BAB 45: MELAWAN MANDREM

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DATO' BAHA

Hari Ahad. Sepatutnya hari ini Arman bertunang dengan Puspa.

Arman keluarkan kotak baldu kecil, empat persegi berwarna merah. Cincin yang ditempah bersama dikeluarkan. Tak secantik mana. Tetapi cukup bermakna. Kenangannya terbang pada saat itu.

"Tak perlu cincin mahal-mahal. Yang penting nama kita terpahat di situ," kata Puspa.

Arman merasa tekaknya pahit. Cincin dimasukkan semula ke dalam kotak. Dia akan bawa cincin itu ke sana ke mari ibarat azimat cintanya.

Dulu dia memang tidak memakai cincin kerana mengganggunya semasa bermain. Tapi kini dia harus biasakan diri dengan cincin yang ada terukir nama Puspa Kamilah.

Pintu diketuk.

"Arman! Dah bangun? Ada orang nak jumpa." Suara Datuk Haidar memanggil.

Malam tadi Datuk Haidar dan pengawal peribadinya merangkap pemandu itu datang ke hospital menjemput Arman pulang sebaik sahaja dia selesai membacakan surah Al-Hasyr untuk pendengaran Puspa.

Dia tidak tahu Datuk Haidar bermalam di mana, kerana ketika masuk ke bilik tidur orang tua itu keluar bersama pengawal peribadinya.

Arman berjalan lemah ke pintu. Terbuka sahaja dia terperanjat melihat sosok tubuh yang berdiri di sebelah Datuk Haidar. Seorang lelaki tua bertubuh sederhana.

"Ustaz!"

Terus Arman peluk lelaki itu.

Ustaz a.k.a. Dato' Baha.

"Bukankah ustaz kena 10 tahun penjara sebab pengubahan wang haram?" soal Arman.

Dato' Baha senyum. "Aku dah bebas tuduhan mengarut tu . . ."

"Alhamdulillah."

"Mari kita minum sambil sembang," kata Datuk Haidar, "kejap lagi Malik sampai."

Mereka pergi ke meja makan. Roti canai dan nasi lemak sudah tersedia, selain telur dadar.

Loceng berbunyi. Pengawal peribadi yang hanya dikenali dengan nama Suki itu membuka pintu.

"Tok Baha!" Malik hampir terjerit kerana sangat teruja melihat guru silatnya yang sudah lama terpisah sejak dia keluar dari universiti.

"Kau dah keluar universiti langsung tak hubungi aku," kata Dato' Baha, pura-pura marah.

Malik merapatkan kedua tapak tangannya dan tunduk seperti gaya menyembah. Dato' Baha tepuk bahu Malik.

"Jom makan dulu," Datuk Haidar mempelawa. "Dato' Baha ni Atok kenal sejak kerja polis lagi."

Dato' Baha mengangguk. "Ya . . . Atok kamu ini asyik menyusahkan masa muda aku."

Datuk Haidar ketawa terbahak-bahak. Jarang sekali dia ketawa begitu. "Aku ikut perintah Kerajaan sahaja."

"Yelah . . . Bila ada masalah, cari aku," balas Dato' Baha.

Dato' Baha muda sikit daripada Datuk Haidar. Tubuhnya nampak sangat fit, tidak gemuk, tidak kurus. Wajahnya juga jauh lebih muda daripada usianya yang sudah lewat 70an.

"Tak sangka kita kongsi guru yang sama, Malik," kata Arman setelah berpelukan sebentar dengan sahabat karibnya itu.

"Bezanya, kau belajar mengaji, Malik belajar silat," tegas Dato' Baha, walaupun dia ada juga mengajar Arman beberapa teknik dalam ilmu persilatannya.

"Tak guna penjarakan Dato' Baha. Dia pandai keluar masuk sendiri." Datuk Haidar mencelah.

Dato' Baha ketawa. Pandangannya dialihkan kepada Arman dan Malik, silih berganti. "Aku dekat dengan kamu berdua, walaupun kamu tidak sedar."

Tiba-tiba Malik teringat. "Tentang trak yang ghaib itu?"

Dato' Baha senyum segaris. "Semua yang terjadi ada puncanya. Ada sumbernya. Tiada yang kebetulan."

"Bagaimana dengan Arman? Bukan kebetulan ke kerja dengan David?" Arman mahu kepastian.

"Tidak kebetulan 100%," jawab Dato' Baha. "Mereka pilih awak sebab awak jujur dan naif, berbanding beberapa calon jurutera lain yang mereka temuduga. Bukan ada ujian sikap ke?"

Dato' Baha memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang matematik. Bekas guru. Seorang al-hafiz. Bukan ustaz. Tetapi penampilannya dan kerana dia juga merawat pesakit secara perubatan Islam, lalu dipanggil 'ustaz' sehingga warden penjara pun memanggil dia dengan gelaran tidak rasmi itu.

"Ya . . . Arman naif sebab hanya obses dengan ragbi. Tidak pernah ambil tahu hal sekeliling," jawab Arman. Sedar tentang kekurangan dirinya.

"Aku nak tanya perkembangan anak peguam tu . . . Macam mana?" soal Dato' Baha.

Wajah Arman serta merta berubah muram.

"Ada dua isu di sini . . ." jelas Datuk Haidar. "Puspa kena overdose dadah melalui suntikan. Jadi dia koma dan hati dia mungkin ada kerosakan."

"Arman akan dermakan hati untuk Puspa." Arman mencelah.

"Kamu pemain ragbi Arman. Kamu tak fikir kesan jangka panjang?" soal Dato' Baha. "Maaf Haidar, aku tau Puspa cucu engkau."

"Antara ragbi dan Puspa, Arman pilih Puspa," jawab Arman. Tegas. "Arman rela. Arman dah daftar."

"Nanti aku usaha," kata Dato' Baha. "Doktor pun belum sahkan lagi kan?"

"Memang ada kajian di luar negara yang dapatannya menunjukkan ada yang mengalami kesan sampingan kepada penderma hati . . ." jelas Datuk Haidar dalam bahasa yang berhati-hati. "Tapi sains dan teknologi dalam bidang perubatan semakin maju."

Dato' Baha mendengus.

"Jadi kau nak buat macam mana?" soal Datuk Haidar.

"Bagi aku tengok Puspa. Esok aku bagi tahu. Sementara itu biar sains dan teknologi perubatan yang rawat dia," kata Dato' Baha separuh sinis.

Datuk Haidar senyum kelat.

Arman dan Malik berpandangan. Rasanya macam mereka berdua tidak patut dengar dua orang tua berbalah tentang manfaat antara rawatan Islam dan tradisi lawan sains dan teknologi.

*****

AKU RELA

Datuk Haidar membawa Dato' Baha melawat Puspa. Arman tidak dibenarkan ikut. Kata Dato' Baha emosi Arman tidak stabil. Ia akan mengganggu proses 'scan' yang dia akan jalankan. Entah gangguan apa Arman tidak tahu. Ikut sahajalah bila orang tua yang lebih tahu sudah beri arahan.

Ahad pagi ialah hari keluarga di JACK & JILL BOXING CLUB . Lalu ia agak riuh dengan ibu bapa yang membawa anak-anak-anak mereka, berdasarkan usia yang dibenarkan. Hari keluarga termasuk sekali mereka yang couple (bakal membina keluarga). Jack mementingkan aspek kekeluargaan.

Mereka pergi ke bahagian kegemaran - boxing. Malik seperti biasa berlatih menumbuk punching bag. Arman menggunakan speed bag hanya 30 minit sebelum bosan dan masuk ke pejabatnya untuk mengemaskini data KELAB SELADANG yang agak terabai.

"Macam mana dia?" tegur Jack. Entah bila dia masuk. Senyap sahaja dia mengemudi kerusi rodanya.

"Puspa belum sedar."

"Aku dulu koma dua minggu."

Dua minggu koma, berbulan-bulan baru boleh duduk dan akhirnya terpaksa menerima hakikat pergerakannya terhad di kerusi roda.

"Aku dengar kau nak derma hati."

"Ya."

"Aku tahu dia cinta hati kau. Aku faham."

"Saya dah periksa doktor. Setakat ini mereka kata sesuai. Puspa sukar dapat penderma lain kerana jenis darahnya."

"Mungkin ada kesan sampingan. Kau tak boleh main ragbi lagi."

Arman diam seketika.

"Puspa . . . Insan yang saya kenal hatinya paling ikhlas. Lama dia berjuang dalam kumpulan anti dadah. Sangat dekikasi . . . Beri penerangan pada budak-budak . . . Hindari dadah. Tapi hatinya sendiri gagal menahan serangan racun benda haram itu," kata Arman, tanpa menjawab persoalan yang dilontar Jack.

"Doktor dah sahkan ke?"

"Kata doktor sampel darahnya masih lagi dikaji. Doktor pun tak tahu kenapa hatinya tak dapat proses bahan toksik itu, untuk dinutralkan dan dibuang."

Jack tahu, keadaannya sama dengan enjin kenderaan. Kalau ada minyak pun tapi tak dapat proses, kereta tetap tak akan bergerak. Maknanya sudah berlaku kerosakan entah di mana-mana. Macam dirinya yang tak boleh berjalan...

"Tak apa. Saya masih boleh jadi jurulatih kelab, kecuali Bro pecat saya," kata Arman setelah melihat Jack termenung.

Jack tepuk bahu Arman dan terus menggerakkan kerusi rodanya keluar dari bilik pejabat itu tanpa kata.

*****

PERUBATAN TRADISI

Kedatangan Dato' Baha bersama Datuk Haidar mengesahkan apa yang disyaki Khadijah. Keadaan Puspa ada kaitan dengan mainan sihir. Lebih-lebih lagi bila doktor kata pengimejan abdomen yang doktor buat ke atas Puspa gagal mengesan apa masalahnya. Keputusan ujian doktor itu menyukarkan pihak hospital menguruskan bagaimana mahu merawat Puspa.

Kata-kata Datuk Haidar Mona beri nasi kangkang pada suami sampai jadi bodoh terngiang-ngiang di telinganya.

"Kak Jah takut ada 'benda lain' yang dihantar Mona," katanya kepada Indah, ketika Dato' Baha masuk untuk melawat Puspa.

"Maksud Kak Jah apa ya?" soal Indah.

"Kak Jah teringat kata-kata Datuk Haidar pasal Mona mandrem biar suami jadi bodoh tu."

"Saya ni lagi bodoh bab-bab sihir ni," kata Indah, jujur.

"Kalau doktor kata tak nampak apa masalah hati Puspa, tapi hatinya tak bekerja memproses bahan toksik, apa maknanya?'

"Maknanya ada penghalang," jawab Indah. 

Hati Khadijah sakit, jika benar ada mainan sihir. Apa yang mereka dengki sangat dengan kehidupan Puspa. Bukan Puspa pernah menyakiti hati sesiapa, sepanjang dia kenal Puspa sejak menguruskan kes Arman. "Kak Jah tak sekolah tinggi. Tapi pengetahuan Kak Jah cukup masa mengambil biologi tingkatan lima dulu . . ."

"Apa-apa saja cara boleh sembuhkan dia saya terima, Kak Jah. Tak sanggup saya tengok keadaan anak saya. Dah semakin kurus . . ."

Sejam Dato' Baha dalam bilik itu dengan Datuk Haidar, akhirnya pintu bilik ICU dibuka.

"Macam mana keadaan anak saya?" soal Indah.

"Aku bukan boleh bangunkan budak ini," jawab Dato' Baha.

 Indah dilanda kecewa. "Jadi?"

"Aku cuma boleh pukul dan halau makhluk itu. Kalau dia lawan balik, aku terpaksa bunuh dia. Jika dia mati dan kaum kerabat dia datang menuntut bela, aku terpaksa bunuh dalang yang hantar dia supaya putus arahannya," jelas Dato' Baha.

"Maksud Dato' bunuh orang yang menghantarnya?" soal Indah.

Dato' Baha mengangguk.

"Itu kira murder."

"Itu saja caranya. Atau kamu nak anak kamu sakit sampai mati ke?" Sinis sahaja kata-kata Dato' Baha yang sudah berpuluh tahun berhadapan dengan makhluk halus berbagai nama dan menimbulkan masalah kepada manusia.

Indah menggelengkan kepala. Air jernih mula tergenang di kelopak matanya..

"Jadi aku perlu persetujuan kamu. Adakah kamu setuju, kalau akhirnya aku terpaksa bunuh dalang yang menghantar makhluk ini?"

Indah tatap wajah Khadijah. "Macam mana Kak Jah?" 

Khadijah terkenangkan Arman. Sekarang dia tahu kenapa Arman tidak dibenarkan datang. Kalau Arman tahu, mungkin dia akan cari orang itu dan bunuh dalang itu dengan menggunakan tangannya sendiri. Khadijah terasa seram sejuk memikirkannya.

"Kak Jah!" Suara Indah menerobos ke dalam kenangannya.

"Setuju saja Indah. Ini antara kita dan pihak yang hantar makhluk jahat itu. Kalau kita tak bunuh dia, anak kita yang kena simpan."

"Ini dah macam pre-emptive strike. Kalau Adam tahu dia tentu tak setuju."

"Tak payah bagi tahu dia." Datuk Haidar yang dari tadi berdiam diri mencelah.

"Ayah . . . Mana boleh tak bagi tahu dia."

"Kalau bagi tahu, dia halang, macam mana?" soal Datuk Haidar.

"Indah akan rasa bersalah ayah."

"Bersalah pada suami atau bersalah kerana setuju tamatkan riwayat dalang ini? Tak rasa bersalah ke kalau Puspa menderita dan tinggalkan kita yang dah tua ini?" soal Datuk Haidar. Bagi Datuk Haidar yang telah membunuh ramai perompak, ia perkara kecil.

"Macam mana Dato' Baha nak bunuh dalang tu?" soal Indah. Dia tidak dapat bayangkan.

"Bukan aku yang bunuh. Makhluk yang dia hantar itu yang akan balik dan bunuh dia."

"Lepas itu Puspa akan bangun?" soal Indah.

"Dia akan bangun kalau Arman terus baca surah Al-Hasyr itu, atas kuasa Allah dan semangat dia dengan bantuan sains dan teknologi."

Akhirnya Indah setuju.

"Kamu dapatkan limau purut tiga biji dan daun bidara berduri. Aku nak pergi masjid," ujar Dato' Baha.

"Sini ada surau," kata Indah.

"Tak apa. Aku nak ke masjid."

Sebelum mereka pergi, Datuk Haidar berpesan lagi supaya menyimpan rahsia perbincangan hari itu. Hanya Zahari dan Suhail yang boleh diberitahu.

Khadijah telefon Suhail untuk mendapatkan bahan-bahannya di laman rumahnya di Kampung Seri Bahagia.

Lepas asar Datuk Haidar dan Dato' Baha kembali. Mereka bawa dua meter kain hitam dan air mawar.

Keizinan hospital diminta untuk melakukan upacara rawatan. Tidak jadi masalah asalkan doktor ada bersama untuk memantau. 

Dato' Baha bawa kain hitam masuk ke bilik Puspa dengan Suhail, Datuk Haidar dan seorang doktor. Selesai tugas , mereka keluar untuk menyiapkan daun bidara berduri dan limau purut. 

Urusan mengelap badan Puspa akan dibuat oleh Indah dan Khadijah sebanyak tiga kali. Mulai hari ini sebelum maghrib dan ulang sebelum subuh serta berikutnya sebelum maghrib. Setiap kali lepas 'mandi',  Arman perlu baca surah Al-Hasyr, sementara Dato' Baha buat kerja di tempat yang tiada siapa tahu, kecuali Datuk Haidar dan pilot helikopter yang menghantarnya. Semua kerja 'pembersihan' mesti dijalankan tiga malam berturut-turut tanpa tidur, sebelum subuh.

Hampir jam 6.00 petang baru Adam Prakash tiba. Dia ada klien yang terlibat dengan kes rumit di mahkamah. Kasihan dia. Nampak letih sangat. Ia membuat Khadijah rasa bersalah. Pada pendapatnya, orang kampung bertegas sangat nak melawan perasuah, Puspa yang jadi mangsa.

"Kami nak mandikan Puspa," kata Indah.

Adam Prakash skeptik. Tapi dia faham tradisi orang Melayu dalam menangani masalah penyakit. Lalu dia setuju. Sudah acap kali dia melihatnya bersama kliennya pada masa-masa lepas. Ada kalanya berjaya. Banyak juga yang gagal.

*****

*Rawatan perubatan spiritual ada pelbagai cara. Ada yang menggunakan khadam. Berhati-hatilah apabila mendapatkan rawatan spiritual.*

*Individu persis Dato' Baha sebenarnya wujud di alam Melayu. Dato' Baha dalam cerita ini bukan nama sebenar. Kaedah rawatannya unik.*

*Ada mangsa terkena mandrem meninggal dunia kerana terlambat mendapat bantuan. Ada yang langsung tidak mendapat bantuan. Ada yang salah mencari bantuan sehingga semakin teruk. Pengamal mandrem dosanya tidak terampun kerana syirik kepada Allah S.W.T. Semoga kita semua dijauhi daripada terjebak dengan bisikan iblis.*

*Selalunya kain hitam digunakan untuk 'menangkap' makhluk pengganggu. TIGA limau purut digunakan untuk pembersihan, selepas makhluk halus dinyahkan.*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro