Bab 6🍁

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Surat untuk pejabat Zhing Lei sudah dihantar sebentar tadi. Dia membelek skrin telefonnya. Sudah pukul 10 tepat malam. Tidak pernah dia menyangka bahawa pejabat yang bosnya suruh datang itu berada di kawasan yang agak suram dan sunyi.

Inilah kawasan yang dia menyelamatkan seorang perempuan. Tujuannya datang ke sini untuk menghantar surat, bukannya untuk menjadi seorang penyelamat yang tiba-tiba datang dari kawasan gelap menyelamat mangsa.  Kedengaran seperti cerita Batman pula.

Mungkin Tuhan menghantarnya untuk menyelamatkan nyawa perempuan itu. Kalau tidak, sudah pasti rakan sekolahnya itu sudah diapa-apakan dengan kejam sekali.

Kenderaan yang dipandunya memasuki semula perkarangan surau Al-Falaq itu. Kelihatan seorang perempuan seperti tidak bermaya sedang menunggu kehadirannya dengan ditemani dua orang perempuan lain. Beg tangan Dafinah masih selamat di tempat duduk sebelahnya.

"Assalamualaikum, mak cik. Terima kasih ya tolong bersihkan adik saya."

Adik?

Takkan dia mahu cakap kawan pula? Tak manislah orang pandang nanti.

"Sama-sama. Ada luka dalam juga pada lengan kiri adik kamu ni. Tapi tak apa, mak cik dah tolong balutkan." Terang perempuan tua yang berusia dalam lingkungan 50-an itu.

Huzaiman terdiam seraya kepalanya dianggukkan. Patutlah Dafinah mengerang kesakitan apabila dia terlanggar lengan kirinya. Dia mengeluarkan duit dari poketnya lalu diserahkan kepada perempuan di hadapannya.

"Ambillah duit ni, mak cik. Mesti saya dah menyusahkan mak cik malam-malam macam ni."

Perempuan tua itu menggeleng.

"Tak apa. Sikit saja tu."

"Kalau macam tu, mak cik ambillah duit ni. Kira saya belanja mak cik."

Perempuan di hadapannya berasa serba salah, tetapi diterimanya juga.

"Boleh mak cik tahu kenapa lengan adik kamu luka macam tu?"

Erk. Dia sendiri pun tidak tahu kewujudan luka itu.

"Ada orang jahat tadi cuba nak bahayakan adik saya." Dia bantal sahaja jawapan itu. Senyuman hambar dihadiahkan kepada mereka berdua.

"Nah. Pimpin dia elok-elok. Jatuh pula nanti."

Huzaiman tergelak hambar. Kepalanya mengangguk faham. Bahu Dafinah dipegang supaya mengikut langkahnya.

"Hati-hati, nak."

"Baiklah. Terima kasih."

Cepat-cepat tubuh badan Dafinah diangkat lalu diletakkan di tempat duduknya. Dafinah hanya separuh sedar. Kepalanya masih pening. Dia tidak kisah lagi apa yang akan berlaku padanya. Dia tahu dia akan selamat jika dia berada di samping lelaki itu.

Itu dia pasti.

Kepalanya yang beralaskan tudung biru itu sudah terlentok pada cermin kiri lori itu. Huzaiman yang telah memakai tali pinggangnya itu menoleh memandang perempuan yang telah diselamatkan. Perempuan itu memeluk tubuh, pasti dalam kesejukan. Beg galasnya dibuka, lantas kain pelekatnya diselimuti pada tubuh kecil itu.

Dia tersenyum sinis. Tak disangka dia ditakdirkan untuk bertemu dengan perempuan itu lagi. Keluhan kecil dilepaskan. Dia perlu memesan kepada bakal suami Dafinah untuk mengajarnya mempertahankan diri.

Dia tidak pasti lelaki jahat tadi akan memburu Dafinah lagi atau tidak.

Kenderaan yang dipandunya bergerak meninggalkan surau kecil itu. Destinasinya yang terlintas di fikirannya itu ialah... Kampungnya.




"Baby, I keluar dengan kawan tau malam ini."

Kakinya laju menuruni anak tangga banglo rumahnya. Suaminya yang asyik dengan komputer ribanya itu dipandang sekilas. Sibuk saja kerjanya.

"You, dengar tak ni?"

"Hmm..."

Perempuan itu membolakan biji matanya. Susah betul suaminya mahu memandang isterinya sendiri. Entah-entah kalau dia hilang, lelaki itu tidak perasan langsung. Huh.

Baju ketatnya dibetulkan. Mahal baju itu sehingga mencecah satu ribu. Nasib baik poket suaminya sentiasa tebal berkepuk. Itu sudah bukan suatu kejutan baginya kerana dia memang akan dihujani dengan duit-duitan setelah dia bernikah dengan lelaki tua itu.

Pintu kayu besar dan kukuh itu dibuka. Kereta Porsche berwarna merah menjadi pilihannya. Malam ini dia akan pastikan dirinua enjoy! Jerit hatinya.

Adlina Isabella.

Namanya cantik seperti tuannya. Gerak-geri perempuan itu sentiasa menjadi tumpuannya. Dia boleh gila bayang kalau tidak melihat gambar cantik dan seksi perempuan itu. Sehinggakan dia sanggup memasang kamera kecil di luar rumah agam itu.

Siapa saja yang tidak mengiurkan perempuan cantik itu? Pelakon berkacukan darah Arab dan Itali. Dengan mempunyai sepasang mata coklat yang sentiasa menggoyahkan jiwa para lelaki. Setiap kali lakonannya disiarkan, berjuta-juta penonton menyaksikannya.

Anugerah Pelakon Perempuan Terbaik.

Tidak usah ditanya lagi. Sudah tiga tahun berturut-turut dia memegang anugerah tersebut. Watak utama yang dilakonkan menjadi. Kebanyakannya dia melakonkan watak utama yang sedih dan sentiasa merendah diri. Itulah sebab dirinya akan meminta untuk menjadi watak seperti itu. Bagi meraih perhatian daripada orang ramai. Semua orang hanya perlu memandangnya sahaja. Itu prinsipnya.

Bola mata lelaki itu tidak berkedip memandang skrin laptopnya. Dia sedang memerhati pergerakan gadis idamannya secara diam. Tidak kisah langsung tentang status perempuan yang sudah berkahwin itu. Apa yang penting, satu hari nanti...

Dia akan menuntut janji!

Hidungnya digosok gatal. Tapak tangan kanannya sudah dibalut kemas. Sakit! Mahu makan pun susah. Hanya mengharapkan tangan kiri sahaja untuk meneruskan kehidupannya.

Tidak guna punya jantan! Benda mudah dia boleh susahkan! Kalaulah dia jumpa lagi dengan lelaki itu, akan disiat-siatnya jantung itu dan kemudian dia akan memberi anjing jalanan meratahnya.

"Argh!"

Kepalanya dihentak pada stereng kereta. Kalau lelaki itu tidak mengganggu kerjanya, pasti gajinya sudah dibayar sekarang.

Telefon bimbitnya berdering. Nama seorang perempuan terpapar jelas di skrin telefonnya.

Huh.

"Ya, Puan."

"Kau dah settle kerja kau?"

Sunyi.

Lelaki itu memikirkan temberangnya.

"Puan, bagi aku masa sikit. Perempuan itu terlepas..."

"What? Kau buat kerja ke tidak ni? Macam mana perempuan bodoh tu boleh terlepas?"

Telefon pintarnya dijarakkan dari telinga. Dia boleh pekak kalau mendengar perempuan itu menjerit. Haih, sabarlah sekejap. Lelaki pelik itu bukannya akan sentiasa berada di samping Dafinah Awatif. Lelaki itu hanyalah penyelamat pada ketika itu sahaja. Jadi, bila-bila masa sahaja dia akan menangkap perempuan tak guna itu. Otaknya membebel.

"Esok aku settlekan perempuan tu, Puan. Puan jangan risau." Lelaki itu cuba menenangkan majikannya.

"Hei, dengar sini... Perempuan tu juga akan balik kampung dia besok. Aku nak dia rosak sebelum anak Dato' Seri Maimun tu buat keputusan muktamad!"

Keluhan berat dilepaskan. Perempuan yang menghubunginya itu tidak tahu bersabar langsung. Tahulah dia untuk merancang strateginya nanti. Bukan selalu dia gagal pun melakukan kerjanya.

"Baik, Puan. Jangan risau pasal tu. Esok juga aku akan bagitahu result. Aku janji, aku tak akan hampakan Puan." Dia bertekad.

Kalau kerja kotor pun tidak jalan, kali ini dia akan menggunakan taktik jijik pula. Senyumannya melebar seolah-olah rancangannya nanti pasti akan berjaya.

"Alright. I'm waiting for that."

Panggilan antara mereka berakhir di situ. Lelaki itu mencari sesuatu di halaman Internet. Lokasi gadis yang bernama Dafinah sudah berjaya dikesan. Bodoh perempuan ini. Mudah sangat untuk dicari.

Matanya dipincingkan pada skrin komputer ribanya. Dia masih tidak percaya. Ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa perempuan itu tiada di tempat kerjanya? Bukan berdekatan dengannya, tetapi...

Jerantut? Itu sudah di negeri Pahang. Gila! Bagaimana perkara begini boleh berlaku? Giginya dikancing geram. Dia fikir perempuan itu akan tidur semula di hotel murah tadi.

"Argh! Menyusahkan betul!"

Mangsanya itu bukannya ada kenderaan. Motosikal tiada. Kereta juga tiada. Kalau perempuan itu naik bas, bukan ke arah situ perginya. Dia sepatutnya akan menuju ke Perak, bukan Pahang. Habis, takkanlah dia tersesat menumpang lori orang pula?



"Nenek!"

"Tok wan!"

Nek Embun yang sedang membaca surah Yassin terhenti. Itu suara cucu kesayangan!

"Ya Allah... Fuad. Hei, Tok Abu. Cucu kita dah balik." Dia memanjat syukurnya kepada Yang Maha Pencipta.

Tok Abu Wasim yang berada di sebelahnya itu memisat-misat matanya. Nafasnya dihela perlahan.

"Aku dah cakap, neknya... Cucu kau tu kalau sesat pun akan cari jalan balik."

"Jomlah, bang. Kita sambut dia."

"Pergilah kau sendiri. Aku nak tidur ni. Dah pukul berapa baru budak bertuah tu balik." Bantal di sebelahnya dicapai.

Nek Embun tidak mengisahkan bebelan kecil suaminya. Batang tubuhnya pantas membuka pintu kayu rumahnya.

"Astaghfirullah!"

Mahu tercabut jantungnya pada saat ini. Mana tidaknya kalau cucu lelakinya yang amat dikenali itu sedang mengendong seorang perempuan. Perempuan itu pula sudah dibaluti dengan kain pelekat milik Huzaiman sendiri.

"A... Apa kamu dah buat ni, Fuad?"

Dia menggigil keresahan. Dia tidak sanggup melihat cucunya dimasukkan lagi ke dalam penjara.

"Nek, Fuad penat sangat ni. Ni kawan Fuad. Fuad letak dia dekat bilik Fuad sendiri. Fuad akan tidur dekat sofa."

"Ha? Ka... Kawan?"

Kepala Huzaiman sedang berdenyut-denyut. Dia mengantuk sangat kerana berjaga sepanjang malam. Melihat wajah neneknya yang penuh dengan tanda tanya itu membuatkan dirinya mahu terjelopok pengsan di situ juga.

"Nek, tolong... Besok Fuad akan ceritakan semua."

Nek Embun mengangguk. Dia amat mengenali cucunya. Huzaiman bukan lelaki yang suka mengganggu perempuan. Tetapi perempuan yang akan mula mendekati cucunya.

Sempat matanya memandang ke luar pintu. Lori yang dipandu Huzaiman masih berada di depan rumahnya. Pasti ada sesuatu yang berlaku kepada mereka. Getus hatinya.

Segera dia berlalu masuk ke bilik cucunya yang dahulunya merupakan bilik anak perempuannya, Wani. Terkejutnya apabila dia mendapati Huzaiman sedang terbaring memeluk lantai kayu.

Bahu cucunya ditepuk-tepuk.

"Hei, Fuad. Jangan kamu buat hal nak tidur sebilik dengan 'kawan' kamu ni." Nek Embun menegur.

Huzaiman kelihatan agak mamai. Dia menggagahkan juga batang tubuhnya untuk duduk. Retina matanya mengerling ke arah katilnya. Baru dia menyedari bahawa malam ini bukan malam bertuahnya untuk merasai betapa empuknya katil single itu. Dia mempercepatkan pergerakannya mencari sofa di ruang tamu.

Sofa pun sofalah... Fikirannya sudah berhenti berfikir. Akhirnya dia terlelap dibawa arus mimpi yang entah indah atau tidak itu.

Nek Embun menggeleng melihat gelagat cucunya. Sudah pagi buta barulah hendak balik. Lagi sejam azan subuh akan berkumandang. Bilik cucunya dibuka sedikit.

Tudung biru yang masih elok berada di kepala gadis itu dibuka dengan penuh berhati-hati. Banyak juga jarumnya ya. Dia melihat kain pelekat cucunya sudah erat digenggam oleh tangan perempuan itu seperti tidak mahu dilepaskan.

Banyak pula perkara yang dia cuba meneka sekarang ini. Bagaimana cucunya ini berani membawa balik seorang perempuan? Tidak sabar dia hendak mendengar penjelasan Huzaiman nanti.

Daun pintu bilik itu ditutup rapat. Membiarkan gadis itu berehat dengan tenang.

"Sakitlah!"

"Hei, perempuan! Hati aku lagi sakitlah!"

Dahi Dafinah ditunjal kuat. Belakang kepalanya sudah terhantuk pada dinding di belakangnya.

"A... Apa saya dah buat ha?"

Zulaikha.

Antara senior tingkatan lima yang paling digeruni di asrama. Memang cari nahaslah kalau ada orang cuba buat hal dengan dia.

"Disebabkan kau budak form 4 baru dekat sini, aku remind kau siap-siap. Dekat sekolah ni, senior form 5 memang tak boleh kacau. Lagi-lagi Kak Ika tu. Dia memang cantik, bertudung dan sekali pandang pun nampak lemah lembut ja. Tapi dekat asrama, suara dia macam tiada beza dengan suara petir..."

Nasihat daripada rakan sebiliknya terngiang-ngiang di koklea telinganya. Kini, 'Kak Ika' yang pernah menjadi bualan junior sedang berada di hadapannya seperti seekor harimau betina yang hendak menikam mangsanya. Masalahnya kini, mereka bukan di asrama, tetapi di belakang bangunan blok akademik tingkatan 5!

Dua orang senior juga memandang tajam ke arahnya.

"Apa kau dah buat? Kau tak sedar diri ka yang kau tu tak sama taraf langsung dengan Adrian!"

Ah... Gegendang telinganya sakit mendengar amukan itu.

"Adrian?" Dahinya berkerut ingin mendengar penjelasan.

Zulaikha tersenyum sinis. Cis... Perempuan yang tersandar tubuh pada dinding itu buat-buat tidak tahu pula.

"Kau tahu tak Adrian tu boyfriend aku?"

Dafinah berkerut lagi. Selama 5 bulan dia belajar di sini, tidak pernah langsung diambil peduli dengan orang. Adrian yang entah siapa pun dia tidak kenal.

"Arr... Saya rasa akak dah salah orang ni. Saya betul-betul tak kenal boyfriend akak." Sengihan ditayangkan.

'Tak check betul-betullah tu siapa yang kacau lelaki dia. Tiba-tiba ja nak menuduh.' Hatinya merungut.

Zulaikha sudah tidak dapat menahan amarahnya. Perempuan di hadapannya memang menayangkan muka seperti orang yang tidak bersalah!

Pap!

Satu penampar hangat menyinggah di pipi Dafinah. Terbuntang biji matanya memandang sebelah kanan. Berdesing bunyi di dalam kepalanya. Pipi kirinya disentuh.

"Apa masalah akak ni sebenarnya? Sudahlah kemaruk dengan jantan. Salah orang pula tu! Saya tak inginlah nak dekat dengan boyfriend akak yang saya sendiri tak kenal tu."

Dafinah bengang. Kalau sudah menyakiti fizikalnya, sudah pasti dia akan mempertahankan dirinya. Gilakan lelaki betul perempuan yang bernama Zulaikha ini sehingga sanggup mencari orang yang mendekati teman lelakinya.

Zulaikha sudah mengetap gigi kuat. Berani si junior berkata begitu. Perempuan itu masih tidak kenal lagi kot dia ini macam mana. Ini mesti budak tingkatan 4 yang baru daftar ke sekolah ini. Kalau budak lama, memang mereka tidak berani membuka mulut dan hanya menunduk ke lantai.

"Aku atau kau yang gilakan jantan?"

Rambut Dafinah yang diikat itu ditarik geram. Dafinah tersentak. Tidak menyedari akan serangan itu. Kepalanya terdongak melihat raut wajah bengis seniornya.

Selama dia mengenali Zulaikha, perempuan itu kelihatan lemah lembut sahaja. Tidak pernah dia menyangka sisi gelap perempuan itu.

"Argh, sakitlah! Lepaslah..."

Rayuannya langsung tidak diendahkan.

"Kau yang bagi coklat bentuk hati dekat Adrian kan?"

Dafinah cuba mengingati semula perkara yang melibatkan coklat.

"Jawablah!"

"Ah... Saya dah ingat. Tolong lepas dulu."

"Cakaplah!"

Rambutnya masih tidak dilepaskan. Boleh dirasakan ubun-ubun rambutnya seakan-akan ingin tercabut dari kepalanya.

"Ergh... Okey."

Zulaikha dan dua orang seniornya menunggu penerangan Dafinah. Tidak peduli langsung dengan kesakitan si junior.

"Kawan saya minat Zack. Dia ajak saya teman dia pergi kelas crush dia tu. Tapi dia tak pasti mana satu meja Zack tu, dia pun letakkan saja laci orang yang mana-mana. Dekat coklat tu memang ada sticky note untuk Zack."

Jujur dia menerangkan. Entah-entah meja yang kawannya letak itu ialah meja teman lelaki Zulaikha. Haih... Parah!

"Kau pula buat apa masa tu?"

"Saya kena jaga sekeliling masa tu."

Ah... Siapa pula yang ternampak dirinya pada ketika itu?

"Tipu. Aku sendiri nampak kau check laci Adrian!" Salah seorang seniornya menuduh.

Dafinah mengerling pada senior itu. Mata itu betul ka tidak entahlah... Takkan dia tidak menyedari rakannya yang lagi seorang itu?

"Kau nak tipu aku, perempuan?"

Pap!

Pipi kiri Dafinah ditampar kuat.

"Woi!"

Ketiga-tiga pasang mata menoleh pada gerangan suara itu. Dafinah masih memegang pipinya. Pedih. Perempuan gila itu ingat dia ini bola tampar ka sampai nak tampar kuat-kuat macam itu sekali?

Zulaikha membekukan dirinya. Riak wajahnya bertukar menjadi ayu dan sopan seperti perempuan melayu yang paling akhir. Bukan dia tidak mengenali jejaka itu. Dia pernah menyukai lelaki itu tetapi tidak dilayan dan dipandang langsung. Mata lelaki itu asyik dengan tulisan pada buku sahaja.

Hazim Fuad.

Pelajar yang selalu menjadi top student di sekolah itu. Tetapi, lelaki itu tidak suka akan perhatian dari orang. Dia hanya di dunianya sendiri. Itu yang membuatkan hati si Zulaikha lebih terpikat dengan lelaki itu.

"Waktu rehat dah habis. Lebih baik kau orang masuk kelas sekarang." Nada suaranya mendatar. Malas sebenarnya ingin bercakap dengan orang.

Suara malas itu jugalah menjadi pujaan hati Zulaikha.

"Macam mana kau tahu aku dekat sini?"

"Dah 10 minit kau orang tak ada dekat kelas. Itu yang aku check dekat sini ada tak kau orang."

"Care juga kau pasal aku eh..."

Meluat pula Dafinah mendengar.

"Dah pergilah cepat." Dia malas ni nak melayan perangai bulu perempuan itu.

Mereka bertiga berlalu pergi meninggalkan Dafinah keseorangan di situ. Entah sedar atau tidak bahawa budak itu masih berada di situ.

"Terima kasih."

Kini giliran lelaki itu pergi meninggalkannya dan sejak itu, dia meminati lelaki itu dalam diam walaupun hanya dengan satu situasi itu.










Do vote ⭐

Thank you

2444 words

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro