37 | AGM

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Suprise lagi! Selamat membaca!

.
.
.

Dewan ini entah kenapa terasa begitu dingin hari ini. Selalunya tidak sedingin ini. Sebelum ini Irdina juga biasa berada di dewan yang sering menempatkan majlis-majlis perasmian ini, malah dialah yang mengurus majlis tersebut sementelah dia orang kanan Tuan Mustakim. Waktu itu, dewan dengan luas yang memuatkan 750 buah kerusi ini tidaklah terlalu dingin.

Tetapi hari ini, rasa dingin dan menekan sangat melatari suasana. Entah Irdina sahaja atau orang lain merasakannya juga.

Ketika Irdina melangkah masuk bersama Hadi, dia sedar ada pandangan korporat yang tertumpu kepadanya. Irdina mengenali wajah-wajah mereka memandangkan Irdina sudah menelaah setiap nama yang direkod dalam dokumen simpanan Al-Fathi. Nampaknya korporat-korporat tersebut begitu bersemangat sehingga mampir awal ke dewan ini bagi majlis pengapungan saham Rangkasa ke Bursa Saham.

Irdina labuhkan duduk tidak bersama Hadi, dia duduk sedikit belakang sedang Hadi memilih duduk hampir dengan kerusi'target' termasuklah kerusi Dato' Hanif yang masih kosong. Hadi sengaja memilih kerusi hampir dengan target untuk memantau perbualan mereka secara diam-diam. Irdina tidak boleh berada dekat dengan mereka, nanti mereka bersyak wasangka sebaik melihat Irdina yang terang-terangan wakil Muhammad Al-Fathi. Sedangkan Hadi tidak begitu dikenali sebagai wakil Muhammad Al-Fathi. Hadi dikenali sebagai peguam oleh mereka yang benar-benar di ambang bankrap sahaja.

Irdina menggenggam dua tangan yang berpeluh dingin. Dia berselawat tenangkan hati. Nafas ditarik dalam-dalam.

Melihat kerusi kosong milik Dato' Hanif buat Irdina tidak sedap hati.

Dia yang memegang tanggungjawab kedatangan Dato' Hanif. Dia yang perlu meraih kepercayaan lelaki korporat itu. Jika Dato' Hanif tidak hadir, bermakna dia gagal membuat kerjanya. Irdina tidak mahu gagal pada awal-awal misi ini berjalan.

Irdina menarik dan menghembus nafas. Bertambah tidak sedap hatinya bila melihat korporat lain sudah tiba mengambil tempat masing-masing. Irdina memejam mata.

Mana Dato' Hanif?

Kali terakhir dia berhubung dengan Dato' Hanif adalah dua hari lepas. Dia berbalas mesej dengan lelaki separuh abad itu berkenaan AGM Rangkasa yang akan berlangsung hari ini. Ketika itu Dato' Hanif teruja memikirkan majlis hari ini. Bermakna Dato' Hanif pasti akan datang.

Irdina memandang jam tangan. Lagi 10 minit sebelum majlis utama bermula. Kelibat korporat lain sudah ada. Barisan target Al-Fathi juga sudah sampai.

Barisan itu terdiri daripada YB Razif yang duduk di kerusi 003, diikuti Dato' Syahiran, Dato' Marzuk, Tuan Asri dan Dato' Radi. Irdina tidak nampak pula YB Marhani. Mungkin wanita itu cuma menghantar wakil sementelah dia cukup dikenali ramai. Kerusi Dato' Hanif yang bernombor 002 masih kosong.

Sebentar tadi, ketika barisan target tersebut tiba, sempat mereka memandang dua tiga kali ke arah Irdina dengan pandangan tidak dapat ditafsirkan sebelum mengambil tempat duduk mereka. Pasti mereka tidak sangka Fathi juga akan mengambil bahagian dalam pengapungan saham Rangkasa.

Sedangkan, Irdina memang sengaja hadir hari ini sebagai wakil Tuan Fathi untuk meyakinkan lagi 'target' bahawa Tuan Fathi juga ingin melabur. Melihat wakil Tuan Fathi turut ada, pastilah mereka lebih tekad untuk membuat pelaburan. Mereka juga mahu jadi kaya seperti Muhammad Al-Fathi.

"Maksudnya, saya perlu tunjukkan kepada mereka yang saya ialah wakil tuan ?"

Mereka yang dimaksudkan dalam perbualan ini ialah enam target Al-Fathi.

"Ya. Kamu perlu tunjukkan. Sebab itu antara semua pekerja saya, saya cuma perkenalkan kamu kepada target. Kamu sudah jadi tanda nama saya bagi mereka yang di dalam pub malam itu."

Irdina terdiam mendengar penjelasan Tuan Fathi.

"Jangan risau. Bagi mereka, saya juga korup. Malah pada pandangan mereka, saya lebih jahat kerana sering membantu syarikat penjenayah. Itu tanggapan orang-orang terdekat Muaazam. Termasuk Muazzam sendiri. Kamu fikir kenapa Muazzam begitu percayakan saya sehingga membongkar rahsianya berkenaan yayasan?"

Irdina memahami penerangan Tuan Fathi. Dia mengangguk.

"Bermakna, mereka akan buat kamu kawan mereka juga. Jadi berhati-hati jaga riak di hadapan mereka. Terutamanya Dato' Hanif kerana kamu sekarang 'bekerjasama' dengannya untuk jatuhkan saya."

Irdina menarik nafas dalam-dalam. Sulitnya hendak bertalam lima muka seperti itu. Dia hakikatnya bekerja dengan Tuan Fathi dalam keadaan tahu Tuan Fathi sedang buat perkara betul, tetapi harus berpura-pura seperti bekerja dengan Tuan Fathi seolah-olah Tuan Fathi seorang korup, berpura-pura lagi menyetujui korupnya Tuan Fathi di hadapan enam target entah kerana alasan apa, nampaknya dia harus cari alasan itu kerana orang pasti bertanya padanya - tidak cukup dengan itu dia juga harus berpura-pura menyetujui kerja-kerja kotor target Al-Fathi jika bersemuka. Dan terakhir, paling utama - dia perlu berpura-pura sebenarnya dia sedang bekerjasama dengan Dato' Hanif untuk menjatuhkan Tuan Fathi yang kononnya paling korup di antara orang lain.

Jika memang benar Irdina berjaya bertalam lima muka, selepas tamat bekerja dengan Tuan Fathi - mungkin Irdina perlu bekerja dalam bidang lakonan pula.

"Irdina?"

Irdina tersentak dari lamunan bila disapa begitu. Dia mengangkat wajah. Berubah mukanya bila mendapati Dato' Hanif sedang berdiri dekat dengan kerusinya. Ada pembantu peribadi dato' juga di belakang sana.

"Dato'... Er uncle." Irdina segera mengubah panggilan. Entah dia harus lega atau apa ketika ini. Tapi nampaknya dia berjaya menarik Dato' Hanif ke sini. Itu dia sangat syukuri.

Dato' Hanif tersenyum. Dia rendahkan badan hendak bercakap dengan Irdina. Irdina serta-merta berasa tidak selesa namun dia harus menahan dirinya. Tangannya sedikit mencengkam kerusi.

"Kerusi uncle dekat mana?" Soal Dato' Hanif sedikit berbisik.

Irdina menelan liur. Menarik nafas dia mengulas senyum pada rakan kerjasamanya itu. Hampir dia jawab nombor kerusi Dato' Hanif, tapi mengingatkan tidak sepatutnya dia sebagai rakan kerjasama Dato' Hanif mengetahui nombor kerusi lelaki itu - segera dia betulkan jawapannya.

"Saya pun tak tahu, uncle. Bukan saya uruskan majlis ni. Uncle cuba tanya penyambut tetamu."  Irdina jawab sopan.

"Hmm. Kalau uncle duduk dekat Irdina tak boleh ke?" Dato' Hanif tunjukkan kerusi kosong di sebelah Irdina.

Irdina terdiam membisu. Bibir dalam diketap senyap-senyap. Ketika itu tangannya yang sudah berpeluh dingin, semakin dingin jadinya.

"Boleh kan? Nanti orang sebelah Dina boleh ambil kerusi uncle." Semudah itu Dato' Hanif membuat penyelesaian. Dengan penyelesaian itu, Dato' Hanif pun labuhkan duduk di kerusi sebelah Irdina.

Irdina menarik nafas dalam-dalam. Bila Dato' Hanif mengulas senyum padanya, dia balas senyum itu sangat kekok. Antara semua talam muka yang sedang dia lakonkan, talam muka inilah paling sukar.

"Jadi, Dina datang sini sebagai wakil Fathi?" Dato' Hanif bertanya sedikit berbisik. Kepalanya hampir dengan Irdina.

Irdina memejam mata. Menyedut nafas dalam-dalam lagi sekali. Duduknya kemudian dibetulkan. Biar berjarak sedikit dari Dato' Hanif dalam keadaan tidak disedari orang tua itu.

"Haah. Ya, uncle. Fathi sengaja wakilkan saya sebab dia tak mahu datang depan orang ramai. Macam uncle tahulah dia bagaimana." Irdina senyum kecil.

"Macam biasalah Fathi tu... Asyik wakilkan orang. Nak jadi misteri agaknya. Lagipun dia tak mahulah orang tahu dia rampas syarikat ini." Dato' Hanif tergelak remeh.

Irdina hanya tersenyum.

"Macam mana Dina mampu bertahan bekerja dengan dia sedangkan Dina tahu dia buat apa?" Dato' Hanif bertanya lagi.

Irdina senyum kelat. "Saya perlu bertahan, uncle. Untuk jatuhkan dia. Uncle juga tahu, kita boleh jatuhkan seseorang jika buat dia percaya pada kita."

"Setakat ini Fathi percayakan Dina?"

"Percaya, uncle. Banyak rahsia dia saya dapat pegang sekarang."

Dato' Hanif terangguk-angguk.

"Mesti Dina terbeban setiap hari datang ke pejabat, perlu lihat muka dia padahal Dina tahu apa dia buat." Dato' Hanif menggeleng kesal.

Irdina senyum kelat.

"Betul, uncle. Tapi saya selalu ingatkan diri yang saya perlu juga bertahan. Sampai masa nanti, saya sendiri akan jatuhkan dia." Irdina jawab jujur dari hati ketika ini kerana 'dia' yang dimasukkan itu ialah Dato' Hanif.

Dato' Hanif senyum menatap Irdina. Suka melihat semangat Irdina.

"Nanti bila Fathi dah jatuh, Dina kerja dengan uncle ya." Dato' Hanif mengajak.

Irdina senyum kelat. Dia semakin tidak selesa bila Dato' Hanif berada terlalu dekat dengannya.

"Insya-Allah, uncle." Pahit sekali menutur jawapan itu.

Dato' Hanif kemudian memandang hadapan. Dibetulkan duduknya. Barulah Irdina rasa lega sedikit.

"Berapa Fathi nak laburkan kali ni?" Soal Dato' Hanif. Lebih serius.

"Latest yang saya tahu, 28.9 juta ringgit." Jawab Irdina lancar. Ini jumlah yang Tuan Fathi memang akan laburkan sebaik Rangkasa diapungkan. Tuan Fathi sendiri memberitahunya supaya dijadikan jawapan jika sesiapa bertanya.

"Kenapa tidak 30 terus?" Tertawa Dato' Hanif dengar jumlah itu.

"Itu tarikh hari ni, uncle."

Terdiam Dato' Hanif mendengarnya. Baru teringat hari ini bertarikh 28 september.

"Uncle pula sudah buat keputusan mahu labur berapa?"

Dato' Hanif senyum bangga sebaik teringat jumlah pelaburannya nanti.

"50 juta. Uncle dengar bid saham nanti dibuka dengan harga RM0.09 setiap unit. Betul?"

"Betul, uncle. Banyak uncle labur. Baguslah." Irdina gembira mendengar jumlah tersebut. Lebih banyak yang dilaburkan bermakna lebih banyak kerugian nanti.

"Mana boleh kalah dengan Fathi." Dato' Hanif ketawa.

Irdina hanya senyum.

"Untuk projek di Putrajaya tu, memang betul Rangkasa akan buat sebaik sahaja bertukar berhad?"

"Betul, uncle. Saya dengar dari orang-orang Fathi, sebentar nanti CEO Rangkasa sendiri akan bentangkan projek itu."

"Tak sabar uncle." Dato' Hanif senyum lebar.

Irdina hanya senyum sebelum senyuman yang sama bertukar kelat merenung pentas di hadapan sana.

.
.
.

Majlis sudah bermula. Lampu dimalapkan sedikit bagi memberi fokus kepada pentas di hadapan. Dapat Irdina lihat pengerusi majlis sudah bersedia di meja tinggi untuk memberi kata-kata aluan.

Irdina menoleh ke sisi, Dato' Hanif setia berada di sebelahnya. Sebentar tadi orang yang sepatutnya menghuni kerusi di sebelahnya datang menegur, dengan pantas Dato' Hanif meminta orang itu mengambil kerusinya di hadapan. Wanita yang merupakan wakil syarikat ubatan itu terkebil-kebil, sebelum dia menurut sahaja. Dia mengambil tempat di sebelah YB Razif. Tiba-tiba sahaja wanita itu mendapat kerusi VVIP. Bila berlaku begitu pastinya pengurus belakang tabir majlis ini datang menegur, wanita itu menunjuk arah sini. Hal tersebut terus sunyi apabila pembantu peribadi Dato' Hanif datang menyampaikan tentang pertukaran tempat duduk kepada pengurus belakang tabir tersebut.

Irdina hanya mampu diam melihat semua itu. Gigih sungguh Dato' Hanif mahu duduk di sebelahnya.

Pengerusi majlis sudah memulakan ucapan formal mengalu-alukan kedatangan semua yang memenuhi jemputan hari ini. Panjang ucapannya terselit ayat berbunga yang sesuai digunakan dalam majlis korporat begini.

Selesai itu, dipertontonkan video berdurasi lima minit tentang pemulihan Rangkasa selama hampir tiga bulan ini. Video klip tersebut memaparkan usaha yang telah dibuat mereka untuk memajukan kembali Rangkasa.

"Tengoklah, Dina... Langsung mereka tidak mengenang Mustakim. Dalam video itu tiada pun tentang Mustakim." Bisikan Dato' Hanif kedengaran.

Irdina sedikit tersentak. Dia juga baru tersedar tiada satu pun gambar Tuan Mustakim di dalam video tersebut. Memanglah tiada, bukan Tuan Mustakim yang memulihkan syarikat ini.

"Betul juga, uncle." Irdina menjawab kemudiannya.

"Fathi betul-betul sudah basuh orang-orang Rangkasa sehingga lupakan Mustakim. Tak sampai setahun lagi Mustakim mati, begitu sahaja namanya dilupakan." Dato' Hanif hela nafas.

Irdina hanya senyum kelat. Mengangguk.

Tepukan gemuruh yang bergema buat Irdina baru sedar video tersebut sudah tamat. Irdina turut menepuk tangannya.

"Irdina tak sedih dengan kematian Mustakim?" Soal Dato' Hanif.

Irdina memperlahankan tepukan tangan. Memandang orang tua di sebelahnya.

"Mestilah saya sedih, uncle. Sampai sekarang saya masih tak maafkan apa mereka buat kepada Tuan Mustakim." Irdina senyum tawar.

Dato' Hanif berwajah kesal. Mengangguk.

"Sebab itu Dina perlu balas dendam bagi pihak Mustakim." Serius Dato' Hanif mengatakannya.

Irdina mengangguk dengan kata-kata itu.

"Saya pasti, uncle."

Pengerusi masih berbicara di hadapan. Bercerita tentang projek-projek yang telah dibuat Rangkasa dalam masa pemulihan ini. Irdina memerhati sahaja pengerusi majlis itu bercakap tapi satu benda pun tak masuk dalam kepalanya.

"Uncle sebenarnya tak sangka kita akan bekerjasama macam ni. Dari dulu uncle kagum dengan Dina. Mustakim selalu puji cara kerja Dina. Kadang uncle menyesal tak ambil Dina awal-awal bekerja dengan uncle. Sepatutnya uncle didik Dina memandangkan Dina kawan Najah."

Irdina dengar Dato' Hanif bercakap panjang.

"Tapi sekarang, uncle dah dapat Dina. Uncle happy."

Irdina tidak senang mendengar perkataan 'dapat'. Seperti dia barang.

"Lagi uncle happy bila uncle berjaya dapatkan Dina dari Fathi." Dato' Hanif tertawa sedikit.

Irdina senyum pahit. Nampaknya dia sudah menjadi pingat kemenangan Dato' Hanif ke atas Tuan Fathi.

Ketika sedang berbual itu tepukan gemuruh sekali lagi kedengaran. Kali ini Irdina dapat lihat sesusuk tubuh berkot sedang memanjat tangga pentas. Siapa lagi kalau bukan Umar, CEO Rangkasa sendiri yang akan merasmikan pengapungan Rangkasa di bursa saham.

Irdina turut menepuk tangan meraikan Umar. Dalam banyak waktu di majlis ini, hatinya sedikit gembira melihat wajah familiar. Sekurang-kurangnya dia tidak sesak duduk di sebelah Dato' Hanif.

"Hai Assalamualaikum, perkenalkan saya Umar Faruq, CEO Rangkasa Sdn Bhd." Umar memperkenalkan dirinya di mikrofon.

Semua menepuk tangan lagi sekali.

Irdina turut menepuk tangan. Gembira dia melihat Umar berjaya memperkenalkan diri tanpa nada gugup. Dua hari lalu Umar datang ke kediaman Al-Fathi bagi bertemu Tuan Fathi, selepas pertemuan dengan sang majikan itu - Umar datang bertemunya pula.

"Awak tak pernah uruskan syarikat berhad sebelum ini?"

"Tak pernah, Irdina. Saya selalu pulihkan syarikat kecil-kecil je. Entah kali ni tiba-tiba Tuan Fathi pilih saya pegang Rangkasa. Dahlah ini dikira projek terakhir tuan. Kenapa saya jadi mangsa..."

Irdina cuma senyum mendengar aduan itu.

"Lepas tu lebih pahitnya, awak tak ada dengan saya hari tu. Kalau awak ada, mesti saya rasa lebih yakin. Jangan salah faham. Maksud saya, awak yang uruskan syarikat Rangkasa dulu... Jadi mesti awak lebih mahir dan kenal Rangkasa."

"Jangan risau. Semua persediaan awak hari tu, saya dah awal-awal selesaikan dekat sini."

Sememangnya persediaan AGM kebanyakannya dipersiapkan Irdina di pejabat Al-Fathi. Kerana itu kesibukannya semakin bertambah-tambah sejak menghampiri AGM Rangkasa. Dia yang paling mengenali Rangkasa, maka pastinya dia yang perlu membuat rangka bagi rumusan majlis perasmian dan AGM hari ini.

Ketika itu barulah dia nampak tujuan Tuan Fathi memilihnya menjadi assistant manager, juga tujuan Tuan Fathi sering menyuruhnya membuat rumusan bagi segala laporan syarikat-syarikat naungan Al-Fathi. Segala kemahiran merumus itu sangat diperlukan ketika dia menyiapkan kertas kerja Rangkasa. Dan hanya dia mampu melakukan kertas kerja Rangkasa kerana dia yang paling mengenali Rangkasa. Tuan Fathi sudah memikirkannya sejak awal lagi, Irdina sahaja tidak nampak.

Umar di hadapan bertutur lancar di pentas tentang jemputan hari ini juga majlis yang berlangsung. Irdina sudah kata, jika Umar bekerja pasti sisi seriusnya akan keluar. Irdina hampir tidak mengenali Umar setiap kali Umar menjadi seorang CEO yang cekap.

"Irdina pernah kerja dengan dia kan?"

Bisikan dekat itu menganggu Irdina lagi. Buat dada Irdina sesak dan terganggu. Kenapa perlu berbisik walhal boleh sahaja Dato' Hanif bercakap sedikit berjarak darinya. Dia masih dengar suara lelaki tua ini walaupun dari jarak dua kaki.

"Ya, uncle." Irdina mengangguk.

"Bagaimana perasaan Dina bila tahu dia orang Fathi?" Soal Dato' Hanif.

"Rasa marah. Rasa dikhianati." Irdina senyum tawar.

Dato' Hanif terangguk-angguk. Dia memegang bahu Irdina mahu memujuk.

Pastinya Irdina begitu terkejut. Kejung satu badannya. Sudahlah dia trauma dengan Tuan Mustakim, sekarang ada lelaki yang menyentuhnya.

"Uncle tahu-"

Ayat Dato' Hanif terputus bila Irdina menjarakkan diri jauh darinya. Dato' Hanif berkerut risau.

"Irdina kenapa?"

"Maaf, saya tak selesa." Irdina menggengam tangan seraya tertunduk. Dia menjauh dari Dato' Hanif yang sepertinya mahu juga berada rapat dengannya.

Dato' Hanif tertawa. "Apalah Dina ni... Uncle anggap Dina macam anak uncle. Dina pun kawan Najah kan. Jadi tak sengaja pula sentuh bahu Dina. Dina tak selesa ya?"

Irdina mengetap bibir. Cuba. Dia cuba untuk jaga kata-katanya walhal mahu sahaja dia memarahi Dato' Hanif. Kenapa dia harus berada di situasi ini?

"Maafkan uncle ya."

Irdina memejam mata mendengar ucapan maaf itu. Ditarik nafasnya yang sedikit bergetar. Liur ditelan mencari ayat untuk menjawab kata-kata Dato' Hanif.

"Tak apa, uncle. Saya yang tak biasa." Akhirnya Irdina berjaya bersuara. Tidak sedar suaranya total bergetar.

"Uncle tak ada niat apa-apa pun. Uncle memang anggap Dina macam anak uncle."

Irdina senyum pahit. Walaupun begitu, tetap dato' tiada hak nak sentuh saya begitu.

Sekejap kemudian, Dato' Hanif sudah bersandar. Melihat Umar yang berucap di hadapan. Sedang Irdina masih cuba tenangkan diri. Dia tidak tahu kenapa dia begitu tidak selesa disentuh begitu. Ingatan pada apa yang Tuan Mustakim pernah lakukan kepadanya membuak kuat.

Irdina mengetap bibir. Menahan rasa hangat yang hendak keluar dari matanya. Dia tidak sukakan situasi ini. Dia sudah tekad untuk jadi kuat menghadapi perkara-perkara begini.

Telefonnya bergetar dalam beg. Irdina jadi terfikir mungkin dia dapat tenangkan diri dengan menyibukkan diri dengan telefon. Biar fokusnya teralih. Irdina keluarkan telefon dari begnya. Tangannya berpeluh dingin. Terketar sedikit.

Telefon dihidupkan. Dia termangu bila mendapati notifikasi mesej. Daripada Tuan Fathi.

Irdina membuka mesej itu. Menjangka mungkin Tuan Fathi bertanya bagaimana majlis berlangsung. Lagi pula pagi tadi Irdina tidak sempat menemui majikannya itu. Mungkin Tuan Fathi menegurnya yang tidak melapor diri. Irdina tidak dapat jangka apa-apa. Dia buka sahaja mesej. Tetapi sangkaannya meleset sama sekali sebaik membaca mesej yang ada.

Kamu tak apa-apa?

Irdina tergamam lama. Kenapa tiba-tiba Tuan Fathi bertanya begitu padanya saat memang ada hal yang mengganggunya? Matanya rasa hangat entah kenapa. Jarinya terketar mahu membalas mesej itu tetapi ada mesej kedua sampai.

Anjung atas. Sebelah kanan kamu.

Irdina berkerut membaca mesej yang baru sampai. Dia pun perlahan-lahan mengangkat wajah ke atas. Melihat ke arah kanan seperti yang dikatakan Tuan Fathi.

Irdina tergamam melihat dua susuk tubuh di anjung atas itu. Seorangnya berjaket kulih hitam manakala seorang lagi bersut kemas kelabu. Yang berjaket hitam itu ialah Wafiy yang berdiri agak ke belakang. Manakala yang bersut kelabu itu ialah Tuan Fathi yang baru menyimpan telefonnya. Suasana suram dewan menutup pandangan para penonton daripada tertumpu pada mereka.

Irdina tidak sangka Tuan Fathi turut ada di majlis ini. Sangkanya Tuan Fathi cuma menonton dari kaca TV di pejabatnya. Itu apa yang dimesyuaratkan. Tetapi Tuan Fathi rupa-rupanya turut hadir? Adakah sebab itu Umar begitu lancar bercakap? Sebab Tuan Fathi ada berjumpa dengannya sebelum majlis ini?

Irdina tidak tahu apa dia perlu rasa saat melihat Tuan Fathi turut ada di dewan ini. Rasa lega? Rasa aneh? Yang pasti entah kenapa ada satu ruangan dalam dadanya berasa selamat.

Irdina dapat lihat Tuan Fathi menatap lama ke arah sini. Pandangan Tuan Fathi kemudian terarah kepada Dato' Hanif. Irdina jatuhkan pandangan kepada Dato' Hanif bila renungan Tuan Fathi terlalu dingin pada dato'.

Baru sahaja Irdina jatuhkan pandangan, dia serta-merta dapat melihat dua orang sedang berdiri dekat dengan kerusi Dato' Hanif. Mereka ialah petugas belakang tabir dan perempuan wakil syarikat ubatan yang sepatutnya duduk di sebelah Irdina.

"Maaf dato'." Petugas belakang tabir itu menyapa Dato' Hanif.

Dato' Hanif memandang petugas itu sedikit tidak senang. Apatah lagi bila melihat pemilik asal kerusinya ada bersama.

"Dato' perlu duduk di barisan depan sebab sebentar nanti kami mahu dato' ada juga untuk perasmian pemegang saham." Petugas itu memberitahu.

"Tak apa. Saya turun bila perasmian itu nanti."

"Maaf, dato'. Pihak atasan sudah cari dato'." Petugas itu senyum.

Dato' Hanif merengus kasar. Dia kemudian memandang Irdina.

"Maaf, Dina. Uncle orang penting dekat sini. Tak dapatlah uncle teman Dina." Dato' Hanif berseloroh agak kecewa. Tertawa perlahan.

Irdina senyum sahaja membalas seloroh itu.

Dato' Hanif kemudian bangkit dari kerusi. Hendak mengikuti langkah petugas tersebut.

Wanita wakil syarikat ubatan itu terus mengambil tempatnya. Agak kalut.

Dato' Hanif sudah berlalu pergi bersama petugas tersebut. Memunculkan rasa lega teramat pada Irdina.

"Fuh. Takutlah duduk sebaris dengan VVIP." Wanita di sebelah kedengaran merungut kecil. Trauma bila berada di barisan yang tidak sepatutnya dia duduk. Banyak perbualan tidak enak didengari.

Irdina tersenyum mendengarnya. Kasihan wanita ini.

Tapi yang penting, Irdina sangat lega kerana tidak perlu berada dalam situasi ini lebih lama. Lagi dua jam majlis ini akan berlangsung. Dia tak dapat bayangkan bagaimana keadaannya jika berterusan duduk di sebelah Dato' Hanif.

Irdina kemudian baru teringat, dia pantas mengangkat kepala ke anjung tadi. Nampaknya Tuan Fathi sudah tiada di situ. Wafiy juga sudah tiada.

Irdina termangu lama merenung tempat Tuan Fathi berdiri sebentar tadi. Dia kemudian kembali jatuhkan pandangan pada Umar yang sedang bercakap di hadapan.

Kali ini dia rasa lebih tenang dan yakin untuk meneruskan tugasannya.

.
.
.

Selamat berbuka puasa, selamat taraweh, selamat sahur. Nah love 🧡

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro