BAB 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

FARHAN tersenyum lebar, berharap kedua ibu bapanya setuju dengan keinginannya untuk menikahi Serra. Namun, kata-kata yang meluncur keluar daripada bibir Datin Noreen menyentak hatinya.

"No! Mama tak setuju dan mama tak restu kamu kahwin dengan Serra." Semua memberi tumpuan kepada Datin Noreen yang tiba-tiba sahaja beriak dingin. Farhan pelik dengan mamanya yang tiba-tiba sahaja membangkang keputusannya untuk mengahwini Serra.

"Kenapa, ma? Mama tahu, kan? Serra kawan baik Han. Han sayangkan Serra lebih daripada seorang sahabat."

"No means no, Farhan."

"Maa... Ke... kenapa?" Farina menyampuk. Dia terasa pelik. Mengapa Datin Noreen tidak mahu menerima Serra sebagai menantu sedangkan dia melayani Serra dengan baik selama ni. Tapi...

"Abang, cakap kat anak abang ni... kita takkan terima Serra sebagai menantu dalam keluarga ni. Han, jangan risau mama akan cari perempuan lain untuk Han."

"What? Apa hak mama nak tentukan siapa isteri Han? Apa kurangnya Serra, ma? Selama ni mama layan Serra baik tapi kenapa bila Han buat keputusan untuk berkahwin dengan Serra... mama bantah? Cuba bagi Han sebab. Why?" Farhan masih tidak puas hati selagi dia tidak mendapat penjelasaan daripada mamanya.

"Dia tak layak untuk kamu, Han. She is not perfect to be your wife. Memang selama ni mama layan Serra baik sebab dia kawan kamu tapi kalau kamu mahu jadikan dia sebagai isteri... mama takkan setuju. Mama tak nak orang cacat tu jadi menantu mama. Mama malu!"

"Mama!" Serta-merta suasana ruang tamu banglo Dato' Farid mula berasa tegang. Dato' Farid mula masuk campur perbalahan antara isteri dan anaknya. "Noreen... Han... duduk dan berbincang dengan baik."

"Papa tak dengar ke apa yang mama cakap tadi? Dia hina Serra, pa. Han boleh terima kekurangan Serra, walaupun dia tak sempurna seperti gadis lain tapi hati dia cukup sempurna dan baik, ma." Berang Farhan dibuatnya apabila mamanya sendiri menggelar Serra orang cacat.

Datin Noreen merengus kasar. "Apa yang sempurna sangat budak tu sampai Han tergila-gilakan dia? Mama tahu ramai gelarkan dia monster sebab kecacatan dia tu. Mama tak nak nanti kawan-kawan mama tahu yang budak cacat tu isteri Han."

"Noreen..." tegur Dato' Farid apabila dia merasakan isterinya sudah melampaui batas. Kalau tidak suka sekalipun si Serra itu, janganlah sampai menghina. \

"You know what, ma? I don't need your blessing. Whatever it is, I am still going to marry Serra. Full stop!" Farhan sudah bangkit daripada duduknya.

Datin Noreen turut berdiri. "Kamu pilih sama ada mama atau budak tu? Pilih, Han. Kalau kamu pilih dia, kamu bukan anak mama lagi."

"Maa..."

Farina menekup mulutnya, tak sangka Datin Noreen berfikir sejauh itu. Dia melihat abangnya... ada sinar kesedihan yang terpancar pada wajah itu. Abang Han...

"Cukup, Noreen. Farhan berhak memilih pasangan hidup dia sendiri. Hentikan perbalahan ni dan fikir secara rasional boleh tak?" Dato' Farid memberi isyarat kepada isterinya agar menghentikan perbalahan ini sebelum berlaku sesuatu yang lebih teruk.

Datin Noreen mendengus. "Abang setuju ke budak cacat tu jadi menantu? Abang... saya banyak kawan yang setaraf dengan anak kita. Dan yang paling penting, lebih sempurna daripada si Serra tu."

"Tapi kalau dah itu pilihan Han... apa kita boleh buat? Biarlah dia."

"Abang!" Datin Noreen tidak berpuas hati dengan suaminya. Mengapa mudah sangat suaminya setuju akan permintaan anak lelakinya itu. Si cacat tu akan jadi menantunya? Big no!

Farhan menggenggam buku limanya lalu mengangkat wajah. "I'd rather choose her than you, ma." Itu keputusan akhir Farhan, biarlah mamanya tak menganggap dia sebagai anaknya lagi... apa yang dia tahu, dia mahu melindungi Serra dengan ikatan halal.

"Farhan Haqimie!"

Baru sahaja Farhan mahu mengorak langkah, jeritan Datin Noreen membuatkan langkahnya terhenti seketika. "Kamu pilih dia lebih daripada mama yang mengandungkan kamu selama sembilan bulan dan jaga kamu selama ni? Mama kecewa dengan kamu, Han. Dia ke yang jaga kamu selama ni, Han? Kenapa dia yang tiada kena mengena dengan keluarga kita yang kamu pilih?"

"Han minta maaf tapi Han tetap nak jadikan Serra sebagai isteri Han, walaupun mama tak restu."

"Kalau itu keputusan kamu, mama takkan hadir ke majlis perkahwinan kamu. Jangan panggil mama dengan panggilan mama lagi. Kamu bukan anak Datin Noreen mulai saat ini."

Farina terkejut. "Mama! Kenapa buat Abang Han macam ni? Abang... jangan dengar cakap mama. Abang Han... Papa?"

Farhan tetap melangkah keluar meninggalkan keluarganya yang masih di ruang tamu. Destinasinya sekarang adalah tempat yang mampu beri dia ketenangan. 'Serra, aku cintakan kau...' bisik hati Farhan.

***

SERRA tersengih seorang diri sambil baring di atas katil. Langsung tiada bantahan daripada ibu bapanya apabila diberitahu tentang lamaran Farhan. Malah diberi galakan lagi. Ah, tiba-tiba rasa rindu Farhan pula...

Telefon yang berdering di atas meja solek membuatkan Serra kelam-kabut mendapatkan telefon pintarnya sehingga dia terjatuh. "Aduh!"

Sebaik sahaja mencapai telefon, senyuman Serra terus ke telinga. Baru saja rindukan lelaki ini, dia sudah buat panggilan. Pantas jarinya menggesek ikon hijau. "Helo."

"Hai, Serra."

Serra tersenyum gedik sambil melompat ke atas katil. "Awak buat apa? Kenapa tak tidur lagi?" soal Serra berbasa-basi.

Farhan yang sedang menikmati suasana malam di atas bukit sambil duduk di atas bonetnya hanya tersenyum. "Saya tak boleh tidur." Sejak hubungan mereka melangkah ke fasa seterusnya, panggilan mereka turut berubah serta-merta atas permintaan Farhan sendiri.

"Tak boleh tidur ke rindu saya?" Serra menggedik. Sekali-sekala dengan lelaki yang dia cinta... tak salah, kan? Farhan tersenyum lebar. Dia bahagia. Serra melihat skrin telefonnya sekilas lalu apabila tiada sebarang balasan dari Farhan.

"Aik? Awak rindu saya sangat ke sampai tak mampu bersuara?" usik Serra lagi. Langsung Farhan ketawa halus mendengar usikan gadis itu.

Farhan meraup rambutnya yang jatuh ke belakang, "Ha'ah saya rindu awak sangat sampai saya tak boleh tidur. Kenapa eh awak buat saya macam ni?"

"Saya buat apa?"

"Awak kerap muncul dalam fikiran saya sampai di mana-mana aje saya hanya nampak awak, Serra."

"Eee... awak ni takutkan saya tau. Ingatkan apalah tadi." Membahang wajah Serra. Nasib baik Farhan tiada di hadapannya, jika tidak pasti dia akan berasa malu sangat. Farhan ketawa kecil.

"Betul apa yang saya cakap tu. Awak dah menghantui hidup saya sampai saya tak boleh lupakan awak walau sesaat. Serra..."

"Hmm?"

"Saya cintakan awak dengan setulus hati saya. Saya janji saya akan sentiasa jadi pelindung awak dan jaga awak seperti permata yang tidak ternilai langsung. Awak... adalah permata hati saya." Dengan penuh syahdu dan romantik Farhan menuturkan ayatnya sehingga lidah Serra kelu untuk membalas.

Keadaan sepi seketika. Kedua-dua mendengar hembusan nafas masing-masing seolah-olah mereka berdua bersama menikmati langit malam yang indah. Farhan teringat kembali peristiwa di rumahnya sebelum dia bertindak untuk keluar dari rumah dan mengambil angin di atas bukit ini.

Bagaimana kalau mamanya menentang habis-habisan niatnya untuk menghalalkan hubungannya dengan Serra? Perlukah dia jadi anak derhaka demi cinta atau terpaksa meninggalkan cinta demi mamanya? Dia buntu. Dia tersepit. Namun, hatinya kuat untuk teruskan perancangannya... berkahwin dengan Serra!

"Han..." Suara gemersik Serra mula bergema di corong telinganya.

"Ya, sayang?"

Mata Serra yang kuyu itu tiba-tiba terasa segar saat Farhan memanggilnya dengan 'sayang'. Awww! Nak bergolek atas katillah macam ni. Serra tersengih seorang diri.

"Kenapa ni?"

Serra berdeham sebentar sebelum membuka mulut. "Awak tak nak tidur ke? Saya rasa mengantuk sikit." Mengantuk sikit? Padahal matanya sudah merah dan bila-bila sahaja akan terkatup rapat.

"Let me sing for you, sayang."

"Hah?"

"Can I call you baby? Can you be my friend? Can you be my lover up until the very end?"

Serra tersenyum saat suara merdu milik Farhan mula melantun bait-bait lirik lagu At My Worst nyanyian Pink Sweats. Lagu yang seringkali lelaki itu nyanyikan. Setiap bait lirik itu mempunyai maksud yang cuba Farhan sampaikan sebelum ini kepada Serra.

Farhan teruskan nyanyiannya sehinggalah bait-bait yang terakhir manakala Serra mula mengembara ke alam mimpi yang indah bertemankan lelaki yang dia sayang. Farhan...



❦︎ EBOOK MASIH BOLEH DIBELI

❦︎ VERSI CETAK (PAPERBACK/NOVEL) - OPEN PREORDER TILL 06/11/2021


LINK DI BIO!
LINK DI BIO!
LINK DI BIO!





Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro