Bab 25🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hampir satu jam dia berjalan sambil mengangkay Dafinah di belakang batang tubuhnya. Tidak pasti sudah pukul berapa tatkala ini. Gerimis pun sudah lesap dari langit, cuma cuaca bertambah dingin. Baju mereka masih basah tetapi dengan adanya tubuh Dafinah di belakang, sedikit sebanyak ia menghangatkan kulitnya. Cengkaman tangan milik Dafinah pula mulai longgar dan kepalanya dilentok pada bahu luasnya.

Sudah tertidur? Boleh pula perempuan ini terlelap atas badannya. Nasib baik jugalah Dafinah tidak berat.

Perjalanannya terhenti apabila dia terpandang sebuah kabin usang yang ditumbuhi semak belukar di sekelilingnya. Akhirnya ada juga tempat mereka berdua bermalam. Dengan langkah kaki laju, dia meredah semak samun dan masuk ke dalam kabin gelap tersebut.

"Finah... Bangun."

Huzaiman cuba mengejut Dafinah dari tidur lenanya tetapi tiada respon langsung. Dia melepaskan keluhan yang berat. Disebabkan perempuan itu tidak terjaga, terpaksalah dia menurunkan tubuh kecil itu dengan berhati-hati. Kalau tersilap langkah, boleh terhempas pula badan itu nanti.

Dia duduk bercangkung. Kemudian, tangan Dafinah dipegang dan lantas menangkap badannya sebelum terjatuh. Masih tidak sedar juga perempuan ini. Sleepyhead.

Mungkin terlalu penat berlari sampai tertidur dalam keletihan. Retina mata miliknya merenung kejap raut wajah Dafinah yang comot dengan tudung yang tidak berada dalam keadaan baik itu. Perempuan itu langsung tidak mengenakan sebarang alat solek di kulit mukanya tetapi masih comel di matanya.

Huh. Apa yang dia merepek sekarang ini? Mengapa pula dia berfikir tentang kecomelan yang terdapat pada Dafinah? Bukannya Dafinah berubah lebih cantik daripada sebelum ini pun. Wajah itu masih kekal kebudak-budakan dari zaman remaja lagi. Kepalanya digeleng-geleng laju apabila otaknya kini sarat memikirkan tentang Dafinah sahaja.

Dia membetulkan posisi pembaringan Dafinah dan membiarkan sahaja dia tidur dengan baju basahnya. Kasihan pula melihat dia tidur dalam keadaan kesejukan. Hendak buat apa lagi? Kalau dia buka nanti lain pula anggapannya.

Akibat tidak selesa dengan pakaian yang masih basah, dia menanggalkan singlet hitamnya. Kemudian dia mengambil tempat yang jauh sedikit daripada Dafinah lalu dia duduk bersandar pada dinding. Dia tidak dapat menenangkan dirinya apabila detik cemas tadi berlangsung dalam kotak fikiran dan terus terfikir apakah nasib yang bakal ditimpanya nanti.

Bos Chong sudah tentu akan mengarah sekutunya memburu dirinya dan Dafinah. Hati dan fikirannya mulai gelisah dan perasaan takut mencengkam jiwa. Walaubagaimanapun dia memang tidak mahu terlibat dengan jenayah lagi. Dia mahu bebas daripada kerja-kerja kotor sebegitu. Biarlah dia menjadi penggali kubur sehingga tua kerepot sekali pun, asalkan dia tidak terjebak lagi dalam kerja itu.

Kalau dia dan Dafinah berjaya melarikan diri dari tempat ini, dia harus pergi jauh sehingga tiada siapa yang akan akan memburunya lagi. Tetapi bagaimana pula dengan Dafinah? Dia mahu ke mana? Kalau balik rumah pun akhirnya akan ditangkap jua. Tak akanlah Huzaiman kena membawanya sekali?

Belakang kepalanya kasar dihentak pada dinding. Sukar untuk dia mengungkapkan sesuatu yang kurang jelas di benak fikirannya. Ia seakan-akan sesuatu pada dirinya yang membuatkan dirinya sendiri mahu melindungi perempuan itu. Dafinah sudah kematian ibu bapanya, ke mana dia hendak pergi selepas dibebaskan nanti? Mungkin dia sudah mempunyai keputusan tersendiri. Dirinya pula masih membawa situasi yang bahaya pada kedua-dua orang tuanya yang merangkap ibu bapa kepada ibunya sendiri.

Tidak tahu lagi bagaimana cara untuk dia menjelaskan kesemua perkara yang sudah menimpanya ini. Sanggupkah nenek dan tok wannya menerimanya lagi? Tidak tahu mengapa tiba-tiba air matanya mengalir. Sedih terkenangkan nasib sendiri, menyesal kerana menjadi cucu yang tak berguna. Dia bertekad agar tidak akan terjerumus lagi dalam pekerjaan haram itu lepas ini.

Poket seluar diseluk. Nampaknya kotak rokoknya sudah basah teruk di dalam. Nafasnya sudah dihela berat kerana terpaksa menahan niat hendak menyedut asap malam ini. Ia dikeluarkan berhati-hati supaya tidak hancur lalu diletakkannya di tepi bersama pemetik api. Harap-harap keringlah dua benda penting itu pada besok hari. Boleh menggigil tubuhnya tidak menyedut racun nikotin itu. Masih terdapat beberapa batang rokok lagi dalam kotak tersebut, sayang pula mahu membuangnya pada waktu terdesak begini.

Telefon pula sudah tidak boleh dihidupkan. Padah akibat lompat dalam sungai tadi. Otaknya sudah gelak sakan pada tuan badan. Pisau belati yang tersorok di dalam poket dikeluarkan juga. Mana tahu terdapat binatang buas yang menyerang secara tiba-tiba, jadi pisau itu boleh jadi alat pelindung.

Akhirnya pelupuk matanya sudah menutup bola matanya. Sempat susuk tubuh Dafinah yang terbaring tidak terusik dipandang kejap sebelum dia memasuki alam mimpi. Dia kini terlena tidur dengan posisi duduk bersandar pada dinding tanpa berbaju sehingga keesokan harinya.

Bunyi kicauan burung-burung dan bahang panas mentari yang menyinggah pada kulitnya menyebabkan dia tersedar dari tidur. Segera dia bangkit dari pembaringannya. Anak matanya meliar memandang sekeliling dan mendapati satu figura seorang lelaki yang tertidur sambil duduk di dinding tanpa mengenakan baju. Dia sedikit terkejut sampaikan dia terus membelek-belek badannya untuk memastikan dia tidak ditanggalkan pakaian juga.

Lega rasanya kerana dia masih lengkap berpakaian seperti sebelum ini tetapi dia tidak selesa kerana bau hanyir darah kotor menyesakkan pernafasannya sendiri. Dia memeriksa pula baju kemeja biru milik Huzaiman.

"Aduh... Tembus pula darah ini dekat baju dia." Dafinah mencebik bibir.

Dia tidak berfikir panjang lalu dia bangun dan berjalan tanpa membunyikan sebarang tapak kaki seraya meninggalkan rumah usang yang dipanggil kabin itu. Ia nampaknya tinggalan penduduk setempat. Bukannya dia berniat untuk meninggalkan Huzaiman tetapi dia hendak mencari air untuk mencuci kemeja itu secepat yang mungkin. Kalau boleh dia mahu mandi juga!

Persekitaran di luar kabin agak semak. Papan-papan ditumbuhi pokok menjalar dan di sekelilingnya pula pokok belukar. Beberapa saat kemudian, telinganya menagkap bunyi desiran air. Sungai? Dafinah langsung tak mempedulikan dengan binatang buas, yang penting dia dapat membersihkan diri. Kakinya pantas berlari mengikut jejak bunyi desiran aliran sungai dan akhirnya dia menemuinya.

Ia hanya beberapa meter dari kabin tadi. Dengan hati yang riang gembira tatkala bertemu dengan air, dia terus turun dari tebing yang rendah. Betapa indahnya hutan ini pada waktu pagi. Bunyi kicauan burung-burung bagaikan sedang menyambut kedatangan dirinya ke sana. Dia tersenyum senang.

Kemudian matanya ternampak pula beberapa pokok bumbu yang tumbang. Mungkin akibat ribut semalam. Tekanya.

Perlahan-lahan dia menjejakkan kaki di tepi persisiran sungai. Teruja kerana dia sudah selamat daripada penculik-penculik yang durjana semua itu.

Sejuk! Tetapi air itu bersih tidak seperti sungai semalam yang kabut sedikit. Air besar pula sudah surut. Selepas itu dia memandang sekeliling untuk memastikan keadaan selamat. Tiada sesiapa di situ selain dia seorang. Seluarnya dipenuhi darah yang kian mengering. Dafinah mendengus malas. Mengapalah darah haid perlu datang pada waktu yang genting?

Tetapi apa boleh buat... Kaum wanita terpaksa menghadapi benda ini sampai menopaus. Ia datang ketika susah dan senang walaupun dalam keadaan sulit begini. Mahu tak mahu, dia kena menghadapi kenyataan yang sekarang dia bukan bermimpi buruk. Ianya nyata!

Seusai dia membersihkan kemeja biru milik Huzaiman, barulah dia membersihkan baju dan seluarnya. Pokok-pokok bambu yang tumbang melintang dijadikan tempat menyidai pakaian disebabkan cahaya matahari tepat mengenanya. Selesai menjemur, terus dia menerjun semula ke dalam sungai yang sejuk. Harap-harap tiada lintah.

"Selesanya..." Dia dalam keasyikan tatkala air sungai membasahi kulit tubuhnya yang sudah masuk 3 hari tidak mandi.

Dafinah berendam ssmbil membersihkan segala kotoran badan. Cecair itu masih mengalir tetapi tidak sederas semalam. Baguslah. Kalau boleh dia mahu berendam sampailah pakaiannya kering.

Hampir 30 minit rasanya dia bermain dengan air sungai, tiba-tiba suara sayup-sayup memanggilnya menyapa koklea telinganya. Hatinya gelisah. Takut-takut Huzaiman sampai ke sini. Dia pun segera naik ke persisiran sungai semula sambil berpeluk tubuh. Bajunya yang belum kering lagi disarungkan semula pada badan. Nanti keringlah itu. Hatinya memujuk.

Setelah siap berpakaian, dia mencapai kemeja milik Huzaiman kemudian meninggalkan sungai. Dengan rambut yang basah dan tudung yang basah, dia balik semula ke kabin. Tetapi dia terpandang pula pepohon kecil di sebalik rimbunan semak belukar. Ada sesuatu yang menarik pandangannya. Ia adalah pokok buah beri biru. Mesti ia bekas tinggalan penduduk dahulu hinggakan ia hidup subur sendiri tidak terjaga. Macam tidak percaya pula.

Disebabkan lapar, Dafinah bergegas lari menghampirinya dan terus memetik buah itu. Sebiji demi sebiji dikunyah dalam mulut kecilnya. Sedapnya! Tidak henti-henti dia memuji kesedapan buah itu. Banyaknya tak terkira. Dafinah tidak mahu mementingkan diri, dia memetik beberapa tangkai untuk Huzaiman. Apabila teringat jasa lelaki itu yang telah bersusah-payah membawanya keluar dari sarang para penculik semalam, terdetik keinginan hati untuk mengajaknya makan sekali sebagai tanda terima kasih dan boleh boleh buat pengisi perut. Agaknya, dia pun sedang lapar sekarang.

Selepas makan sehingga kenyang, dia berjalan semula menuju ke kabin. Dia terkejut sedikit kerana lelaki itu sudah tersedar dari tidur. Huzaiman duduk tepat di hadapan pintu dengan menayangkan muka serius semacam. Awal-awal pagi dah buat muka seram begitu dengan tidak memakai baju pula itu.

Kini mereka berdua bertentangan. Sebenarnya dia berasa segan dengan lelaki itu, tapi saya menguatkan diri untuk bersuara juga.

"Selamat pagi..." Rasanya gajah yang bertelinga besar pun tak dapat menangkap suaranya.

Huzaiman memandang ke arah mata Dafinah tetapi anak matanya melirik pada buah yang dipegang oleh perempuan itu.

"Apa itu?" Ucapan dan senyuman dari Dafinah tidak dibalas. Dia langsung sahaja menyoal tentang buah ini.

"Blueberry. Saya terjumpa pokok blueberry dekat belakang tadi. Saya bawakan sikit untuk awak. Nah, ambillah." Kata Dafinah sambil menghulurkan buah beri itu kepada Huzaiman.

Dengan kening berkerut tajam, dia merenung muka Dafinah selama beberapa saat tanpa menyahut. Mengapa pula dengan lelaki ini? Tak akanlah menyesal pula sebab menyelamatkannya?

"Kau pergi mana tadi? Kenapa bangun tak kejutkan aku?" Huzaiman menyoal.

Buah beri disambut jua tetapi ucapan terima kasih tidak diucapkan.

"Saya mandi tadi. Ada sungai dekat belakang sana. Kalau awak nak bersihkan diri, pergilah. Baju awak saya dah cuci." Dafinah memberikan jawapan untuk soalan Huzaiman tadi.

Huzaiman memetik sebiji beri dari tangkai lalu mengunyahnya dalam mulut. Dafinah pula masih tercegat di hadapannya sama seperti pokok kayu yang ada di situ sambil melihat lelaki itu makan. Kemudian lelaki itu memandangnya kembali, dia tersengih kecil.

"Lepas ini kita kena gerak." Katanya.

"Err... Apa rancangan awak lepas ini? Kita nak pergi mana?" Dafinah memberanikan diri bertanya.

"Selamatkan diri sebelum diburu. Tak akanlah kau nak stay dekat sini sampai bila-bila?" Jawapan Huzaiman agak kasar sedikit sambil memetik lagi dia biji beri.

"Oh... Okey. Erm..." Dafinah ingin mengucapkan sesuatu tetapi malu.

"Apa?"

"Terima kasih."

"Untuk apa?"

"Sebab tolong saya larikan diri..."

"Tak payahlah ucap lagi. Kita belum selamat lagi. Kita kena keluar dari hutan dan cari tempat bersembunyi." Sambungnya.

Nak cakap lelaki ini sombong, tidak juga. Tetapi sikapnya tegas dan berani sebelum ini membuatkan dia bersuara begitu. Rambutnya yang tidak kemas diperhatikan oleh Dafinah. Dia lantas mengalihkan pandangan dari menyelidik tubuh Huzaiman dengan lebih lagi.

"Saya cuci kemeja awak tadi tapi belum kering." Kemeja milik Huzaiman dikembalikan semula kepadanya.

Huzaiman mencapai begitu sahaja dan bergerak masuk ke kabin. Singlet hitamnya dicapai dan disarungkan pada tubuhnya yang kekar. Tangannya berurat dan badannya masih gagah perkasa seperti ahli sukan negara. Eh? Apa pula yang dia sedang memikirkan sekarang ini?

Sambil lelaki itu memakan buah beri, sambil itu juga dia bersuara sementara Dafinah melabuhkan punggung di atas lantai dan menyandar pada dinding.

"Lain kali... beritahu aku kau ke mana. Kalau kau nak selamat, dengar apa yang aku cakap. Bukan menghilang begitu saja. Aku dah bersusah-payah bawa kau kari, tapi kau hilang pula lepas aku bangun dari tidur. Kau ingat kita dah selamat sekarang? Aku tahu kau tak selesa, tapi sekurang-kurangnya beritahu aku kau pergi mana. Lagi pun ini hutan, bukan bandar. Kalau binatang buas baham kau macam mana? Tak sia-siakah hidup kau lari dari penculik-penculik itu?"

Panjang lebar bebelan dari Huzaiman pada Dafinah. Hendak menjawab pun rasa bersalah kerana apa yang diujarkan itu semuanya betul. Seperti nasihat, tetapi agak kasar.

"Sorry, Hazim." Bibir Dafinah digigit kerana suasana pada masa itu sedikit tegang.

Huzaiman merapatkan diri di antara mereka.

"Berhenti panggil aku Hazim, Finah." Mendatar suara itu menikam suasana.

"Sebab orang yang panggil aku 'Hazim' selama ini, semuanya tikam belakang aku."

Dafinah terkesima. Tidak pernah disangkanya Huzaiman akan meluahkan perasaan yang terbuku di hati padanya. Mata redup Huzaiman dipandang simpati. Dia seakan-akan dapat merasakan kepayahan yang dilalui oleh lelaki itu walhal dia tidak melaluinya sekali pun.

"Sorry..." Sekali lagi dia meminta maaf.

"Lepas ini saya panggil awak Man..."

"Panggil aku Fuad."

Huh? Betulkah apa yang didengarinya ini? Huzaiman menyuruhnya untuk memanggil nama yang sepatutnya disebut oleh ahli keluarganya?

"Bukan awak kata..."

"Sebab aku rasa janggal kalau kau panggil aku Man." Huzaiman mengalihkan pandangan ke arah lain. Segan hendak membalas pandangan mata bundar itu.

"Oh. Bukan sebab saya ahli keluarga awak, eh?" Sengaja Dafinah bertanya.

"Finah... Sudahlah. Aku nak mandi. Kau jangan keluar pergi mana-mana selagi aku tak datang. Kalau ada apa-apa yang tak kena, kau jerit saja. Faham?" Huzaiman mengarah.

Dafinah tersengih kecil sambil mengangguk kepala tanda faham. Bola matanya hanya memerhati lelaki itu bergerak keluar dari kabin.

Beberapa minit selepas Huzaiman pergi, dia melirik ruang jecil kabin usang tersebut. Ia kosong tidak berbilik. Dedaun kering mengotori lantai. Sarang labah-labah menjadi penghuni kabin. Dinding yabg diperbuat daripada kayu ada yang berlubang. Nampaknya kabin ini sudah lama ditinggalkan tetapi Dafinah tidak kisah asalkan dia dapat berehat sebentar.

Fikirannya kini berbalik pada peristiwa malang sebelum ini. Apa nasib gadis-gadis yang masih di bawah tahanan agaknya sekarang? Tentu sengsara. Apatah lagi sudah ada seorang yang meloloskan diri dari bangunan itu. Dia tidak dapat membayangkan perkara buruk yang akan menimpa mereka. Adakah dia bertuah kerana berjaya melarikan diri?

"Hmm..." Dia seolah-olah sedang sarat memikirkan jawapannya. Sedang dia asyik mengelamun panjang, tiba-tiba cuping telinganya terdengar sesuatu.

Sssttt...











Do Vote⭐

Thank you!

Mind to share too!

2220 words

P/s : Maaf ya kalau saya lama tak update. Saya syok baca novel baru (Kembara Cinta Kahakea). Hehe... Don't worry saya akan sentiasa ingat untuk update. Stay tuned!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro