Bab 7🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Perasaan gelisah itu tidak dapat dikawal. Sampai ke negeri Melaka perempuan itu melarikan diri? Gila! Habislah duitnya kalau perlu mengisi minyak yang banyak untuk bergerak ke sana. Menyusahkan betul perempuan ini!

Dia mencari nombor seseorang di dalam telefon pintarnya untuk meminta pertolongan.

"Hello?"

Nafasnya dihela lega. Panggilan itu dijawab. Dahinya sudah merembeskan peluh.

"Mat, tolong aku wei..."

Kedengaran keluhan berat dilepaskan di corong telefon itu.

"Kenapa kau ni? Aku pernah cakap dekat kau kan, jangan call aku lagi. Aku tak nak ada kena mengena dengan kau. Aku tak nak bersubahat dengan kau dah. Nanti polis datang cari aku lagi." Bebel seseorang di corong telefon itu.

Dia mengetap bibir. Ya. Dia memang melakukan banyak jenayah dan wajahnya sangat dikehendaki. Rakan karibnya itu sudah bersubahat dengannya untuk tidak membocorkan rahsianya tentang di mana dia berada sekarang. Itulah sebab wajahnya tidak didedahkan kepada orang ramai.

Parah! Lelaki yang cuba menyelamatkan Dafinah sudah melihat dengan jelas wajahnya. Argh! Dia perlu membunuh lelaki itu segera. Masalahnya sekarang, kerjanya masih belum selesai.

Dirinya sudah bertekad. Habis sahaja tugasnya ini, lelaki misteri yang cuba mengganggu kerjanya itu akan dicari dan dicabut jantungnya.

"Aku janji. Serius aku janji... Senang saja kerja kau. Kau cuma perlu bagi aku maklumat seseorang untuk aku. Aku jauh dengan dia, jadi aku tak pasti dia tengah buat apa."

Katanya penuh berharap agar rakannya itu membantunya lagi buat kali terakhir.

"Kau nak hancurkan hidup siapa pula kali ini?" Kedengaran seperti malas sahaja soalan itu ditujukan.

"Ada seorang perempuan ni... Umur dia tahun ni dah masuk 24. Dafinah Awatif. Aku akan bagi detail dekat kau pasal lokasi yang dia duduk sekarang ni. Last aku dapat detect dia dekat Ayer Limau."

"Perempuan? Lain macam pula aku dengar bila kau cakap nama perempuan lain selain pelakon tu."

Lelaki yang lebih dikenali sebagai Mat itu pelik. Apa pula agenda kotor rakan lamanya itu? Jangan-jangan...

"Kau nak buat apa pula kali ini? Rogol?"

Sunyi.

Jadi, memang betullah apa yang ditekanya. Lelaki berhati binatang itu mahu merogol mangsanya.

"Tak."

Habis? Apa motifnya untuk memerhati pergerakan perempuan itu?

"Aku... Aku just nak berbincang dengan dia."

Lelaki yang dikenali sebagai Mat itu tersenyum sinis. Rakannya itu memang tidak tahu menipu. Dia sudah masak dengan perangai itu.

"Pfft... Berbincang ja? Pergilah buat appointment dengan dia kalau macam tu." Sindirnya.

"Mat, pleaselah... Aku nak tahu dia dekat mana dan dia ada dengan siapa sekarang ni. Itu ja."

Mat sudah memicit-micit dahinya. Dia tidak pasti untuk meneruskan bantuan ini atau tidak. Takut-takut dia dihumban semula ke bilik besi nanti.

"Kau ni dah tergila sangatkah dengan perempuan baru ni?"

"Ya! Aku memang dah gilakan dia!"

Dia tersentak. Ini sudah kemaruk sangat.

"Apa dah jadi dengan pelakon kesayangan kau tu?"

"Aku dah give up dengan perempuan berlagak tu. Dia dah tak penting bagi aku."

Tidak berkedip matanya apabila dia mendengar pengakuan si rakan karib. Skrin telefonnya dipandang. Betulkah apa yang didengarinya? Bukankah lelaki itu pernah bertekad untuk menuntut janji dari Adlina Isabella?

"Benda ni ada unsur-unsur jenayah tak?"

"Aku sukakan dia, Mat. Kenapa nak kaitkan dengan jenayah pula?"

"Kau pasti aku tak akan merempat dalam lokap lagi?"

Dia masih was-was. Bukan boleh percaya sangat rakannya itu.

"Ya."

"Bagi info dia cepat."

Beberapa saat kemudian, telefonnya berdeting menandakan bahawa ada mesej yang masuk. Maklumat perempuan itu dibaca.

Dafinah Awatif.

Wajah itu dipandang sekilas. Tidak disangkanya bahawa rakan karibnya sudah mula berminat pada perempuan yang bertudung pula.

"Cu, bangun... Nanti terlewat nak solat subuh."

Dafinah memisat-misat matanya. Badannya diregangkan. Suara siapa yang menyapa gegendang telinganya tadi? Matanya terbuka luas.

"Mak!"

Kelihatan perempuan tua yang memakai telekung putih sedang berdiri membongkok di sebelahnya. Nafasnya sudah tidak teratur lagi. Siapa saja yang tidak terperanjat apabila ada seseorang yang tidak dikenali berada di sebelahnya? Lagi-lagi bilik itu tidak diterangi lampu.

Sekejap.

Bilik?

"Cu, tandas ada di bahagian dapur. Cepat ya. Takut lambat pula untuk solat."

Lembut sahaja bicaranya. Badannya dipusingkan untuk keluar dari bilik itu untuk memberi masa kepada gadis itu untuk bersendirian.

"Err... Mak Cik, saya ada dekat mana ya sekarang?" Dafinah menggaru kepalanya.

Kedengaran perempuan tua itu tergelak kecil. Terhibur mendengar panggilan itu terhadapnya.

"Panggil nenek saja, cu."

Dafinah mengangguk.

"Kamu ada dekat kampung Fuad. Dia kata kamu kawan dia."

Keningnya dijongket sedikit. Dia mana pernah ada kawan lelaki yang bernama Fuad. Nama Fuad itu sudah lama tidak didengarinya sejak di bangku sekolah lagi.

Hazim Fuad.

Itulah nama yang ada 'Fuad' yang pernah diketahuinya. Nama lelaki yang pernah diminatinya dalam diam satu masa dahulu. Sekejap! Dia terkesima buat seketika.

"Ha? Nenek cakap... Fu... Fuad ka tadi?"

Kepala perempuan itu mengangguk mengiyakan pertanyaan itu.

Terbeliak biji mata Dafinah di kala ini. Dia baru sahaja bermimpi tentang lelaki itu, dan sekarang ini dia berada di kampung Hazim Fuad. Ini bermakna...

Kepalanya dipicit-picit. Sakit! Dia tidak mengingati peristiwa yang berlaku malam tadi. Pandangan memorinya agak kabur untuk mengingati detik-detik yang berlaku sehingga dia kini berada di kampung lelaki itu.

"Cu, pergi ambil wudhuk cepat."

"B... Baik, nek."

Segera dia menggagahkan juga tubuhnya untuk berdiri. Satu kain melorot jatuh ke lantai. Baru dia perasan bahawa dia diselimuti dengan kain itu. Tangannya mencapai kain tadi.

Kain pelekat? Siapa punya ini? Kalau kain batik boleh juga dia mengetahui jawapannya. Entah-entah...

Kepalanya digeleng laju. Anggap sajalah kain itu ialah kain batik. Lantas dia bergerak ke tandas bagi mengerjakan solat fardhu. Dia bersyukur kerana dia masih selamat walaupun dia tidak pasti dia berada di mana sekarang.

Memorinya sedikit demi sedikit mengimbau semula kejadian yang berlaku sebelum ini. Dia berada dalam keadaan bahaya tatkala itu dan pada masa yang sama tubuhnya bertindak dalam keadaan yang agak pelik seperti dirinya tidak boleh dikawal seperti orang waras. Kali terakhir wajah yang dilihatnya ialah raut wajah kacak Hazim sebelum kedua-dua matanya ditutup rapat.

Mukanya sudah merona merah apabila diingatkan balik wajah risau lelaki itu. Tapak tangannya yang ditadah untuk membaca doa itu sudah menyapu segenap wajahnya. Entah khusyuk atau tidak doa itu sebentar tadi. Telekung putih milik seorang nenek tadi ditanggalkan lalu dilipatnya dengan kemas.

Bola matanya meliar memerhati segenap bilik yang tidak terlalu luas dan tidak terlalu sempit itu. Nampak kemas. Meja solek yang berada di hadapannya itu dituju. Dia fikir dia berada di dalam bilik Hazim, tapi rupa-rupanya bilik perempuan. Mungkin lelaki itu mempunyai adik-beradik perempuan. Otaknya meneka.

Alat-alat solekan tersusun elok di atas meja itu. Cermin meja itu direnung seraya melihat pantulan imejnya. Baju kemeja lengan kirinya diselak hingga dapat melihat balutan putih. Masih dia mengingati bahawa ada beberapa orang perempuan membantunya membersihkan diri kerana otaknya yang tidak berada dalam keadaan waras ketika itu.

Tuk

Tuk

Tuk

Bunyi ketukan pintu bilik itu menyentakkannya. Lehernya berpusing memandang daun pintu yang terbuka sikit.

"Mari makan, cu."

"B... Baik, nek."

'Alamak. Cepatnya sarapan dah siap. Baru pukul 7 tepat ni. Baru nak tolong acah-acah rajin depan nenek tu...' Hatinya merungut.

Dirinya itu bukanlah rajin sangat. Cuma dia lebih kepada menghormati kepada orang yang menjaganya itu. Jadi, dia perlulah membuat sesuatu bagi membalas jasa dan budi baik orang terhadapnya. Lekas sahaja dia membuntuti langkah perempuan tua itu.

Setibanya mereka di dapur, dia memandang pada seseorang yang dikenalinya. Lelaki itu sedang menguap menahan kantuk sambil menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. Mengantuk sangatkah lelaki itu? Dirinya berasa segar saja.

Rongga hidungnya sudah menghidu bauan nasi lemak yang membuatkan seleranya membuak-buak ingin menjamah makanan itu segera. Beberapa saat kemudian, ada seorang lelaki tua memasuki dapur dari pintu belakang. Ini mesti datuk kepada lelaki itu. Fikirnya.

Raut wajah datuk itu sedikit terperanjat melihat dirinya.

"Kau ni siapa?"

"Arr... Dafinah." Jawabnya malu. Agak janggal dengan suasana baru ini.

"Kawan cucu kita, tok wan oi. Dah mari makan, Dafinah."

Lengan kiri gadis itu dipegang lembut. Dafinah mendesis kecil tetapi masih dapat didengari Huzaiman. Dia yang dalam keadaan mamai itu mengangkat muka merenung perempuan itu.

"Nek, tangan dia tu sakit." Katanya ringkas seraya menjamah semula sarapannya.

"Eh, ya ka? Kenapa dengan tangan kamu tu?"

Nek Embun berasa serba salah dek kerana terpegang lengan gadis itu.

Dafinah cepat-cepat menggelengkan kepalanya. Tidak mahu nenek itu risau dan berasa bersalah.

"Tak ada apalah, nek. Luka sikit saja."

"Nanti kita pergi klinik ya. Biar doktor rawat luka kamu."

Dafinah hanya membalas dengan anggukan. Setuju dengan kata-kata perempuan tua itu kerana rawatan dari doktor mungkin akan segera menyembuhkan sakitnya.

Di benak fikirannya, dia masih merisaukan sesuatu. Dia masih ada kerja yang tertunggak dan dia perlu menyelesaikannya hari ini juga. Kepalanya rungsing memikirkan jalan penyelesaian untuk tidak akan dimarahi oleh majikannya.

"Nek, kampung nenek ni ada dekat mana ya?" Soalnya ingin tahu. Sekiranya kampung ini berdekatan dengan tempat kerjanya, dia akan menyambung semula tugasnya. Harapnya begitulah...

"Ini Kampung Solok Ayer Limau, cu."

Dafinah tidak memberi sebarang reaksi kepada jawapan Nek Embun. Segaris senyuman terguris di bibirnya. Mungkin kampung ini masih berada berdekatan dengan tempat kerjanya. Dia berfikiran positif.

"Kita dekat Melaka, Finah."

Hampir tersembur makanan dari mulutnya. Terbatuk-batuk dibuatnya hingga menyesakkan dadanya untuk bernafas dengan teratur. Nek Embun yang berada di sebelahnya sudah menepuk-nepuk belakang tubuhnya. Ingin menenangkan kembali perempuan muda itu.

Melaka?

Raut wajah Huzaiman yang selamba itu direnung lama. Lelaki itu membawanya hingga ke Melaka? Kali terakhir dia belajar subjek Geografi adalah di tingkatan 3 sebelum dia berpindah masuk ke sekolah di mana mereka berdua berjumpa. Dia percaya bahawa Melaka dan Kelantan bukanlah negeri yang saling berdekatan. Pasti berjam-jam perjalanan mereka untuk tiba ke sini!

"Ke... Kenapa awak bawa saya sampai sini?" Itu soalan pertama sekali dia mengajukan kepada lelaki itu.

Kelihatan Huzaiman menjilat-jilat jarinya menandakan dia sudah habis menjamu seleranya. Nasi lemak neneknya tidak pernah membuatkan orang kecewa. Sedap hingga menjilat jari.

"Aku tak tahu kau tinggal mana." Ringkas sahaja jawapan lelaki itu.

Turun naik dada Dafinah pada ketika ini. Risau! Takut! Takut dia akan dimarahi kerana hilang dari tempat kerjanya.

"Kenapa awak tak tanya saya?"

"Kau tu yang tak sedarkan diri langsung."

Dafinah terdiam buat seketika. Tidak tahu apa lagi hendak membidas jawapan lelaki itu. Dah nak buat apa sekarang pun tiada gunanya kerana jasadnya memang sudah berada di negeri Melaka yang bertuah ini. Dia harus mengakui bahawa dirinya memang tidak sedar langsung pada waktu itu. Kalau bukan lelaki itu, pasti dia sudah diapa-apakan.

"Sudahlah tu... Nanti kau bawa dia balik ke rumah dia semula, Fuad." Si datuk mencelah perbualan mereka.

Huzaiman mengangguk. Baru sahaja ingin merehatkan badan di rumah, dia ada kerja yang baru pula.

Dafinah hanya mengunci mulutnya dari berkata apa-apa. Dia harus melaporkan segera masalah ini kepada majikannya. Seseorang perlu menggantikan kerjanya kali ini.

Kerusi yang diduduki oleh Huzaiman diseret ke belakang. Dia sudah selesai bersarapan. Dia perlu berehat sekejap sebelum dia membawa rakan sekolahnya ke klinik yang berada di pekan.

"Nanti kejut aku. Nanti kita pergi klinik." Sempat dia berbisik kepada Dafinah.

Nek Embun dan Tok Abu Wasim memandang mereka sesuatu. Melihat sahaja pemergian cucu mereka, Nek Embun membuka mulut.

"Dafinah, apa dah berlaku sebenarnya?"

Semalaman dia tidak dapat tidur dengan nyenyak disebabkan banyak tanda tanya yang bermain di fikirannya. Jadi dia perlu tahu penjelasan sekarang ini.

"Saya kena serang dengan seseorang dekat Pasir Puteh. Masa itu, saya rasa saya pening kepala sangat. Jadi saya tak boleh kawal diri saya, nasib baik ada Hazim datang selamatkan saya." Perlahan sahaja dia mengucapkan ayat terakhir itu.

"Pasir Puteh?"

Terbuntang biji mata Tok Abu Wasim mendengar daerah yang terletak di negeri Kelantan itu. Ada satu kedai makan yang dibukanya di sana.

"Maknanya kau dengan Fuad datang dari sana sampai ke sini?"

Dafinah mengangguk walaupun dia sendiri tidak sedar dia sudah tiba di sini.

"Itu ja yang saya boleh ceritakan sebab saya tak ingat sangat apa yang dah berlaku."

Dia rasa cukuplah sampai situ dia menjelaskan perkara yang terjadi padanya. Gilirannya pula untuk bangun dari situ dan bergerak meninggalkan sepasang pasangan itu. Segera dia berpamit untuk pergi.

"Saya pergi masuk bilik dulu ya. Terima kasih."

Bilik yang menempatkan tidurnya sebelum ini dituju lalu daun pintu tersebut ditutup rapat. Dia perlu menghantar mesej kepada majikannya sekarang. Dia tahu dia bakal dimarahi, jadi dia perlu...

"Argh!"

Dafinah terjerit. Mulutnya dikatup dengan tangannya supaya tidak didengari kuat sehingga menggangu tuan rumah yang lain. Mana tidaknya tak terperanjat kalau ada lelaki yang sedang terbaring dengan dada terlanjang kini berada sebilik dengannya!

Badan lelaki itu menggeliat kecil. Bantal empuk di sebelahnya dicapai lantas menutup telinganya. Bising! Siapalah yang jerit di dalam biliknya itu? Malas hendak melihat gerangan orang itu. Dia meneruskan lenanya.

Jantung Dafinah bagaikan terhenti buat seketika. Liurnya ditelan kelat. Lebih baik dia keluar dari bilik ini sebelum apa-apa yang buruk terjadi. Telefon pintarnya yang elok berada di atas meja solek diambil. Kalut langkahnya keluar dari bilik itu.

Kakinya berlari ke arah ruang tamu. Tingkap yang dibuka luas itu menjadi hala tujunya. Sebaik sahaja dia melihat telefonnya, dia mengeluh kuat.

"Argh! Bateri buat hallah pula."












Do vote⭐

Thank you!

2121 words

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro