Bab 14🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hati kecilnya tidak henti-henti merintih penyesalan yang dirasainya sekarang ini. Dia fikir dia boleh bahagia, tetapi tidak semudah yang disangkakannya. Berkali-kali dia sudah ditipu dengan orang yang selama ini dicintainya. Kalau sudah sayang, benda bodoh pun sanggup kita redah dan tidak semena-mena diri sendiri dalam bahaya.

"Woi! Pekak kah? Buka pintu ni cepat! Kalau tak, aku tendang pintu ni. Jangan cabar aku!"

Kedua-dua tangannya menekup telinganya supaya suara garau itu tidak didengarinya lagi. Kepalanya sudah digeleng banyak kali untuk menghilangkan rasa gerunnya.

"Aku tahu kau ada dekat dalam! Jangan cuba nak lari dari aku sebab aku akan cari kau sampai ke lubang cacing."

Nafasnya sudah tidak teratur. Jantungnya sudah berdegup kencang mendengar setiap ugutan yang dilontarkan oleh pemilik suara itu. Dia tidak mahu hidup dalam kesengsaraan begini. Ini bukan yang dia mahu! Mulutnya sudah dikatup kuat dengan tangannya supaya tangisannya tidak didengari oleh sesiapa. Penat. Itu sahaja yang dirasainya sepanjang dia berada di dalam rumah kecil ini.

Mak...

Bapa...

Tolong Dayang...

Tangisan itu mendayu-dayu di sudut hatinya. Kalaulah dapat diputarkan waktu semula, akan dirinya patuh dan taat pada kedua-dua orang tuanya. Malang sekali apabila kesalahan beribu kesalahannya itu tidak dapat diubah lagi. Ini kan apa yang dia mahu selama ini? Hidup dengan orang yang tercinta. Dan kini dia sedang menelan jalan yang telah dipilihnya satu ketika dulu.

"Argh! Masih nak berdegil. Kita pecahkan terus pintu ini."

Ketakutan semakin menyelubungi dirinya yang masih berdiam diri di dalam almari bajunya yang menjadi tempat persembunyiannya. Tidak putus-putus doanya mengharapkan mereka tidak dapat menjumpai dirinya.

Bam!

Pintu kayu itu sudah terjatuh masuk ke dalam rumah kecil itu dengan hanya sekali tendangan dari salah seorang dari mereka yang berbadan agak gempal dari yang lain. Lima orang mereka akhirnya sudah menjejakkan kaki mereka pada lantai rumah tersebut. Seorang daripada mereka tersenyum sinis. Baru sahaja seminggu yang lepas mereka menyelerakkan semua barang-barang di rumah itu, hari ini sudah terlihat begitu tersusun dan kemas walaupun terdapat kaca-kaca yang sudah pun retak.

"Itu yang aku suka gila dengan minah yang mamat tu simpan... Dia itu bukan setakat cantik, pandai mengemas rumah pula tu." Akhirnya dia bersuara mengungkap bait-bait pujian itu.

"Aku pun. Aku dah cakap, kalau mamat tu tak boleh bayar hutang dia, bagi sajalah perempuan itu dekat kita. Mana senang nak jumpa perempuan lawa macam itu nak puaskan nafsu." Rakan di sebelah lelaki tadi membalas.

"Eh kau. Aku yang dapat dulu eh. Jangan nak cakap pasal nafsu jahanam kau tu. Orang perempuan tak suka lelaki yang pakai baju sampai ternampak perut bulat. Ha. Macam kaulah, Bob."

"Diam kau. Kita tengok sajalah, siapa yang jumpa dia dulu, dia punya."

Berubah riak wajah orang itu apabila Bob berkata sebegitu.

"Tak boleh. Dia aku punya. Aku dah cop dia awal-awal lagi."

Kedua-dua pasang mata mereka sudah memandang tajam antara satu sama lain. Macam dah tak ada bunga lain yang boleh dipetik.

"Dekat kelab Bos Brown belambak perempuan, tak payah kau orang berdua nak bergaduh. Perempuan dalam rumah ni pun tak lama lagi jadi macam perempuan dekat sana. Buat apa nak perempuan murah macam tu?" Salah seorang rakan setugasnya bersuara.

"Dengar tu, Pudin. Ada banyak perempuan lain yang lebih seksi dan cantik dari dia." Bob mengulangi ayat rakan mereka.

Pudin mencebik bibirnya. Bob kalau sekali tak menganggunya, memang tidak sah. Ingat dia teringin sangatkah dengan perempuan di kelab malam itu? Dia mahu perempuan yang bernama Dayang juga. Bukan mudah untuk menjumpai perempuan sebegini pada zaman sekarang.

"Sudah! Selongkar semua barang dalam rumah ni. Kita kena bagi amaran dekat budak tak guna tu yang kita dah habis bersabar dengan dia." Si ketua mengarah.

"Jom."

Semua sudah bergerak untuk melakukan tugas masing-masing. Bunyi barang jatuh dan pecah sudah kedengaran di segenap empat penjuru rumah itu.

Pudin berdiam diri. Dia sendiri pun tidak mampu membayar sewa rumahnya, ini sekarang kena mengutip bayaran hutang orang pula. Kalau Tok Abu Wasim tahu ni, mahu diperlinya sepuas hati. Sejenak kemudian, dia menggerakkan kakinya untuk melakukan perkara yang sama yang ditugaskan.

Ketua mereka yang dikenali sebagai Alang sudah memasuki satu bilik kecil. Ada dua bilik yang terdapat dalam rumah itu. Otaknya berfikir, adakah perempuan yang bernama Dayang itu menyorok dalam salah satu bilik itu? Kakinya sudah mengorak langkah ke satu bilik yang belum dimasuki sesiapa. Mahu memeriksa di situ.

Kecil. Hanya terdapat sebuah tilam yang telah dilipat dua di lantai dan almari baju. Setahunya dulu, bilik ini mempunyai banyak hiasan seperti bilik perempuan, tetapi sekarang semakin kelihatan suram. Kosong sahaja dinding yang dulunya terdapat pelbagai gambar dan tampalan yang ceria. Apabila diamati betul-betul, memang sunyi rumah ini seperti tiada orang. Tetapi tadi mereka berlima jelas terdengar bunyi pintu kayu ditutup ketika mereka berada di luar.

Retina matanya dikalihkan memandang satu almari yang satu-satunya berada di dalam bilik itu. Hatinya tergerak untuk memeriksa sesuatu di dalam almari itu walhal dia tahu kemungkinan besar tiada sesiapa di dalam kerana tiada bunyi yang kedengaran.

Pintu almari itu sekilas dibuka dengan tangannya. Baju-baju kurung yang tergantung sahaja yang berada di situ. Kan dah cakap, tiada siapa... Otaknya meniskus sendiri.

Jarinya sengaja menolak baju-baju yang tergantung elok itu ke tepi. Kini, kelopak matanya terbuka besar apabila dia menyedari ada seorang perempuan yang sedang mengerekot di sebalik baju-baju tadi.

Dayang Awliya.

Perempuan itu perlahan-lahan memalingkan mukanya melihat wajahnya. Kedua-dua mereka terkedu buat seketika. Pudin sudah terasyik dengan kecantikan yang dilihatnya sekarang seolah-olah ini kali pertama dia melihat perempuan secantik ini. Anak matanya menganalisis wajah Dayang. Bukan mudah untuk melihat raut wajah itu dengan jarak yang dekat.

Hidungnya separuh mancung. Pupil matanya berwarna coklat gelap. Besar mata itu sehingga dapat melihat betapa takutnya perempuan itu di saat ini. Bibir munggilnya pula pucat tetapi masih terserlah kemanisannya. Serius, Pudin masih tidak mempercayai bahawa perempuan itu dari kampung.

"Pudin mana?" Alang menyoal kuat dari bilik sebelah.

Tersentak dibuatnya tatkala dia sedang melihat keindahan ciptaan sekarang ini. Ah, kacau betul Alang ini.

"Aku ada dekat bilik satu lagi." Dia membalas mudah walhal ketika itu jantungnya sedang mengepam darah laju. Patutkah dia memberitahu rakan-rakannya yang lain tentang ini? Kenapa mulutnya berat untuk memberitahu perkara ini?

"Ada jumpa sesiapa tak, Pudin?"

Liurnya diteguk supaya suaranya tidak bergetar untuk bercakap seraya wajah perempuan di hadapannya dikerling.

"Tak ada." Ringkas sahaja dia membalas.

Baju yang kemas berada di dalam almari itu ditariknya keluar lalu dicampakkan ke lantai. Perempuan itu sudah membenamkan mukanya pada lutut kakinya untuk tidak mengeluarkan suara walaupun sekadar hembusan nafas. Dia sudah merapatkan kaki dan tangannya pada tubuhnya mengharapkan dirinya tidak disentuh lagi oleh mereka.

Pudin menutup semula pintu almari lantas dia menuju ke pintu bilik yang hanya ditutupi dengan langsir. Bob sudah terpacak di hadapannya kini. Hampir tercabut jantungnya apabila Bob secara tiba-tiba berada di situ.

"Kau buat apa dekat sini?" Pudin bertanya walaupun ada sedikit peluhan yang sedang mengalir menuruni lehernya.

"Nak selerakkan barang-barang dalam bilik ni lah."

"Oh. Aku dah selerakkan. Lagipun bilik ni kecil sahaja, so boleh buat seorang saja." Dia mengawal riak wajahnya. Muka harus bengis untuk menghilangkan perasaan gementar.

"Hish tak bestlah selerakkan rumah ni. Barang-barang dahlah sikit saja. Perempuan yang nama Dayang pun tak jumpa. Macam tak berbaloi saja aku join Alang nak pecah rumah ni." Bob sudah meluahkan rasa tidak puas hatinya pada Pudin.

"Aku rasa macam dia orang berdua tu pergi keluar mana-manalah." Pudin memberi alasan.

"Kalau mamat Aizat tu keluar aku percaya juga. Tapi, si Dayang tu keluar aku susah nak percaya sebab aku kenal sangat Aizat tu, dia mesti tak bagi punya perempuan kesayangan dia keluar dari rumah ni. Takut orang lain kacau barang istimewa dia. Dulu aku pernah berkawan dengan dia..." Bob sudah separuh berbisik.

"Dia kata dekat aku yang dia akan pastikan Dayang akan hidup dengan dia sampai bila-bila. Macam psiko ja aku dengar dia cakap."

Pudin menjongket bahunya. Bukan dia kenal sangat pun dengan lelaki yang bernama Aizat itu. Sekali pandang saja, kalau boleh tak mahu pandang lagi. Selekehnya lain macam.

"Jom balik. Kita bagitahu yang kita dah bagi amaran dekat budak tak guna ni." Suara Alang sudah bergema memenuhi ruang rumah itu.

Pudin mendiamkan dirinya tentang perkara yang telah dijumpainya sebentar tadi. Biarlah kali ini perempuan itu selamat dari mereka.


Kunyit tua berwarna jingga pekat itu sudah ditumbuknya sehingga lumat lalu diletakkan ke dalam mangkuk yang diperbuat daripada tanah liat. Dia menitiskan sedikit air ke dalam kunyit tadi. Dengan berhati-hati tangannya menyapu pada tempat luka yang melecet itu.

"Kamu buat apa dekat sini, Finah?"

Nek Embun yang sedang tekun melakukan kerjanya mula menyoal. Anak muda yang sedang duduk sambil melunjur kakinya mendesis sakit. Seketika kemudian terdengar Dafinah hanya tergelak hambar.

"Saya fikir nak mula hidup baru dekat sini."

Perempuan tua di hadapannya mengangguk faham. Baru sebentar sahaja tadi Dafinah menceritakan perkara yang terjadi sewaktu dia pulang ke kampung. Dirinya juga menumpang sedih mendengar. Walaubagaimanapun kuasa Tuhan tidak boleh dipersalahkan kerana pasti ada hikmah di sebalik kuasa yang ditunjukkan.

"Jauh juga kamu nak mulakan hidup baru. Hmm... Tak apalah, kamu masih muda. Tak salah nak buat benda baru."

Dafinah tidak membalas. Ada juga terselit perasaan gementar dalam jiwanya untuk meredahi kehidupan yang baharu ini. Kalau sebelum ini, emaknya yang menentukan di mana dia sekarang. Kalau bukan emaknya, pasti dia sedang berada dalam keadaan terumbang-ambing seperti sekarang ini.

Kelihatan Nek Embun sedang membaluti lututnya. Pedih memang tak terkata. Bibirnya diketap kuat. Matanya seakan-akan mahu mengeluarkan air kesakitan.

"Nenek dah balut luka kamu ni. Tunggu sampai lima jam nanti kamu dah boleh panggil nenek balik ya."

Air mata yang bergenang di tubir matanya sudah tidak dapat ditahan. Bibirnya dipaksa mengukir senyuman untuk Nek Embun.

"Tapi, saya kena jumpa dengan pemilik rumah sewa saya..."

Nek Embun segera memintas.

"Jangan degil, Finah. Kamu mesej dia dulu cakap kamu dalam keadaan sakit sekarang ni. Nanti nenek minta Fuad hantarkan kamu."

"Ta... tapi..."

Bayang-bayang perempuan tadi sudah berlalu pergi. Kepalanya digaru-garu. Baru sahaja tadi Huzaiman memarahinya kerana membawa budak kecil yang bernama Kayra tadi ke dalam keadaan yang berbahaya. Setiap kali dia ingin menjelaskan perkara yang sebenar, dirinya akan dipersalahkan lagi. Hatinya kini sudah rajuk dengan lelaki yang bernama Hazim Fuad itu. Penting sangatkah budak kecil itu pada dirinya?

Apabila dia menyedari Nek Embun tiada berdekatan dengan biliknya, perlahan-lahan tapak kakinya menjejak lantai bilik itu. Kesakitan yang mengalir di kakinya tidak diendahkan kerana dia harus berjumpa dengan pemilik rumah sewa itu segera. Janji harus ditepati. Itu prinsipnya.

Sebaik sahaja daun pintu itu dibuka olehnya, dia melangkah keluar. Belum sempat kedua-dua kakinya selamat memijak ke lantai luar, tangannya ditarik oleh seseorang. Tubuhnya sekaligus terikut dengan tarikan tersebut. Alangkah terkejutnya dirinya di saat ini apabila mendapati bahawa orang itu ialah Huzaiman. Lelaki itu kemudian menutup pintu bilik tadi.

"Hazim!" Mulutnya terjerit sebaik sahaja dia mendapati mereka berdua sudah terkunci di dalam bilik itu.

"Apa awak buat ni?"

Tubuhnya sudah terlekap pada dinding kayu manakala Huzaiman sudah mengunci dirinya di antara kedua-dua belah tangan lelaki itu. Merah menyala wajahnya kini dan sudah tentu lelaki di hadapannya kini dapat melihatnya dengan jelas.

"Kau buat apa dekat sini?"

Turun naik nafasnya seperti menahan amarah. Soalan yang sama seperti Nek Embun menyoal sebentar tadi.

"Saya nak tinggal dekat sini." Ringkas dia menjawab.

"Awak tak malu ka? Macam mana kalau nenek nampak kita nanti?" Gilirannya pula bertanya.

"Tipu. Apa plan kau sebenarnya?" Mendatar suara lelaki itu membalas semula pertanyaan.

Dafinah sudah berkerut dahi kerana soalan itu tidak dapat dicerna oleh akal fikirannya. Rancangan hidupnya selepas ini belum lagi diketahui. Kenapa pula Huzaiman mahu mengetahui rancangannya? Bukan mereka berdua menjalinkan apa-apa hubungan sekalipun.

"Bagitahu aku, Finah!" Nafasnya tidak teratur. Tajam matanya memanah anak mata bundar milik Dafinah.

"Saya tak faham dengan awak sekarang ni, Hazim. Kenapa awak nak tahu sangat pasal..."

"Jangan panggil nama tu lagi." Tegas kali ini amaran daripada lelaki itu. Sudah tidak seperti sebelum ini apabila mereka hanya sekadar gurauan.

"Cepat!"

Dafinah meneguk liurnya yang tersangkut di kerongkong. Dia cuba melawan anak mata kelabu milik Huzaiman. Namun dia tetap kalah. Perlahan dada sasa lelaki itu ditolak menjauhi dirinya.

"Sudahlah awak... Saya tak faham apa yang awak nak dari saya."

Tubuh Huzaiman sedikit pun tidak berganjak walaupun Dafinah sudah menolak dengan sekuat hati. Lengan kecil yang dilapik baju berlengan panjang dipegang kuat menyebabkan tindakan Dafinah terhenti.

"Jangan bohong aku, Finah. Aku tahu kau ada benda buruk nak buat dekat aku kan sebenarnya? Semenjak aku jumpa kau, aku selalu rasa aku diperhatikan dan kau datang ke sini buat kali kedua... Lagi aku rasa macam kau cuba untuk apa-apakan aku. Jangan cuba nak memperdayakan aku dengan muka tak bersalah kau dan layanan baik kau dekat keluarga aku."

Panahan mata Huzaiman tidak mampu ditatap oleh Dafinah lagi. Kepalanya menunduk ke lantai. Tangannya yang digenggam kasar oleh Huzaiman ditarik sekuat hati namun tidak berhasil. Hatinya sedikit terasa dengan kata-kata lelaki itu. Adakah dia mengganggu lelaki itu?

Wajah Huzaiman merapati Dafinah hingga perempuan iti terpaksa memaling mukanya ketika nafas mereka hampir bersatu. Jantungnya kini tidak dapat lagi menyorokkan bunyi degupan yang kian kencang tatkala ini. Tidak pernah disangkanya Huzaiman akan berkasar dengannya.

"Ka... kalau awak rasa saya menyusahkan awak, biar saya pergi. Saya tak akan ganggu awak. Saya tak akan jumpa awak lagi. Maaf kalau saya buat awak tak senang duduk. Memang betul... Saya perhatikan awak selama saya duduk dekat dengan awak."

Dafinah sudah menggigit bawah bibirnya menahan perasaan malu. Tak pernah dia menyangka dia akan meluahkan perasaannya pada lelaki itu terlebih dahulu. Bukan niatnya untuk merimaskan lelaki itu dengan pandangannya selama ini, tapi kalau itu yang terbaik daripada lelaki itu, dia akan lepaskan.

Huzaiman sedikit terkesima. Benarlah bahawa selama ini dia diperhatikan? Dafinah sudah mengakuinya. Pergelangan tangan Dafinah dilepaskan dari cengkamannya.

"Siapa yang arahkan kau untuk perhatikan aku?"

"Ha?"














Do vote ⭐

Thank you.

2281 words.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro