Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEJAMBAK bunga mawar dihidu perlahan. Haruman bunga mawar merah menusuk ke rongga hidungnya. Satu senyuman bergayut di hujung bibir. Tak sabar mahu beri kejutan buat kekasih hati setelah seminggu dia outstation di Johor. Semakin laju langkah diatur menuju ke sebuah unit kondo yang diduduki kekasihnya, Emelia.

    Nafas ditarik sebelum dihembus. Baru saja jari mahu menekan punat loceng, pergerakannya serta-merta berhenti apabila dia menangkap satu bunyi dari dalam kondo Emelia. Kedengaran satu suara lelaki membuatkan Aidan semakin beremosi. Suara pasangan romantis di dalam kondo itu semakin perlahan seolah-olah masuk ke sebuah bilik.

    Sejambak bunga di tangannya digenggam kuat membuatkan beberapa batang bunga patah. Jari-jemarinya mula menekan punat nombor sekuriti pada pintu.

Memandangkan kondo ini dibelinya untuk Emelia, haruslah dia tahu nombor sekuriti. Ini kali pertama dia berani menerjah kondo ini tanpa menekan loceng kerana dia hormat privasi Emelia.

    Tombol dipulas sebelum menerjah masuk tanpa membuka kasut. Sepasang kasut kulit yang hampir sama saiz dengan kakinya dipandang sekejap. Amarahnya semakin membuak-buak. Hilang senyuman manis di bibir. Ruang tamu diperhatikan dan kelihatan dua helai pakaian berselerak di atas lantai.

    Jambangan bunga mawar merah dalam genggamannya dicampak kasar ke lantai. Pintu bilik yang dia yakin pasangan romantis itu berada di sana dibuka dengan kasar. Pemandangan yang sangat tidak indah terbentang di hadapannya.

    "Emelia!"

    Pasangan itu kelam-kabut menarik selimut menutupi tubuh mereka yang tanpa seurat benang. Kemudian, sang lelaki bermata sepet dengan pantas berdiri dan mencapai selimut sebelum melilit pada pinggang.

    "Aidan... apa... bii... bila you..." Emelia gagap kerana dia sangat terkejut dengan kehadiran Aidan di kondo ini. Bukan. Lebih tepat sekali, bagaimana Aidan boleh berada di dalam bilik ini? Bukan ke Aidan ada kerja di Johor?

    "Ini kerja korang belakang aku?" Suara Aidan mendatar. Mukanya tak usah dikata, bengis sejak tadi.

    "Aidan, aku..." Lelaki bernama Lee itu cuba membuka mulut namun jelingan maut Aidan yang singgah pada wajahnya membuatkan mulutnya kembali tertutup. Gentar.

    "Aidan... I can explain this... I dengan Lee tak ada apa-apa. Kita boleh bincang. You tunggu kat luar, please? I janji... I akan jelaskan semuanya." Emelia cuba menyusun kata untuk memujuk Aidan. Apa-apa pun dia harus memulihkan situasi ini.

    Aidan ketawa sinis.

    "Bincang? Kau nak bincang apa lagi! Hei, perempuan murah! Kau dengar sini baik-baik, kau fikir aku nak berbincang dengan keadaan kau yang hina ni ke? Menjijikkan!"

    "Aidan," seru Emelia. Air mata mula memenuhi kolam mata Emelia.

    "Our relationship is over!" Tempikan suara itu membuatkan segenap ruang bilik tersebut sunyi. Kemudian, Emelia yang hanya berbalut dengan selimut menangis teresak-esak.

    "Kau boleh pergi mampus dengan jantan ni. Jangan call aku, jangan muncul lagi depan aku. Aku jijik dengan perempuan murah macam kau ni." Suara Aidan bergetar gara-gara amarahnya sudah hilang kawalan.

    Emelia menggeleng kepala.

    "No... No, Aidan... Jangan tinggalkan I." Emelia menarik lengan Lee meminta pertolongan dari lelaki itu yang hanya berdiri pegun di tepi katil.

    "Lee, say something. Kita tak ada apa-apa kan?" Dia tak boleh putus dengan Aidan kerana lelaki itu satu-satunya tempat dia bergantung harap. Jika hubungan mereka berakhir, hidupnya akan jadi seperti dulu. Merempat dan tiada wang ringgit.

    Aidan meluat dengan Emelia tika ini. Masih mahu tutup 'tahi' sendiri sedangkan situasi mereka tak mampu ditutup dengan pembohongan.

    "Say something? Aku tak perlukan apa-apa penjelasan dari korang. Dan... kau Lee, sumpah aku tak sangka kau khianat aku. Kau nak sangat perempuan sundal ni? Kau boleh ambil! Aku tak ada kawan macam kau." Aidan benar-benar tekad untuk memutuskan hubungan dengan Emelia serta persahabatan antara dia dan Lee.

    Sudah la cintanya dikhianati, dengan kawan baiknya sendiri pula tu. Rasa sangat kelakar, bukan? Mengapa dia langsung tidak sedar hubungan jijik antara Emelia dan Lee selama ini?

    Emelia mengesot turun dari katil lalu melutut di hadapan kaki Aidan.

    "Aidan please... Bagi I peluang untuk jelaskan semuanya. I dengan Lee tak ada apa-apa. Kitorang cuma kawan aje dan tak lebih dari tu. Aidan, please..." rayu Emelia. Tangannya naik memeluk kaki Aidan berharap simpati daripada lelaki itu. Dia tak boleh lepaskan Aidan, malah, dia harus mengahwini Aidan untuk kesenangan hidupnya.

    "Lepaskan aku la!" Aidan menarik kakinya lalu menendang sedikit kepala Emelia agar kakinya dilepaskan kemudian dia mengundur beberapa tapak ke belakang. Langsung tak rasa bersalah dan kasihan terhadap Emelia. Hatinya lebih sakit berbanding sakit yang Emelia alami.

    "Aku nak kau kosongkan rumah ni. Satu barang kau pun tak boleh ada dalam rumah ni. Aku akan tukar kod laluan sekuriti lepas kau keluar. Kalau kau masih tak keluar esok pagi, aku akan heret kau ke tempat asal kau!" jerkah Aidan. Terhinjut bahu Emelia akibat jerkahan Aidan.

    Emelia menggeleng kepala berulang-ulang kali. Tempat asal? Tak, dia tak sanggup untuk kembali ke kelab malam di mana tempat dia bekerja dulu sebelum bertemu dengan Aidan. Aidan yang selamatkan dia dan bawa dia hidup dengan lebih baik.

    "Aidan, you kena percayakan I..."

    "Enough, Emelia. Kita khianat Aidan dan kita sedar tu. You tak perlu nak menipu dia lagi. Kita yang salah, Emelia. Aidan, aku minta maaf... aku tahu..."

    "Lee!" Emelia pejam mata dengan kuat. Lee mahu dia mengaku salah, tapi, dia tak akan berhenti. Dia tak mahu berpisah dengan Aidan.

    "Macam aku cakap, kau tak perlu jelaskan apa-apa. Aku benci. Ingat apa aku cakap, Emelia. Pastikan rumah aku ni kosong esok pagi."

    Usai berkata, Aidan berpaling dan membuka langkah. Raungan Emelia langsung tidak dipedulikan. Jika sebelum ini tangisan perempuan itu membuatkan dia kelam-kabut untuk menenangkan, kini tidak lagi. Hatinya terlalu sakit untuk terima semua ini. Cintanya dirobek dengan kejam. Sepasang mata miliknya terasa mahu buta apabila menyaksikan2 dua orang itu berasmara di atas katil.

    Dengan hati yang kecewa kerana dikhianati, dia melangkah keluar dari kondo yang dia beli untuk Emelia.



***


BAGASI yang sudah penuh itu dia zip dan menariknya ke sisi katil. Tiket penerbangan di atas meja solek dicapai sebelum ditilik. Setelah sekian lama dia menghambakan dirinya untuk bekerja, dia mencuri sedikit masa untuk beri ruang kepada mental dan fizikalnya untuk berehat terutama sekali ruang kesepian dan kekosongan dalam dirinya.

    Kemudian, tiket penerbangan dan pasport disimpan di dalam beg tangan. Dian membaringkan tubuhnya ke atas katil sambil menghelakan nafasnya. Sekeping gambar yang sering disimpan di bawah bantal ditarik keluar. Gambar itu ditatap lama untuk melepaskan segunung rindu terhadap mereka yang sudah lama meninggalkannya sendirian di dunia ini.

    "Sekuat manapun Dian kerja, sesibuk manapun Dian paksa diri untuk melupakan rasa rindu ini tapi, di setiap penghujung hari, Dian tetap rindukan semua," gumam Dian sendirian.

    Mata terpejam rapat sambil meletakkan sekeping gambar itu di dadanya. Air mata mula mengalir perlahan. Sekali lagi malam yang sunyi menemani tidurnya. Angin malam memeluk tubuhnya.


***



MATANYA memicing meneliti setiap nombor tempat duduk. Apabila sudah temui tempat duduknya, kelihatan ada seorang perempuan telah duduk di tempatnya. Nafas dihela panjang.

    "Excuse me. My seat, 6A."

    Perempuan tadi dengan muka tak bersalah menyungging senyuman lebar.

    "Oh, saya nak tukar seat sini, boleh? Awak duduk kat seat 7B."

    Terangkat kening sebelah kanan Dian apabila mendengarkan kata-kata perempuan tak dikenali itu.

    "Kenapa I kena tukar seat dengan you? I nak duduk kat seat I." Dian tak mahu mengalah. Dia bayar mahal untuk duduk di tepi tingkap, dengan semudah cap ayam saja perempuan ini mahu tukar tempat duduk?

    "Awak duduk la kat seat 7B. Tak ada beza pun, kan?"

    Mendidih darah Dian dibuatnya. Dia mahu penerbangan yang sangat tenang tanpa sebarang gangguan. Baru saja masuk kapal terbang, dah kena hadap perempuan gila pula.

    "Then, awak duduklah kat seat 7B. Tak ada beza juga kan?" balas Dian dengan sedikit sinis. Menyebalkan.

    Satu suara garau mencelah.

    "Pergi duduk kat seat sendiri la. Fikir orang bayar seat tepi tingkap tu pakai air liur ke? Tak tahu malu betul. Move! Bagi dia duduk situ."

    Dian memandang empunya suara garau itu. Seorang lelaki yang ketinggiannya mencecah 180cm. Kemudian, perempuan tadi mendengus kasar sebelum berpindah ke tempat duduk asalnya.

    Pantas Dian melabuhkan punggung di tempat duduk. Lelaki yang membantu dia tadi pula duduk di sebelahnya. Dian mengucapkan terima kasih kepada lelaki tadi. Setelah terima balasan, Dian memandang ke luar tingkap. Sebentar lagi dia akan pergi dari bumi Malaysia ini.

    Tak lama kemudian, kapal terbang mula berlepas dan berada di awangan biru. Dian merenung ke luar tingkap sambil memakai airpod. Suasana di atas langit biru ini terlalu indah untuk dinikmati. Sedikit sebanyak dia mula termenung dan satu kenangan mula melayari kotak fikirannya. Kenangan yang sangat dia benci untuk ingat kerana ia akan menyakiti dalaman dirinya. Dia ingin menghapuskan memori itu.

    Tanpa sedar, kantuk mula menguasai diri. Akhirnya, Dian terlelap akibat terlalu memikirkan memori yang tak sepatutnya dia kenangkan. Fizikal dan mental terlalu penat.

    Baru dua puluh minit Dian diulit mimpi, dengkuran halus mula kedengaran. Perlahan, kepalanya mula tersandar pada bahu lelaki di sebelahnya tadi. Lelaki itu hanya membiarkan bahunya menjadi sandaran buat Dian.

    Dari jauh, kelihatan pramugari yang bertugas sedang menolak troli yang berisi makanan dan minuman untuk penumpang. Pramugari tersebut berhenti di setiap barisan sehinggalah tiba di sebelah tempat duduk mereka.

    "Encik nak apa-apa untuk dimakan atau minum?"

    Aidan hanya menggeleng perlahan. Kemudian, pramugari itu melirikkan mata ke arah Dian yang sedang tidur.

    "Isteri encik?"

    Kelu lidah Aidan dibuatnya. Isteri? Sempat dia mengerling ke arah Dian sekejap. Perempuan di sebelahnya langsung dia tak kenal, malah mereka langsung tidak bersuara sejak tadi.

    "Err... tak apa."

    Pramugari itu mengangguk perlahan sebelum berlalu pergi ke arah penumpang lain. Aidan menghela nafas panjang.

    Seketika, Dian menggeliat lalu menarik lengan Aidan tanpa sedar kemudian dipeluk dengan erat. Aidan yang baru saja mahu melelapkan mata kembali terbuka luas gara-gara tindakan Dian itu. Tanpa sedar, jantung lelaki itu mula berdegup tak seirama.



***


Paris, France.

SELEPAS mendapatkan kunci bilik di kaunter yang terletak di lobi hotel, Dian terus naik menggunakan lif. Bagasi miliknya pula diangkat oleh pekerja hotel tersebut. Sebaik saja sampai ke bilik, dia merehatkan tubuhnya kerana terlalu penat dengan penerbangan dari Malaysia ke Paris yang mengambil masa 17 jam.

    Sekejap pusing ke kanan, sekejap pusing ke kiri. Dian mencapai telefon sebelum membuka galeri dan membelek beberapa keping gambar yang ditangkap dalam kapal terbang. Gambar sayap kapal terbang dengan pemandangan di awan biru membuatkan bibirnya tersenyum mekar. Cakap fasal kapal terbang, ketika dia sedar dari tidur yang lama, dia perasan penumpang lelaki di sebelahnya tadi kerap mencuri pandang ke arahnya. Nak kata ada air liur basi, langsung tak ada. Dia berdengkur kuat ke? Itu bukan diri Dian kalau berdengkur kuat. Dian geleng kepala cuba melupakan perkara itu.

    "Ah, just stop thinking about him. He is just a stranger."

    Dian bangun dari perbaringan sebelum masuk ke dalam tandas. Dia ingin membersihkan diri sebelum bersiap untuk cari makanan kerana dalam kapal terbang tadi dia hanya menjamah roti saja.

    Selepas mengeringkan rambut dengan pengering rambut, Dian menyarungkan blaus berwarna putih yang mendedahkan sebahagian bahunya dipadankan bersama seluar denim. Rambut disikat dengan kemas lalu dibiarkan juraian rambut panjangnya melepasi bahu. Jari-jemarinya mencalit sedikit solekan pada wajah untuk kelihatan berseri. Lipmatte berwarna nude dicalit pada bibir atas dan bawah sebelum dikemam.

    Kemudian, Dian mengambil beg tangan sebelum keluar dari bilik yang bakal dia inap selama dua minggu di bumi Paris. Sempat dia menyenaraikan restoran yang halal di Paris sebelum berlepas ke sini. Ah, dia sudah tidak sabar untuk menghanyutkan diri di tanah cinta ini. Apabila ternampak sebuah teksi dari jauh, pantas Dian menahan dan mendapatkan teksi tersebut untuk menuju ke Le Confidentiel.








To be continued...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro