Bab 26🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Argh!"

Dafinah terbeliak besar matanya tatkala memandang seekor ular yang datang dari arah dinding yang berlubang. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia melihat ular di hadapan mata dan bukannya di skrin gajet. Kelihatan seekor ular sedang menjalar memasuki lubang kecil itu dengan lidah terjelir-jelir. Tidak dapat diungkapkan betapa cemasnya dirinya ini.

Dia bingkas bangun dengan badan menggeletar. Dia harus menenangkan dirinya supaya dia dapat berfikir dengan waras pada waktu genting begini.

"Argh!"

Tak semena-mena dia menjerit lantang akibat terkejut dan ketakutan melihat kepala ular sebesar penumbuk buku lima semakin laju masuk ke dalam mencari mangsa. Mungkin bau darah dari badannya menyebabkan binatang buas itu datang ke arahnya. Dia pasti itu ialah ular sawa.

Akibat panik yang melampau, Dafinah terus berlari keluar dari kabin dan menuju ke sungai untuk mencari Huzaiman. Dia bagaikan sudah hilang arah kerana terlalu takut. Sepantas kilat dia melarikan diri daripada sang ular.

"Hazim, tolong!"

Dafinah langsung tidak memikirkan panggilan baru untuk Huzaiman kerana dia amat cemas. Dia menjerit kegerunan sehinggakan suara bergema di udara. Burung-burung berterbangan seolah-olah mereka juga dapat tahu bahawa dirinya dalam keadaan bahaya.

Belum sempat Dafinah tiba ke sungai, Huzaiman kelihatan sedang berlari cemas menuju ke kabin. Mereka berdua bertembung di pertengahan semak belukar. Lelaki itu nampak basah sekali.

"Apa dah jadi?" Huzaiman menyoal. Bahu Dafinah dipegang kejap bagi meredakan diri yang diselubungi ketakutan.

"A... ada benda..." Panik sangat sehingga suaranya terketar-ketar.

"Benda apa?" Lantang Huzaiman bersuara.

"U... ular!" Dafinah menguatkan suara.

"Huh?" Huzaiman mengeluh keras kemudian dia berjalan laju ke kabin semula tetapi Dafinah menangkap lengannya untuk menghalang lelaki itu dari berjumpa dengan ular tadi.

"Jangan ke sana! Ular itu bahaya!" Dafinah cuba memberi nasihat, tetapi nampaknya Huzaiman seperti tidak mengendahkan.

"Diamlah."

Tangan Dafinah yang merantai lengannya ditepis lalu dia mengorak langkah semula ke tempat yang menjadi hala tujunya. Dafinah mengekori Huzaiman dari belakang sebagai langkah berjaga-jaga. Kalau dia dibelit ular, mungkin Dafinah boleh tolong... Kan?

"Awak... ular itu besar..." Dia bersuara kecil di belakang Huzaiman.

Huzaiman tidak menyahut.

Kini dia berada betul-betul di pembukaan pintu masuk sambil matanya ralit memerhatikan keadaan dalam kabin. Ular itu berlegar-legar di seperti mencari makanan sebagai pengisi perut.

Dafinah yang setia di belakang gerun melihatnya. Meremang tegak bulu tengkuknya pada saat ini. Ular tersebut besar dan panjang. Kulitnya bertompok-tompok.

"Ular ini tak patuk oranglah. Yang ini jenis kanibal." Tiba-tiba Huzaiman bersuara lalu menoleh ke belakang melihat Dafinah.

Dafinah pula diam membisu. Betulkah apa yang dia cakap ini? Macam tak percaya pula. Lelaki itu nampak tenang saja dan tidak takut.

"Hei... Aku ingatkan ada harimau makan kau." Di hujung ayat, lelaki itu meletuskan tawanya.

"Boleh awak bergurau? Kalau saya kena makan dengan ular tadi macam mana?" Kata-katanya terselit tidak puas hati. Mentang-mentanglah dia perempuan.

"Ular itu tak bisa tapi boleh mencederakan orang yang cuba mengganggu." Ringkas sahaja ayatnya.

"Dah. Jom pergi sungai. Tunggu aku siap mandi." Dia kemudian mengajak Dafinah ke sungai.

Mahu sahaja Dafinah menolak ajakan itu tetapi ke mana lagi dia hendak pergi? Nanti ular itu kejar dia, sudah lupa fakta yang disebut oleh Huzaiman tadi.

Huzaiman lekas mengambil kemeja dan kotak rokok serta mancis yang diletakkan di tepi pintu. Kemudian dia berjalan semula meninggalkan kabin. Dafinah macam si dungu, ikut sahaja ke mana lelaki itu pergi. Huzaiman berkaki ayam dan seluarnya basah membuatkan dia terasa janggal. Dia tidak pernah alami perkara ini. Lebih-lebih lagi bersama seorang lelaki.

Setibanya mereka di sungai, dia meletakkan kotak rokok, mancis dan kemejanya di tebing lalu terjun ke dalam sungai. Air di sungai bertempias akibat tubuhnya yang besar.

"Hei!"

Tempias itu terus terkena padanya. Lelaki itu memang sengaja! Dafinah mengesat air yang terpercik pada mukanya. Habis basah pakaian Dafinah yang hampir kering tadi. Terbuntang biji matanya.

"Hazim! Tak payahlah terjun. Masuk dalam sungai elok-elok kan, boleh!" Kakinya sudah dihentak-hentak pada tanah.

Tak semena-mena Huzaiman dengan sengaja memercikkan lagi air sungai pada Dafinah. Geli hati melihat perempuan itu seperti budak-budak kecil yang takut akan air.

"Kau takut air eh?" Huzaiman menyoal. Dia mengoyakkan senyuman.

"Bukan takut air... Baju saya ini dah basah balik sebab awaklah! Kalau tak mesti dah kering." Geram sahaja Dafinah membalas. Bibirnya sudah dijuih.

"Nanti kita jalan, keringlah itu..."

Setelah Huzaiman mengungkap ayat tersebut, sekali lagi dia memberi percikan air sungai pada Dafinah.

"Hazim!"

Pantas dia menjauhkan diri daripada Huzaiman yang masih berendam di dalam sungai.

"Hati-hati. Takut ular tadi datang balik." Usik Huzaiman lalu kepalanya diselam dalam sungai.

"Huh?"

Dafinah sudah meliar matanya memandang keliling. Ada ular, tak?

Retina matanya kembali melihat sungai. Susuk tubuh Huzaiman sudah hilang. Lagilah membuatkan dirinya terasa gementar. Serius dia tidak pernah berasa takut seperti ini selama dia hidup. Pertama, takut-takut sekiranya ular yang besar penumbuk datang padanya. Kedua, takut-takut penyangak-penyangak durjana menjumpainya.

Kakinya segera melangkah pantas bergerak ke tebing sungai. Dahinya berkerut seribu. Mana pula lelaki ini? Dah matikah? Kepalanya kini menunduk sedikit mencari buih-buih nafas seseorang.

Baru dia tersedar Huzaiman masih ada cuma dia tidak pasti apa yang sedang dilakukannya itu. Belum sempat dia mahu mengangkat kepalanya, dua tapak tangan mendarat pada kedua-dua belah bahunya. Dia tersentak. Apatah lagi apabila tubuhnya ditarik masuk ke dalam sungai.

"Argh!"

Terlalu spontan situasi itu sehingga dia tidak dapat menahan dirinya daripada termasuk ke dalam sungai. Kini tubuhnya kembali berendam di dalam sungai bersama pakaian yang hampir kering tadi. Tajam sahaja matanya memandang Huzaiman yang sedang tersengih lalu menjauhinya dan berenang-renang dengan keriangan.

"Hazim! Kenapa awak buat macam ini? Tak pasal-pasal basah kuyup baju saya nanti!" Turun naik dadanya melontarkan ayat geramnya.

Huzaiman langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Kepalanya sudah menyelam ke dalam air dan hanya membiarkan perempuan itu terkapai-kapai ingin naik semula ke tebing.

"Hish! Dia ini!" Dafinah terus mengangkat kakinya sebelah kanannya untuk naik ke atas, malangnya tebing sungai tersebut terlalu tinggi untuk dia mencapai daratan berbanding kawasan sungai yang dia mandi sebelum ini.

Rumput panjang ditarik sebagai alat untuk ditarik hingga tubuhnya dapat memegang tanah, tetapi nasib tidak menyebelahinya. Rumput itu terputus dan sekaligus terlepas dari pegangannya. Drastiknya, batang tubuhnya jatuh kembali ke dalam sungai yang dalam. Tangannya sudah terkapai-kapai mahu menyeimbangi jisim tubuhnya di dalam sungai manakala hidungnya sudah termasuk air sungai sehingga membuatkan nafasnya tercungap-cungap mencari oksigen.

Itu kelemahannya. Dia tidak tahu berenang sejak kecil lagi. Lama dia bersusah-payah menggunakan kudratnya untuk menyelamatkan diri daripada lemas, malang sekali penglihatannya tiba-tiba bertukar kabur.

Seketika kemudian, tangannya terasa ditarik tatkala matanya hampir terpejam buat sementara. Tubuh badannya pula sudah selamat berada dalam dakapan Huzaiman. Bahunya digoncang-goncang seraya namanya dipanggil berulang kali.

"Dafinah!"

"Uhuk! Uhuk!"

Terbatuk-batuk dia sehingga mukanya berubah rona kemerahan. Hidungnya terasa perit sama sekali. Baru dia tersedar Huzaiman menyelamatkannya tetapi dalam masa yang sama, perasaan marahnya meluap-luap. Pantas dada luas milik lelaki itu ditolak-tolak kasar.

"Lepaskan saya." Masam wajahnya melemparkan kata tersebut.

"Kau gila? Kau nak lemas lagi?" Huzaiman membalas kasar.

"Habis. Kenapa awak tarik saya dalam sungai?" Matanya berair. Sudahlah kelemahannya terserlah begitu sahaja di hadapan lelaki ini. Terasa hingusnya keluar dari rongga hidung. Segera wajahnya menunduk.

"Kau tak tahu berenang?" Sinis soalan yang dituju oleh Huzaiman dengan nada yang mendatar.

"Ma... mana ada!"

"Kalau tahu berenang, tak adanya aku kena selamatkan kau tadi..." Perli lelaki itu. Matanya kekal merenung wajah milik Dafinah.

"Sudahlah, Hazim. Saya nak naik atas. Baju saya yang hampir kering ini dah basah balik." Rajuk Dafinah.

"Kau masih nak panggil aku dengan panggilan itu?"

Kini mata mereka bertembung lama. Masing-masing berada dalam dunia sendiri.

"Ke... kenapa?" Tergagap-gagap perempuan itu bertanya. Darah sudah menyerbu kulit mukanya yang putih mulus. Rasa geram dan marah tadi serta-merta bertukar kepada malu yang teramat.

Huzaiman menghela nafasnya perlahan. Memang bagi sesetengah orang, panggilan nama itu tidak penting. Biarlah mahu memanggil apa sekalipun, masih orang yang sama. Tetapi baginya, nama itu bahaya sama sekali untuk diterima.

"Kenapa awak diam?" Dafinah memecah kesunyian suasana.

"Kenapa kau tak panggil aku Fuad saja?" Soalan dibalas dengan persoalan semula.

"Arr... Biarlah saya nak panggil awak apa-apa pun. Hazim atau Fuad, sama saja." Lincah bibir munggil itu menjawab.

"Kau malu eh?" Tak semena-mena soalan itu diajukan buat Dafinah.

Mereka yang masih kekal di dalam air sungai membuatkan perempuan itu berganda-ganda terasa segannya. Teringat lagi waktu lelaki itu hanya membenarkan ahli keluarganya sahaja untuk memanggilnya sebegitu. Adakah ini bermakna dia diterima menjadi ahli keluarga lelaki itu juga? Tetapi mereka tiada perikatan darah. Adakah ini bermakna lelaki itu menganggap dirinya ialah orang yang lebih daripada seorang kawan? Hatinya menjerit riang sekaligus berbaur malu. Apatah lagi dengan situasi sekarang.

"Kenapa kau diam?" Soalan yang disoal Dafinah pada mulanya kini menjadi pertanyaan buat Huzaiman. Dia tersengih sengaja.

"Hari itu bukan main lagi kau gedik panggil aku..."

"Awak!"

Belum sempat Huzaiman menghabiskan usikannya, Dafinah memukul kuat bahu lelaki itu. Benda lama jangan diungkit! Lagi-lagi benda yang memalukan.

"Okey, fine. Kalau awak nak saya panggil awak dengan nama itu, saya panggil. Bukan susah pun." Dia menjeling ke arah wajah Huzaiman. Boleh lelaki itu tersengih-sengih sumbing.

"Sudahlah, arr... Ha. Angkat saya naik atas cepat." Pandangannya dialihkan supaya tidak terus memandang lelaki tersebut. Jantungnya sudah berdegup kencang mengalahkan pelari 100 kilometer.

"Apa yang gagap sangat nak sebut nama aku tu? Tadi bukan main kata senang." Sekali lagi lelaki itu mengusiknya.

Kecil besar sahaja dia membalas renungan Huzaiman. Entah macam manalah dia boleh terjatuh suka pada lelaki itu di bangku sekolah dulu. Pada awalnya, Huzaiman merupakan seorang pengawas sekolah. Semua tugas pengawas yang dijadualkan buat lelaki itu, dia hafal! Setiap kali rehat, dia akan melakukan aktiviti skodengnya di tempat-tempat tersebut. Aktiviti itu terhenti buat selama-lamanya apabila Huzaiman dilucutkan jawatan akibat merokok bersama rakan-rakan yang lain. Ini semua pengaruh rakan sebaya! Sudah elok-elok lelaki idamannya seorang yang berdisiplin, tiba-tiba berubah menjadi budak nakal.

Lamunannya yang jauh di zaman remaja terhenti apabila jari Huzaiman dipetik di hadapan wajahnya. Kepalanya digeleng-geleng laju. Tidak sangka juga dia pernah melakukan perkara yang agak memalukan itu. Kalaulah lelaki itu dapat membaca fikirannya, apalah agaknya reaksi yang diberikan.

"Hoi!"

Bahu Dafinah terhenjut.

"Kau tengok aku macam dah tembus muka aku ni. Cepatlah naik." Berkerut Huzaiman melihat karenah Dafinah.

"Oh. Sa... saya... arr..."

Sekelip mata sahaja tubuh kecil milik perempuan itu sudah diangkat naik ke tebing. Kemudian diikuti pula dengan Huzaiman yang sudah terlanjang dadanya. Cepat-cepat dia mendapatkan bajunya untuk disarungkan.

"Kau yang suruh aku angkat kau naik tadi, apa pasal pula kau termenung jauh?" Huzaiman menyoal seraya baju kemejanya dimasukkan tangan kekarnya.

"Arr... mana ada." Dafinah sedaya upaya menyembunyikan perasaan gugupnya.

"Kau teringatkan crush kau eh? Waktu dekat sekolah dulu..."

Hampir tersembul kedua-dua biji mata Dafinah mendengar kenyataan tepat yang dilemparkan oleh Huzaiman. Bagaimana lelaki itu mengetahui buah fikirannya? Adakah memang betul sangkaannya bahawa lelaki itu boleh membaca fikiran orang?

"Tak adalah!" Dafinah cuba menafikan.

"Eleh... Dulu satu sekolah bising cakap pasal coklat yang kau letak bawah meja seseorang. Tak pasti pula siapa lelaki itu." Rambut Huzaiman disisir. Walaupun masih kusut, tetapi di mata Dafinah kelihatan segak sekali.

"Itu bukan sayalah. Itu kawan saya yang suka dekat senior dulu. Sa... saya teman dia saja. Saya budak baru masa itu, manalah saya berani nak buat kerja macam itu." Jelas Dafinah jujur. Nampaknya rahsia zaman remajanya masih tidak terbongkar lagi. Tadi, boleh dikatakan kulitnya sejuk akibat darah tidak dapat mengalir lagi ke seluruh urat. Nasib baiklah Huzaiman menganggap perkara yang lain.

"Tapi tak lain tak bukan, kau mesti ingatkan crush kau juga, kan?"

Dafinah menarik nafas dalam. Lakonannya perlu diteruskan. Ekspresi wajahnya harus dikawal supaya lelaki itu tidak mendapat tahu perkara yang sebenar.

"Tak. Buang masa jelah nak ambil tahu pasal lelaki." Badannya sudah membuat aksi geli-geliman.

Huzaiman tersenyum sinis. Macamlah dia tidak tahu setiap makhluk yang bergelar perempuan di dunia ini pasti ada seseorang yang diminati. Cuma ada perbezaan antara obses dan saja-saja.

Dafinah sedar dirinya diberi pandangan sinis tetapi apa yang dia kisah? Asalkan tiada kebocoran yang berlaku, itu sudah memadai.

"Emm... Kita nak pergi mana lepas ini?" Sengaja dia menukar topik perbualan. Sekiranya dilanjutkan, tidak pasal-pasal lelaki itu dapat menghidu sesuatu yang curiga.

Walaupun pakaiannya sudah seratus peratus basah kuyup, dia harus kuat untuk merempuhi masalah ini. Dia tak sanggup menetap di dalam hutan belukar dan menjadi pelarian kepada penculik durjana. Harap-harap orang jahat yang lain sudah berputus asa untuk mencari mereka berdua.

"Kita gerak ke Dubai." Langkahnya sudah maju meninggalkan Dafinah.

"Ha?"

"Apa?"

"Awak cakap... Dubai?"

Mahu sahaja kepala perempuan itu diketuk. Janganlah bendul sangat sehingga menayangkan muka yang tidak seberapa itu. Jelas sekali terpancar wajah keanak-anakan milik Dafinah. Tanpa menghiraukan persoalan itu, dia mengorak langkah bagi mencari petunjuk untuk keluar dari sini.

"Tunggulah saya, Fuad."














Do Vote ⭐

Thank you!

2109 words.

P/s : Sorry for late update.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro