7 | Kebenaran?

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Irdina ke rumah Najah pagi ini. Dia nak tengok keadaan Najah dulu sebelum ke office. Lagipun Najah sangat risaukannya.

Irdina sempat mengirim mesej pada Encik Umar yang dia akan masuk lewat kerja hari ini. Kawannya kemalangan jadi dia perlu bantu kawannya. Encik Umar tak cakap banyak, terus izinkan. Katanya, dia dan Irdina kan kawan. Jadi kawan Irdina pun kawannya. Irdina tak tahu sejak bila dia bersetuju untuk menerima Encik Umar sebagai kawan.

Sebaik Irdina sampai tadi, dia dan Najah terus berpelukan. Najah ni, walaupun cita-citanya nak jadi polis dan sekarang jadi penyiasat.. Dia tidaklah kental sangat. Dia masih doktor gigi. Cuma minatnya pada siasatan sangat tinggi. Bila berlaku pecah rumah macam ni, nampak Najah risau dan takut.

"Alhamdulillah tak ada apa jadi dekat kau." Irdina bersyukur Najah tak apa-apa. Dia takkan maafkan dirinya kalau Najah terkena apa-apa dalam siasatan terhadap Muhammad Al-Fathi ini. Sebab dia yang minta Najah siasat siapa Muhammad Al-Fathi. Sekarang, rumah Najah pula dipecah masuk.

"Rumah kau okay semua? Tak ada kesan orang masuk?" Najah pula bertanya.

Mereka cuma dapat berbual di ruangan hadapan rumah. Rumah Najah ialah kondominium tiga bilik. Berada di aras lima. Mama papanya yang belikan rumah itu. Sekarang, mereka terpaksa berdiri di luar kerana pihak polis masih buat siasatan di bahagian dalam. Mereka memilih untuk berdiri di koridor, menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari aras ini.

"Tak ada." Pendek Irdina jawab.

"Maksudnya cuma laptop kau digodam."

"Ya."

Mereka serentak hela nafas.

"Apa sebenarnya berlaku, Dina?" Najah bersuara perlahan.

"Semua barang yang hilang tu ialah dokumen yang berkaitan dengan Muhammad Al-Fathi, lain dari tu? Tak ada!" Najah berbisik bila sebut nama Muhammad Al-Fathi.

"Kau beritahu apa dekat polis tentang barang yang hilang?"

Najah hembus nafas, "Aku cuma cakap beberapa dokumen kerja aku je hilang. Polis suruh aku perincikan, tapi aku cakap aku sendiri tak pasti dokumen apa."

"Kenapa tak terus-terang?" Irdina rasa sepatutnya Najah beritahu saja polis dokumen yang hilang itu berkait dengan Muhammad Al-Fathi. Alih-alih nanti polis boleh tolong selidik sekali Muhammad Al-Fathi tu.

"Terus terang apa? Yang aku selidik pasal Muhammad Al-Fathi secara haram? Mati aku nanti."

Irdina baru teringat.

"Lagipun, aku tak boleh jangka apa berlaku lepas ini. Kalau aku cakap dekat polis tentang Muhammad Al-Fathi, apa akan jadi dekat aku agaknya? Hari ni aku kena rompak, alih-alih nanti aku pulak kena belasah orang Fathi tu. Seramlah." Najah dah fikir jauh.

Irdina tak berkata apa. Dia dalam terpaksa mengakuinya. Sebab mereka masih tak kenal siapa Muhammad Al-Fathi. Entah-entah lelaki itu gangster yang bunuh-bunuh orang, memang mati mereka sebab cari pasal dengan gangster.

"Kita tak payah lah libatkan polis. Nanti tak pasal-pasal kita yang kena. Sebab kita ikan bilis. Duit pun tak ada. Muhammad Al-Fathi tu bapak jerung. Billionaire. Sekali dia suap polis, memang mereput kita dalam penjara nanti."

Irdina tertawa dengar ayat terakhir Najah.

"Jauh betul kau fikir. Banyak tengok drama ke apa." Irdina geleng kepala.

Najah tergelak-gelak.

Tiba-tiba tawa Najah mati. Mukanya mendadak pucat bila ternampak sesuatu di bawah. Irdina pun jadi terpadam tawa juga.

"Kenapa, Naj?" Irdina pandang ke bawah juga.

Dari jauh Irdina nampak kereta Mercedes baru diparkir. Muncullah pasangan suami isteri dengan muka risau bercampur geram.

"Mati aku, Dinaaa!" Najah memegang lengan Irdina.

Irdina pula hanya ketawa. Mama papa Najah dah muncul. Bermakna, karier kesayangan Najah akan tamat dalam beberapa minit saja lagi.

.
.
.

Irdina sampai pejabat jam 11 pagi. Dia temankan Najah sekejap tadi dengar bebelan dato' dan datin. Seperti yang dijangka, mama papa Najah suruh Najah berhenti bekerja di syarikat penyiasatan. Meraunglah Najah dibuatnya.

Papa Najah dah daftarkan klinik gigi untuk Najah. Nampaknya lepas ini Najah bertukar kerjaya jadi doktor pula. Tiada lagi Najah yang ke sana sini menyiasat kes.

Irdina lega Najah tak lagi jadi penyiasat. Dia pun risaukan Najah. Najah tak ada kemahiran pertahanan diri. Kalau apa-apa jadi pada Najah, tak tahulah bagaimana Najah selamatkan diri. Bila Najah jadi doktor, lebih terjamin keselamatan kawannya itu.

Irdina tidak terus ke aras pejabatnya. Memandangkan sekarang Encik Umar di luar, menghadiri temu janji dengan wakil Mentari, syarikat siaran TV yang bernaung di bawah Rangkasa. Irdina punya masa untuk ke bilik kawalan dulu. Ada sesuatu dia perlu selesaikan di sana. Dia rasa tak sedap hati sejak pagi tadi lagi, jadi dia kena hilangkan dulu rasa tak sedap hati ini.

"Cik Irdina?" Salah seorang petugas kawalan tiba-tiba muncul di pintu. Dia terkejut bila Irdina hanya tercegat di luar sejak tadi. Lama juga Irdina berdiri di depan pintu. Irdina mahu merencana dulu sebelum masuk, tapi petugas dulu yang keluar.

"Awak bertugas semalam kan?" Irdina ingat lagi muka ini. Petugas ini lah yang bantu dia semalam.

Petugas itu mengangguk, "Ya, cik Irdina."

"Boleh beri salinan rakaman semalam tak?" Irdina pinta segera. Sepatutnya petugas itu terus faham apa yang Irdina mahukan.

"Rakaman semalam? Cik Irdina nak rakaman mula jam berapa ke jam berapa?" Nampaknya petugas itu salah faham permintaan Irdina.

"Bukan, rakaman yang saya minta semalam."

Petugas itu berkerut, "Rakaman yang Cik Irdina minta semalam?"

"Ya, semalam saya ada datang. Saya ada minta rakaman pada hari kematian Tuan Mustakim."

Petugas itu nampak berfikir sejenak.

"Maaf, Cik Irdina. Saya kurang jelas. Cik Irdina ada datang ke sini semalam?"

Irdina terdiam terus.

"Cik Irdina?" Petugas itu hairan.

Irdina cuba bertenang dahulu.

"Semalam, lebih kurang jam lima petang saya datang ke sini." Irdina jelaskan lebih terperinci.

Petugas itu menggeleng. "Maaf, Cik Irdina. Seingat kami, tak ada pun Cik Irdina datang ke sini."

"Tak mungkin. Kita berbual. Saya siap nampak awak keluar masuk beli jajan di luar." Irdina serius.

Petugas itu terdiam sejenak. Dia menggaru kepala.

"Cik Irdina yakin Cik Irdina ada datang semalam?"

"Ya, saya yakin. Tak mungkin saya salah tarikh."

Petugas itu diam lagi. Nampak berfikir.

"Biar saya tengok rakaman petang semalam. Kita lihat samada saya ada datang atau tak ke sini." Irdina pantas buat keputusan.

Petugas itu angkat wajah pada Irdina. Dia kemudian bersetuju. Mereka sama-sama masuk ke dalam bilik kawalan.

"Boleh tengok rakaman petang semalam? Dekat sini." Petugas itu bercakap dengan kawannya.

"Awak pun ada semalam." Irdina maksudkan seorang lagi petugas. Ditunjuk pada lelaki itu.

Petugas kedua terkejut sedikit bila ditunjuk. Terpinga-pinga.

"Cik Irdina kata, semalam Cik Irdina ada datang ke sini. Kita cek cctv."

Petugas kedua baru mengerti selepas dengar penjelasan petugas pertama.

Mereka pun sama-sama memeriksa rakaman petang semalam. Irdina turut melihat. Rakaman dari jam lima hingga tujuh petang ditunjukkan.

Irdina tergamam bila sepanjang-panjang masa itu tiada langsung kelibatnya di sekitar bilik kawalan. Padahal dia sangat ingat dia datang ke sini semalam. Dia dapat rakaman cctv pada hari kematian Tuan Mustakim. Dia siap berjanji dengan Najah untuk emailkan rakaman itu.

Irdina mengepal tangan. Apa yang jadi?

"Tiada, Cik Irdina." Petugas pertama tegakkan badan. Memberitahu memang Irdina tiada datang ke sini semalam.

Irdina menarik nafas dalam-dalam. Dia sangat sakit hati. Dia tidak tahu dia sakit hati dengan apa dan dengan siapa.

"Kalau begitu.." Irdina melepas nafas cuba bertenang. "Boleh beri pada saya rakaman pada hari kematian Tuan Mustakim?"

"Oh.." Dua petugas itu berpandangan.

"Maaf, pihak polis tak izinkan kami beri rakaman itu pada siapa-siapa." Petugas pertama beritahu dengan sedikit serba salah.

Apa?

Irdina tertelan liur pahit.

"Tapi saya setiausaha Tuan Mustakim." Irdina beritahu dengan suara tertahan.

Dua petugas itu berpandangan lagi. Petugas pertama kemudian mengangkat tangannya.

"Maaf, Cik Irdina. Kami tiada kuasa. Kami cuma ikut arahan polis. Polis memang tak izinkan beri pada sesiapa hatta cik sekali pun."

Irdina rasa sangat sakit hati. Dia tidak menunggu lama, terus keluar dari bilik kawalan. Dia dengar petugas pertama tadi memanggil namanya, tapi dia terus berjalan terus.

Tas tangan digenggam kuat.

Apa yang berlaku?

Apa yang mereka mahu sorokkan?

Irdina semakin yakin ada sesuatu yang memang ingin disembunyikan sewaktu kematian Tuan Mustakim.

Dia betul-betul ingat semalam dia datang ke bilik kawalan, berurusan dengan dua petugas itu.. Mana mungkin itu cuma ilusinya. Dia ingat satu persatu. Penatnya. Pedih matanya. Sehingga dia minta untuk bawa pulang semua rakaman itu.

Tapi, Muhammad Al-Fathi telah jadikan itu semua hanya dalam ilusinya. Entah berapa yang lelaki itu bayar pada dua petugas bilik kawalan tadi.

Irdina rasa sangat jijik dengan nama Muhammad Al-Fathi. Demi menyorok jenayah yang dia lakukan, dia sanggup merasuah orang itu dan orang ini untuk menutup mulut.

Irdina berdiri dalam lift dengan menggenggam kuat tas tangannya. Bagai nak terputus tali itu.

.
.
.

Irdina diam di meja kerjanya. Dah jam 12 tengahari, Encik Umar belum lagi pulang. Irdina berfikir masak-masak semuanya. Irdina berfikir sama ada dia perlu berada di sini lagi atau berhenti saja dari menghadap benda gila ini.

Irdina semakin faham apa Lili rasa. Sebab utama Lili meletakkan jawatan.. Sekarang Irdina pun rasa.

Berada di situasi ini buat dia seperti bersubahat dalam jenayah. Padahal dia sendiri tak tahu apa yang Muhammad Al-Fathi lakukan sebenarnya. Jenayah sebesar mana lelaki itu buat. Berapa banyak mulut ditutup lelaki itu dengan wangnya. Sehingga satu perihal tentangnya pun tidak terbongkar.

Apabila hampir untuk membongkar, itulah yang terjadi.. Rumah dipecah masuk, komputer digodam.. Dan sekarang, diupah dua petugas itu untuk menipu.

Irdina tak percaya wujudnya seorang billionaire sejahat itu. Memasuki syarikat orang dengan cara merampas. Kemudian menutup semua jenayah dengan begitu halus.

"Irdina!"

Suara ceria Encik Umar buat Irdina sedar. Irdina terus berdiri. Dia sempat kemaskan wajahnya yang jelas kusam.

"Encik Umar.." Irdina menegur bosnya itu.

"Wahh.. Baru separuh hari tak jumpa dah rindu." Umar berseloroh. Dia baru balik dari pertemuan dengan wakil Mentari. Kosong betul hidupnya tanpa Irdina di sebelah.

Irdina tidak membalas apa-apa. Senyum pun tidak. Dia sudah tidak terpedaya lagi dengan kata-kata manis Encik Umar.

"Irdina okay tak? Kawan Irdina macam mana?" Encik Umar risau melihat Irdina. Terus bertanya.

Irdina menatap Encik Umar, "Kawan saya baik saja, Encik Umar."

"Baguslah. Rumah pun okay?" Encik Umar tanya lagi.

Irdina berubah wajah mendengar soalan itu.

"Dengarnya rumah kena pecah masuk. Ada banyak barang hilang?" Encik Umar prihatin terlebih.

Irdina diam sangat lama. Menatap Encik Umar.

"Irdina?" Umar pula serba tak kena.

"Saya tak beritahu pun Encik Umar rumah kawan saya dipecah masuk." Perlahan Irdina bersuara.

Wajah Umar mendadak berubah.

"Macam mana Encik Umar boleh tahu?"

Terus suasana di sekeliling ruangan ini jadi senyap sunyi. Seperti ada tekanan yang kuat baru tersebar.

Umar tertelan liur. Wajahnya pucat lesi. Baru sedar dia tersalah cakap.

"Err.."

"Encik Umar tahu dari mana?" Irdina semakin yakin dengan semua teorinya. Irdina semakin yakin siapa suspek sebenar memecah masuk rumah Najah, menggodam laptopnya, mengupah dua petugas bilik kawalan..

Irdina makin yakin. Tiada apa lagi yang boleh menafikan semua teori dalam kepalanya.

"Kenapa? Bos encik beritahu encik?" Irdina tak sedar suaranya sudah sinis.

Umar semakin pucat dengarkan soalan itu.

"Irdina.." Umar mahu jelaskan sesuatu.

"Encik Umar tahu dari tuan kesayangan encik kan? Dia tahu rumah kawan saya dipecah masuk. Wah. Prihatin betul dia." Irdina tertawa sinis.

"Irdina.. Awak jangan salah faham. Ya, memang betul Tuan Fathi yang beritahu saya. Tapi bukan dari sudut yang awak faham."

"Apa yang saya faham, Encik Umar? Kenapa tiba-tiba saja bos encik tu boleh tahu rumah kawan saya dipecah masuk? Dia intip kawan saya?"

Umar serba tak kena sudah. Digaru dahinya.

"Pecah masuk rumah orang untuk hapuskan bukti? Itu jenayah, Encik Umar!"

Umar dah terkelu tak tahu hendak cakap apa.

"Sampai godam komputer saya.. Kenapa? Nak sembunyikan bukti yang bahaya?" Irdina tegas bersuara. Pedih nadanya.

Umar memejam mata.

"Sama ada encik atau dia, tiada hak untuk godam komputer saya!" Irdina paling marah untuk itu. Siapa tak sakit hati bila komputer hak miliknya digodam.

Umar mengatup tangan. "Saya minta maaf, Irdina. Kami terpaksa."

"Terpaksa?" Irdina tergamam dengar ayat itu. Tak sangka.

Jadi betullah komputernya digodam orang Muhammad Al-Fathi?

Umar pula semakin tersedar dia salah cakap. Dia pandang Irdina dengan muka pucat.

"Irdina.."

Irdina terundur setapak.

"Irdina.. Ia tak seperti yang awak bayangkan."

"Apa yang saya perlu bayangkan sekarang, Encik Umar? Kalian godam komputer saya!! Mengupah orang dekat bilik kawalan untuk menipu saya!! Pecah masuk rumah kawan saya!! Apa yang sebenarnya kalian nak sembunyikan hah?! Jenayah apa yang kalian semua buat!?" Irdina hampir melenting. Matanya dah berair.

"Oh no.. Irdina." Umar meraup wajah kesal. Tak tahu kesal pada apa.

"Saya hampir percayakan Encik Umar. Saya hampir.. Tapi syukur saya tak sepenuhnya percayakan Encik Umar. Sekarang, saya memang tak akan percayakan Encik Umar lagi. Muhammad Al-Fathi?" Irdina tertawa pedih. "Memang dari awal saya tak pernah percayakan dia. Saya jijik dengan orang kaya yang gunakan harta untuk menutup jenayahnya." Irdina bersuara tajam.

Umar terkedu. Tertelan liur.

"Saya takkan bekerja dengan Encik Umar. Encik Umar bekerja di bawah penjenayah. Saya letak jawatan mulai hari ini. Terima kasih Encik Umar sebab sudi terima Rangkasa. Sekarang, ambillah Rangkasa sepuas hati. Memang itu yang Muhammad Al-Fathi nak kan? Merampas hak milik orang secara haram." Irdina mengambil tas tangannya, langsung berlalu pergi. Tak betah berada di situ lama-lama. Dia terlalu muak melihat wajah orang yang sanggup menutup jenayah kerana duit.

Umar tak terkata. Tak mampu bercakap walau sepatah untuk memanggil Irdina.

"Matilah aku.." akhirnya itu yang terkeluar dari mulutnya.

Kerana dia sedar, dia sudah hancurkan rancangan asal.

.
.
.

Next bab muncul hero

Siapa hero? 👀

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro