46 | Untuk Semua Yang Terluka

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Mood aku kurang baik hari ni bila Dahlia, pembantu peribadi Datin Yui, mak si Diana Akasuki tu datang beritahu aku yang Datin Yui minta jasa baik aku agar tidak terlalu dekat dengan anak dia memandangkan Diana Akasuki dah masuk kerja semula. Aku hanya mengangguk, tak nak Dahlia susah hati sebab dia hanya penyampai amanah sahaja.

Dari hujung lorong, aku nampak Iskandar sedang berjogging mendekati belakang kafe. Kain putih yang tergantung di leher digoyangkan, melambai pada aku. Tak nak dia hidu apa yang jadi malam kelmarin, aku membalas senyumannya.

          "Saya harap lepas ni awak boleh bersedia," ujarnya selepas memberi salam pada aku. Bersopanlah sangat kan, saja nak usik hati aku. Semalam seharian dia tak datang ke kafe.

          "Bersedia apa?"

          "Kita akan kerap berjumpa, dan sekali sekala mungkin akan makan sekali dengan mama saya. Saya nak kita saling kenal mengenali dengan lebih cepat."

"Kenapa nak cepat-cepat. Saya tak ke mana pun. Selalu je ada kat sini." Aku tersengih janggal. Berdebar jugak dia cakap macam tu. Mana pernah ada orang serius dengan aku selama ni.

"Sebab awak selalu ada kat sini la saya kena cepat. Lepas kita kahwin, awak tak perlu kerja kat sini dah. Awak kerja dengan saya je..."

Bukan ke aku memang tengah kerja dengan dia?

"...kat rumah kita."

Aku terbatuk kecil. Berdehem sedikit. Bukan gatal tekak pun, cuma rasa macam tak tahu nak balas apa. Kesungguhan Iskandar buatkan aku takut. Takut dia kecewa.

Waktu kafe baru menerima pelanggan, Izhar muncul tiba-tiba. Meminta izin dari Iskandar untuk pinjam aku dan Iskandar seperti biasalah, dia setuju aje. Aku serba salah sebab orang lain dah mula bekerja.

           "Abang minta maaf sebab ganggu masa kerja Ella tapi abang akan fly ke Indonesia dalam seminggu macam tu. Abang kena jumpa Ella sebelum pergi," jelas Izhar.

Tiba-tiba rasa sedih pulak. Memanglah selama ni Izhar duduk jauh tapi bila tahu dia nak pergi lagi jauh dari aku, rasa macam kena tinggal pun ada.

           "Balik nanti, Ella kena bayar hutang dengan abang."

           "Hutang apa?" Terkejut aku.

           "Ella tak beritahu pun hubungan Ella dengan Is. Tahu-tahu, korang dah saling ziarah mak masing-masing.  Tak acilah macam ni. Sedih abang." Wajah hampa Izhar bukan dibuat-buat.

            "Entahlah. Semuanya mendadak. Ella pun..." Aku mengeluh. Tak tahu nak cakap apa. Hari ni mungkin otak aku tertinggal kamus perkataan di rumah. Kehabisan ayat.

            "Ella sihat tak? Okey? Perlu duit belanja?" Seperti biasa, Izhar bertanya soalan yang sudah aku hafal. Anak matanya aku tatap tanpa berkedip.

            "Balik nanti belanja Ella makan. Banyak benda Ella nak cerita," pintaku.

            "Itu je?"

Aku mengangguk dan Izhar meyentuh perlahan kepalaku. Tak mungkin aku bebankan dia. Sebesar mana pun salah dia pada aku dulu, dia dah buat lebih dari itu untuk tebus kesalahan dia.

           "Abang ada permintaan. Abang nak Ella jawab bila abang balik nanti."

           "Apa dia?"

          "Ikut abang pindah. Kita duduk dengan Ibu Ara."

Aku terdiam seribu bahasa.

           "Abang tak tenang Ella duduk jauh-jauh macam ni. Balas mesej pun pendek-pendek je. Tak banyak benda yang abang tahu. Dah duduk dengan Ibu Ara, senanglah sikit."

           "Nanti Ella fikirkan." Aku senyum. Memang jarang aku balas mesej Izhar panjang lebar sebab aku takut dia rasa aku menjengkelkan. Serabut sampai semua benda nak cerita.

"Ada masalah jangan simpan sorang-sorang. Take care. Jumpa nanti."

Macam tahu-tahu je aku suka simpan masalah seorang diri. Mungkin dah terbiasa. Dulu aku mencari-cari orang nak kongsi beban hati tapi tiada. Sekarang bila dah terbiasa, Izhar pula muncul menawarkan diri.

Tidak lama selepas Izhar pergi, dia hantar mesej bergambar screenshot resit pemindahan wang online.

'Abang belanja awal sikit, takut lambat balik nanti.'

Aku tersenyum jugak baca mesej pendek tu. Sehati sejiwa ke kami ni, tahu-tahu je aku perlukan duit sekarang.

Aku kembali masuk ke dalam kafe melalui pintu belakang. Terkejut aku, hampir-hampir terlanggar Fazley yang entah sejak bila berdiri di situ. Cara dia memandang cukup buatkan aku rasa tak selesa.

"Kaki ampu," kutuknya selafaz sebelum menyepak pintu. Perlahan namun bahuku terangkat, tak terjangka.

Aku mengurut dada. Malas melayan. Dia bukan bos aku pun.

Dari jauh aku nampak tubuh Dashi masuk ke dalam kafe. Aku keluarkan not RM20 dari kocek yang sememangnya aku dah sediakan untuk bayar burger malam kelmarin tapi bila Fong dan Mar Anas pandang aku, terus aku batalkan niat nak bercakap dengan Dashi dalam waktu bekerja. Nanti orang ingat aku curi tulang.

Sepatutnya aku bayar semalam tapi Dashi half day. Bila aku tengok, dia dah tak ada. Dah balik.

"Amboi, abang kacak nak pergi mana?" tegur Iskandar pada Dashi. Baru aku perasan dia datang dengan memakai cermin mata hitam.

Dashi letakkan jari telunjuk pada bibir sebelum dikepal menjadi penumbuk sebagai isyarat agar Iskandar tidak menarik perhatian orang lain. Iskandar hanya ketawa, seronok mengusik Dashi. Dia mendekat, berjalan beriringan dengan Dashi menuju ke Jar of Heart, rumah anak-anak kucing dia.

"Teruk ke sakit mata kau? Rehatlah, petang nanti baru masuk kerja."

Aku curi dengar perbualan mereka sambil bekerja. Iskandar ni memang suka bagi orang cuti eh?

"Aku okey. Petang nanti aku ke klinik."

Betullah Dashi sakit mata sebab malam kelmarin pun aku nampak dia gosok mata dia banyak kali.

          "Wow, bertambah anak kau!" Bulat mata Iskandar tengok Dashi keluarkan anak kucing tiga warna yang dia ambil dari rumah aku.

           "Jangan sentuh!" Dashi jauhkan anak kucing tu dari tangan Iskandar. Iskandar buat muka toya.

           "Nama apa pulak kali ni? Honduras? Fatamorgana? Metafora?"

           "Longkang."

Aduh, aku tersepak kaki meja bila dengar jawapan Dashi. Muka Iskandar jelas-jelas terkejut. Tentulah tak percaya. Kucing lain kemain nama kayangan, yang ni dilongkangkan.

           "Panggil Kak Long." Dashi angkat si Longkang tu depan mata dia, tersenyum dan dikucup dah macam cium baby.

           "Kak Long-kang." Iskandar ketawa lepas. Beberapa pasang mata pelanggan yang ada memerhati gelagat sambil tersengih sekali. Lagilah Dashi nampak lain dengan cermin mata hitam yang menonjolkan sisi maskulin. Tak dinafikan, Iskandar, Dashi dan Begum selalu jadi perhatian di sini.

Macamanalah aku yang sakai ni boleh jadi akrab dengan mereka?

Sepanjang hari, pelanggan ramai seperti biasa. Sepanjang hari juga aku mencuri-curi pandang pada Dashi. Jelas dia nampak tak selesa. Sesekali dia berhenti bekerja, menekan mata dengan sapu tangan untuk beberapa saat dan membetulkan semula cermin mata hitam yang setia dipakai. Risau pulak aku dibuatnya.

Bila pelanggan berkurang, cepat-cepat aku selesaikan kerja. Bersedia untuk bertemu dengan Dashi bila dia berehat nanti.

          "Ella, aku..."

          "Sekejap!" Aku tahan Fong dari berbicara bila aku nampak Dashi melangkah laju menuju ke belakang. Not RM20 aku bawa dalam genggaman mengikutinya.

"Dashi."

Dia tidak menoleh. Membuka air sinki dan membasuh muka berkali-kali.

"Dashi, saya bayar balik burger malam tadi..." Aku terhenti bila dia berpaling memandang aku dengan wajah pucat lesi. Matanya merah terutama sebelah kanan. Titis-titis air menitis hingga basah baju di dada.

"Argh!" Dia memejamkan mata dengan sebelah tangan mencengkam hujung sinki. Aku tergamam, terkejut melihat dia kesakitan macam tu. Urat lehernya tegang, kulit putihnya kemerahan.

"Ella, tolong aku." Dia merintih sakit, menapak dalam keadaan kepala menunduk, mencengkam bahu aku sebelum rebah terduduk ke lantai, menarik aku jatuh bersamanya. Aku terlalu kaget sampai tak tahu nak buat apa.

Diana Akasuki menerpa entah dari mana. Bertambah kalut bila Dashi cakap dia tak boleh buka mata dan tak nampak apa-apa. Semua berlaku terlalu pantas dan aku hanya tersedar bila semua orang dah pergi meninggalkan aku seorang diri, masih terduduk di lantai dengan tangan yang menggigil. Aku pegang bahu yang masih terasa sakit dengan genggaman Dashi tadi. Terlalu kuat.

"Awak tak apa-apa ke?" Iskandar muncul dengan wajah kerisauan.

"Dashi... Dashi kata dia tak nampak apa-apa." Separuh sedar aku beritahu Iskandar walaupun dia dah tahu apa yang terjadi. Dashi yang selama ini selalu sembunyikan emosi di sebalik wajah yang serius, kini merintih kesakitan di hadapan aku. Terbayang sejauh mana rasa sakit yang dia alami.

Iskandar diam seketika sebelum tersenyum hambar. "Jangan risau. Begum dah bawa ke hospital. Saya akan ke sana lepas selesaikan kerja di sini. Dia akan okey."

Jaminan Iskandar sedikit sebanyak menenangkan aku tanpa aku sedar senyumannya memudar.

🥀

Izhar dah kurang mesej aku sejak dia ke Indonesia. Mungkin sibuk di sana. Kafe juga terasa sunyi kerana Dashi tiada. Sebenarnya tak sunyi pun, cuma aku yang rasa macam tu. Mungkin sebab kami agak rapat kebelakangan ni, aku rasa kami dah jadi kawan.

"Iskandar memang serius ke?"

Rasanya ni dah kesepuluh kali Diana Akasuki tanya soalan yang sama.

"Kenapa kau rasa aku tak sesuai dengan dia?" soalku, menguji.

"Entah. Aku rasa macam tu." Dia mengangkat bahu.

"Dashi apa cerita?" Akhirnya aku tanya juga.

"Masih warded. Dia memang dah lama pakai contact lensz Dulu pernah jugak dia sakit mata tapi tak lama, dia pakai balik contact lens sebab rimas dengan cermin mata."

Rasa tak puas hati dengan jawapan Diana Akasuki tapi nak tanya lebih-lebih karang dia sangka apa pulak.

"Lama kau tak datang sebelum ni, kenapa?"

Diana Akasuki diam seketika seperti memikirkan sesuatu. Matanya beralih ke arah aku. "Aku rasa tak lama lagi aku akan berhenti sepenuhnya."

Aku tunduk memandang jari yang bermain di hujung blaus. Aku tahu waktu ini akan tiba tapi kenapa sekarang?

"Oh, please Ella! Jangan muka macam jadi mangsa keldai dadah, okey. Bukannya aku tak jumpa kau dah selepas ni." Diana Akasuki ketuk kepala aku dengan hujung sudu.

Memanglah kami boleh jumpa lagi tapi waktu dia kerja kat sini pun kami jarang jumpa, lagilah lepas dia berhenti nanti.

           "Datang dah..." Diana Akasuki tegakkan badan. Aku turut menoleh, melihat Mak Uda muncul disambut Iskandar.

Pagi kelmarin pun Mak Uda datang juga bawa sarapan sama seperti hari ini. Kami makan bersama dengan Iskandar sebelum kafe mula beroperasi. Segan sungguh aku dibuatnya bila semua pekerja lalu lalang pandang kami. Begum lagilah, setiap kali lalu dia buat muka mengusik.

          "Sampai bila Ella nak jadi waitress?" soal Mak Uda saat Iskandar tinggalkan kami berdua.

Kunyahan aku menjadi perlahan.

           "Mama tak kisah pun sebab lepas kahwin mesti Is tak bagi Ella kerja. Nak suruh teman ma. Dia asyik risau ma seorang kat rumah tu." Mak Uda senyum.

Sebenarnya aku tak fikir pun lagi pasal hal tu. Ada benda lain yang nak aku capai dalam hidup ni. Lambat betul otak kau ni, Ella!

Sebelum balik, Mak Uda siap titipkan makanan untuk aku bawa balik ke rumah. Sempat pulak peluk aku dua tiga saat yang aku rasa lama. Janggal sebab mami tak pernah peluk aku macam tu. Senyuman pun tidak lekang dari wajah berusianya. Rasanya aku boleh tarik nafas lega dengan penerimaan Mak Uda.

Selepas letakkan bekas makanan titipan Mak Uda di bilik staff, aku keluar semula. Ternampak Mak Uda keluar dari dapur diiringi Fazley yang tunduk hormat padanya. Mesti Mak Uda ni mem besar, kan?

          "Sebab kaulah puan asyik datang sini. Semak, sial!" Tiba-tiba saja Fazley mendekat dan menuding di depan mata aku. Kecut perut aku dibuatnya namun aku lega dia pergi macam tu saja.

Sejak akhir-akhir ni aku asyik dapat syif dengan Fazley je. Dia pulak makin menjadi-jadi lepas Iskandar secara rasmi menunjukkan aku ni bakal isteri dia. Entah dia dengki atau sakit hati, aku betul-betul nak elak bertembung dengan dia.

🥀

          "Kahwin cepat sikit, lepas tu blah dari sini!"

Aku menikus di penjuru dapur, menerima tengkingan Fazley. Tadi dia suruh aku stock up bahan kering sebab budak kitchen helper dah balik awal. Aku tak faham kenapa budak tu boleh balik awal tanpa stock up barang, lepas tu aku yang kena. Dan sekarang, aku terlanggar botol minyak dan tumpah atas lantai dapur. Habis licin.

Waktu bekerja aku dah tamat dan kerja aku semua dah selesai. Patutnya aku dah balik rumah sekarang. Pekerja lain pun dah beransur balik.

          "Saya rasa minyak tu tak ada pun tadi kat sini." Aku membela diri.

          "Lepas tu kau nak cakap kafe ni berhantu? Minyak boleh jalan sendiri?" bidas Fazley.

          "Kalau ya pun saya salah, tak perlu marah macam ni. Saya boleh bersihkan!"

          "Kau tak tahu ke semua orang menyampah dengan kau sekarang?" Fazley mendekat, memaksa aku berundur ke belakang dan terlanggar barisan tempat memasak. Tangan yang menggigil aku genggam dengan kuat. Aku nak menjerit tapi suara terasa tersekat di kerongkongan.

           "Kafe ni tak perlukan betina. Kau tak perasan ke kerja kau orang lain boleh selesaikan. Berapa kali Diana ambil kerja kau? Berapa kali kau tak masuk kerja sesuka hati sebab pandai bodek bos? Kau cuma hiasan yang bos letak untuk jamu mata dia setiap hari. Acah-acah bercinta kat tempat kerja, menghabiskan duit gaji dan menyusahkan orang lain. Dasar perempuan pemuas nafsu!" Fazley menumbuk rak dapur betul-betul di tepi muka aku hingga aku terjerit kecil. Rasa takut menikam-nikam ke segenap urat nadi hingga aku rasa sukar untuk bernafas.

           "Sial!" Dia meludah, mengenai hujung kasut aku dan menapak pergi. Aku melorot duduk di lantai. Kaki terasa lemah ditambah lagi kepenatan bekerja sepanjang hari. Aku ketap bibir dengan kuat bila aku rasakan tubuh aku menggigil seram sejuk hingga terasa kelat darah. Perlahan-lahan aku merangkak mendekati pintu dapur sebelum berdiri memegang dinding dan terus keluar melalui pintu belakang.

Aku terpaksa naik teksi, tak ada kekuatan nak menapak menunggu bas. Sedaya upaya aku tak nak menangis tapi aku betul-betul takut bila Fazley buat macam tu.

Waktu aku masuk ke rumah, aku terdengar mami bergaduh dengan Nailah di tingkat atas.

          "Mami penat tahu tak! Letih! Macam-macam cara mami buat supaya kau tak tertekan. Mami terima apa yang berlaku walaupun mami kecewa sampai rasa nak mati!"

Mendengar tengkingan terasa menambah trauma yang ada. Tak mungkin aku keluar semula dari rumah ni memandangkan malam sudah larut.

          "Mami nak buang Nailah? Buanglah! Ella jugak anak kesayangan mami, kan? Dia la yang boleh jaga mami, jaga rumah, lambakkan duit kat mami!" Nailah membalas tanpa sedikit pun gentar.

Aku masuk ke dalam stor bawah tangga, duduk rapat ke dinding, menekap kedua telinga. Benci bila dengar nama aku ada dalam pertingkahan mereka.

           "Tak payah nak kaitkan dengan Ella! Mami cakap pasal kau sekarang!" tengking Noah, mengejutkan aku. Rupanya dia pun ada sekali.

           "Diam, bangsat! Yang kau pergi belasah lelaki tu kenapa? Kau burukkan keadaan, bodoh!" sumpah Nailah.

           "Habis tu kau nak aku jadi patung bodoh, tengok adik perempuan aku digadai dan biar dia berlepas tangan? Kau yang bodoh, perjudikan maruah kau dan menyusahkan kami semua. Ella yang terpaksa hidup sendiri, kerja keras dan urus rumah lebih pandai jaga diri dari kau!" bidas Noah.

Tolonglah... tolong jangan sebut nama aku. Jangan jadikan aku rencah permusuhan korang.

            "Sebab kau lelaki, kau pun berjudi dan pergi pub, minum arak, kau tak salah? Kalau kau pun boleh bunting, mungkin sepuluh kali kau dah bunting la! Kalau kau lebih bertanggungjawab, kita tak perlukan Ella pun dalam rumah ni!"

Ada benarnya cakap Nailah, sama seperti maksud Fazley. Di kafe atau di rumah, aku tak diperlukan pun. Aku cuma menumpang di mana-mana pun.

           "Cukup! Cukuplah!" Tangisan mami pecah, teresak-esak mengoyakkan hati aku. Terus aku teringatkan Maira. Aku harap Maira masih di rumah kawan mami. Dia tak patut dengar semua ni.

          "Kalau kau gugurkan kandungan tu, kau bukan anak mami lagi, Nailah." Suara mami kedengaran pasrah diikuti bunyi pintu ditutup.

          "Kenapa mami susah nak faham? Walaupun baby ni tak salah tapi dia datang dari benih yang kotor! Dia akan bawa sial, bawa kebencian dalam rumah ni. Dia hanya akan terseksa bila sedar dia anak luar nikah! Nak jaga Maira pun susah, lagikan nak jaga seorang lagi budak haram!"

PANG!

Kuat! Aku dengar bunyi tamparan yang kuat hingga Nailah menjerit kesakitan. Aku yakin Noah yang tampar dia.

          "Kau pun benci aku, kan? Biar aku mati! Kau pun jenis lari dari masalah, ada hati nak masuk campur masalah aku!" Nailah turut beredar dan menghempas pintu bilik.

          "Aku masuk campur sebab aku sayang kau, Nailah! Kita membesar bersama, berdua je tanpa abah. Dan sekarang aku betul-betul kecewa dengan kau." Suara Noah bergetar hebat, menambah perit di hati aku.

Noah terluka.

Begitu juga mami, Nailah dan Maira.

Tangga terasa bergegar bila Noah menuruni anak tangga dengan laju. Bunyi motornya menderum dan akhirnya hilang.

          "Ikut abang pindah. Kita duduk dengan Ibu Ara."

Patut ke aku tinggalkan semua ini? Selfish ke aku?

🥀

'There comes a point where it all becomes too much.'

2651words
2207211333
#toolazytomove

Nota : nak tanya pendapat. kalau saya terbit e-book, berbaloi ke? nak hantar kat penerbitan buku fizikal tapi macam kesian pulak orang nak beli mahal-mahal. 😭 done overthinking

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro