35 | Marah?

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


.
.
.

"Boleh saya bermalam di rumah auntie malam ni?" Irdina meminta sopan.

Dia sudah berfikir panjang apa yang dia perlu lakukan. Dia perlu bermalam di pejabat. Memandangkan rumah ini ialah pejabat tempat kerjanya, maka dia perlu bermalam di rumah orang juga. Susah dia mahu buat keputusan ini. Tapi memikirkan rasa tidak tenang, dia tekadkan diri.

Puan Leila seperti tidak bersedia menyambut permintaan itu. Dia sedikit terkejut.

"Irdina nak bermalam sini malam ni?" Soalnya ingin kepastian.

Irdina mengangguk perlahan.

Puan Leila mengulas senyum lebar. "Dengan senang hati auntie jemput, Dina."

Gembira dia mendengarnya. Dia pun sebenarnya tidak senang Irdina perlu pulang lewat setiap hari. Sebelum ini dia mahu saja menjemput Irdina bermalam di sini, tapi dia risau Irdina yang tidak selesa.

"Auntie jangan risau. Dina bermalam dekat bilik pejabat aje." Irdina tidak mahu Puan Leila fikir dia mahu bilik tidur pula. Segera dia menjelaskan.

"Haish, apa pulak bermalam dekat pejabat? Dina kan ada bilik sendiri dah. Bilik depan musolla tu, itu bilik untuk Dina. Boleh tukar baju, mandi solat semua."

"Dina memang bermalam sebab nak selesaikan kerja aje, auntie." Irdina senyum segan. Dia tidak terfikir pula mahu menggunakan bilik itu. Dia memang mahu berjaga malam ini. Itu tujuan utama dia mahu bermalam di rumah ini.

"Lepas tu tak akan tak mahu tukar baju, solat, tidur sikit? Takkan sepanjang malam bekerja? Lepas tu esok jadi apa? Jadi panda?"

Irdina tertawa diserang soalan begitu. Nampak geram sungguh Puan Leila padanya.

"Okay. Dina guna bilik tu. Terima kasih, auntie." Irdina turutkan sahaja.

"Kalau nak pinjam baju auntie pun boleh." Puan Leila mempelawa.

"Jangan cakap tak mahu mandi pula." Awal-awal Puan Leila beri amaran. Semacam sudah dapat mengagak penolakan Irdina.

Irdina tertawa lagi. "Okay, terima kasih sekali lagi, auntie." Dia pun mahu tukar pakaian. Jika Puan Leila mahu pinjamkan, dia dengan senang hati menerima.

Puan Leila buat tanda okay dengan senyum puas hati.

"Erm, auntie..."

"Ya?"

Irdina menggenggam tangan sesama sendiri. Dia mahu beritahu tentang Tuan Fathi seperti yang disuruh Hadi, tapi seperti awal tadi segan sungguh dia mahu beritahu tentang hal ini.

"Kenapa, Dina?"

"Ermm... Tuan Fathi tertidur dalam bilik pejabat. Mungkin auntie nak kejutkan tuan sebab dah nak maghrib." Irdina akhirnya memberitahu dengan sedikit segan.

Puan Leila mengangkat kening mendengarnya.

"Dia tidur?"

Irdina mengangguk.

"Haih, budak ni. Macam tulah. Setiap kali banyak kerja, waktu tidur pun tak menentu. Ibu banyak kali cakap supaya jaga waktu tidur. Degil. Sekarang waktu nak maghrib juga dia tidur." Puan Leila membebel geram. Dia menyimpan barang tanamannya. Hendak pergi masuk ke dalam. Terbatal sudah niatnya hendak menikmati pemandangan matahari terbenam.

Irdina terdiam melihat. Sedikit tersenyum bila Puan Leila bahasakan Tuan Fathi 'budak ini'. Sebesar apa pun anak, tetap terlihat kecil di mata ibu.

Puan Leila masuk ke dalam rumah. Irdina menyusul kemudiannya. Irdina sengaja ke musolla, bersiap untuk solat maghrib. Tidak mahu mengganggu Puan Leila mengejutkan anaknya. Puan Leila sudah ke pejabat Fathi. Entah apa pula bebelan wanita itu kali ini.

.
.
.

Irdina lega dapat menguruskan tugasan-tugasannya dengan lebih tenang. Dia menyusun dokumen-dokumen yang sudah siap di atas troli. Banyak juga yang sudah siap. Bangga dengan dirinya.

Dia sudah mandi dan tukar pakaian. Meminjam baju Puan Leila. Tapi dia minta baju hitam sahaja. Sekurang-kurangnya tidak begitu ketara dia memakai baju Puan Leila. Risau juga nanti Tuan Fathi tertukar orang seperti tempoh hari.

Irdina berdiri melepas nafas. Melihat-lihat semua dokumen yang sudah siap tersusun. Dia kemudian memandang jam dinding. Sudah masuk waktu makan malam.

Irdina bersiap untuk turun membantu Puan Leila di dapur. Sejenak dia berfikir sama ada Tuan Fathi sudah tahu akan keberadaannya di sini malam ini atau belum. Biarpun dia sudah memberitahu Puan Leila, terasa tidak sopan juga jika dia tidak memaklumkan pada tuan rumah asal iaitu Tuan Fathi.

Irdina belum berjumpa Tuan Fathi lagi sejak dia bertekad untuk bermalam di sini. Sekarang sudah jam 9 malam. Tuan Fathi tiada di pejabatnya sejak maghrib tadi.

Tidak mengapalah. Irdina yakin Puan Leila sudah memaklumkan pada Tuan Fathi.

Irdina turun ke dapur. Kelihatan Puan Leila sedang menghidang makanan. Puan Leila sering awal dalam waktu makan.

"Irdina..." Gembira nada Puan Leila menyapa Irdina. Mana tidak gembira, ini kali pertama dapat makan malam dengan Irdina.

Irdina tersenyum manis. "Auntie, apa-apa Dina boleh bantu?" Dia mendekati kabinet.

"Ini, tolong potong epal. Auntie nak naik atas sekejap. Nak panggil Fathi."

Irdina menyambut tiga biji epal merah dari tangan Puan Leila. Dia mengangguk menerima tugasan itu. Sekejap sahaja Puan Leila naik ke atas. Nampaknya semua makanan sudah dihidang. Tinggal lagi buah epal ini perlu dipotong seperti kebiasaan waktu makan.

Irdina memotong buah epal dengan kemas. Puan Leila ada mengajarnya cara memotong buah epal ini. Tuan Fathi tidak suka jika kulit dikupas, jadi tidak perlu mengupas kulit epal. Saiz potongan juga tidak boleh terlalu kecil atau terlalu besar. Perlu sedang-sedang untuk memuatkan satu suapan seorang lelaki.

Irdina tekun membuat kerjanya.

"Dah siap?" Puan Leila muncul tak lama kemudian. Dia sudah selesai memanggil anaknya.

"Sebiji lagi, auntie." jawab Irdina sambil menunjukkan satu lagi epal yang belum dipotong.

"Nanti dah siap, hidang sekali."

"Baik, auntie."

Puan Leila pergi ke dapur belakang. Irdina menghabiskan potongan pada epal terakhir.

Ketika itu Irdina mendengar bunyi tapak kaki familiar dari tangga. Irdina hanya terus membuat kerjanya. Tiba-tiba terasa segan hendak mengangkat kepala. Mungkin kerana ini kali pertama dia bermalam di rumah in. Entah apa Tuan Fathi fikirkan tentang keputusannya ini.

Tapak kaki bersarung selipar rumah itu bertukar perlahan sebaik turun dari tangga. Irdina jadi rasa diperhati, ia membangkitkan rasa tidak sedap hati dan tidak nyaman.

Spontan Irdina mengangkat wajah. Terus dia dapat melihat Tuan Fathi dalam pakaian sangat kasual, sedang berdiri tidak jauh dari meja makan. Wajah Tuan Fathi tampak berkerut sebaik melihatnya.

Suasana menjadi sangat janggal dan kekok. Irdina tidak mengerti kenapa Tuan Fathi melihat dia seperti dia orang asing yang tidak dikenali. Irdina pula berkelakuan seperti baru ditangkap berbuat jenayah. Dia jadi kaku hendak memotong epal.

"Haa, Fathi... Ibu lupa nak cakap." Puan Leila muncul dari dapur. Menyelamatkan Irdina daripada situasi sangat tidak menyamankan itu.

Fathi langsung memandang ibunya.

"Irdina bermalam dekat rumah kita malam ni. Dia nak selesaikan kerjanya. Ibu izinkan saja." Puan Leila memberitahu. Dia meletakkan salad di atas meja.

Irdina lambat-lambat memotong epal. Kembali tunduk. Rupa-rupanya Tuan Fathi belum mengetahui keberadaannya di rumah ini malam ini. Irdina berasa sangat malu memikirkan itu. Entah apa fikiran Tuan Fathi terhadapnya ketika ini.

Dan rasa malu itu semakin menebal bila Tuan Fathi diam tidak membalas apa-apa. Irdina menunggu apa jawapan majikannya, tapi satu suara pun tidak keluar. Irdina rasa sangat malu dan serba salah.

Adakah salah jika dia bermalam di rumah ini? Adakah itu melanggar peraturan pekerjaannya? Adakah sebenarnya dia tidak patut bermalam? Adakah sebenarnya dia tidak dibenarkan berada di rumah ini melebihi waktu sekarang?

Banyak soalan bertindan-tindan dalam kepalanya selagi Tuan Fathi belum memberi respon pada kenyataan Puan Leila tadi.

"Fathi? Dengar ibu cakap apa?" Puan Leila juga hairan anaknya diam.

Irdina rasa dadanya menebal hebat. Jadi memang benar Tuan Fathi diam sejak diberitahu tentang dia bermalam di sini. Irdina risau jika Tuan Fathi marah dengan perkara itu, sebab itu Tuan Fathi diam. Irdina tidak mampu mengangkat wajah walau sedikit. Tangannya pun tanpa sedar menggeletar memegang pisau.

Irdina mendengar Tuan Fathi melepas nafas. Seperti tidak senang. Respon awal itu membuatkan Irdina semakin sesak dada dan menggeletar.

"Kenapa ibu izinkan?" Dan itu suara pertama Tuan Fathi. Jelas nada tidak senang.

Irdina rasa nafasnya tersekat-sekat. Dia cuba bertenang menghabiskan potongan epal terakhir. Entah kenapa, tangan berasa lembik. Dia mula rasa dia tidak patut berada di sini sekarang. Tuan rumah tidak senang dia berada di sini.

"Kenapa cakap macam tu, Fathi?" Puan Leila menegur.

"Irdina sepatutnya pulang berehat. Dia sudah kerja sampai ke petang. Kenapa perlu sambung sampai ke malam?"

Wajah Irdina berubah mendengar balasan itu. Rasa-rasa yang menyempitkan dadanya sebentar tadi seperti menghilang sedikit.

"Apa kamu fikir, Irdina? Kamu mahu berjaga malam ini?" Soalan itu tertuju pada Irdina pula.

Irdina perlahan mengangkat wajah. Baru berani memandang majikannya itu. Sebentar tadi, dia sudah seperti anak remaja yang takut dimarahi ayahnya selepas ditangkap pulang lewat. Semua rasa tidak kena.

Bila dia melihat wajah Tuan Fathi, jelas Tuan Fathi tidak marah, cuma tidak menyukai tindakan Irdina hendak bermalam di pejabat.

"Saya cuma mahu selesaikan kerja saya." Irdina menjawab.

"Dengan bekerja sehingga ke malam?"

"Tapi tuan juga bekerja sehingga ke malam." Irdina menjawab.

"Saya lain. Kamu lain. Kamu bekerja di bawah saya. Waktu kerja kamu hanya sehingga yang saya tetapkan." Fathi tampak sedikit marah bila Irdina menjawab.

Irdina terdiam. Dia jadi kelu hendak menjawab apa. Sebentar tadi dia fikir Tuan Fathi marah kerana dia bermalam di rumah ini tanpa keizinannya, rupa-rupanya Tuan Fathi marah kerana dia bekerja lebih masa.

"Kamu bermalam di rumah ini. Tapi jangan buat apa-apa kerja. Sambung kerja pagi esok." Fathi tiba-tiba mengarah begitu.

Irdina terkejut. "Tapi, tuan..." Irdina tidak dapat melanjutkan bila melihat wajah tegang Tuan Fathi. Dia tidak pernah melihat wajah begitu pada Tuan Fathi.

"Pastikan kamu berehat malam ini. Jika bilik pejabat kamu bercahaya malam ini, saya akan pastikan kamu tidak terlibat dalam kes Rangkasa lagi."

Irdina terkelu mendengarnya. Entah kenapa matanya jadi berair. Dia tidak sedar bila Tuan Fathi beredar ke tangga kembali.

"Fathi tak mahu makan, ibu." Itu ucapan terakhir Fathi sebelum lesap ke tingkat atas.

Puan Leila hanya diam menonton semua itu. Memerhati anaknya yang berlalu pergi. Pasti anaknya ke pejabat hendak menyambung kerjanya.

Irdina pula masih kaku cuba menghadam apa yang dikatakan Tuan Fathi. Dia berniat baik hendak meringankan kerja Tuan Fathi, tapi kenapa Tuan Fathi memarahinya? Malah Tuan Fathi mengugutnya begitu jika dia bekerja juga malam ini. Seperti bekerja lebih masa itu satu kesalahan. Jadi apa faedahnya dia bermalam di rumah ini jika dia tidak bekerja?

Puan Leila menghampiri Irdina, mengusap bahu gadis itu. Memahami perasaan Irdina ketika ini.

"Jangan risau. Fathi tak marah pun. Dia cuma risaukan Dina. Dina makan dulu ya. Auntie pergi cakap dengan Fathi sekejap." Puan Leila memujuk. Dia harap Irdina tak ambil hati dengan sikap anaknya tadi. Jarang Fathi jadi tegang begitu, anaknya itu selalunya santai-santai dan tenang sahaja. Pasti ada sebab kenapa Fathi jadi tegang sehingga begitu tadi.

"Epal ini auntie ambil. Nak sejukkan Fathi kena ada epal." Pinggan berisi epal yang sudah siap dipotong itu diambil Puan Leila. Sempat dia berseloroh.

Irdina tersenyum sedikit mendengar seloroh Puan Leila.

"Dah, jangan serba salah. Makan dulu okay. Auntie naik atas sekejap." Puan Leila memujuk Irdina. Lega hatinya melihat Irdina tersenyum sedikit.

Irdina mengangguk.

Puan Leila beredar ke atas dengan sepinggan epal. Irdina pergi membasuh tangan dan mula makan. Walaupun tidak berselera tapi perlu juga menyuap satu demi satu makanan ke dalam mulut. Semoga dia kenyang.

.
.
.

Puan Leila mengetuk pintu bilik pejabat anaknya. Tanpa menunggu jawapan, dia dahulu membuka pintu. Sebaik pintu dibuka, dia dapat lihat Fathi sedang membaca dokumen dengan wajah sedikit serius.

"Assalamu'alaikum." Sengaja Puan Leila memberi salam.

Fathi mengangkat wajah.

"Waalaikumussalam." Jawabnya sebelum kembali membaca dokumen di hadapannya.

Puan Leila menutup pintu bilik. Dia melangkah masuk ke dalam. Pinggan epal diletakkan atas meja kopi. Dia pula menghampiri meja kerja anaknya. Melabuhkan duduk di kerusi hadapan.

"Masuk kepala tak tu?" soal Puan Leila melihatkan anaknya membaca dokumen tapi fokus pada satu ayat sahaja.

Fathi terdiam. Sebelum dia melepas nafas. Dokumen diletakkan.

"Kalau iya pun sakit hati dengan target-target kamu, jangan sampai marahkan Irdina."

"Tak marah pun lah."

"Dah tu? 'Kalau pejabat kamu bercahaya, saya akan pastikan kamu tak terlibat dalam kes Rangkasa lagi'. Itu bukan marah ke?" Boleh pula Puan Leila mengajuk anaknya.

"Ibu..."

"Tak baik tau. Kesian Irdina. Dia bukan main nak bermalam dekat sini sebab nak tolong Fathi. Alih-alih kena marah."

Fathi melepas nafas. Berat. Tubuh dibawa bersandar.

"Fathi cuma tak suka, ibu."

"Tak suka apa?"

"Kalau seseorang jadi sama seperti Fathi."

Puan Leila terdiam.

"Korbankan waktu tidur, waktu makan dan waktu rehat untuk politik." Fathi bersuara perlahan.

"Sekurang-kurangnya biar Fathi saja begitu." Dia menatap ibunya.

Puan Leila tidak menjangka itu jawapannya. Matanya jadi menjernih menatap anaknya.

"Fathi ambil Irdina bekerja, bukan untuk jadikan dia seperti Fathi juga." Lanjut Fathi.

Puan Leila menghela nafas.

"Irdina ikhlas nak bantu Fathi. Dia nampak kamu penat sangat, mestilah dia tergerak hati nak bantu. Irdina pun budak baik. Dia yang jumpa kamu tertidur petang tadi, takkan dia tak terfikir nak tolong kamu."

Fathi terdiam mendengar balasan ibunya.

"Ibu faham Fathi tak mahu orang lain jadi seperti Fathi. Tapi Fathi sendiri perlu latih diri untuk tak korbankan masa rehat Fathi. Orang di sekeliling Fathi tak akan sanggup berehat jika lihat Fathi berpenat-penat sendiri."

"Fathi dah terbiasa. Dah belasan tahun buat kerja ini, ibu." Fathi menjawab.

"Tak bermaksud Fathi dah jadi superman yang tak perlukan rehat. Fathi tetap perlukan rehat, bukan? Fathi tak mahu Irdina jadi seperti Fathi, maka Fathi perlu tunjuk contoh yang baik. Memang jauh beza Fathi dengan Irdina, tapi Irdina banyak belajar dari kamu. Tak mungkinlah dia boleh biarkan kamu buat kerja semuanya sendiri sehingga berjaga malam sedangkan dia boleh balik berehat. Dia pun bukan tak biasa berjaga malam sebelum ini. Itu dah jadi rutinnya dengan Rangkasa dulu."  Panjang jawapan Puan Leila. Nama pun perempuan, tak dapat nak berhenti bila mulakan ceramah.

"Ibu tak marah Fathi. Tapi ibu nak Fathi pun banyakkan berehat dan jangan paksa diri. Fathi tak suka tengok Irdina bekerja lebih masa, macam itu juga ibu dan Irdina. Kami tak suka tengok Fathi bekerja sampai tak tidur malam. Marahkan orang pandai sangat, tapi bila bab jaga diri terus lupa semua benda. Nanti kalau sakit? Kan susah."

Fathi tersenyum kecil mendapat bebelan panjang ibunya.

"Ibu kalau membebel, susah nak brek." Boleh pula dia komen begitu lepas ibu beri teguran cukup serius.

"Eh, ke situ pulak. Dah kamu tu kalau kerja, susah nak brek." Ingat Fathi saja boleh komen begitu, Puan Leila pun pandai.

Fathi tertawa mendengar jawapan ibunya.

Puan Leila tersenyum bila wajah anaknya lebih ceria.

"Betul Fathi tak nak makan malam?" Soal Puan Leila kemudiannya.

Fathi menggeleng. Dia tidak lapar.

"Ini ibu bawa epal. Irdina tau yang potong." Puan Leila pergi mengambil pinggan berisi epal. Diletakkan di hadapan Fathi.

"Terima kasih, ibu." ucap Fathi. Mengulas senyum pada ibunya.

"Sama-sama. Jangan risau. Ibu akan pastikan Dina tak bekerja malam ni. Ibu pun tak mahu dia berjaga macam kamu. Dahlah esok dia kena pergi Rangkasa."

Fathi lega ibu menyokongnya.

"Terima kasih." Lagi sekali ucapan terima kasih diucap.

"Makan epal tu. Fathi pun jangan lewat sangat berjaga. Tidur nanti."

"Okay."

Puan Leila pun beredar kemudiannya. Memberikan ruang untuk anaknya membuat kerja dengan fokus.

Fathi menegakkan tubuh dari bersandar. Mencucuk sepotong epal dengan garpu. Disuap ke dalam mulut. Nampaknya Irdina pun sudah pandai potong epal mengikut keselesaannya. Potongan itu muat-muat ke dalam mulutnya.

Bunyi mesej kedengaran dari telefon. Fathi mengambil telefon di sebelah. Mungkin Hadi ada mengirim mesej padanya. Petang tadi Hadi ada menghubunginya tapi dia tidak angkat panggilan itu. Rupa-rupanya Hadi mahu kelulusan pemindahan wang simpanan Al-Fathi untuk pelaburan awal esok ke dalam Rangkasa. Fathi meluluskannya dan sekarang menanti penyata bayaran daripada Hadi.

Sedang Fathi memeriksa mesej Hadi sambil menikmati epal, ada mesej lain masuk di ruang notifikasinya. Dia membuka mesej itu. Daripada Irdina.

Tuan, boleh saya masuk ke bilik pejabat saya sekejap? Saya nak ambil barang sahaja.

Fathi tersenyum entah kenapa membaca mesej itu. Dia rasa terhibur. Tak baik sungguh mentertawakan orang. Punyalah Irdina takut jika dia disingkirkan daripada kes Rangkasa, hendak masuk ke pejabat sendiri pun dia minta izin.

Boleh
Hanya ambil barang

Dia pula seperti sengaja menakut-nakutkan lagi Irdina.

Baik, tuan.

Irdina menjawab patuh.

Fathi fikir Irdina sudah menamatkan perbualan itu. Tetapi ada lagi mesej dari Irdina selepasnya.

Tuan, tak apa ke saya on lampu bilik pejabat?

Sebaik membaca mesej itu, Fathi rasa geli hati yang tidak dibuat-buat. Bersungguh dia menahan tawa seperti baru menonton satu rancangan komedi. Garpu epal terpaksa diletak dahulu, bimbang tercucuk tempat tidak sepatutnya.

Fathi tersandar penat menyisakan tawanya. Agak lambat dia dapat membalas mesej Irdina. Sangat menghiburkan dirinya.

Lepas tu kamu nak ambil barang guna torchlight?

Soalnya.

Maaf, tuan. Saya guna lampu bilik.

Fathi meraup wajah. Penat hendak ketawa lagi. Dia tersandar dengan nafas diredakan. Irdina jika buat kerja sangat cekap, tapi melibatkan hal-hal begini entah kenapa nampak lambat pula. Fathi menggeleng kepala.

Seketika senyumannya memudar. Dia seperti baru tersedar, sudah begitu lama dia tidak terhibur sebegini rupa.

Bila kali terakhir dia dapat ketawa geli hati? Dia sendiri sudah lupa rasa itu.

.
.
.




Tengah sengih ler tu


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro