BAB 46: HIDAYAH

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

*Cerita ini asasnya sangat lama. Ketika Sis undergrad dan membuat latihan praktik di sebuah penjara. Sering Sis menangis ketika pulang dari penjara. Ramai banduan muda dipenjara kerana dadah. Mereka seperti tiada masa depan. Ada yang berusia 27 tahun, tetapi telah 13 kali masuk penjara. Dia mula ditahan di sekolah pemulihan akhlak ketika masih berusia 12 tahun. Sedih.*

*****

SAUDARA BAHARU

Suhail terperanjat apabila dia didatangi Nelly di pejabatnya. Dia baru saja menutup komputernya untuk pulang ke rumah. Pembantunya sudah lama pulang. Apa halnya amoi ni cari aku? Soalan itu bermain-main di mindanya. Tetapi apabila Nelly menyatakan hasratnya, dia mengucap kesyukuran berkali-kali.

"Betul ni? Nelly dah fikir habis-habis?" soalnya.

"Takkan Nelly nak buat benda baik, Abang Hail nak sangsi pulak?"

"Keluarga Nelly macam mana?"

"Nelly rasa tiada masalah. Nanti pelan-pelan Nelly ajak mereka sekali."

Nelly suka pakai skirt paras lutut. Rambutnya memang cantik, lurus, panjang melepasi bahu. Dia buat macam mana dengan rambutnya, ikat tocang atau biar lepas tetap cantik. Tambahan kulitnya yang putih kuning menyerlahkan lagi wajahnya yang dihias rambut hitamnya. Berbeza dengan beberapa amoi yang dilihat Suhail, Nelly tidak mewarnakan rambutnya. Hanya membuat highlights. Suhail memang kena pandang ke tempat lain.

"Nak kahwin dengan Malik ke?" Suhail mengusik.

Nelly tersenyum, "Nelly kena membiasakan diri dengan agama Islam dahulu Abang Hail."

"Bukan apa. Abang Hail tengok Malik tu suka sangat dengan Nelly."

Sudah dua orang bercakap benda yang sama. Sekali lagi Nelly memandang ke arah dinding. Kali ini dinding ruang tetamu pejabat Suhail.

"Maaf kalau abang menyinggung Nelly . . ." Kesian pula melihat gadis yang dikecewakan sepupunya itu.

"Nelly nak Abang Hail buat di sini. Lepas itu baru ke pejabat agama untuk daftar sahaja. Nelly tak mahu tangguh."

Suhail telefon Amirah. Biarlah isterinya jadi saksi. Sementara menunggu Amirah tiba, Suhail ajar Nelly membaca terjemahan surah Al Fatihah dengan huraiannya. Sebentar sahaja Amirah sudah tiba bersama anak comel mereka, Abbas. Amirah terus mendakap Nelly dengan erat sekali, walaupun inilah pertama kali mereka bertemu.

Petang itu Nelly mengucap dua kalimah syahadah. Dia pilih nama Nabihah.

Suhail beri Nelly sebuah Quran dengan terjemahan. "Tak tahu baca jawi, baca terjemahan saja dahulu," katanya.

Nelly mengusap air mata.

"Eh . . . Jangan nangis depan abang Hail. Abang ni tak boleh tengok perempuan menangis," gurau Suhail. Amirah ketawa riang. Nelly tersipu-sipu.

"Hari dah petang, pejabat agama dah tutup," jelas Suhail. "Tapi pejabat Ustazah Amirah masih buka."

"Nelly nak tanya bab agama, Insya Allah kak Mira akan bantu setakat mana kemampuan." Dia membahasakan dirinya kakak, walaupun usianya hanya beberapa bulan lebih tua daripada Nelly.

"Ya. Jangan main redah saja ustaz-ustaz media sosial tu. Bukan semua betul," kata Suhail.

Lama Nelly berada di pejabat itu bersama Suhail, Amirah dan anak mereka, bertanya itu dan ini. Suhail ternyata seorang ayah yang penyayang. Dibiarkan sahaja anaknya yang baru pandai berlari-lari itu memanjat dirinya dan bergayut di lehernya. Dia terfikir Arman pun mungkin begitu jika sudah menjadi bapa.

Isy . . . Ke sana pula otak aku. Stop!

"Manjakan sangat anak tu," tegur Amirah.

"Hei . . . Payah nak dapat seorang ni," balas Suhail.

"Mana tak payahnya, asyik keluar masuk jel saja. Lepas tu turun naik mahkamah," balas Amirah.

Telefon Suhail berbunyi. Dilihatnya nombor Datuk Haidar. Lokasi: Apartmen.

Suhail berjalan ke tingkap untuk mendapat ruang privasi bercakap dengan Datuk Haidar. Seketika dia kembali mendapatkan mereka.

"Kenapa bang?" soal Amirah.

"Datuk Haidar. Dia nak jumpa sekarang."

"Abang pergilah. Entah-entah urgent," kata Amirah.

Mereka beredar. 

Dari jauh Nelly melihat Suhail mengiringi Amirah ke kereta. Suhail mendukung anaknya yang meronta-ronta mahu berjalan sendiri. Tetapi memandangkan ada beberapa kereta yang bergerak ke sana sini, dia dukung anaknya. Sampai di kereta anaknya dimasukkan dahulu di tempat duduk belakang. Perjalanan ke rumah mungkin hanya 15 minit. Tetapi Nelly nampak Suhail sangat prihatin tentang keselamatan anaknya. Dia mengambil masa seketika di bahagian belakang kereta itu. Fikir Nelly, mungkin menguruskan kerusi anaknya. Lepas dia tutup pintu belakang baru dia pergi ke arah Amirah yang duduk di kerusi pemandu. Amirah mencium tangan Suhail, yang dibalas dengan mencium di dahi dan pipi Amirah.

Kereta kecil model tempatan Amirah bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan pejabat. Suhail melambai sambil berjalan menuju ke motosikal Yamaha miliknya. Mereka bagai tidak nampak dunia lain. Hanya dunia mereka.

Alangkah bahagianya, bisik hati Nelly. Dia berasa amat cemburu.

Entah kenapa dia langsung tidak terfikir untuk mencari Michael. Walaupun saat itu dia sangat sedih kerana menerima khabar tentang Arman dan Puspa. Sebaliknya dia berasa tenang. Beg tangannya yang berisi Quran dan terjemahan itu dipegang erat. Balik ke rumah nanti dia akan baca. Dia akan mengambil cuti supaya ada banyak masa untuk membacanya.

"Nabihah! Kau mulakan hidup baharu selepas ini." Katanya sendirian. Dia senyum kepada nama baharunya.

Pak ngahnya, Haji Ibrahim Tan yang menjadi pendakwah bebas itu tinggal di Selangor. Dia akan hubunginya nanti lepas balik ke rumah kerana banyak yang dia nak beritahu. Dia pasti Pak Ngah Ibrahim tentu gembira dengan keputusannya.

*****

NELLY TETAP SAMA

Pintu bilik Nelly diketuk, dan ditolak dari luar. Papa dan mamanya melangkah masuk. Mata Datuk Tan dan Datin Tan serentak terarah kepada buku yang dipegang Nelly. Datuk Tan tahu buku apa. Melihat buku tebal kulitnya bercorak grafik warna keemasan, Datuk Tan tahu Nelly sedang membaca Quran.

Nelly menutup Quran terjemahan yang dibacanya. Dia memandang kedua orang tuanya dengan senyuman. Datuk Tan dan Datin Tan duduk di birai katil. Suasana hening seketika.

"Cerita dengan papa, Nelly buat apa?" Datuk Tan memulakan bicaranya.

Nelly memandang Quran terjemahan yang dibacanya dan kemudian kepada papa dan mamanya. "Papa dengan mama tak marah?"

Datuk Tan menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sudah lama menduga. "Tidak. Tapi Nelly mesti berterus terang dengan papa."

Nelly menarik nafas panjang. "Nelly sudah kembali kepada Islam papa."

Berkerut kening Datuk Tan. "Kembali?"

"Mengikut apa yang Nelly belajar setakat ini, manusia ini asalnya daripada Nabi Adam. Baginda beragama Islam. Selepas umat manusia berkembang, pegangan manusia juga berkembang, jadi macam-macam. Tapi asalnya tetap Islam. Jadi, Nelly kembali kepada yang asal itu," jelas Nelly dengan panjang lebar.

Seketul sedu keluar dari kerongkong Datin Tan.

"Mama, kenapa menangis? Nelly sedang belajar untuk jadi lebih baik daripada dulu," pujuknya.

"Macam mana Nelly nak dapat doa nenek moyang lepas ini?" soal Datin Tan.

"Mama, Nelly doa sendiri. Papa dengan mama boleh doa untuk Nelly juga, walaupun papa dengan mama tidak bersama kembali dengan Nelly. Allah dengar doa daripada semua hambaNya."

Semakin kuat Datin Tan menangis. Datuk Tan serba salah. Anaknya tidak mungkin dapat dipujuk untuk balik ke agama pegangan nenek moyangnya.

"Papa dengan mama masih benarkan Nelly tinggal di sini? Kalau tidak boleh, Nelly akan cari rumah sewa di luar," kata Nelly. Perlahan sahaja suaranya, tetapi tegas.

Datin Tan memeluk Nelly dengan kuat. "Tapi Nelly tak boleh makan sama mama lagi."

"Kenapa tak boleh mama?"

"Nelly tak boleh makan . . ."

"Mama pun tahu, Nelly dah tak pernah jamah benda itu sejak masuk universiti . . ." Dia teringat pernah melihat parasit liver fluke yang tidak mati walaupun daging khinzir telah dimasak.

Datuk Tan tidak nampak perkara makan minum itu menjadi masalah yang besar. Adiknya, Ibrahim yang kini menjadi pendakwah bebas itu pernah menjaga ibunya yang bukan Islam sebelum dia meninggal dunia kerana sakit tua.

Ibunya sendiri yang suka tinggal dengan adiknya kerana tidak gemar dengan cara hidup korporat Datuk Tan.

"Kita jangan lagi beli daging itu," tegas Datuk Tan. "Bukan susah nak cari daging yang halal. Kita pun buat sos halal. Macam hipokrit kalau kita pula makan benda tidak halal."

"Jadi . . . Papa betul-betul tak marah Nelly kembali kepada Islam?"

"Dari dulu lagi papa tak pernah marah. Kalau marah tentu papa tidak mengaku saudara dengan  pak ngah kamu."

Nelly memeluk dan mencium papa dan mamanya. Dia mengusap air mata mamanya. "Terima kasih papa, mama, kerana memahami Nelly."

Ingatan Datuk Tan melayang kepada Malik yang sudah dianggap seperti menantu tidak rasminya selama ini. "Malik tahu?" soalnya.

Nelly menggeleng-gelengkan kepala. "Setakat ini cuma Abang Suhail dengan Kak Amirah yang tahu. Nelly minta diorang simpan rahsia ini."

"Nanti Nelly pergi kerja pakai macam orang Islam, satu kilang akan tahu," kata Datin Tan setelah lama mendiamkan diri. Dia masih mencari-cari di mana kesilapannya sehingga anaknya menukar agama.

"Salahkah mama?" soal Nelly.

Tergamam Datin Tan.

"Dulu mama kata, asalkan Nelly pulang masa Tahun Baru Cina, kan?" sambung Nelly, sambil bangun mengambil kain selendang dan mencubanya di hadapan kedua orang tuanya. 

Dia membetulkan kedudukan selendang itu di hadapan cermin dan berpaling menghadap mereka.

"Nah . . . Nelly tetap Nelly juga kan mama? Papa?"

*****

ALANGKAH MUDAHNYA

Ketika Nelly memberhentikan keretanya di hadapan bangunan separuh papan separuh simen itu, Amirah kelihatan berdiri di anjung kecilnya dengan senyuman lebar. Inilah percubaan Nelly untuk membuat kebajikan. Menurut Amirah, mereka sedang mengadakan tuisyen percuma untuk subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi pelajar yang akan menduduki SPM. Nelly sudah menawarkan diri untuk mengajar Sains. Itu yang dia berkeyakinan untuk berkongsi ilmunya. Amirah menyambutnya dengan salam dan pelukan.

"Selamat datang Nabihah. Inilah sekolah kami. Simple saja," kata Amirah.

Nelly sedikit kekok dengan panggilan nama baharunya. Kekok dalam senang.

Kata Amirah, sekolah itu dahulu markas Parti Keamanan Negara Kawasan itu yang Suhail menjadi Ketua Pemudanya. Bangunan itu dibina ayah Suhail dan terletak di atas tanah milik keluarga itu. Sekarang markas telah berpindah ke bangunan yang lebih besar di kawasan milik parti mereka. Barulah Nelly tahu rupanya aktivis parti keluar wang poket sendiri untuk melaksanakan aktiviti parti. Dia tahu sering kali syarikatnya mendapat surat untuk menaja aktiviti parti tertentu. 

Meja dan kerusi dalam bangunan itu sudah usang . Tetapi masih digunakan oleh pelajar. Jelas Amirah, tiada yuran dikenakan kepada pelajar kerana pengajar juga sukarela. Tetapi pelajar hendaklah membersihkan kawasan sekolah itu setiap hari.

"Hujung minggu ini kami akan mengecat bangunan ini," kata Amirah.

"Siapa penajanya?" pantas Nelly menyoal.

"Kami ahli parti dan orang kampung, sumbang seorang sedikit."

"Biar kilang kami taja." Tiba-tiba Nelly mencadangkan. "Nanti Nabihah tanya kalau-kalau ada volunteer untuk tolong mengecat."

"Terima kasih sangat-sangat Nabihah atas jasa pihak kilang."

"Sikit saja. Dulu orang kampung tolong dapatkan stok masa kami tak dapat bekalan cili mentah dari luar negara."

Senyuman Amirah semakin melebar.

"Kalau Malik tahu Nelly berubah jadi Nabihah, mesti dia bangga."

"Entahlah Kak Mira. Kami kawan biasa sahaja."

"Apa kurangnya Malik tu. Dia pun lawa juga. Nabihah bertuah sebab tak akan dapat mak mentua garang kalau kahwin dengan dia."

Nelly ketawa. Terasa lucu pula. Memang takkan ada keluarga mentua sebab Malik sebatang kara. Yang ada cuma keluarga angkat Malik, maknanya keluarga Arman. Anehnya dia tidak terasa pilu pula bila terkenang kepada Arman, seperti beberapa hari sudah.

"Kak Amirah yang bertuah kahwin dengan Abang Hail," kata Nelly setelah habis tawanya.

"Kenapa Nabihah cakap macam tu?" Berkerut kening Amirah.

"Abang Hail tu loving Nabihah tengok."

"Kak Mira selalu kena tinggal Nelly. Sesekali dia ada di sini, dia kena qada' semua masa yang dia tiada," kata Amirah sambil ketawa kecil.

"Ah! Melepaskan rindu-rindu begitu, kak?" usik Nelly.

Muka Amirah yang berkulit kuning langsat itu jadi kemerah-merahan. Alahai. Malu pula ustazah ni . . . fikir Nelly.

Nelly menghabiskan dua jam di sekolah itu. Satu jam untuk memberi tuisyen, dan satu jam belajar agama dengan Amirah.

Ketika memandu dalam perjalanan pulang dia teringat kembali kata-kata Amirah. Tak sangka satu kampung sebenarnya sudah bergosip mengenai dirinya dengan Malik. Hendak salahkan mereka pun tidak boleh. Hampir setiap hari dia ke hulu ke hilir dengan Malik, sama ada urusan rasmi atau pergi makan. Manalah orang tak bergosip. 

"Jadi, bila kamu akan kahwin dengan Malik?" soalan Datuk Tan malam tadi menerjah ke laman mindanya.

Nak jawab macam mana? Dia harus memikirkan di mana letak hatinya kini. Tidak adil jika Malik dijadikan perawat lukanya.

"Kenapa tak jawab soalan papa?" Nampaknya papa tidak menerima 'diam' sebagai jawapan.

Lantas Nelly cuba beralasan. "Macam mana nak kahwin papa, dia pun tak pernah tanya Nelly." Dia tahu alasan itu sangat lemah. Sekali jentik sudah tumbang.

"Dia tak tanya sebab Nelly garang sangat dengan dia."

Aduh! Lain pula serangan papa. Tidak disangka. Bukan hanya alasannya tumbang, tetapi ia sudah hancur lebur macam kena serangan peluru berpandu Iskander Rusia.

"Mana ada papa." Itu sahaja yang mampu disebutnya. Sebuah penafian yang tempang.

"Sekarang Nelly sudah masuk Islam. Papa tak akan serahkan kamu kepada mana-mana lelaki lain, kecuali Malik. Hanya Malik yang boleh handle kamu yang banyak songel ni."

Malik handle aku? Hahaha, Malik akan manjakan aku sampai mati. Mungkin aku akan menjadi perempuan paling mengada-ngada dalam dunia.

*****

❤️

*Nelly memeluk Islam kerana gerak hatinya sendiri. Kerana sedar cinta Agung ialah kepada Maha Pencipta.  Agaknya bagaimana reaksi Malik?* 


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro