39 | Mood yang baik

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Yeay. Saya berjaya update selang sehari. Selamat membaca di pagi Ahad ini!

.
.
.


Irdina seperti biasa datang ke pejabat seawal jam tujuh pagi. Selepas majlis perasmian Rangkasa tempoh hari, jadualnya tidak lagi terlalu sibuk. Sedikit lengang dan lapang namun tetap dia punya kertas kerja yang harus diselesaikan dan diserahkan pada Tuan Fathi.

Hari ini ada sesuatu sedikit istimewa berbanding hari lain. Tuan Fathi menjemput semua yang terlibat dalam Rangkasa untuk menghadiri mesyuarat sempena selesai sudah langkah pertama mereka iaitu majlis perasmian Rangkasa Berhad. Tuan Fathi pastinya mahu meraikan kejayaan mereka untuk langkah pertama itu sebelum memberi rancangan untuk langkah seterusnya.

Sesampai di pejabat Al-Fathi, Irdina ke bilik pejabatnya meletakkan beg dan barangan lain. Dia kemudian menuju bilik mesyuarat untuk mengemas ruangan itu. Nanti mesyuarat akan diadakan di sini. Irdina harus membuat persediaan bagi menyambut kedatangan mereka yang terlibat dalam Rangkasa.

Irdina mengira-ngira nanti mungkin dalam enam orang yang akan hadir. Daripada apa dia dengar, lembaga pengarah Rangkasa yang terdiri daripada empat orang semuanya akan hadir. Bercampur dengan Umar dan Hadi yang sememangnya memegang kedudukan penting dalam Rangkasa.

Irdina siap mengemas bilik mesyuarat. Dia keluar membawa vakum untuk diletak dalam bilik simpanan di sebelah lift. Selesai menyimpan vakum, dia ke biliknya untuk menyambung kerjanya sebelum dipanggil sarapan oleh Puan Leila nanti.

Masuk ke biliknya, dia terkejut sendiri bila mendapati ada orang dalam biliknya malah sedang berdiri di sisi mejanya. Hampir terenjut bahunya.

"Tuan." Irdina menyapa dengan sedikit terkejut. Mana dia tak terkejut, langit luar masih suram, tiba-tiba ada berpakaian serba pastel daripada baju sampai ke seluar di dalam biliknya. Jarang sangat Tuan Fathi datang ke biliknya ini melainkan jika dia tidak mengangkat panggilan interkom.

Fathi mengangkat wajah seketika pada Irdina yang baru muncul, dia kemudian kembali memeriksa dokumen di atas meja Irdina. Dia senyum pendek bila Irdina kelihatannya sangat terkejut.

"Saya panggil kamu sebab interkom sudah hijau. Tapi sampai ke sudah kamu tak menyahut. Kalau kamu keluar dari bilik, lebih baik tutup interkom." Ujar Fathi. Dia masih membelek dokumen. Belum menjumpai dokumen yang dia mahukan.

"Maaf, tuan. Saya keluar mengemas bilik mesyuarat." Irdina memberitahu. Dia pun satu, kenapalah hidupkan interkom kalau dia juga tiada dalam bilik.

"Tuan cari fail apa?" Soal Irdina bila lihat Tuan Fathi mencari sesuatu.

"Semalam saya suruh kamu print dokumen Ocean dan Seni Bicara." Fathi membalas.

Irdina terus mengenali dokumen apa yang disebut Tuan Fathi. Dia pantas mendekati mejanya. Dia simpan dokumen itu berasingan daripada dokumen lain. Dia panggil dokumen ini dokumen panas, iaitu dokumen yang betul-betul baru keluar dari mesin print. Dokumen panas biasanya sesuatu yang Tuan Fathi mahu baca serta-merta.

"Ini, tuan." Irdina dekatkan dua dokumen itu kepada Tuan Fathi.

Fathi segera membeleknya untuk memeriksa isinya. Irdina pula berdiri agak jauh sambil memerhati Tuan Fathi. Dia menunggu Tuan Fathi pergi dari bilik ini, tapi Tuan Fathi seperti tekun pula membaca dokumen tersebut padahal tadi Tuan Fathi cuma nak periksa sahaja.

Irdina janggal tidak tahu hendak buat apa. Kenapa pula lama pula Tuan Fathi membaca di biliknya ini?

"Bukan kamu sedang kemas bilik mesyuarat? Kenapa masih berada di sini? Mahu perhati apa saya buat di bilik ini?" Tiba-tiba Tuan Fathi bertanya tanpa memandangnya.

Irdina tersentak.

"Saya dah siap kemas, tuan." Jawab Irdina.

"Pergilah buat apa-apa kerja. Jangan pandang saya di sini." Tuan Fathi masih membaca dokumen di meja.

Irdina terdiam. Dia mahu buat kerja di mejanya, tapi Tuan Fathi sudah gunakannya. Macam mana dia nak buat kerja? Dia nak juga suarakan 'kenapa tuan tidak pergi ke bilik tuan' tapi apa haknya sedangkan bilik ini bilik Tuan Fathi juga.

"Baik, tuan." Irdina tiada pilihan lain, dia pun keluar kembali dari bilik dan pergi menyusun botol air di bilik mesyuarat. Nampaknya dia harus awalkan kerjanya yang sepatutnya dia buat nanti gara-gara Tuan Fathi guna biliknya. Irdina sedikit tidak berpuas hati tapi apakan dayanya sebagai pekerja.

.
.
.

Rumah ini jadi riuh sebaik Umar dah Hadi tiba. Mereka hendak sarapan dahulu sebelum naik ke bilik mesyuarat. Ketika itu Irdina sedang membantu Puan Leila di dapur. Riuh-rendah meja makan padahal di meja itu cuma ada Umar dan Hadi, tapi seperti biasa mereka sering bertekak, kerana itu jadi kecoh.

Irdina hidangkan epal yang dia sudah siap potong. Diletak pinggan berisi buah itu bersama makanan lain.

"Boleh kami makan, Irdina?" Umar bertanya sebaik lihat epal.

"Tak payalah. Tu tuan punya." Hadi jawabkan.

Umar mencebik. Dia nak juga makan buah epal tapi nampaknya buah epal ini cuma untuk Tuan Fathi.

"Tak apa, makanlah. Tuan bukannya makan semua." Irdina mengizinkan sahaja Umar untuk makan buah itu. Dia bukan potong satu atau dua buah, dia kerat empat buah epal tadi. Mustahil Tuan Fathi nak habiskan ini semua sendirian. Mabuk epal nanti.

"Tunggu tuan makan dulu. Tak eloklah tuan makan sisa engkau." Hadi cakap pada Umar bila Umar nampak ceria diizinkan makan epal itu.

Umar kembali monyok. Dia terangguk-angguk faham. Irdina hanya senyum melihat gelagat dua sahabat ini. Umar tampak lucu setiap kali berada dengan Hadi. Kadang Irdina tak percaya, ini Umar yang sama berada di pentas Rangkasa tempoh hari.

"Mana tuan ni?" Umar menjenguk-jenguk ke tangga.

Irdina diam mendengar soalan itu. Kali terakhir dia tinggalkan Tuan Fathi, Tuan Fathi sudah kembali ke biliknya. Syukurlah. Irdina pun sudah penat tertunggu-tunggu bila Tuan Fathi balik ke tempat asalnya. Tapi bila dia ke meja kerjanya, barulah dia faham kenapa Tuan Fathi membaca dokumen itu di mejanya sahaja. Rupa-rupanya Tuan Fathi mahu dia pula memeriksa dokumen itu. Ada tulisan Tuan Fathi menggunakan pensel biliknya di sesetengah muka surat. Jadi dokumen panas itu memang untuknya. Dia harus memeriksa di tempat yang Tuan Fathi tanda. Bertambahlah tumpukan kerjanya.

"Hari tu pun sibuk ajak tuan ke Rangkasa. Tuan Fathi yang banyak kerja, makin tambah kerjanya." Lamunan Irdina terputus bila terdengar Hadi berbalah dengan Umar.

"Aku gementar kut hari tu. Cuba kalau kau dekat tempat aku. Mesti kau ajak Tuan Fathi tidur rumah kau terus." Umar membela dirinya.

"Woi." Hadi menjegil mata dengar.

Umar mencebik. Dia kemudian memandang Irdina yang seperti berminat dengan perbualan mereka.

"Awak tahu, Irdina... Tuan Fathi datang penthouse untuk jumpa saya sebelum majlis." Umar bercerita pada Irdina tanpa Irdina bertanya. Penthouse ialah rumah CEO di aras atas Rangkasa. Selalunya Umar menetap di sana jika terlalu sibuk.

"Oh..." Irdina sudah menjangkanya tapi tak sangka Tuan Fathi naik sampai ke rumah Umar.

"Dia mintak Tuan Fathi datang sebab dia gabra sangat. Tak memasal terbatal appointment aku dengan Tuan Fathi dekat sini." Hadi bersuara di sebelah.

Umar tersengih dengar. Irdina pula kurang faham.

"Terbatal?" Soal Irdina.

"Macam Cik Irdina tahu, saya dan Umar perlu jumpa Tuan Fathi di sini. Kemudian kita ke Rangkasa bersama-sama... Tapi Tuan Fathi beritahu yang Cik Irdina tiada. Jadi Umar sibuklah minta supaya Tuan Fathi datang ke Rangkasa beri semangat pada dia." Hadi bercerita agak jengkel di hujung-hujung.

Irdina baru memahami jalan ceritanya. Oh begitu rupanya.

"Saya pun tak sangka Tuan Fathi muncul. Ingatkan tuan main-main je. Sekali tuan betul-betul datang ke penthouse." Umar sengih-sengih cerita. Tempoh hari bila tiba-tiba Tuan Fathi muncul di depan pintu penthousenya, mahu melompat dia. Terus bersemangat nak hadiri majlis.

"Saya pun tak sangka Tuan Fathi datang Rangkasa. Cik Irdina tahu kan? Tuan ada juga pada hari Agm tu." Hadi bertanya sekali gus memberitahu.

Irdina terdiam mendengar soalan itu. Sebelum dia mengangguk.

"Saya ada nampak Tuan Fathi dengan Wafiy di anjung atas dewan." Ujar Irdina jujur.

"Oh ya? Saya pun tak tahu tuan duduk mana hari tu." Hadi balas. Sedikit terkejut Irdina mengetahui posisi Tuan Fathi dengan jelas.

"Eh, tapi kan... Aku aje ke perasan?" Tiba-tiba Umar berbunyi macam nak bergosip.

"Apa?" Hadi kerutkan dahi.

"Tuan nampak happy semacam dua tiga hari ni. Ringan aje nak senyum kalau aku bercakap dengan dia. Ke tuan macam tu dengan aku je? Mungkin sebab aku buat AGM hari tu dengan baik." Umar sengih bangga sambil menyebak rambut ke belakang.

Hadi buat muka melihatnya.

"Aku pun nampaklah. Bukan kau seorang." Hadi balas kemudiannya. Dia fikir cuma dia seorang saja perasan. Tapi rupa-rupanya Umar juga nampak perubahan ketara Tuan Fathi. Dua tiga hari selepas Agm, mood Tuan Fathi nampak sangat baik. Jarang ada sesuatu yang boleh buat Tuan Fathi punya mood baik lagi-lagi sewaktu permulaan rancangan mereka. Selalunya Tuan Fathi serius bekerja dan tiada masa nak bergurau, terlalu fokus dengan perancangan yang akan dibentuk. Alih-alih semalam Hadi mendapat soalan gurauan 'gaya Tuan Fathi' yang buat Hadi tercengang-cengang.

"Ye ke? Risaunya aku. Orang kata kalau seseorang tu tiba-tiba berubah maksudnya tak lama dah." Umar bersuara risau.

Hadi yang sedang terfikir-fikir terus memandang Umar dengan muka 'seriuslah kau?' sebaik dengar kata-kata Umar yang itu.

"Hari tu tiba-tiba Tuan Fathi bergurau dengan aku. Aku risaulah kenapa dengan tuan. Malam tu aku terus doa moga tuan panjang umur." Umar cerita.

"Kurang asam betul."

Irdina hampir senyum lucu dengar perbualan itu. Terhibur dia.

"Irdina? Kalau awak, awak ada nampak tak Tuan Fathi lain dua tiga hari ni? Awak yang selalu ada dengan Tuan Fathi."

Irdina terdiam disoal begitu oleh Umar. Dia cuba mengingat. Memang dia nampak mood Tuan Fathi agak baik tapi baginya tiada yang aneh. Mungkin dia yang belum kenal Tuan Fathi. Mana tahu setiap kali selepas selesai satu kerja, Tuan Fathi akan ada mood baik sebegitu rupa.

"Berbual apalah kamu semua ni..." Muncul Puan Leila menatang satu bekas kaca panas. Wanita itu terpaksa memakai pelapik tahan panas untuk mengangkat bekas itu. Nampaknya sarapan ini mereka makan makaroni cheese. Segar dari oven.

Irdina lekas memberi ruang di meja untuk memudahkan Puan Leila. Perlahan-lahan Puan Leila letakkan bekas kaca di atas meja. Semerbak makaroni cheese yang masih berasap malah kejunya masih cair.

"Sedapnyaaa..." Umar terus lupa topik tadi sebab ternampak makanan sedap di depan mata.

"Auntie masak banyak hari ni. Bolehlah lepas habis meeting nanti ajak semua makan sekali." Puan Leila beritahu. Dia kemudian berikan pelapik tahan panas kepada Irdina. Irdina pergi menyimpannya di dapur.

Umar terangguk-angguk mendengar kata-kata Puan Leila. Maksudnya dia dapat makan kali kedua lepas meeting. Yahuu.

"Borak apa tadi? Auntie dekat dapur boleh dengar kamu berbual pasal Fathi..." Puan Leila tertarik untuk tahu.

"Kami cerita pasal Tuan Fathi yang nampak lain dua tiga hari ni." Umar beritahu.

"Iya? Nampak lain macam mana tu?" Puan Leila bertanya dengan senyum kecil. Disenduk makaroni ke dalam pinggan.

"Mood tuan je nampak baik, auntie. Siap boleh bergurau lagi. Jarang tuan macam tu. Ada apa-apa berita yang kami tak dapat ke, auntie?" Hadi pula bertanya.

Puan Leila tertawa entah kenapa. "Auntie pun tak tahuu." Penuh makna dia jawab. Berpandangan Umar dan Hadi dengar jawapan itu.

Ketika itu Irdina keluar dari dapur selesai menyimpan pelapik tahan panas. Dia membantu Puan Leila menghidang makaroni. Diagihkan pinggan kepada Umar dan Hadi. Mereka tidak lagi membincangkan tentang Tuan Fathi sebaik melihat makanan enak terhidang di depan mata.

"Assalamu'alaikum," tiba-tiba terdengar seseorang beri salam sekali gus ada derapan langkah baru sahaja turun dari tangga.

Puan Leila senyum lebar menyambut anaknya yang terlihat dalam mood yang baik. Siap beri salam lagi.

Hadi dan Umar berpandangan sebaik dengar salam itu. Mereka kemudian memandang Tuan Fathi yang menghampiri meja.

"Waalaikumussalam." Puan Leila jawab salam itu dengan senyum manis.

"Ibu masak apa?" Fathi bertanya ketika menarik kerusi. Dia dapat lihat makanan yang terhidang tapi dia tidak biasa melihatnya. Menu ini ibu jarang memasaknya sebagai sarapan.

"Makaroni cheese bakar, Fathi. Dah lama ibu tak buat makaroni cheese ni. Hari ni sengaja ibu bakar untuk yang datang meeting." Puan Leila hulurkan pinggan berisi makaroni cheese itu pada Fathi.

"Nampak sedap." Fathi memuji sebelum makan lagi.

"Rasalah dulu. Irdina pun tolong ibu tadi." Puan Leila beritahu, dituang teh panas untuk Fathi. Gembira dia melayan anaknya.

Fathi mula mencucuk epal menggunakan garpu, dimasukkan ke dalam mulut. Sejuk-sejuk lagi epal ini. Tidak sedar dua anak buah di hadapan tekun memerhati tindak-tanduknya.

"Banyaknya epal. Untuk saya seorang ke?" Fathi menyedari banyaknya epal dalam pinggan yang sedang dimakannya. Macam mustahil dia nak habiskan seorang diri.

"Tak, tuan. Saya potong untuk semua orang." Irdina jawabkan.

Fathi terdiam mendengar jawapan itu. Dikunyah epal lambat-lambat. Selalunya dia seorang sahaja boleh menguasai pinggan epal tapi nampaknya kali ini dia perlu berkongsi. Dengan berat hati dia tolak pinggan epal itu agak jauh darinya. Biar semua dapat makan.

"Tuan nak pinggan lain? Saya boleh ambilkan." Irdina seperti faham riak wajah Tuan Fathi. Disoal begitu pada majikannya.

"Tak apa. Berkongsi lebih berkat. Kamu berdua pun makan juga. Tak mungkin saya seorang saja perlu makan semua ini. Demam saya nanti." Fathi mengajak Hadi dan Umar untuk turut makan sama.

Umar dan Hadi berpandangan. Jarang Tuan Fathi ajak makan epal sekali. Selalunya mereka boleh curi makan kalau Tuan Fathi dah selesai makan, itu pun kalau tuan tinggalkan satu atau dua ketul.

"Kenapa? Tak mahu ke?" Fathi menjungkit kening bila Hadi dan Umar kejung tak bergerak walaupun dia dah pelawa.

"Nak, tuan." Umar laju mengambil garpu dan mencucuk juga epal itu. Disumbat dalam mulutnya dan dikunyah-kunyah. Hadi lambat-lambat ambil juga sekadar menghormati pelawaan majikannya.

Puan Leila turut berikan epal pada Irdina. Nampaknya sarapan ini dimulakan dengan epal sebelum mereka mula menjamu selera makaroni cheese.

.
.
.

Mesyuarat bermula sebaik semua sudah berkumpul di bilik ini. Kerusi-kerusi mulai dimuati orang-orang penting Rangkasa. Bermula dari tengah-tengah pastinya Tuan Fathi, di sebelah kanannya Irdina yang berada sebaris dengan Umar, Hadi dan Tuan Fahim. Irdina duduk berjarak sedikit dengan Umar. Dia yang sengaja jarakkan kerusi itu untuk keselesaannya memandangkan hanya dia seorang perempuan dalam bilik ini. Ada laptop di hadapannya untuk dia menulis minit mesyuarat.

Di baris sebelah kiri Tuan Fathi, tiga orang lembaga pengarah mengisi ruang. Dato' Khamis, Tuan Qaiser dan Tuan Luthfan. Mereka bertiga termasuk Tuan Fahim adalah antara lembaga pengarah Rangkasa yang bekerja secara terus dengan Fathi. Masih ada sembilan lembaga pengarah lain yang tidak bekerja dengan Fathi. Namun saham paling banyak dipegang mereka berempat ini. Membuatkan saham majoriti dalam genggaman mereka.

Mesyuarat dimulakan dengan Umar yang membentang perjalanan kerjanya setelah Rangkasa dibuka sebagai syarikat umum. Pastinya ramai korporat datang bertemu dengannya walaupun baru beberapa hari Rangkasa bertukar kepada berhad. Umar menyenaraikan nama-nama korporat yang ada menghubunginya. Ada juga nama target yang termasuk dalam orang yang membuat temu janji untuk bertemu Umar minggu hadapan.

"Setakat ini cuma YB Razif dan Tuan Asri yang buat temu janji. Selain mereka, tidak termasuk dalam target kita, tuan." Umar turut menyebut nama lokasi dan tarikh temu janji kedua-duanya korporat dan ahli politik tersebut.

Irdina tekun menaip semua maklumat yang dikongsi Umar. Sejak bekerja dengan Tuan Fathi, dia sudah semakin cekap membuat minit mesyuarat. Waktu bekerja dengan Tuan Mustakim dahulu, menulis minit mesyuarat bukan kerjanya. Itu kerja kerani dan staf bawah. Sekarang nampaknya dia memegang banyak jawatan; setiausaha, kerani, penyimpan fail, mungkin tukang bersih juga.

"Hanif ada hubungi kamu?" Soal Fathi. Sejak tadi dia hanya mendengar Umar bercakap.

"Tiada lagi, tuan. Saya rasa dia sudah yakin cukup maklumat daripada Irdina, jadi dia fikir tak perlu bertemu saya." Umar jawab.

Irdina terangkat wajah bila namanya disebut, bila banyak mata memandangnya - dia terus kembali menatap skrin laptop. Itulah sebabnya dia sibukkan diri dengan minit mesyuarat sejak tadi.

Umar menyambung berkongsi segala maklumat tentang jadualnya berkaitan target kali ini. Panjang juga penceritaannya. Irdina sudah keliru Umar mahu bercerita atau membuat laporan. Minit mesyuarat bahagian Umar sahaja sudah memakan tiga muka surat A4.

Selepas Umar, Hadi pula mengambil alih menceritakan perkembangan kerjanya. Memandangkan dia banyak bekerja perkara-perkara sulit Tuan Fathi, jadi dia tidak laporkan semuanya di sini - hanya berkait Rangkasa sahaja yang dia ceritakan untuk pengetahuan para lembaga pengarah. Lagipun sekarang Hadi kurang sibuk, dia hanya akan sibuk apabila syarikat target di ambang bankrap seterusnya memasuki fasa pemulihan. Itulah waktu paling sibuknya. Kerana ketika itu dia akan menemui ramai orang sebagai peguam Tuan Fathi.

Laporan Hadi tak begitu panjang. Irdina juga banyak berehat daripada menaip kerana kebanyakan masa Tuan Fathi dan Hadi berbalas soalan. Dia cuma menulis soalan Tuan Fathi dan jawapan Hadi secara ringkas. Irdina tahu banyak yang Tuan Fathi dan Hadi bersembunyi dalam soal jawab itu. Hadi ialah pemegang rahsia Tuan Fathi.

Tiba giliran lembaga pengarah, perbincangan dilanjutkan dengan lebih serius. Dato' Khamis dahulu yang memberi laporan. Fathi tekun mendengar laporan lelaki tua enam tahun daripadanya itu.

Dato' Khamis memegang saham paling banyak dalam Rangkasa selepas Fathi. Selain Rangkasa, Dato' Khamis memegang banyak lagi saham di syarikat lain naungan Al-Fathi. Kebanyakan senarai lembaga pengarah syarikat naungan Al-Fathi, pasti tertulis nama Dato' Khamis. Tanpa perlu bekerja, Dato' Khamis sudah punya wang berjuta-juta kerana saham dalam syarikat-syarikat itu. Di samping memegang saham dalam banyak syarikat, Dato' Khamis juga seperti 'catur' Fathi dalam kerja kebajikan; kebanyakan derma dan wakaf besar-besaran yang melibatkan pertubuhan korup akan menggunakan nama Dato' Khamis. Kerana terkenal dengan derma-derma begitu, Khamis atau nama penuhnya Khamisul Kahfi akhirnya diberi gelaran dato' pada usia 37 tahun.

Berbeza pula dengan Tuan Qaiser, dia paling muda dalam senarai lembaga pengarah Rangkasa. Dia juga memegang saham paling kecil berbanding tiga rakannya tetapi tetap sahamnya besar berbanding lembaga pengarah lain yang tidak bekerja dengan Tuan Fathi. Qaiser mula bekerja dengan Tuan Fathi sejak usinya 25 tahun, bermakna sudah empat tahun dia berkecimpung dalam bidang ini. Dahulu dia cuma mendengar nama Tuan Fathi tanpa dapat bertemu idolanya itu, ketika itu dia hanya berhubung dengan Hadi yang menjadi perantara. Hadi yang memperkenalkan kepadanya sebuah kerja untuk membanteras korupsi negara apabila melihat dia sangat membenci korup. Mengetahui sahaja wujudnya kerja begitu, dia terus memberi taat setia untuk membantu kerja membanteras korupsi jijik ini.

Sememangnya cara mereka dapat bekerja dengan Tuan Fathi semuanya bermula dengan risikan Al-Fathi pada sesiapa yang terlihat ikhlas membenci korup. Tidak semua dapat bekerja di syarikat Al-Fathi. Ia bukannya dibuka secara umum. Selalunya risikan akan dibuat selama enam bulan lebih kepada seseorang apabila terlihat dia seperti memperjuangkan keadilan dalam korporat dan politik. Mungkin dia mangsa atau keluarganya mangsa kekejaman korup, atau pun dia menyaksikan kekejaman korup itu, atau seperti Fathi - mempunyai keluarga yang korup dan benci melihatnya.

Risikan panjang itulah akhirnya membawa kepada perjumpaan Hadi dengan mereka yang terpilih ini. Diajak mereka untuk bekerja dengan syarikat sulit ini. Jika mereka bersetuju, mereka akan diberi tugasan secara sulit dan sembunyi. Hanya Hadi yang berhubung dengan mereka pada awalnya. Selepas lima bulan, barulah dibawa mereka ini dibawa bertemu Tuan Fathi yang selama ini cuma diceritakan Hadi.

Di antara semua lembaga pengarah di sini, cerita Tuan Fahim paling mirip dengan Fathi. Fahim ialah CEO syarikat ubat OCEAN dan juga orang Al-Fathi yang memegang banyak saham syarikat lain. Dia dilahirkan dalam keluarga kaya yang korup dan membenci melihatnya. Bukan ibu bapanya sahaja yang melakukan korup, tetapi seluruh keluarganya termasuk nenek dan atuknya, semua ibu saudaranya. Kecil dahulu dia tidak memahaminya jadi dia tidak begitu memikirkannya, tetapi memasuki usia 19 tahun dia jadi faham rupa-rupanya syarikat nenek moyangnya itu bukan sahaja mengamalkan rasuah malah punya judi haram dan penggelapan wang yang sangat banyak. Rasa bencinya itu membuatkan dia membuat keputusan drastik keluar dari rumah pada usia muda. Kononnya mahu berdikari, walhal tidak ingin lagi memakan harta haram.

Ketika menetap sendirian, sanggup dia berlapar kerana tidak mahu meminta wang ibu bapanya. Ketika kemelutnya itulah Hadi datang menawarkannya kerja bersama Al-Fathi. Ketika itu usianya baru 24 tahun. Masih fresh graduate. Tidak perlu berfikir lama, dia terus menerimanya. Sekarang sudah tujuh tahun dia bekerja dengan Tuan Fathi. Dan dia tidak menyesal berada di sini. Kerana keluarganya juya salah satu target terawal Tuan Fathi. Sekarang, syarikat 'haram' keluarganya sudah tiada. Dia sendiri yang menukarnya kepada syarikat baharu dengan sistem baharu sebelum memberikan syarikat tersebut kepada adiknya untuk dijaga. Sepertimana dia, adiknya juga membenci hal korup dan rasuah.

Mesyuarat akhirnya tamat selepas Tuan Luthfan menamatkan laporannya. Tuan Luthfan juga lembaga pengarah Rangkasa, dia memegang saham ketiga terbesar. Cara dia diajak bekerja mudah sahaja. Hanya kerana dia kerap menolak tender yang mencurigakan, Al-Fathi langsung menyelidik latar belakangnya. Apabila dilihat bersih dan memang Luthfan tidak menyukai rasuah dan korup ini - dijemput Luthfan bekerja dengan Al-Fathi.

"Tahniah buat semua yang berusaha." Fathi mengucapkan tahniah sebaik tamat laporan-laporan tersebut. Ucapan itu untuk semua gerak kerja yang sudah berjaya. Selepas ini, banyak lagi gerak kerja yang harus dibuat.

Dato' Khamis menepuk tangannya meraikan semua dalam bilik ini. Mendengar tepukan itu, semua pun mengikut sama. Cair sedikit suasana yang sedari tadi sangat serius. Sedar tidak sedar sudah tiga jam mesyuarat ini berlangsung. Patutlah Irdina rasa tidak larat dah nak angkat tangan. Nak tepuk tangan pun tak larat. Dia menaip tak henti sejak tadi.

"Tahniah untuk Tuan Fathi juga." Fahim bersuara. Lalu semua pun menepuk tangan lebih gemuruh meraikan bos mereka yang satu itu. Tanpa otak geliga bos, mereka takkan dapat berada di sini.

Umar paling kuat bersorak untuk Tuan Fathi. Masih seronok memikirkan AGM tempoh hari yang serba lancar.

"Terima kasih, tuan. Tanpa tuan tak bergerak juga kami." Qaiser memuji Tuan Fathi.

Fathi senyum kecil bila diberi tepukan begitu. "Terima kasih juga buat semua. Saya juga takkan dapat berada di sini tanpa kalian semua"

Mendengar kata-kata itu, terharu jadinya mereka. Apatah lagi melihat senyuman majikannya itu. Umar sebak menekup mulut, dia sudah kata Tuan Fathi sejak dua menjak ini tiba-tiba ringan hendak senyum. Padahal dalam mesyuarat sebelum ini selalunya serius sahaja. Moga tuan panjang umur.

"Cik Irdina pun. Terima kasih untuk Cik Irdina." Luthfan tidak lupa menyebut nama orang penting yang sejak tadi senyap di depan laptopnya.

Irdina terkejut namanya disebut. Dia sudahlah sedang lenguh tangan, dipaksa menepuk tangan sejak tadi, sekarang tiba-tiba namanya juga disebut.

Sebaik nama Irdina disebut, lagi kuat tepukannya. Bergemuruh dengan pakej siulan. Irdina terpinga-pinga.

Irdina senyum segan kemudiannya. Malu pula baru bila diraikan begitu.

Bila dia memandang Tuan Fathi, majikannya itu tidak menepuk tangan bersama yang lain. Tapi hanya tersenyum kecil menatapnya. Makin segan Irdina dibuatnya.

.
.
.

Selesai mesyuarat itu, mereka dijamu makaroni cheese yang dipanaskan buat kali kedua. Umar paling berselera makan padahal dah makan tadi. Laparlah sebab mesyuarat memakan masa empat jam. Sakit perutnya memahan lapar bila memasuki jam sebelas.

Yang lain juga berselera makan. Selain makaroni cheese, ada juga kek epal dan kek lobak yang Irdina beli di bakeri kegemarannya. Sudah jadi jamuan secara tiba-tiba. Irdina tidak makan bersama-sama para lelaki di sofa tengah-tengah lobi itu, dia memilih duduk di meja berseorang. Dia juga lapar jadi tak dapat tidak dia perlu juga makan.

"Aku dah kata, Tuan Fathi lain macam." Umar masih bersungguh mengatakan hujjahnya awal pagi tadi. Boleh pula mengumpat Tuan Fathi alang-alang bos besar itu belum turun setelah mesyuarat tadi.

"Ingat aku je rasa macam tu." Qaiser balas. Sudah jadi gosip-gosip membawang pula mereka ini.

"Kau pun nampak? Mood tuan nampak baik semacam kan?" Umar hala garpu ke muka Qaiser. Digerak-gerakkan mahu Qaiser iyakan soalannya.

"Baik betul mood tuan. Siap boleh senyum-senyum lagi. Aku rasa last aku jumpa tuan, tuan siap tegur aku lagi sebab aku ada complain kau tak buat kerja."

"Apaa?!" Umar awalnya nak membawang dah jadi singa bila dengar pengakuan Qaiser.

"Eh bukan... Aku tak burukkan kau pun. Aku cuma cerita pasal projek restoran aku. Aku perlukan dana untuk buka restoran di pantai timur. Tapi Rangkasa tak bagi dana padahal Rangkasa syarikat penaung aku." Qaiser memegang D'Istana Restaurant dalam syarikat-syarikat naungan Al-Fathi.

"Lepas tu sekarang?"

"Al-Fathi dah salurkan dana." ringkas Qaiser balas.

Umar terangguk-angguk puas hati.

"Kembali ke cerita tadi, jadi maksudnya bukan aku seorang je rasa pelik." Qaiser bersuara perlahan sedikit. Risau juga Tuan Fathi tiba-tiba muncul.

"Yep. Bukan kau seorang. Semua nampak. Tapi bagus juga mood tuan okey macam tu, bolehlah kita tepuk tangan dalam bilik mesyuarat macam tadi." Hadi menyampuk.

"Itu aku terkejut. Tuan nampak okey je kita tepuk tangan macam dah siap buat kerja. Padahal selalunya mesti tuan tegur supaya kita tak terlalu gembira sebelum siap semua kerja." Luthfan membalas.

Semua yang lain baru menyedari hal itu.

"Aku risaulah. Tuan sakit ke? Dah tak lama ke?" Umar masih dengan teorinya yang merisaukan.

"Kau diamlah." Hadi sepak kaki Umar. Bengang betul bila Umar dari tadi bercakap macam Tuan Fathi pendek umur.

"Selalunya lelaki kalau tiba-tiba macam tu..." Dato' Khamis akhirnya bersuara di celah orang-orang muda berbual. Dia sedang hirup teh.

Semua beri perhatian pada lelaki itu. Sambil itu dinikmati makanan masing-masing. Irdina yang melihat semacam tidak percaya mereka semua ialah lelaki-lelaki korporat yang berusia 30-an.

"...sebab dia jatuh hati."

Sebaik Dato' Khamis sebutkan ayat itu, semua tersembur makanan dan tersedak air. Terbatuk-batuk keras seperti sudah bersepakat. Hadi paling kuat tersedak. Dia yang enak meneguk kopi ketika menunggu Dato' Khamis sambung ayat tadi, alih-alih tersembur kopi.

Umar menepuk-nepuk dada sebab tak sengaja tertelan kek tanpa dikunyah. Tak sangka sungguh itu sambungan Dato' Khamis, sampai tak sengaja ditelan kek tersebut.

"Tak adanya tuan nak jatuh hati kalau 24 jam tujuh hari tuan duduk rumah aje." Qaiser balas tidak percaya langsung. Dia tadi cuma terjatuhkan kek dalam pegangan sebaik dengar kenyataan Dato' Khamis. Tidak sempat tersedak lagi.

"Dekat rumah pun ada je orang nak dijatuh hati." Ringkas Dato' Khamis balas, dihirup teh sampai berbunyi.

Semua terdiam dengar jawapan Dato' Khamis. Berpandangan sambil mengelap mulut dan mengelap meja. Sejenak semua seperti faham maksud Dato' Khamis. Sesetengah mereka sudah membulat mata.

Belum pun mereka berbalas hujjah lagi, kelibat Tuan Fathi bersama Puan Leila dahulu terlihat muncul dari anjung. Senyap terus mereka semua. Berlagak profesional dan tiada lagi lagak bawang sebentar tadi. Semua malah langsung membincangkan isu kerja seperti merekalah pekerja terbaik.

"Berbual apa?" Fathi bertanya menghampiri sofa.

Puan Leila pula pergi menyertai Irdina di meja. Akhirnya Irdina punya teman dan tak bersendirian lagi.

"Tak ada apa, tuan. Cuma isu kerja." Qaiser jawab penuh dedikasi. Senyum pada majikannya yang sudah pun labuhkan duduk di sebelah Hadi.

Fathi tertawa tidak percaya. Dia mengambil pinggan untuk makan kek epal. "Dari atas saya dengar kamu berbual. Itu bukan nada kerja."

Tersenyap mereka semua. Kantoilah mereka bergosip tadi. Tapi yang buat mereka tak percaya, Tuan Fathi ketawa.

"Tuan nampak happy dua tiga hari ni. Tuan ada berita gembira nak kongsi dengan kami?" Akhirnya Umar dengan berani bertanya. Apa yang terbuku dalam fikiran semua terluah juga.

Semua terkejut dengar soalan itu daripada Umar. Tapi dalam diam, mereka berterima kasih sebab Umar berani.

"Saya rasa biasa sahaja. Sejak bila saya nampak happy?" soal Fathi, disudu kek ke dalam mulut.

Nampaknya Tuan Fathi tak perasan dia ketawa tadi.

"Kami gembira lihat tuan gembira. Kalau ada apa-apa berita yang menggembirakan tuan, tuan kongsilah dengan kami." Hadi lebih formal bersuara.

"Tiada berita gembira. Kenapa? Saya perlu ada berita gembira baru boleh gembira? Aneh-anehlah kamu semua." Fathi menggeleng kepala.

Semua pun diam membisu. Nampaknya betullah Tuan Fathi sebenarnya gembira tetapi masih tidak terjawab apa sebabnya. Sangat sulit untuk dibongkarkan.

Seperti mana misterinya seorang Muhammad Al-Fathi dalam dunia korporat, misteri juga isi hatinya.

.
.
.

Dah boleh slow slow tukar kapsyen buku ni, Siapa Muhammad Al-Fathi - membongkar rahsia hati yang terselindung.









Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro