Bab 20

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

[Media: Haufa Aqira]

          TALI kasut yang sengaja dibiarkan terurai tadi diraih lalu Haufa mengikatnya kembali. Duduk dibongkokkan separa bagi memudahkan pergerakan. Selesai kasut di sebelah kanan, giliran kasut sebelah kiri pula. Segala pergerakannya itu dalam diam hanya diperhatikan Erin yang sedang duduk menanti sambil menongkat dagu.

          "Semalam kau keluar pergi mana?" Sengaja Erin memetik topik untuk berbual melihatkan tiada sebarang suara antara mereka berdua sejak tadi. Manakala di gelanggang lain sudah mula riuh dengan bunyi pukulan raket dan bunyi geseran tapak kasut bertemu lantai.

          "Aku ada kerja sikit dekat luar." Balas Haufa usai menyelesaikan kerjanya menyarung kasut sukan. Usai itu, air botol disisinya lantas dicapai dan diteguk perlahan.

          "Ya ke kerja? Ke pergi date." Mujurlah air yang diminum Haufa sempat memasuki kerongkong. Soalan Erin hanya spontan tapi mengejutkan. Nasib tidak tersembur air tadi.

           "Date dengan siapa pulak kau ni," balas Haufa. Penutup terus disatukan ke kepala botol lalu diletakkan kembali ke tempat asal.

           "Bos?" Duga Erin. Walaupun sebenarnya dia juga sudah tahu.

           "Mana ada. Mengarutlah," dalih Haufa. Walaupun apa yang dikatakan oleh rakannya itu memang betul. Tapi dia dan Harith boleh dikira janji temu kah? Tidak dinafikan sejak mereka diisytiharkan 'bercinta' beberapa hari yang lalu, dia semakin berani menerima pelawaan Harith untuk keluar berdua. Bila Harith mengajaknya, dia terus setuju tanpa banyak alasan.

           "Qira, boleh tak aku nak tanya kau satu soalan. Tapi janji tau jangan marah."

           "Apa dia? Tanya ajelah." Haufa mula berdiri. Ingin melakukan stretching terlebih dahulu sebelum memulakan permainan pada hari ini. Untuk merenggangkan otot-otot bagi memudahkan pergerakan darah apabila bermain nanti selain daripada jantung dapat mengepam dengan selamat.

           "Kalau bos suka kau, apa kau nak buat?" Erin turut sama mengikut apa yang dilakukan oleh Haufa. Membuat warming up bersama-sama.

           "Buat bodoh," jawab Haufa malas. Erin pantas berdecit tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan.

           "Aku serius lah."

           "Habis kau nak suruh aku buat apa?" Haufa mempamerkan riak kosong seperti biasa.

          "Tak adalah, takkan lah orang hensem macam tu pun kau tak terpikat."

          "Rupa paras tak menjamin kebahagiaan." Senang sahaja jawapan Haufa. Dan itu sememangnya fakta yang tidak boleh dinafikan sesiapa.

           "Memang lah. Tapi kau, memang tak ada niat nak kahwin ke?" Erin menyoal lagi. Ingin tahu. Selama ini dia jarang berbual dengan Haufa mengenai topik tersebut. Sekarang ada peluang, apa salahnya digunakan.

          "Kalau jodoh datang, aku terima aje."

         Tamat melakukan pemanasan badan, Haufa kembali ke tempat duduknya tadi. Ingin mengambil raket yang disimpan di dalam beg bagi memulakan permainan.

         "Dengan sesiapa?" Erin masih ingin memanjangkan topik.

          "Yes."

          "Kalau dengan Harith?"

           Haufa terus merenung wajah Erin seakan ingin menelan rakannya itu hidup-hidup. Dalam ramai-ramai lelaki dalam Malaysia ini, nama pemuda itu juga dipetik Erin.

           "Hello girls." Satu suara yang menegur kuat dari arah belakang memaksa kedua-dua gadis itu berpusing. Bebola mata Haufa terus berputar ke atas saat melihat kelibat yang menghampiri. Panjang betul umur...

          "Hai bos." Erin menayang senyuman lebar. Sesekali dia mengerling ke sisi, melihat riak wajah rakannya yang nyata langsung tidak menunjukkan perubahan apa-apa. Teruja pun tidak.

          "Eh, kenapa tegur bos dulu? Tak tegur saya? How dare you." Faiz bersuara seolah berjauh hati. Walhah tadi dia yang menegur dua gadis itu, tapi orang lain pula yang disapa dahulu. Tatkala mengalih pandangan pada gerangan di sisi Erin, Faiz tersenyum kembali.

          "Hai, Haufa Aqira."

          Tidak membalas semula sapaan tersebut, Haufa hanya sekadar mengerutkan dahi. Menayangkan wajah bingung bila orang yang tidak dia kenali tiba-tiba mengetahui namanya.

          "Ni Faiz, kawan sekolah lama aku dulu." Erin terus memperkenalkan kepada Haufa bila melihat rakannya itu tidak mengeluarkan sebarang kata.

          "Ehem, ex-boyfriend." Faiz membetulkan kembali ayat Erin sehingga gadis itu terus menghadiahkan sebuah jelingan.

          "Korang buat apa datang sini?" soal Haufa. Kedua wajah lelaki yang berdiri di hadapan dipandang silih berganti.

          "Dengan outfit kami macam ni, and also bawak raket sekali. Of course lah nak main badminton, sayang." Harith yang sejak tadi berdiam diri, kini bersuara. Menjawab pertanyaan Haufa sebelum mengenyitkan sebelah mata buat gadis itu.

           "Sayang? So sweet. Jealous aku," ujar Faiz. Pandangannya kemudian terhala ke arah Erin. Senyuman manis dilemparkan.

           "Erin, kalau saya panggil awak sayang boleh?"

          "Nampak penumbuk ni?" Erin menayangkan buku limanya ke arah Faiz.

          "Awak pandai ke main badminton?" Haufa mula menyoal Harith. Tidak mempedulikan drama sampingan pasangan tidak berbayar di sisi. Harith lantas mengecilkan kedua matanya. Tercabar dengan soalan Haufa.

           "Jangan pandang saya sebelah mata."

           "I'm just asking. Nak lawan ke?" Hujung bibir Haufa terjongket sebelah. Ingin menguji keberanian pemuda itu. Harith hanya diam sambil melangkah setapak mendekati Haufa. Bibirnya didekatkan ke arah pusat pendengaran gadis itu, ingin membisikkan sesuatu.

          "Why not, darling?"

           Lalu Harith menjarakkan kembali kedudukan. Sempat dia menyungging senyum sinis ke arah gadis itu yang terus membisu usai mendengar bisikannya tadi.

          "Kita main partner. Saya dengan Erin, awak dengan Faiz. Siapa kalah, belanja lunch nanti. Deal?" Harith mengangkat sebelah tangan yang tergenggam.

           "Simple punishment. Deal!" Haufa terus bersetuju tanpa sebarang bantahan. Diangkat tangan kanan lalu dilagakan dengan tangan Harith. Setakat belanja makan, tiada masalah!

           Dan permainan badminton antara mereka berempat pun bermula. Peserta mengambil tempat masing-masing seperti yang diberitahu oleh Harith tadi. Pukulan demi pukulan berbalas antara satu sama lain. Mereka bermain mengalahkan International Tournament. Seolah mempertahankan maruah sendiri, bukan kerana takut pada hukuman semata-mata.

           Pusingan pertama dimenangi team Haufa. Sempat Haufa menjongketkan hujung bibirnya ke arah Harith tanda berbangga.

           Mereka masuk ke gelanggang semula untuk memulakan pusingan baru. Namun kali ini agak berbeza corak permainan yang dipamerkan oleh team Harith. Pemuda itu kerap menghantar bulu tangkis ke arah Haufa, membuatkan gadis itu termengah untuk memukul kembali. Haufa kemudian membuat pukulan silang dan bulu tangkis menuju ke arah Erin. Namun Harith yang berlari ingin memukul kembali dan tidak semena-mena raketnya terkena kepala Erin.

           "Auch!"

            Gadis itu terus menjerit kesakitan. Tangan Erin automatik naik memegang kepalanya yang berpinar terkena raket Harith. Gila tak sakit, kena besi raket. Mahu bengong kepala setahun.

           "Maaf Erin. Sakit ke?" Harith bertanya penuh prihatin. Tangannya laju mengusap kepala Erin tanpa dipinta.

            "It's okay." Jawapan yang biasa diberi kerana tidak mahu si pelaku terus dilanda rasa serba salah. Walhah dalam hati macam-macam sumpah seranah diberi.

             Agak lama permainan terhenti dek kerana Harith yang terlalu menunjukkan keprihatinan kepada Erin. Tanpa sedar ada dua pasang mata tunak memandang setiap gerak geri mereka.

           "Ehem, orang sebelah. Nak main lagi ke tak nak?"

            Erin dah Harith berpaling ke arah gerangan yang bersuara. Wajah Haufa tampak tenang namun pandangan yang dilemparkan agak berbeza. Harith mula menjarakkan diri dari Erin.

           Permainan berlangsung kembali. Seperti tadi, Harith terus menerus membuat serangan ke arah Haufa. Mereka seakan bertarung sesama sendiri. Faiz di sisi pula sekadar melihat sambil berpeluk tubuh kerana sedar tugasnya hanyalah sebagai patung cendana di gelanggang. Boleh kira berapa kali sahaja dia mendapat bola. Kalau ini macam, baik main single aje.

          Tidak lama, bulu tangkis tiba-tiba menghala ke arah Faiz. Menyedari arah bulu tangkis yang menyilang, Haufa masih jua mahu mengambilnya. Tidak semena-mena tubuh pasangan beregu itu terus bertembung membuatkan Haufa jatuh terduduk di atas lantai. Sakitnya bukan kepalang. Hadir rasa senak di pinggul.

           "Okey tak, Haufa?" Faiz menyoal bila melihat Haufa yang sedang berkerut wajah menahan sakit.

           "Dia tu kuat Faiz. Takkan jatuh sikit dah sakit kot? Bangunlah cepat." Harith yang bertenggek di jaring bersuara seakan menyindir. Seolah sengaja ingin memprovok. Haufa terus menjeling ke arah pemuda itu. Dengusan kasar dilepas keluar.

           "Siapa cakap saya sakit? Faiz, jom sambung," ujar Haufa. Tangan Faiz yang dihulurkan ke arahnya disambut pantas. Tidak mahu orang menganggapnya lemah, jadi dia harus jua meneruskan permainan.

            Nyata kesan akibat jatuh tadi sedikit sebanyak menganggu stamina Haufa. Dia bermain sambil menahan kesakitan. Otot pinggulnya terasa seolah semakin membengkak. Namun egonya melarang untuk berhenti bermain. Nyata tiada langsung belas kasihan yang diberi kepadanya sekarang walaupun dia sudah mempamerkan gerakan yang jelas tampak lemah dan mengah. Walhah keprihatinan Harith terhadap dirinya juga tiada pada hari ini. Tapi, bukankah ini yang dia sendiri inginkan?

            Pusingan kedua dan ketiga yang dikuasai team Harith sekaligus menjadikan mereka berdua menjadi pemenang pada hari itu. Harith dan Erin bersorak meraikan kemenangan.

            Tanpa mempedulikan kegembiraan mereka itu, Haufa terus meninggalkan gelanggang menuju ke arah bangku. Ingin melepaskan lelah seusai berjam dia menjadi atlet.

            "Tak sangka hari ni saya dapat kalahkan Haufa Aqira." Suara garau menegur di sebelah. Haufa kemudian terus menjeling tidak puas hati.

           "Nasib aje team awak menang," balas Haufa mendatar.

           Gelak terlepas di bibir Harith.

           "Still tak nak mengaku kalah?"

           "Never. Saya boleh aje buktikan yang saya mampu nak kalahkan awak. Jom kita lawan one by one pulak. Nak?" Haufa mula mencabar. Enggan membiarkan dirinya diperlekehkan dan dipandang rendah angkara kekalahannya tadi. Itupun sebab dia tahan sakit. Kalau tak, memang kemenangan akan berpihak pada mereka hari ini.

            "No need. You sweat a lot," balas Harith. Dia mencapai tuala bersih miliknya di atas bangku. Peluh rinik yang membasahi wajah Haufa dilap penuh cermat.

            Perbuatan itu terus mematungkan Haufa. Statik tidak bergerak umpama jarum jam yang kehabisan bateri. Tubuhnya bagaikan digam kuat. Layanan Harith terhadapnya saat ini melembutkan kembali hati Haufa yang dibadai rasa sakit hati dengan kejadian di dalam gelanggang tadi.

             Buat seketika, suasana sepi mula mendominasi.

            "Harith?"

             Panggilan itu menghentikan gerakan tangan Harith. Lantas dua kepala mula berpusing mencari suara yang menegur. Tidak jauh dari mereka, seorang gadis tinggi lampai sedang berjalan menghampiri. Datang dari gelanggang sebelah.

             "Tak sangka jumpa you dekat sini. Ingat I lagi tak? Suzzane." Gadis bernama Suzzane itu menegur Harith riang.

             "Mestilah I ingat you Suzzane. Rajin bersukan you rupanya," balas Harith.

             "Setiap hujung minggu, memang I akan datang sini. How about you? Selalu ke datang?"

            "Jarang. I banyak kerja dekat ofis."

           Kepala Suzzane terangguk tanda faham. Kaki mula melangkah setapak ke depan.

           "By the way, I dah lama tak dengar khabar you. Makin sasa you sekarang ni." Tangan Suzzane naik membelai otot lengan Harith yang terdedah. Mana tidaknya, pemuda itu hanya mengenakan sleeveless shirt sahaja hari ini. Mungkin sengaja mahu menayang ototnya kekarnya itu pada orang.

          "Nak cakap, cakap ajelah. Tangan tu tak perlu merayap kot."

          Tanpa sedar ayat itu terpacul keluar dari mulut Haufa. Kedengaran dingin sekali. Dua pasang mata terus terarah padanya. Namun Haufa hanya berlagak selamba meneguk minuman tanpa mempedulikan pandangan mereka.

          "You, siapa ni?" Suzzane menatap sekilas gadis yang sedang duduk itu sebelum pandangan kembali terhala ke wajah Harith. Menanti jawapan.

          "Assistant I." Laju Harith menjawab.

          "Kesian you, dekat ofis mengadap dia. Dekat sini pun you kena mengadap dia. Tak bosan ke asyik tengok muka dia hari-hari?"

           "Biarlah mata dia, bukan mata kau." Omel Haufa, perlahan. Namun disebabkan jarak mereka yang terlalu dekat, Harith dapat menangkap setiap butir bicara yang dilantunkan oleh Haufa. Namun sengaja dia berpura seolah tidak dengar.

           "You free tak nanti? Jom lunch dengan I?" Suara Suzzane yang seolah seperti sengaja dilunakkan itu membangkitkan rasa loya Haufa. Nak termuntah rasanya. Gedik semacam!

           Dalam hati Haufa tertawa girang. Tidak sabar ingin mendengar jawapan Harith yang akan merubah riak wajah si gadis sotong itu. Dia tahu jawapan pemuda itu pasti...

           "Free kot. Lunch dengan you? Why not?" Ternyata jawapan Harith diluar jangkaan. Wajah tampan itu ditatap Haufa tidak percaya. Fikirnya, Harith akan menolak, tapi lain pula yang jadi.

            Manakala Suzzane pula terus bersorak keriangan. Gembira dapat keluar dengan jejaka pujaan hati. Tidak sia-sia dia menegur Harith tadi. Berbuah hasil rupanya.

            "Nanti awak dengan Faiz belanja Erin aje okey? Saya nak keluar dengan dia," ujar Harith tatkala pemuda itu mendekati Haufa semula. Ingin mengemas peralatannya sebelum berlalu pergi.

            "Saya..."

            Baru Harith ingin melangkah, suara Haufa membuatkan dia menoleh kembali ke belakang.

             "Yes. Ada apa-apa nak cakap ke?" soal Harith seraya mengangkat kedua belah keningnya. Menunggu Haufa yang seolah ingin berkata sesuatu. Namun gadis itu hanya tersenyum hambar ke arahnya.

            "Nothing."

            Harith mengangguk tanpa mahu menyoal lagi. Tanpa menunggu lama, dia melangkah menuju ke arah Suzzane yang sudah setia menantinya. Jari jemari gadis itu mula diraih dan bercantum dengan tangan miliknya menampakkan mereka seolah pasangan bahagia di mata orang sekeliling.

             Bayang mereka semakin mengecil dari pandangan mata Haufa. Meninggalkan dia di sini yang masih setia memerhati dari belakang. Enggan untuk mengalihkan pandangan dari terus menatap.

             Ada perasaan halus yang tiba-tiba muncul dalam hatinya sekarang. Yang pasti ianya hadir sejak dari melihat kemesraan Harith dan Erin lagi. Tidak pasti apakah itu. Dan sekarang bila melihat Harith keluar berduaan dengan orang lain selain dirinya, lagilah perasaan itu membuak-buak di dalam dada. Kenapa dia berasa begini? Takkanlah...

            Cemburu? Tak mungkin.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro