eee... Tak adalah handsome mana mamat Aizat ni, kak."

Telefon Samsung milik Dayang diserahkan semula kepada kakaknya. Kepalanya menggeleng. Entah apa-apalah taste kakaknya itu. Rambut dah macam sarang tebuan, gigi jarang, otot pun tak nampak. Harap tinggi saja.

"Tak baiklah, Finah cakap macam tu dekat Abang Aizat. Memanglah dia macam ni... Sebab tak ada siapa nak uruskan. Family dia pun dah tak nak terima dia lagi." Sayu sahaja bunyinya.

Dafinah mencebik. Apalah yang lelaki itu sudah mengguna-gunakan kakaknya itu sampai kakaknya itu sudah gila bayang dengan lelaki yang berlabel bekas banduan itu.

"Tapi kan, Finah. Kalau Finah nak tahu... Dia tu baik sangat. Tengok ni, dia ada belikan akak rantai tau. Ada nama dia dan nama akak dekat rantai ni. Romantik kan dia?"

Mahu termuntah Dafinah mendengar pujian 'romantik' itu. Entah-entah rantai itu ditempah dan dibeli di pasar malam sahaja.

"Finah pun boleh buat macam itulah, kak. Bukan susah pun. Satu lori pun Finah boleh bagi."

"Sebanyak mana pun rantai itu, tak sama dengan keikhlasan yang dia bagi ni. Dia sanggup bekerja keras demi membeli rantai ni." Dayang masih menyebelahi lelaki yang dicintainya.

Dafinah sudah menjuih bibir. Macamlah dia bagi tidak ikhlas. Tidak faham dengan kepala otak kakaknya sekarang ini.

"Bukan itu je yang dia buat tau. Dia ada belikan kakak tudung... Dia kata, dia tak nak kakak free hair selepas nikah nanti. Nanti dosa itu dia yang kena tanggung. Baik kan dia?"

Dara yang sedang mengulang kaji pelajarannya terhenti. Geli bulu telinganya mendengar apa yang dikatakan oleh Dayang. Dari tadi dia menahan dirinya untuk tidak menyampuk, tapi kali ini dia perlu berterus terang dengan kakaknya itu. Mudah betul untuk terpengaruh dengan kebaikan orang.

"Kak, lelaki ni... Kalau dia nak dapatkan seseorang tu, dia akan pura-pura alim ja. Lelaki baik, siapa tak suka kan? Lagi-lagi orang yang dia tengah mengumpan sekarang ni, akak. Akak dahlah senang terpedaya dengan orang luar. Hati yang jahat pun masih nak nafikan yang dia baik." Puas hatinya apabila dapat melepaskan apa yang terbuku di lubuk hatinya itu.

Dayang terdiam sejenak. Mungkin tersinggung dengan kata-kata si bongsu. Dafinah memincingkan matanya kepada Dara. Budak itu pendiam orangnya. Susah untuk bergaul. Tapi kalau dah dapat membuka mulut, direct betul dia bercakap apa yang dirinya berasa tidak puas hati.

"Akak... Ada betul juga apa yang Dara cakap tu. Orang zaman sekarang ni tak boleh dipercayai seratus peratus. Kalau belakang kita sendiri sudah ditikam nanti, barulah nak kesal..."

Belum sempat nasihatnya dihabiskan, Dayang pantas memotong.

"Tapi kita tak boleh juga pandang orang dari luaran dan masa silam dia sahaja, Finah. Memang dia jahat sebelum ni, akak sendiri pun tak dapat nak menafikan. Sampaikan tak ada siapa pun orang nak percayakan dia. Tapi, akak boleh rasakan sendiri yang dia ikhlas berubah untuk menjadi orang baik dan berguna. Dia hanya perlukan sokongan dari keluarga..."

Mereka bertiga terdiam. Dafinah dan Dara sudah memandang antara satu sama lain. Harap saja hati lembut, tapi kalau bab cinta... Keras semacam nak mendengar nasihat orang.

"Dan akak nak jadi sebahagian daripada keluarga dia."

Dara sudah memicit-micit kepalanya. Pening! Lebih baik dia fokus dengan bukunya. Peperiksaan SPM akan menjelang tidak lama lagi. Masalah kakaknya bukan akan menjelma di atas kertas peperiksaan nanti. Tangannya mencapai earphone di atas meja lalu disumbatkan pada telinganya.

Dafinah tidak dapat mempercayai apa yang didengarinya.

"Jangan kata akak serius dengan hubungan akak dengan mamat tu?"

Dayang Awliya.

Kakaknya cantik orangnya. Wajah mereka pun ada iras-iras sedikit. Hanya perwatakan mereka sahaja dapat membezakan mereka. Dayang seorang yang lemah lembut. Dia juga lemah lembut kerana terpengaruh dengan kakaknya, tapi dalam masa yang sama, dia ingin menjadi dirinya sendiri supaya dia selesa dengan dirinya.

Sekarang ini, perasaannya lebih kepada risau. Sudahlah kakaknya itu cantik orangnya. Baik pula itu. Takkanlah berakhir di tangan lelaki yang tiada apa-apa harta itu?

"Akak sayang dia separuh nyawa akak, Finah."

"Adli? Mak dengan bapa suka lelaki tu. Dia orang dah plan nak satukan akak dengan Adli. Takkanlah akak nak reject dia semata-mata Aizat ni?"

Mata mereka direnung antara satu sama lain.

"Nanti akak akan slow talk dengan mak dan bapa. Dia orang mesti faham. Akak nak hidup dalam kebahagiaan, bukan kemewahan, Finah."

Bahunya yang ditepuk berkali-kali membuatkan dirinya tersedar dari lenanya. Raut wajah orang di sebelahnya dipandang.

"Akak. Stesen bas akak lepas ni. Tapah, kan?"

Dafinah mengangguk walaupun dirinya masih terpinga-pinga. Betullah itu. Tapah.

"Terima kasih, dik."

Buku subjek Biologi dipandangnya sekejap.

"Adik ada exam eh nanti?"

Giliran gadis itu mengangguk.

"Good luck tau. Semoga awak dapat result yang bagus untuk masa depan awak. Jauh perjalanan awak untuk study ni."

Sempat dia mengucapkan kata-kata semangat buat gadis yang mengejutkannya. Beg galasnya dicapai, bersiap sedia untuk menuruni bas itu. Sempat jam bas itu dikerling, pukul 7.



Satu jam sebelum itu...

"Kau nak buat apa dengan kami ha?"

Puan Latifah bersuara setelah lama mulutnya dilekatkan dengan pita pelekat. Sempat dia memeriksa ahli keluarganya yang lain. Mereka masih tidak dibuka pita pelekat itu. Kini, perasaan gerun menyebulungi mereka kerana mereka mendapati bahawa lelaki yang sedang bersenang-lenang duduk di atas sofa rumahnya sudah menuang minyak tanah di sekeliling rumahnya.

Apa niat lelaki itu sebenarnya? Raut wajah lelaki itu tidak dapat dilihat dengan jelas. Cermin mata gelap dan mask hitam menghalang retina matanya untuk mengecam wajah orang yang tidak dikenalinya itu.

"Saja... Nak tunggu anak kesayangan kau datang. Dekat Kelantan dapat jumpa dan pegang dia sekejap saja..."

Mengekek lelaki itu ketawa. Dafinah tak akan lari lagi kalau dia menggunakan keluarganya.

Puan Latifah terkejut mendengar apa yang baru disampaikan lelaki itu. Apa maksud 'pegang' itu?

"Kau! Jangan kau berani buat apa-apa dekat anak aku."

"Aku nak ajak dia berborak ja. Takkan itu nak marah?"

"Orang kalau nak ajak berborak bukan macam inilah!" Turun naik nafas wanita itu menahan amarahnya.

Daniza sudah menggigil ketakutan. Perutnya sakit akibat lama tidak menjamah makanan. Anak-anaknya, Fatin dan Fanin sudah menangis teresak-esak. Nampaknya, lelaki itu tidak mahu membuka pita pelekat dari mulut anaknya kerana gusar sekiranya mereka menangis sekuat-kuatnya sehingga dapat didengari jiran-jiran yang lain.

"Habis? Kalau aku dah ajak baik-baik, tapi dia sendiri yang lari... Baik aku guna cara ni."

Langkahnya perlahan-lahan mendekati Puan Latifah. Badannya ditundukkan menyamai kedudukan wanita itu.

"Biar dia sendiri yang datang kat aku."

Bibirnya menyeringai sambil matanya tajam merenung ke arah anak mata wanita di hadapannya kini.

"Kau jangan cari pasal dengan anak aku. Kalau dia tak nak bercakap dengan kau, maksudnya dia tak ada keinginan nak bercakap dengan orang gila macam kau!"

Kepala wanita itu dicengkam kasar. Berani betul perempuan tua ini memanggilnya gila! Perut wanita itu ditumbuk sekuat hati. Dasar mulut tiada insurans.

"Argh!"

Daniza sudah terbeliak mata. Air jernih sudah bergenang di kolam matanya. Dia yang tidak terkena tumbukan pun sudah merasakan keperitan itu. Kalau nak menunggu kepulangan suaminya, esok lusa baru sampai. Outstation suaminya kali ini di luar negara. Kepalanya tidak tahu lagi hendak berfikir untuk selamatkan nyawa-nyawa keluarganya.

Puan Latifah sudah terdongak memandang siling rumah. Sakit! Tidak pernah disangka lelaki itu akan bertindak kasar begitu.

"Dasar pengecut! Perempuan pun kau nak main kasar."

Pap!

Pipinya ditampar kuat sehingga terteleng mukanya ke sebelah kanan. Berpinar-pinar matanya setelah terkena tamparan itu.

"Aku tak benarkan kau dekat dengan anak aku!"

Kudrat yang tersisa itu diguna dengan sebaik mungkin.

"Kalau tidak?"

"Langkah mayat aku dulu!"

Lelaki itu sudah meletuskan tawanya. Pasti wanita ini selalu sangat menonton drama melayu yang sekadar lakonan itu. Ingat dia takut? Langkah mayat?

"Boleh. Tak susah pun bagi aku."

Pisau lipat yang memang tersedia ada di dalam koceknya diambil. Kalau diingat semula apa yang telah pisau itu buat padanya, memang dilempar sahaja pisau itu. Tapi sayangnya, pisau ini mahal dan kesannya sangat... Pergh! Ngilu otaknya apabila difikirkan semula. Terkena pada tangan sahaja pun sudah rasa nyawa melayang. Inikan pula kalau tepat pada jantung yang masih berdegup. Pasti lebih seronok.

"Hmmph!"

Daniza ingin menjerit tetapi apakan daya. Mulutnya masih belum dapat dibebaskan. Jantungnya sudah berdegup kencang seperti atlet yang baru sahaja lepas larian pecut. Tak akanlah lelaki itu sanggup berbuat begitu pada emaknya?

Retina mata lelaki itu beralih kepada Daniza. Apa lagi? Tercengang perempuan mengandung itu. Renungan mata lelaki itu sahaja sudah menikam keberaniannya.

"Heh. Mesti lagi seronok kalau ada dua nyawa terkorban dalam rumah ni dengan hanya satu tikaman."

"Kau! Kau jangan dekat dengan dia!"

Perasaan gelabah itu menguasai diri Puan Latifah pada saat itu. Daniza sedang membawa anak dalam kandungannya. Tergamaknya lelaki itu jikalau dia melakukan benda kotor pada anaknya. Dia akan pastikan anaknya selamat!

Bam!

Mereka berlima tersentak apabila bunyi ketukan pintu rumah itu seakan-akan diketuk sehingga mahu pecah. Siapa pula yang berani mahu mengganggu tugasnya kali ini? Jiran rumah sebelahkah?

Bam!

Haih. Ini kalau dibiarkan, boleh hancur terus pintu kayu itu. Rancangan baru sudah dijana ke fikirannya. Selak pintu ditarik supaya gerangan yang mengetuk itu dapat dibuka luas.

Bam!

Pintu kayu akhirnya berjaya dibuka. Terus sahaja kakinya melangkah masuk ke rumah milik Puan Latifah itu. Terdapat satu persoalan yang berlegar di otaknya sekarang. Adakah disebabkan ketukan dan tendangannya yang kuat? Atau...

"Nashif! Hati-hati. Belakang!"

Terus sahaja dia merasakan ada sesuatu yang tajam berada di lehernya. Tak guna! Macam mana dia boleh tidak perasan pasal ini?

"Hebat. Hero dah datang... Mesti Heroin yang beritahu pasal ni, kan?"

Kakinya menutup pintu rumah kayu itu supaya tidak dapat dilihat oleh orang lain.

"Kau jangan apa-apakan dia orang." Tegas Nashif bercakap pada pemilik suara di belakangnya.

"Jadi, aku boleh apa-apakan kau?"

Peluhnya sudah merecik keluar dari lapisan kulitnya. Perutnya juga sudah kecut. Dapat dia merasakan ada cecair yang sudah mengalir menuruni lehernya. Darah?

"Ya Allah. Nashif, leher kamu..."

"Kau buatlah apa yang kau nak buat dengan aku. Jangan kau sakitkan dia orang. Aku nak kau lepaskan dia orang!"

Sinis lelaki di belakangnya mengetawakan dirinya.

"Tak payah berlagak bercakap macam kau tu hero. Cepat ikut aku."

Nashif ditarik untuk mengikuti jejak lelaki itu. Segera dia mengambil tali untuk mengikat tangan Nashif. Nashif memandang empat orang mangsa lagi di hadapannya. Tak akanlah dia mahu terikat sekali! Dia sudah berjanji dengan Dafinah untuk menyelamatkan keluarga ini.

Apabila Nashif merasakan tiada benda tajam yang terkena kulitnya, badannya dipusing. Kepalanya dihantukkan kepada kepala lelaki yang memakai mask hitam tadi.

"Argh! Sial!"

Lelaki yang tidak diketahuinya mengerang kesakitan. Dahinya dipegang. Pening! Melampau budak ini!

"Kau lupa agaknya kau sedang bermain dengan api!"

Segera pemetik api yang disimpan dalam koceknya diambil lalu dia membalingkan benda itu ke arah luar tingkap. Tidak sampai 5 saat, api sudah marak menyala di luar rumah.

Puan Latifah yang masih terikat ditarik kasar supaya mengikutnya hingga ke bahagian dapur.

"Nashif! Lari! Bawa yang lain keluar dari sini." Sempat wanita itu memesan kepada lelaki muda itu.

Nashif yang sedang mengangkat dua orang budak perempuan terhenti. Lehernya dipusingkan. Tersentak dirinya tatkala itu apabila darah Puan Latifah sudah banyak keluar di bahagian perutnya.

"Mak Cik!"

Api kian membesar sehingga terdengar jeritan orang ramai di sekeliling rumah. Daniza masih terikat tidak mampu untuk berdiri kerana kakinya juga diikat. Mulutnya langsung tidak dapat bercakap apa-apa. Hanya bebola matanya sahaja menyaksikan peristiwa yang tidak dapat diterima akalnya sekarang ini.

Mak!

Hatinya menjerit mengharapkan emaknya kuat untuk hidup lagi. Dia yang duduk sudah terbaring layu. Udara yang tidak segar itu menggangu pernafasannya.

"Se... Selamat... Kan... Da..." Suara Puan Latifah habis di situ.

Kini, tubuh wanita itu sudah diselaputi dengan api marak yang terang-benderang merah menutupi bahagian dapur. Nashif yang ingin menyelamatkan wanita itu sudah terlambat. Daniza yang sudah terbaring menyembah lantai dibawa keluar dari rumah itu segera.

Kejam!

Semua ini kejam!











Do vote⭐

Mind to share? Thank you.

2420 words.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro