3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Angin pantai mengibas rambut Seif dan Baihaqi yang duduk di bangku melihat Hessa berlari dan melompat bermain dengan ombak. Sekejap anak kecil itu ketawa dan memandang abangnya kerana terhibur dengan tingkahnya sendiri.

Seif pandang Baihaqi di sebelah. Mata lelaki itu meredup tak berkelip memandang ke arah Hessa. Terfikir apa pula yang ada dalam benak sahabatnya sekarang.

"Kau risaukan Hessa?" soal Seif tiba-tiba.

Baihaqi diam tidak menjawab. Dia tarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan.

"Seif, aku rasa nak berhenti belajar." Satu rangkap ayat keluar dari mulut Baihaqi buat Seif tersentak.

"Apa kau cakap ni, Bai? Kita baru masuk kut. Panjang lagi perjalanan kau. Kau dah nak berhenti?" Nada suara Seif agak tegas, tidak senang dengan keputusan impulsif sahabatnya.

"Aku abang, Seif. Ada orang yang aku kena jaga bukannya fikirkan diri aku sendiri sahaja." Baihaqi mengeluh.

"Aku faham. Tapi macam mana kau nak jaga adik-adik kau sedangkan kau sendiri tak benarkan diri kau jadi kuat? Kau fikir ini sudah pengakhiran, tapi kau tak fikir boleh jadi ini satu permulaan.

"Kau, Hessa, Aqib... Kau rasa hidup kau orang hanya untuk hari ini?" soal Seif sedikit dingin.

Baihaqi pandang wajah Seif sekilas sebelum matanya teralih sebaik mendengar gelak tawa Hessa dari jauh.

"Perjuangan memerlukan persiapan. Tangan kosong tak datangkan hasil, Bai. Fikirkan balik keputusan kau."

Baihaqi hela nafas panjang. "Aku..." baru ingin membalas kata-kata Seif. Telefon bimbitnya berbunyi.

"Ya, Qib?"

"Ha? Tak cukup duit?"

"Okay, abang datang sekarang."

Baihaqi bangun daripada bangku lantas menyimpan telefon ke dalam poket.

"Kau tolong tengok Hessa kejap. Aku nak pergi kat Aqib. Duit tak cukup, dia cakap," pinta Baihaqi.

Seif angguk sahaja. Tadi Aqib pergi ke gerai hujung pantai sana, nak belikan layang-layang untuk Hessa katanya.

Sebaik Baihaqi beredar, Seif pandang Hessa melompat-lompat mengejar dan dikejar air pantai. Kadang Seif terfikir, apalah agaknya ada dalam kepal budak sepuluh tahun itu. Kepala budak perempuan itu seperti kosong. Dia boleh tersenyum, boleh ketawa malah berbahagia dengan cara sendiri tanpa memikirkan nasib dirinya sekarang dan kelak.

Anak mata hitam Seif terangkat memandang wajah si kecik Hessa sedang ketawa mengejar ombak pantai. Wajahnya cerah, kulitnya mulus ibarat kapas ringan dan rapuh. Seperti bayi baru lahir, suci dan polos. Rambut paras bawah dada itu pula didandan single braid. Tadi di dalam kereta dia sempat mengerling Aqib yang tolong mendandan rambut adiknya.

Seif yakin, kelak saat Hessa sudah jadi gadis dewasa, dia akan jadi perempuan yang cantik. Tapi macam manalah agaknya perangai Hessa tu bila dah besar nanti? Dia harap Hessa dewasa tak huru hara dan nakal seperti sekarang. Makin sakit kepala si Baihaqi tu nak kawal adik dia seorang ini.

"Auch!!" Sedang Seif memerhati budak kecil itu, matanya tiba-tiba membesar melihat Hessa tiba-tiba rebah lantas dibasahi ombak pantai.

Seif bangun berdiri. Wajahnya sedikit gusar.

Saat Hessa paling ke belakang, dia terus menjuih bibir bawahnya ke hadapan. Matanya berkaca-kaca.

Seif terkebil-kebil. Dia toleh kiri dan kanan. Mana pula Baihaqi dengan Aqib ni? Budak ni dah nak menangis! Dia manalah tahu memujuk.

"A...abang..."

Tubuh Seif kejung. Teragak-agak dia toleh memandang Hessa. Hessa panggil dia ke?

Hessa bangun berdiri lantas mengebas-ngebas baju dipakainya. Sudah basah dan kotor dengan pasir pantai.

"Abang, sorry..." ujar Hessa lagi.

Seif pandang Hessa. Riak wajahnya sukar untuk Hessa baca sama ada Seif marah atau tidak.

"Tak apa. Awak tak buat salah." Seif merapati Hessa. Dia pandang ke bawah melihat baju Hessa yang sudah basah. Pasti budak itu tak selesa.

"Macam mana kalau abang Bai marah?" Suara Hessa bergetar mahu menangis. Baju dia sekarang dah kotor. Abang Bai tak suka tengok dia kotor.

"Tak apa. Dia tak akan marah." Kaku sahaja Seif memujuk.

"Abang..."

Seif tak menjawab, hanya matanya yang bergerak membalas tatapan redup Hessa yang sekarang sedang dongak memandangnya.

"Tolong, Hessa. Hessa takut Abang Bai marah..." Tangan kecil Hessa bergerak mencengkam hujung baju Seif.

"Hessa!" Dengar sahaja namanya dipanggil, Hessa terus bersembunyi di belakang tubuh Seif. Kuat dia peluk pinggang Seif dari belakang. Confirm kena bebel dengan Baihaqi nanti sebab dah kotorkan baju.

"Kau buat apa ha?" Baihaqi kecilkan mata. Menyorok ni mesti buat salah.

Seif bermuka datar toleh ke belakang memandang Hessa menyembam wajah di pinggangnya. Dia pandang Baihaqi kembali. "Dah siap ke?" soal Seif.

"Dah..."

"Adik kau jatuh. Baju dia kotor."

Tersentak Hessa apabila Seif dengan selamba memberitahu salahnya kepada Baihaqi. Dia cari tempat berlindung, lelaki ini pula tak boleh harap.

"Dah agak dah." Baihaqi mengeluh.

"Hessa ke sini kau!"

"Tak nak!"

"Kau tahu tak kau peluk siapa tu? Kau ni kecil-kecil dah tak tahu malu kan?" Garang Baihaqi menghampiri Hessa lantas menarik lengan adiknya.

"Aaa tak mau nanti abang marah Hessa!!" Hessa membentak, makin kuat dia memeluk tubuh Seif.

"Mari sini, Hessa Yalina." Kembang kempis hidung Baihaqi dengan perangai tak semenggah adiknya. Ada ke patut dia peluk Seif macam tu? Kalaulah dia tahu Seif tu siapa? Kalau tahu pun, belum tentu dia faham.

Haih~ berat ujian jadi abang Hessa Yalina ni.

Mata Seif jatuh melihat tangan Baihaqi kuat menarik lengan adiknya hingga urat lelaki itu timbul. Tiba-tiba tangannya bergerak memegang lengan Hessa dan menarik lengan budak kecil itu daripada dicengkam Baihaqi. Tercengang juga Baihaqi melihatnya.

Wajah Seif tenang tak beriak.

Hessa yang awalnya terpinga-pinga mula tersipu-sipu. Dia tekup mulut kerana terharu ada hero yang hebat melindungi dia daripada raksasa jahat Baihaqi. Sengaja dia lempar senyum mengejek pada Baihaqi sambil memeluk pinggang heronya.

Setelah itu, Seif tolak lengan Hessa yang melingkar di pinggangnya.

Hessa sekali lagi terpinga-pinga. Eh?

Kemudian Seif tolak tubuh Hessa pada Baihaqi. Bergaduhlah kau orang berdua. Jangan libatkan dia.

"Ehhh?!!" Hessa separuh menjerit. Dia fikirkan hero rupanya pengkhianat! Arh!!

"Ya Allah, Hessa! Kau main apa sampai basah baju ni? Kau ni macam budak kecil lah!"

"Hessa memang budak kecil pun."

"Kau nanti nak masuk kereta orang macam mana? Dengan pakaian basah macam ni? Inilah abang malas nak bawa kau jalan-jalan. Degil dan buas macam budak lelaki.

"Nanti Hessa bogel masuk kereta."

"Menjawab! Sedar sikit kau tu perempuan."

Seif hanya pandang Baihaqi dan Hessa bergaduh. Tanpa sedar bibirnya melorek senyum kecil.

"Adik! Jom main layang-layang!" Aqib merapati mereka bersama layang-layang yang dia baru beli.

"Yay!!" Hessa berlari teruja ke arah abang keduanya. Terlompat-lompat dia di sisi Aqib cuba merampas layang-layang dipegang abangnya.

"Hessa! Abang tak habis cakap lagi! Aqib, kau pun sama naik eh?" Baihaqi cekak pinggang lantas dia hela nafas keras. Budak-budak ni pun!

Tiba-tiba terdengar seseorang ketawa di sebelah. Wajah tegang Baihaqi perlahan-lahan mengendur, lantas dia toleh memandang Seif.

"Kenapa?" Baihaqi kerut dahi.

"Tak ada apa. Aku baru nampak perangai sebenar Ilham Baihaqi. Aku teruja sikit." Seif sambung ketawa.

"Kau gila?" Geli Baihaqi pandang Seif.

"Nampak seksi."

"Kau jangan macam-macam, Seif. Karang kau yang aku baling dalam laut tu."

Makin kuat Seif ketawa mengusik sahabatnya. Merah merona wajah Baihaqi menahan sabar. Perangai adik seorang tak matang, seorang tak dapat kawal. Ada kawan pun sama naik.

Haih, hidup kau, Baihaqi...







DARI biasan cermin pandang belakang, Seif lihat Hessa sudah terlelap di atas riba Aqib. Kepenatan mengikut abang-abangnya dari petang tadi hingga ke malam.

"Kau tinggal kita orang kat simpang ni je." Mahu memasuki simpang, Baihaqi tiba-tiba menyuruh Seif tinggalkan mereka adik-beradik si situ sahaja.

"Tak apalah, aku hantar depan rumah."

"Kau tinggal sini je." Baihaqi berkeras.

"Adik kau tidur tu."

"Tak apa, aku boleh dukung."

Seif sifatnya tak suka berdebat. Jadi dia mengalah dan memakir kereta di simpang yang Baihaqi katakan. Setelah itu dia lihat sahabatnya menolak pintu kereta dan melangkah keluar.

"Thank you, Seif. Maaf susahkan kau."

"Tak ada hal." Seif kerling ke belakang melihat Aqib menepuk-nepuk bahu adiknya.

"Urmmm...!" Dalam kantuk Hessa merengek-rengek.

Baihaqi buka pintu belakang. Tubuh Hessa dia kendong di atas belakang tubuhnya.

"Terima kasih." Aqib tunduk sedikit kepala mengucap terima kasih pada Seif.

Seif senyum dan mengangguk sahaja kepalanya. Setelah itu dia lihat Baihaqi dan Aqib berjalan meninggalkan keretanya. Hessa pula dikendong di belakang tubuh Baihaqi.

Matanya dialih ke hadapan kembali. Jari telunjuk mengetuk-ngetuk stereng sambil dia pandang cermin sisi menunjukkan susuk tiga beradik itu perlahan-lahan menghilang ditelan kegelapan malam.

Tak lama, Seif keluar dari perut kereta dan memeluk tubuh bersandar pada badan keretanya.

Lama dia bersandar di situ, telinganya menangkap bunyi bising seperti jerkahan kuat dari rumah Baihaqi. Spontan kepalanya terangkat.

Tak menunggu, kaki Seif bergerak sendiri menuju ke arah rumah itu. Dari jauh dia lihat Baihaqi dipukul bertalu-talu oleh ayahnya. Jerkahan, makian dan hinaan berselang-seli dan yang peliknya Baihaqi tak melawan. Dia cuma tunduk dengan menggenggam tangan sendiri di belakang.

Seif hela nafas kasar. Dia berjalan terus ke arah Baihaqi.

"Anak tak berguna! Kau dah besar naik kepala sampai melawan ayah sendiri? Masuk neraka kau nanti! Masuk neraka!!" Tak henti belakang Baihaqi dipukul-pukul ayahnya.

"Anak sial!!"

Pak!

Lengan Encik Hassan ditahan Seif. Kuat dia cengkam tangan tua itu dengan mata mendingin buat mata Encik Hassan mencerlung garang membalas tatapan Seif.

"Seif!" Baihaqi terpana.

"Siapa pula ni? Ahli neraka mana pula datang ke rumah aku malam-malam ni?" Encik Hassan merentap tangannya dari cengkaman kuat Seif. Boleh tahan perit. Ilmu apa budak ni ada?

"Patutlah perangai kau makin jahanam sekarang, Baihaqi? Kau berkawan dengan dia ni?" Kenal pun tidak terus menuduh orang.

"Dia ayah kau?" Seif abaikan bicara Encik Hassan malah memandang Baihaqi dengan riak tenang bersahaja. Tidak gentar dijerkah lelaki tua itu.

"Kau buat apa kat sini? Balik lah!" Baihaqi segan dengan Seif. Malu dengan perangai ayahnya.

"Aku tanya, dia ayah kau?"

"Habistu kau ingat aku siapa? Aku sedang didik dia! Kau tu entah anak siapa, pergi balik! Jangan menyibuk hal keluarga orang lain."

"Oh, ayah? Pak cik gelar diri pak cik ayah lepas pukul dia macam tak ada hari esok. Ini bukan didik. Ini dera."

Puan Soraya dan Encik Hassan sama-sama terkedu dengan bicata lantang Seif.

"Seif! Aku cakap sudah... Baliklah..."

Seif pegang lengan Baihaqi. Kemas.

"Saya baru faham... Betullah, semua orang boleh gelar diri mereka ibu dan ayah lepas dia orang dapat anak. Tapi hakikatnya tak semua mampu jadi ibu dan ayah..." Siap berkata-kata, bibir Seif menyungging sinis.

"Kau tau apa? Kau tak ada anak! Ini cara aku didik anak aku! Kau tak tahu apa!!" Mata Encik Hassan mencerlung dingin.

"Akan... Akan ada anak. Tapi terima kasih. Sebabkan pak cik, saya belajar untuk jadi ayah lebih baik daripada apa yang saya lihat hari ni."

Selesai berkata-kata Seif tarik tangan Baihaqi mengikutinya. Cengkaman Seif sangat kuat, ibarat besi mengikat tangan buatkan Baihaqi akur mengikut langkah lelaki itu.

Sampai di simpang rumah, Seif lerai pengangan.

"Sebab tu kau tak bagi aku hantar kau depan rumah?" soal Seif

"Aku malu dengan kau." Tak ada sesiapa tahu tentang keluarganya. Kawan-kawan yang mengenali Baihaqi pasti tidak menyangka dia membesar dalam sebuah keluarga seperti itu.

Seif diam. Dia tak salahkan Baihaqi. Dia tidak juga mahu mempertikai segala tindak-tanduk Baihaqi. Setiap orang ada alasan dan setiap orang ada sesuatu yang mereka perjuangkan dalam diam tanpa diketahui sesiapa.

"Masuklah. Malam ni tidur rumah aku."




"ADUH! Aduh sakit!"

"Duduk diam!" Berkerut-kerut muka Seif menyapu ubat di muka Baihaqi yang lebam dipukul ayahnya tadi.

Baihaqi tiba-tiba ketawa.

"Kau gelak kenapa?" Seif pandang sahabatnya. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba ketawa.

"Kalau orang tengok kita berdua, mesti dia orang ingat kita gay." Meremang Seif dengar bicara Baihaqi.

"Kuat sangat ke bapak kau pukul kepala kau tadi?"

"Kuat juga." Baihaqi raup rambutnya ke belakang. Matanya membalas tatapan mata Seif yang bersahaja. Dasar poker.

"Patutlah mereng. Otak kau mesti bergegar sikit tadi. Kau ada nampak aku seksi ke?"

"Sial." Baihaqi tolak tangan Seif di wajahnya dengan tawa kecil. Sekejap sahaja tawa itu bertahan sebelum suasana bertukar hening.

"Seif."

"Hm?" Seif kemas ubat luka di atas meja.

"Rumah ni rumah atuk kau?"

"Ya."

"Dia dah berapa lama meninggal?" soal Baihaqi lagi.

"Sejak aku umur 10 tahun," jawab Seif senada.

"Habistu siapa yang jaga rumah ni?" Hairannya rumah itu rapi seperti ada orang yang jaga.

"Family aku upah orang bersihkan rumah ni. Jadinya aku boleh balik kampung bila aku cuti." Selesai mengemas ubat, Seif henyak punggung di atas sofa lantas menghidupkan televisyen.

"Atuk kau tu ayah kepada mak atau ayah kepada ayah kau?"

"Papa aku."

"Oh, nenek kau dah lama tak ada?"

Seif terdiam sejenak.

"Sorry. Aku banyak tanya." Baihaqi serba salah melihat raut wajah Seif yang sudah berubah. Mesti ada yang tak kena dengan soalannya tadi.

"Aku tak pernah kenal nenek aku."

"Oh... Faham." Mungkin nenek dia dah lama meninggal sejak Seif masih kecil.

"Kita dah nak habis cuti semester. Aku harap nanti masuk semester baru, kau ada. Kalau tak ada, aku cari kau sampai depan bilik tidur kau." Kata-kata Seif terdengar seperti gurauan tapi tatapan matanya dingin dan serius.

Baihaqi terdiam. Seif seperti tahu sahaja apa yang bermain dalam kepalanya sejak tadi.

"Kau nak jaga adik-adik kau. Kau perlu jaga diri kau dulu." sambung Seif.

Setelah itu Baihaqi terdiam memikirkan kembali ucapan dan kata-kata Seif. Kalau dia tiada, siapa yang akan tengokkan Hessa?

Nanti Aqib juga akan sambung belajar setelah habis peperiksaan tingkatan 5. Jarak umur mereka dengan Hessa pula boleh tahan jauh. Tapi kalau dia tidak belajar, macam mana dia mahu jaga dan lindungi Hessa?





TERMENUNG di tangga rumah, Baihaqi lempar pandang ke laman. Menunggu Hessa pulang daripada sekolah. Seif sudah pulang ke rumah orang tuanya di bandar. Dia pula dalam beberapa hari lagi perlu kembali ke kampus untuk melanjutkan pengajian.

Sudah pelbagai perkara bermain di benak sampaikan Baihaqi tak tidur lena sejak dua menjak ini.

"Bai." Panggilan seseorang buat Baihaqi toleh ke belakang. Dia lihat Puan Soraya menghampiri lantas duduk di atas tangga di sebelahnya.

"Kenapa, mak?"

Puan Soraya terdiam sejenak menarik nafas panjang. "Mak nak minta maaf," ujar wanita itu.

"Mak tahu Bai fikir banyak benda sejak dua menjak ni. Makan pun tak lalu, tidur pun tak nyenyak. Bai fikirkan Hessa kan?"

Baihaqi diam tak membalas.

"Bai..." Tangan Baihaqi diraih Puan Soraya.

"Pergilah habiskan belajar. Biar mak yang tengokkan Hessa selagi mak ada kudrat."

Baihaqi tersentak. Kepalanya terus berpaling memandang wajah ibunya.

"Mak tak sanggup tengok anak-anak mak macam ni... Habiskan study, lepastu tolong jaga Hessa."

"Kenapa mak cakap macam tu?"

"Mak nak tengok anak-anak mak jadi orang hebat. Kalau Bai risaukan Hessa, tak apalah. Bai jangan risau lagi. Mak akan jaga Hessa. Mak akan lindungi Hessa..."

"Selagi mak masih ada kudrat... Mak hanya mampu buat ni sahaja untuk tenangkan hati Bai. Maaf, mak tak mampu jadi orang tua yang baik untuk anak-anak mak. Maaf, Bai..."

Baihaqi tertunduk hingga air mata lelakinya mengalir menitis pada tangga simen rumahnya.

"Buat masa ini dan untuk waktu ini, hanya ini sahaja yang mak mampu janji. Tapi selebihnya, mak serah pada Bai..."

Saat itu Baihaqi tak bicara. Dia keliru dengan ucapan dan kata-kata maknya. Seperti janji dan peringatan. Entah apa yang ingin orang tua itu sampaikan.

Akhirnya dia akur...

Baihaqi pergi menyambung pengajiannya. Dia tinggalkan Hessa pada janji yang mak dia sudah lakarkan.


BEBERAPA TAHUN KEMUDIAN.

Hessa -14
Seif - 22

"Tahniah, abang!!" Teruja Hessa membawa jambakan bunga yang dia gubah sendiri buat abangnya.

Dia buat dua jambakan bunga untuk hari konvokesyen abangnya. Satu untuk Baihaqi, satu lagi untuk Seif. Tapi sejak tadi dia tidak nampak kemana pergi sahabat baik abangnya itu.

Walaupun sudah empat tahun tak berjumpa, dia harap Seif tak lupa dia. Iyalah, bakal suami yang dah meninggal.

"Abang! Abang Seif mana?" Hessa bisik di telinga Baihaqi. Matanya terbatas nak cari susuk lelaki itu. Mungkin terlalu ramai orang.

"Kau dah kenapa cari dia?" Baihaqi capai bunga dihulur Hessa.

"Hessa buat bouquet untuk Abang Seif."

"Dia sibuk."

"Abang! Cepatlah nak bergambar! Adik cepat!" Aqib tarik lengan Hessa, apabila sudah ada rakannya yang sudi menangkap gambar mereka bersama.

Hessa muncung bibir. Seif sibuk? Mungkin sibuk dengan family dia kut. Hmm, tapi penat-penat dia buatkan jambakan bunga buat Seif. Paling tak pun, ambillah.

"Hessa! Menung apa tu! Senyumlah!" Aqib cubit pipi adiknya. Makin garang wajah Hessa di hadapan kamera.

"Okay, satu.. dua... tiga and smile..."

Dup!

Mata Hessa terpandang Seif sedang dikelilingi beberapa orang yang nampak sungguh bergaya pakaiannya. Ada lelaki dan perempuan. Semua sama-sama tinggi seperti seumuran dengan Baihaqi dan Seif. Mereka berborak seperti tidak sedar Hessa dan Baihaqi ada berhampiran.

Peduli apa?

"Abang Seif!!" Selamba Hessa keluar dari tempat bergambar dan berlari ke arah Seif yang ralit berbual dengan rakannya.

"Hessa!" Mata Baihaqi membulat.

Dan...

Buk!

Hessa rebah seperti nangka busuk apabila ada lelaki bersut hitam tiba-tiba muncul entah dari mana menghalang laluannya. Paling memalukan Seif dan semua rakannya nampak kejadian itu!

"Hessa!!" Aqib cepat-cepat berjalan ke arah adiknya lantas menarik tubuh Hessa kembali berdiri. Dagu Hessa luka dan tapak tangan Hessa turut berdarah.

"Sakit..." Hessa berdecit.

"Itulah kau! Berlari tak tengok kiri kanan, kau ingat umur kau baru sepuluh tahun ke?" Aqib membebel sambil dia sapu kotoran di tapak tangan Hessa.

Teringatkan sesuatu, Hessa terus angkat kepalanya. Dia lihat Seif sedang memandang tepat ke arah lukanya tanpa riak.

"Adik siapa tu?" soal seorang gadis di sebelah Seif. Sangat cantik dan bergaya. Wajahnya tercalit solekan yang kemas, bibirnya merekah dan merah. Awek Seif mungkin.

"Adik Baihaqi kut," jawab Seif bernada ringkas.

'Kut'?

Entah kenapa Hessa rasa terluka. Seif tak ingat dia ke? Dia tahu pertemuan mereka cuma sekejap tapi... Dia selalu memerhati Seif dari jauh sejak dahulu. Saat Seif menjemput Baihaqi di rumah, saat Baihaqi berbual telefon dengan Seif dan saat Baihaqi selalu bercerita tentang Seif pada ibunya.

Dia rasa dia dekat dengan Seif...

Rupanya tidak.

Hessa tunduk mencapai jambakan bunga yang dia buat tadi. Sudah jatuh dipijak orang yang lalu lalang saat dia rebah tadi.

"Hessa? Okay tak?" Baihaqi menghampiri adiknya. Dia tilik dagu Hessa lantas menilik pula tapak tangan adiknya.

Tak usah membebel, Abang Bai. Hessa tengah terluka sekarang.

Baihaqi pandang lelaki bersut hitam melanggar adiknya tadi. Lantas dia pandang Seif yang sedang memandangnya.

"Kau pergi mana? Aku ada benda nak cakap dengan kau." Seif menghampiri Baihaqi.

Hessa pula palingkan tubuh sambil dia peluk jambakan bunga. Hatinya remuk sama dengan remuknya bunga itu.

"Sorry, aku bawa Hessa. Kau faham-fahamlah."

Mata Seif kembali memerhati Hessa. Dia lihat ada satu jambakan bunga dipeluk Hessa. Kelihatan sama dengan jambakan bunga yang sama dipegang Baihaqi sekarang.

"Okay, aku faham." Seif ukir senyum tipis.

"Mak dan ayah aku ada tunggu kat cafe. Aku pergi dulu." Baihaqi meminta diri.

"Okay." Seif angguk.

"Jom, Hessa." Aqib pimpin tangan Hessa diperhati dengan hujung mata oleh Seif.

Saat dia toleh kepalanya memandang belakang tiga beradik itu. Seif lihat Hessa lempar jambakan bunga yang dipeluk gadis itu tadi ke dalam tong sampah.

Hessa Yalina...

Dah remaja budak itu rupanya.

Spontan bibir Seif menyungging senyum tipis.



______
Time skip dah tak lama.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro