Bab 13🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Kau mesti ada masalah kan? Kalau tak kau tak akan datang dekat sini..."

Kepalanya digeleng menafikan tekaan ayahnya. Memang selalunya dia akan meminta bantuan lelaki tua itu untuk menyelesaikan masalahnya tentang syarikat milik bapanya sendiri, tetapi kali ini, bukan disebabkan hal itu.

"Kau tak akan datang ke rumah aku kalau bukan hal company aku. Ini apa pula?"

"Tak akanlah anak sendiri tak boleh datang ke rumah bapa dia, Tan Sri?" Anaknya bersuara dengan terselit sedikit ejekan dalam diam.

"Muka kau macam orang hilang buah hati. Itu ka masalah kau?"

Anaknya mengetap bibir kuat. Betul pula tekaan bapanya kali ini. Hubungan keluarga mereka tidak sama seperti keluarga bahagia yang lain. Mereka seperti pekerja dan majikan walhal mempunyai darah yang sama mengalir di saluran vena mereka.

"Apa nama perempuan yang kau suka tu? Arr..."

Wafiy tersentak apabila bapanya seperti meneka sesuatu. Bila pula bapanya menghidu perasaannya pada perempuan? Dia bukanlah seorang yang menunjukkan perasaan kepada orang. Otaknya mula berfikir sejenak. Atau dia sendiri yang tidak pandai menyorok perasaannya? Ah, habislah!

"Dafinah tak silap aku. Yang kerja di company Miss Ketty."

Sekali lagi kata-kata bapanya menyentakkannya. Terkejut ada, malu pun ada. Tidak senang pula rasanya punggungnya apabila dia berada di rumah agam ini. Salah tempat ini. Kalau dia tahu bapanya akan meneka benda yang betul, sudah pasti dia tidak akan menunjukkan emosinya di sini.

"Kenapa senyap? Betullah kan? Kau suka perempuan tu?" Sinis bunyinya. Bukan dia tidak perasan dengan perubahan anaknya kalau bertemu dengan pekerja rakannya.

"Tak payahlah ayah sibuk pasal urusan saya yang ni."

Ya. Kata-katanya sedikit formal dengan bapanya kerana mereka bukanlah seperti keluarga yang lain. Lagi-lagi sejak ibunya meninggal. Memang susah untuk mereka bermesraan. Ketika ibunya masih hidup pun mereka renggang sebegini. Sukar untuk diungkapkan, hanya orang yang pernah berada di dalam kasutnya sahaja dapat merasai kejanggalan ini.

"Engkau..." Bapanya tergelak sinis mendengar kata-kata yang terpacul di bibir anaknya.

"Tak payah nak malu dengan aku. Kau nak kahwin, kahwin sajalah. Kalau kau malu nak bercakap pasal hal ni, sampai bila pun kau tak akan berkahwin."

Wafiy sudah mula menggosok belakang tengkuknya. Memang dia mahukan hubungan yang serius dengan wanita itu, tetapi dia seperti tiada peluang untuk mendekatinya lagi kerana wanita itu sudah membuat keputusan untuk berhenti kerja dua hari yang lepas.

"Saya lagi muda dari dia..."

"Itu bukan masalah yang besar."

"Dia dah berhenti kerja."

Suasana di situ tiba-tiba sedikit lenggang. Masing-masing melayan perasaan mereka sendiri. Fikirannya melayang mengimbas semula kejadian yang berlaku tadi.

"Dafinah, banyak betul barang yang awak angkat ni. Nak saya tolong?"

"Eh, tak payah susah, Encik Wafiy. Ringan ja semua ni." Kelihatan percikan peluh sudah mula mengalir di dahi perempuan itu. Barang-barang yang diangkat diletakkan di but kereta teksi.

"Awak... Awak nak pergi mana dengan barang-barang ni semua? Dapat pindah kerja lain?" Gusar hatinya kalau betullah apa yang ditekanya.

"Oh. Saya dah berhenti kerja, Encik Wafiy."

Terkaku kakinya mahu bergerak ketika itu. Mahu berhenti kerja? Kenapa?

"Awak nak pergi mana lepas ni?"

"Tak pasti lagi. Tapi kalau ikut plan, saya nak tinggal dekat dengan adik saya. Kita orang baru saja kehilangan mak. Saya sendiri pun tak kuat, apatah lagi adik saya yang asyik berkepit dengan mak dia."

"Saya ingat saya nak discuss lagi pasal kerja kita..." Perlahan sahaja suaranya berkata.

"Oh. Yang tu Encik Wafiy jangan risau, Ros ada untuk ganti tempat saya. Kalau encik tak faham apa-apa, encik boleh rujuk dia." Jelas dan spontan suara wanita itu berucap.

Suara itulah yang akan dirinduinya sekiranya mereka tidak berjumpa lagi. Tidak terkata betapa luruhnya hati kecilnya apabila mengetahui hal yang sebenar. Keluhan berat dilepaskan. Kedengaran ayahnya sedang berkata sesuatu.

"Kalau ada jodoh antara kau orang, tak ke mana perginya. Tapi kalau kau tak ada usaha juga, tak boleh buat apa. Terlepas nanti, kau mampu gigit jari sajalah." Si bapa sedikit sebanyak memberi teguran yang berguna kepada anak lelakinya.

Wafiy tidak membalas kerana dia tidak boleh menafikan kata-kata ayahnya. Briefcase yang berada di sebelahnya dicapai.

"Ayah, saya nak tumpang tidur dekat sini malam ni."

"Macamlah rumah ni rumah orang lain sampai kau kena minta izin."

Sekilas sahaja dia memandang ayahnya yang sedang fokus pada skrin komputernya. Tidak lekang mata tua itu dari kerjanya. Sayang betul dengan kerjanya setelah ibunya meninggal dunia. Kakinya pantas memanjat satu-persatu anak tangga untuk menuju ke tingkat atas. Dia mahu merehatkan tubuh dan fikirannya sekarang.

Betullah apa yang rakannya pernah cakap sebelum ini. Sekali kita dah tersuka dengan seseorang yang lain daripada yang lain, susah betul nak dilupakan. Selama ini dia memandang remeh terhadap hal percintaan rakannya yang lain, tapi apabila terkena pada batang hidung sendiri, memang tidak boleh dia menidakkan lagi perkara itu.

"You ni, baby... Sabarlah. Lusa ni I datang juga dekat you. I tak lari mana pun."

Sebaik sahaja tubuhnya tiba di satu bilik ayahnya, kata-kata manja dan gelak tawa kecil itu menjengah gegendang telinganya. Kenal sangat suara itu. Siapa lagi kalau bukan perempuan yang mengganggu rumah tangga ibu dan ayahnya satu ketika dahulu. Adiknya, Fatma sudah bertahun-tahun tidak pulang ke rumah agam ini kerana tidak tahan dengan karenah ibu tiri muda mereka itu.

Tidak tahu apa yang membuatkan dirinya mahu mendengar lagi perbualan dari dalam bilik itu walhal dia tahu dia tidak pernah langsung mengambil kisah perihal hubungan ibu tirinya dan juga ayahnya. Cuping telinganya dilekapkan kepada pintu kayu berwarna putih itu.

"I pun tak tahulah kenapa orang tua tu still tak bank in duit apa-apa dekat I. Dia ingat duit yang ada dekat bank tu cukup ka untuk kita bercuti dekat sana nanti?"

Kepalanya menjana ayat-ayat yang didengarinya di sebalik pintu itu. Adakah orang tua itu ditujukan kepada ayahnya? Perempuan itu fikir ayahnya lombong duitkah? Sudah dia tahu bahawa perempuan itu bukanlah ikhlas mencintai ayahnya, dia hanya mencintai harta milik ayahnya.

"Dah, baby... I dah pujuk merayu dekat dia, but he suddenly be mad at me. Like all of this is truly my fault. Geram betul I dengan orang tua tak sedar diri tu. Dah nak mati pun, berkira betul duit dengan isteri sendiri."

Sekali lagi hatinya membara. Mahu sahaja dia membuka pintu dan menghalau keluar perempuan yang tidak sedar diri itu. Biar dia sahaja yang mengingatkan semula siapa diri sebenar perempuan itu. Kalau bukan ayahnya, dia tidak mendapat apa-apa kerja langsung. Nasib baik cantik sahaja selepas mendapat beberapa rawatan kecantikan. Perangai itu tidak cantik-cantik pula seperti rupa sendiri. Tapi apa dia boleh buat, pasti ayahnya akan membela perempuan kesayangannya walau apa pun caranya.

"Sampai sanggup membuang anak sendiri."

Entah kenapa dia boleh terlepas ayat itu. Telinganya kembali membuat tugasnya semula.

Senyap.

"Baby, I rasa macam ada yang dengar perbualan kita. Later I call you back."

Ah. Perempuan itu sudah mengetahui tentang kehadirannya. Lebih baik dia pergi dari situ sekarang. Dia bukanlah seorang yang suka menjaga tepi kain orang lain. Segera kakinya menapak pergi menyorokkan batang tubuhnya di sebalik dinding yang berada di sebelah bilik tersebut. Kedengaran daun pintu terbuka perlahan.

"Nobody... Tapi aku rasa macam ada orang ja."

Wafiy sedikit lega tatkala dia mendengar pintu bilik itu dikatup semula. Nafasnya mula dihela perlahan. Dia mahu terus ke biliknya kali ini. Malas mahu menyibuk tentang hal rumah tangga ayahnya. Kalau satu hari nanti ada sesuatu yang terjadi kepada mereka, biarlah ayahnya menyesali atas keputusannya yang cuba menduai cintanya itu. Dia tidak kisah langsung kerana dia juga mahukan ayahnya menyedari semua itu.

Badannya dikeluarkan dari tempat persembunyiannya. Kepalanya diangkat sedikit untuk memandang menghadap jalan ke biliknya.

"Allah."

Nama Tuhan terlintas di bibirnya ketika itu. Terkejut punya pasal. Figura seorang perempuan yang dikenali itu sudah memeluk tubuh memandangnya. Nampak sedikit perubahan pada wajah perempuan itu. Mungkin sudah meningkat usia, otaknya cuba meneka. Atau terlalu menyuntik pelbagai rawatan kecantikan di segenap wajah itu sehingga tidak lagi nampak keaslian wajah asalnya.

"Apa kau buat dekat sini?" Mendatar suara perempuan itu menyoal tepat pada mukanya.

"Ini rumah Mak Cik seorang ka?"

Berubah riak wajah perempuan yang tua 8 tahun dari dirinya itu. Puas juga hatinya memanggilnya sebegitu.

"Kau balik sini untuk menyakitkan hati aku saja kan?"

Bahunya dijongket.

"Buat apa nak sakitkan hati Mak Cik? Bukan saya dapat duit dekat ayah saya pun. Nak dapat duit kenalah kerja kan, Mak Cik?"

"Kau fikir duit bapa kau ka yang aku nak selama ni?"

Sekali lagi Wafiy menjongket bahunya. Sebenarnya, memang duit dan hartalah yang perempuan itu mahukan, bukan?

"Kalau pasal duit, tujuh keturunan aku pun belum tentu dapat habiskan duit aku tu. So, jangan pandang aku sebagai pencukur bapa kau tu. Baik-baik sikit perangai." Penuh lagaknya bibirnya mengungkap bait-bait dialognya.

Wafiy sudah tersenyum sinis melihat raut muka ibu tirinya yang penuh keyakinan berkata-kata itu.

"Saya tak pastilah ada beza atau tidak pencukur dengan pisau cukur yang Mak Cik cuba maksudkan tu. Tapi tak apalah, saya tak naklah pula cari pasal dengan Mak Cik malam-malam ni. Saya balik sini cuma nak berehat sekejap saja. Kalau Mak Cik tak suka sangat tengok muka saya, Mak Cik boleh sambung balik tutup pintu tu. Sambung juga call kekasih hati Mak Cik juga. Nampak sayang betul Mak Cik dekat dia." Entah dari mana keberanian itu datang sehingga dia boleh bercakap secara langsung terus kepada perempuan di hadapannya itu.

"Kurang ajar betul kau! Berani kau menghendap dengar perbualan aku. Kau ingat, bila kau dengar semua tu, bapa kau tu akan dengar semua apa yang kau cakap tu?" Merah mukanya menahan marah dan malu pada masa yang sama.

Wafiy dengan sengaja menguap luas mulutnya di hadapan ibu tirinya.

"Saya mengantuklah dengar suara merdu Mak Cik. Saya masuk bilik saya dulu."

Tanpa membuang masa, dia segera bergerak melintasi perempuan itu.

"Oh. Lama saya tak nampak Mak Cik berlakon kebelakangan ni. Takut nanti tak dapat anugerah apa-apa, sedih saya nanti. Saya dahlah peminat nombor satu Mak Cik." Sempat dia mengucapkan ayat itu. Mungkin dia sudah terpengaruh dengan perangai Fatma yang suka memerlinya selama ini, itu yang dia terlebih savage kali ini.



Badannya direnggangkan selepas sahaja dia menjejakkan kakinya menuruni bas. Udara segar di kawasan perkampungan itu dihirup sambil kelopak matanya tertutup rapat. Bas yang tadi dinaikinya sudah berlalu pergi meninggalkan tubuhnya yang masih berada dalam ketenangan.

Penat juga menguruskan hal rumah emaknya yang berlaku kebakaran tempoh hari. Segenap penjuru rumah itu ada memorinya yang tersendiri. Kejam betul orang yang cuba melenyapkan semua memori terindah keluarganya. Ini kalau dia dapat siapa yang cuba membuat perkara hina ini, disiat-siatnya daging orang itu biar puas hatinya.

Argh. Sekali lagi dia menghilangkan rasa sakit itu. Sudah banyak kali dia tidak mahu fikir tentang insiden itu, tetapi lagi dia tidak boleh melupakan semua itu. Fikirannya mula memikirkan tentang kakaknya yang paling dikenalinya, Dayang. Apa yang terjadi kepada kakaknya sekarang? Apa reaksi kakaknya apabila mengetahui kejadian yang menimpa mereka kini? Bapa mereka meninggal pun dia langsung tidak kisah dan sekarang emak mereka pula.

Sedang dia asyik melayan kata-katanya di kepalanya, satu figura kecil menarik perhatiannya. Budak perempuan itu sedang berlompat-lompat keriangan di seberang jalan sambil tangannya tidak lepas memegang satu benda bulat kecil di tangannya. Apabila diamati betul-betul, benda itu ialah Kinder Joy.

Bibirnya mengoyak senyuman manis apabila budak perempuan itu membalas pandangannya. Tangan kecil itu melambai-lambai ke arahnya. Dengan ramahnya, dia membalas lambaian itu semula. Jiwa kecilnya tertanya-tanya, di mana ibu bapa atau penjaga budak kecil ini? Tidak takutkah kalau ada orang cuba menculiknya?

Kalau bukan penculik pun, dia sendiri akan menculik budak itu. Comel tahu dengan pipi tembam yang tiada beza dengan pau ayam. Rasa mahu digigit-gigit sahaja pipi putih itu. Dia meniskus sendirian. Retina matanya mencari-cari orang yang menjaga budak itu, nak culik ni... Kita kena pastikan line clear dahulu.

Tanpa disedarinya, budak perempuan yang bertocang dua itu dengan beraninya melintasi jalan yang tiba-tiba kosong itu untuk menghampirinya. Terjegil biji matanya melihat aksi spontan budak kecil itu. Tanpa berfikir panjang, dia segera berlari ke arah budak tersebut untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Pin!

Bunyi hon kuat datang dari sebelah kirinya. Lehernya menoleh sekejap. Kereta! Jantungnya kini berdegup kencang. Dia tidak kisah lagi pasal nyawa kerana nyawa budak ini lebih penting sekarang ini. Lututnya sudah terseret kuat pada jalan tar tersebut. Tubuh kecil budak itu dirangkulnya seerat yang mungkin lalu digulingkan bersamanya hingga ke tepi jalan.

Fuh! Hampir gugur jantungnya tatkala itu apabila dia menyedari lagi sedikit sahaja dia bakal dilanggar dengan kereta besar itu. Bunyi hon lagi sekali dari kereta itu kedengaran. Cis, bukan pemandu kereta itu mahu melihat keadaannya ini.

"Ka... Kakak... Darah..."

Suara comel budak perempuan itu menampar koklea telinganya. Wajah budak itu sudah mencebik mahu menangis. Jari telunjuknya lurus menunjukkan ke arah kakinya. Anak matanya pantas melihat apa yang sudah terjadi.

"Ah... Lutut akak berdarahlah, dik." Dafinah mendesis sakit. Terkoyak juga seluarnya sehingga dapat melihat darah pekatnya yang sedang mengalir.

Kepala budak kecil tadi diusap lembut. Apa yang penting, budak itu selamat. Dia tidak mahu lagi sesiapa mengalami kemalangan di hadapannya.

"Jangan buat macam tu lagi ya, dik. Ini pun nasib baik akak ada kuasa Wonder Woman. Sempat juga selamatkan adik."

Budak perempuan itu mengangguk kepalanya. Entah faham atau tidak apa yang dipesannya tadi.

"Apa nama..."

"Kayra!"

Kedua-dua pasang mata mereka memandang pemilik suara yang memanggil nama itu. Dafinah tidak berkedip matanya melihat lelaki yang dirinya sendiri mahu bertemu dalam diam itu. Tergesa-gesa lelaki itu cuba menghampiri mereka berdua. Adakah lelaki itu dan budak ini saling mengenali antara mereka?

"Dafinah? Apa kau buat dekat sini?"

Dafinah yang masih sedang duduk di tanah dan rumput itu tersengih. Sakit pada lutut tidak semestinya senyuman tidak boleh diberikan.

"Lutut ka... Kakak sakit, bang."

"Apa?"
















Do vote⭐

Mind to share? Thank you.

2251 words.



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro