4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng



DARI jauh mata Baihaqi menangkap kelibat gadis remaja berbasikal masuk ke perkarangan rumah. Dia bebaju kurung seragam sekolah, dengan rambut diikat gaya ponytail, siap ada ribbon warna pink atas kepala. Ada-ada sahaja budak Hessa ni.

"Abang!!" Hessa seperti biasa, setiap kali melihat Baihaqi menunggunya di tangga rumah rumah, dia teruja macam tak jumpa abangnya bertahun-tahun.

"Hari ni kau buat masalah apa lagi kat sekolah?" Lihat Hessa menongkat basikal, Baihaqi bertanya.

Terus jelingan tajam dibalas remaja perempuan itu.

"Ingat Hessa ni budak-budak ke?"

"Eleh, kau kan Hessa Yalina, mana boleh hidup kalau tak buat masalah kan?" balas Baihaqi selamba. Biasanya seronok juga dengar cerita karut Hessa bawa dari sekolah.

"Tak ada. Harini sibuk latihan kawad," Hessa panjat tangga dan duduk di sebelah abangnya. Badan dibongkok sedikit menanggal tali kasut.

"Bila abang masuk kerja?" Dua hari lepas Baihaqi dapat tawaran kerja di sebuah bank.

"Minggu depan. Hessa nak ikut abang?"

"Hessa kan sekolah lagi. Tunggu Hessa habis sekolah, Hessa ikut abang duduk kat bandar okay?"

Baihaqi senyum tipis tangan naik mengusap rambut adiknya. "Sunyilah abang nanti."

"Eleh, kalau abang sunyi, abang pergilah keluar jalan-jalan dengan Abang Seif macam yang selalu abang buat. Nanti, mesti Abang Seif jemput abang bawa keluar jalan-jalan kan?"

Dengar nama Seif raut wajah Baihaqi berubah. Dia tarik tangannya dari kepala Hessa, mata hitam teralih ke arah lain. Tak membalas tatapan polos adiknya.

Hessa kerut dahi.

"Abang bergaduh dengan Abang Seif ke?"

"Tak ada lah! Ingat abang budak-budak ke nak bergaduh-gaduh dengan orang." Laju Baihaqi menafikan.

"Habistu?"

"Manusia boleh berubah, Hessa. Persahabatan pun boleh berubah. Kami tak macam dulu bukan bermakna kami bergaduh. Mungkin waktu dah berlalu... Lagipun Seif sekarang mungkin ada kat luar negara, abang dengar cerita dia sambung study." Baihaqi senyum kelat.

"Untung betul jadi Abang Seif kan? Sudahlah handsome, kaya, baik... Dapat study luar negara pula tu."

Baihaqi senyum sahaja. Sedikit kelat.

"Hessa nak jadi macam Seif?"

"Kita manalah kaya macam dia, abang. Lagipun Hessa tak sebijak abang dan Abang Seif." Hessa geleng kepala dengan keluhan. Dia sendiri pun sudah tak sabar nak habiskan sekolah. Penat belajar.

"Kalau Hessa nak belajar tinggi-tinggi kena belajar rajin-rajin. Abang akan kerja kuat untuk bantu Hessa."

Hessa termanggu sejenak. Dia tarik senyum kelat sekali dengan dadanya ternaik menarik nafas panjang. "Hessa nak kahwin."

Mati terus semangat Baihaqi. Matanya mengecil memandang adiknya. Umur baru setahun jagung ada hati sebut pasal kahwin depan abang dia.

"Umur kau tu baru 15 tahun! Gatal sungguh! Kau ingat kahwin tu kahwin aje ke? Inilah abang tak nak kau tengok drama cintan cintun banyak sangat. Pengaruh buruk tau!"

"Alah, abang! Hessa tengok orang lain kahwin elok aje bahagia."

"Kau tu budak-budak lagi! Habiskan belajar dulu! Huh! Ada hati nak kahwin. Geli aku." Baihaqi angkat punggung dan bangun beredar dari situ. Meremang dia dengar cita-cita karut adiknya.

"Ish! Abang dengarlah dulu! Hessa nak kahwin dengan lelaki kaya. Tak payahlah Hessa kerja dan belajar lagi." Hessa bingkas bangun membuntuti abangnya. Dia tersengih-sengih nakal apabila Baihaqi malas melayan angan karutnya. Suka betul mengusik abang dia seorang ini.

"Kau ingat ada ke lelaki kaya nak isteri malas belajar macam kau? Lelaki sekarang ramai tak guna, jangan berani-berani kau nak menggatal dengan lelaki lagi ya!" Kata-kata Baihaqi berbaur amaran tegas. Hessa pula balas dengan sengihan.

"Eleh abang... Cakap ajelah abang cemburu kalau Hessa kahwin dulu dari abang..." Makin menjadi-jadi Hessa mengusik abangnya.

"Abang jealous kan..."

"Diam!!"

•❉᯽❉•

KETUKAN berbunyi dua kali di luar. Seseorang sedang melipat lengan kemeja berpaling sekilas.

"Masuk." Kolar baju dibetulkan di hadapan cermin.

Setelah arahan dilontar, muncul seorang pembantu wanita dan pembantu lelaki masuk ke dalam bilik. Dua-dua tundukkan wajah masing-masing terlebih dahulu sebelum pembantu wanita itu meluru masuk membantu Seif mengenakan pakaiannya.

"Macam mana? Dah dapat respon daripada Bai?" Seif soal si pembantu lelakinya.

"Ya, Tuan Seif. Macam biasa, dia tolak."

Mata Seif terus mendingin. "Dia respons melalui apa?" Seif biarkan pembantu wanita itu mengemas kolar bajunya.

"Email, Tuan Seif."

Seif terdiam. Rahangnya kelihatan bergerak-gerak sebelum deruan nafas kasar terhembus.

"Okay, terima kasih." Setelah itu Seif tolak tangan si pembantu wanita dan melangkah keluar dari bilik tidurnya.

"Air, tuan." Baru ingin memasuki bilik bacaannya,  ada seorang lagi pembantu datang membawa gelas air di atas dulang buatnya.

Seif capai gelas itu, dia teguk sekali sahaja sebelum tangannya bergerak mahu meletak gelas kaca itu kembali di atas dulang. Tapi gelas tak mendarat baik, lantas jatuh dan pecah di lantai.

"Maaf, tuan!!" Laju si pembantu tunduk mengutip-ngutip kaca di atas lantai.

Seif terdiam. Pandangan matanya jatuh melihat kaca yang sudah berderai itu.

Satu helaan nafas berat terhembus. "Maaf." Setelah itu dia terus atur langkah masuk ke bilik bacaannya. Henyak sahaja punggung di atas kerusi, ada bingkai gambar lama menjadi tatapan.

Gambar dia, Baihaqi, Hessa dan Aqib di pantai. Si kecil Hessa tersenyum girang memegang layang-layang yang dibeli Aqib dan duduk di tengah-tengah di antara tiga lelaki yang sedang berpaut bahu di belakang.

Seif koyak senyum tipis.

Hubungan persahabatan dia dan Baihaqi sudah tidak seperti dahulu lagi. Ibaratnya sudah pecah terburai menemui jalan buntu untuk disusun dan dibaiki semula.

Puncanya...

Sewaktu mereka masih di pengajian, aib keluarga Baihaqi tiba-tiba terbongkar. Aib dan rahsia yang hanya Seif seorang sahaja yang tahu. Seif sendiri tidak tahu bagaimana semua itu terjadi, tapi segala info yang tersebar menjadikan Seif satu-satunya orang yang Baihaqi tuduh.

Kesannya, Baihaqi menempuhi alam pengajian yang sukar.

Dia dipulaukan oleh rakan-rakan dikampus. Dia diperli oleh pensyarah di dalam kelas. Dia dituduh sebagai ancaman dan ada juga yang sengaja membuli dia dan dapatkan pujian dengan melakukan semua itu.

Tiada lagi Baihaqi yang selalu riuh berbicara dan cekap di antara rakan-rakan yang lain. Dia berubah menjadi pendiam dan menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang lain. Dan tiada satu orangpun berani menjadi sahabatnya.

Baihaqi menderita. Tapi dia gagahkan kaki menamatkan pengajian sampai akhir kerana itu janjinya pada ibunya di kampung.

Seif?

Beribu cara Seif cuba untuk tetap menjadi sahabat Baihaqi. Dia tidak kisah pandangan orang kerana hakikatnya hanya dia yang tahu. Tapi setiap kali itu, Baihaqi menolak Seif.

Menolak ikatan persahabatan lantas memutuskannya sendiri.

"Demi Allah, bukan aku, Bai! Kau tahu sendiri aku tak suka memburukkan orang!"

Baihaqi diam sahaja. Setiap bicara Seif tidak dilayan malah dia sibukkan diri dengan menelaah buku di tangan.

"Bai, tolong dengar aku." Seif rampas buku di tangan Baihaqi. Mencerlung mata lelaki itu menatapnya.

"Bukan aku yang sebarkan pasal family kau. Bukan aku! Aku tak tahu macam mana semua ni jadi!"

"Kau boleh diam tak?"

Seif tergamam.

"Aku tahu aku orang susah. Aku tahu keluarga aku hina di mata kau. Aku dan kau ibarat langit dan bumi. Tapi aku yakin kau tahu satu benda, Seif...

"Aku tak minta dilahirkan dalam keluarga tu." Lelah.

Mata Seif dan Baihaqi saling bertatapan. Baihaqi yang dingin, Seif yang keliru.

"Kau boleh sebarkan pada orang sepuas hati kau. Dan tolong jangan tunjuk perangai pondan kau depan aku lagi. Kita tak akan jadi macam dulu lagi. Dah cukup aku percayakan seseorang. Kali ni kau dah buat aku serik berkawan." Selesai berkata-kata Baihaqi terus mengemas buku-bukunya di atas meja perpustakaan.

"Bai, dengar dulu. Kau tak percayakan aku?" Lengan Baihaqi ditahan Seif.

Pak!

Sepantas kilat Baihaqi tepis tangan Seif dan kolar baju Seif pula dia tarik dengan kasar. Mata terus mencerlung tajam.

Wajah Seif tidak beriak. "Kau tak percayakan aku..." ucapnya datar.

"Jangan cakap soal kepercayaan depan aku. Aku muak... Aku datang sini mahu belajar, bukan mahu berperang! Tapi sebabkan kau, kau buat aku berada seperti di medan peperangan. Semua orang musuh aku. Semua orang anggap aku musuh." Keras dan dingin kata-kata Baihaqi lontar pada Seif.

"Dah berapa kali aku nak cakap! Bukan aku!" jerkah Seif.

"Siapa yang akan percaya?"

Seif terdiam. Rahangnya bergerak-gerak menatap wajah Baihaqi. Kecewa kerana ketulusannya dipertikai sedangkan bukan dia yang menyebarkan berita tu.

"Weh! Tu bukan Bai ke?"

"Ha'ah lah! Weh seriouslah dengan Seif pun dia nak gaduh? Kau ada dengar tak pasal family dia."

"Ya! Aku ada dengar juga..."

Terdiam Baihaqi dan Seif mendengar bisikan-bisikan di sekeliling mereka.

Kolar baju Seif dilepas Baihaqi secara kasar. Tak menunggu dia terus kemas buku-bukunya beredar dari situ.

"Bai..." Panggilan Seif tak bersahut. Kaki terus mengorak langkah menjauh. Dia sebenarnya sudah tidak tahan, tapi harus bertahan untuk keluarganya dan masa depan Hessa...

•❉᯽❉•

TEPAT usia Hessa 19 tahun, mereka tiga beradik melalui fasa paling gelap dalam hidup. Encik Hassan dan Puan Soraya meninggal kerana kemalangan dalam perjalanan pulang setelah menghantar Hessa ke rumah Baihaqi.

Mereka terbabas di lebuh raya dengan melanggar penghadang jalan.

Hessa awalnya tak mampu dipujuk sesiapa akhirnya belajar untuk reda dengan kepergian orang tuanya. Yang lebih menyedihkan, dia tak dibenarkan hadir ke majlis pengebumian mak dan ayah sendiri. Kejam.

Awalnya dia fikir Baihaqi kejam padanya...

Tapi apabila dia fikir kembali. Baihaqi tidak melakukan sesuatu tanpa sebab.

Sekali lagi Hessa reda dan akur tidak dapat melihat jasad ibu dan ayahnya buat kali terakhir. Dia hanya mampu mengurung diri di dalam rumah Baihaqi di bandar dan menangis sendiri sambil memeluk bingkai gambar ayah dan mak.

Hessa pergi ke bandar kerana dia dapat tawaran kerja di sebuah institusi. Bekerja sebagai pembantu di kantin. Itupun Juwita, kawannya yang ajak bekerja sekali. Kebetulan tempat kerja dan rumah Baihaqi tak jauh, jadi Hessa memutuskan untuk pergi ke bandar bekerja di sana.

Lepas habis sekolah, dia cuma duduk di kampung. Puas Baihaqi pujuk mak dan ayah nak bawa Hessa ke bandar. Ayah tegas tak membenarkan. Tapi entah bagaimana kali ini hati ayah tiba-tiba berlembut mahu melepaskan Hessa bekerja di bandar.

Malangnya, tak sempat Hessa nak bagi ayah dan mak rasa gaji pertamanya. Mereka berdua telah pergi...

Hessa meringkuk di atas katil memeluk bingkai gambar ayah dan maknya. Bagaimanapun ibu dan ayahnya, dia dilayan seperti permata sejak kecil.

"Hessa..." Pintu bilik dibuka dari luar. Terjenggul wajah Aqib di muka pintu.

Hessa bingkas bangun mengusap air mata yang basah di pipi.

"Boleh Abang Qib masuk?" pinta Aqib.

"Masuklah." Bergetar suara Hessa membalas. Dia paling wajah ke tingkap bilik. Tak mahu Aqib lihat wajahnya yang lencun dengan air mata.

"Mak dan ayah dah selesai kebumi." Aqib henyak punggung di atas katil Hessa. Dia tunduk meramas jemari sendiri.

"Abang... Hessa ni memang bawa malang ke?"

Aqib tersentak. "Kenapa Hessa cakap macam tu? Siapa cakap?!" soal Aqib kasar.

"Dulu Abang Qib dan Abang Bai selalu kena pukul dengan ayah sebab Hessa. Sekarang ayah dan mak meninggal sebabkan Hessa juga. Hessa memang bawa malang kan, abang?"

Aqib geleng-geleng kepalanya. Tangan naik mengusap air mata Hessa di pipi sebelum dia tarik tubuh Hessa masuk ke dalam dakapan. Bahu Hessa diusap-usap menenangkan esak adiknya.

"Hessa minta maaf..." ucap Hessa tersedu-sedu

"Hessa tak salah." Laju Aqib memintas.

"Hessa rindu mak dan ayah... Hessa dan rindu dia orang, abang. Maafkan, Hessa..." Rindu yang dia hadap sekarang adalah rindu yang tiada penghujungnya. Tiada lagi sosok mak dan ayah yang ingin dia peluk. Tiada lagi kehangatan mereka menyelimuti kesedihannya sekarang.

Baihaqi berdiri di luar bilik menghela nafas berat.

"Jaga adik kau, Bai. Kau nak sangat jaga dia. Kau ambil bela dia. Bagi dia makan minum cukup-cukup."

"Baik, yah." Baihaqi menjawab sambil dia keluarkan beg pakaian Hessa dari perut kereta.

"Adik kau tu istimewa sikit, Bai. Kau tak jaga baik-baik, naya hidup kau nanti."

Baihaqi kaku sejenak. Dia pandang Encik Hassan dengan senyum kelat. "Tak kisahlah dia istimewa atau tak, kalau dia adik Bai, Bai akan jaga dia macam Bai jaga nyawa Bai sendiri. Bai abang sulung, apa-apapun Bai kena dahulukan adik-adik dahulu walaupun Bai yang lahir dulu."

Kata-kata Baihaqi membuat Encik Hassan tersentak. Kaku matanya melihat tubuh Baihaqi yang sudah dewasa dan tinggi di hadapannya. Matanya terbayangkan momen pertama dia menyambut Baihaqi di dunia. Dahulu anak itu hanya sebesar lengannya...

Dan sekarang dia sudah sebesar ini...

Baihaqi sangkut beg Hessa di bahu sebelum dia ambil pula beg yang lain.

"Bai. Baihaqi."

Baihaqi kelu sejenak. Tak pernah ayah panggil namanya selembut itu. Perlahan-lahan dia angkat kepala dan menoleh ke tepi memandang Encik Hassan.

Perlahan-lahan tangan lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu Baihaqi. "Ayah mungkin tak pernah cakap benda ni. Tapi ayah bangga dengan kau... Terima kasih dan banyak bantu ayah."

Baihaqi sandar tubuhnya ke dinding. Tak semena-mena air matanya mengalir laju di pipi. Bibirnya melorek senyum pahit. Sekurang-kurangnya dia sempat tahu, ayah bangga dengannya...

End of Flashback

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro