TFD 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"FAI, berhentilah dulu dekat sini!"

Sebuah keluhan berat terlepas dari bibir nipisnya sambil kedua belah tangan setia menopang lutut bersama badan yang sedikit membongkok. Semput nafasnya akibat terlalu banyak berlari. Ini semua disebabkan oleh Ufaira. Semalam, beria-ria minah itu mengajak dia bersenam di Taman Desa ini. Katanya kerana terlalu banyak makan fast food, padahal Ardella bukan makan sangat pun makanan segera itu!

Ufaira seharusnya rasa bersyukur kerana Ardella sudah tolong temankan. Kalau tak ada Ardella, mahunya Ufaira kena libas dengan 'ulat bulu' mana yang sibuk datang menyendeng.

"Alah, chill la Della. Sukan ni bagus tahu? Banyak kelebihan bersukan contohnya..." Belum sempat Ufaira menyambung, Ardella pantas memotong laju. Bayangkan, selepas ini akan banyak butiran air liur akan menjamah wajahnya. Itu belum lagi masuk topik-topik hangat yang selalu Ufaira bangkitkan.

"Jangan mulakan!" larang Ardella. Sudah tahu sangat perangai Ufaira macam mana. Dia nak berfalsafah la tu. Taubat telinga Ardella mendengar. Jadi, lebih bagus dia tukar topik lain.

"Jadi nak mula dari mana?" Ufaira menyengih, sengaja ingin mengusik Ardella. Kawannya yang satu tu memang tak suka dengar dia membebel lama-lama.

Ardella menghantar tumbukan ke bahu Ufaira sehingga menyebabkan gadis itu mengaduh sakit. Sarina mencebik lalu menggosok-gosok bahunya yang ditumbuk Ardella tadi dengan berbakul perasaan sebal.

"Sakitlah! Tumbukan kau ni boleh tahan padu jugak..." komen Ufaira. Dia sudah melabuhkan punggung di bangku kayu di taman itu. Diikuti pula oleh Ardella yang duduk bertentangan dengannya.

Plastik yang berisi dua tin air 100Plus dikeluarkan oleh Ufaira. Dia menghulurkan setin air isotonik itu kepada Ardella yang sudah menguap. Kesejukan dan buaian lembut angin pagi datang menampar wajah mereka. Terasa suasana seperti ini lebih tenang daripada sebelumnya.

"Sejuknya..." desis Ardella sendiri kemudian tangannya lincah membuka tin air lalu diteguknya rakus kerana kehausan itu membuatkan dia terasa ada sesuatu yang menghalangnya untuk menelan air liur. Kesat.

Ufaira menggeleng melihat perangai kurang semenggah Ardella. Ingin sahaja dia keluarkan hujahnya tapi nanti Ardella tinggalkan dia pula. Tak pasal-pasal balik jalan kaki.

"Fai, ada kau dengar tak kes pembunuhan yang berlaku baru-baru ni?" Ardella membuka cerita sekaligus membuatkan bulu roma Ufaira merinding. Seriau dia tentang kes itu. Dengarnya, mangsa disiat-siat dengan pisau tajam dan digunting isi kulitnya. Paling teruk, selepas diambil semua organ itu, mangsa diletakkan di dalam plastik atau bagasi kemudian dibakar ke dalam api yang menyala marak.

Minta dijauhkanlah semua itu kepada mereka. Seram sungguh isu seperti ini. Semoga tak ada lagi yang menjadi mangsa.

"Ngeri!" Ufaira menggelengkan kepalanya, cuba mengusir bayangan kejam itu dari kotak mindanya.

"Tapi, kenapa eh dia orang nak sangat buat kerja kejam macam tu? Apa matlamat mereka sebenarnya?" tanya Ardella tiba-tiba.

Kening Ufaira terjongket ke atas.

"Matlamat? Huh, orang kejam yang tak berhati perut takkan ada matlamat untuk buat benda macam tu." Ufaira menggerutu marah. Orang seperti itu tidak layak untuk hidup! Langsung tiada simpati dan empati.

Ardella cuma mengiakan sahaja. Bila sudah panjang topik perbualan ini, dia hentikan dengan topik lain pula. Namun belum sempat dia membuka mulut, Ufaira terlebih dahulu meningkah.

"Della, cuba kau tengok arah sana. Tu... Benda apa?"

"Apa?" Anak mata Ardella mengikut arah mata Ufaira. Seketika, dahinya menyimpul kerutan besar.

"Kau rasa tu apa?" Ufaira pandang semula wajah Ardella. Meminta penjelasan. Tidak menyangka mata halusnya dapat menangkap sesuatu di celah-celah semak yang besar.

"Pintu."

"Aku tahulah tu pintu!" Ufaira menderam. Geram sungguh dengan jawapan jujur Ardella. Hailah, kepalanya pula yang terasa pening.

Ardella berdecit. Apalah kawan dia seorang ini merepek? Dah terang lagi bersuluh itu pintu. Takkan dia nak kata almari pula? "Habis tu?"

"Kau tak rasa ke pintu tu nampak pelik? I mean... Pintu tu nampak macam pintu berhantulah." Hujung telunjuk Ufaira terhala ke arah pintu tersebut walaupun boleh Ardella kira jaraknya mungkin lebih dari lima meter.

"Jangan merepeklah, Fai. Sejak bila pulak pintu tu berhantu?" Ardella tepis tangan Ufaira ke bawah. Ada pula dia tunjuk tangan ke pintu? Mahunya orang nampak ke apa, tidak ke pelik dibuatnya.

"Masalahnya, aku mana pernah merepek sebelum ni. Itu, Della... kalau kau tengok betul-betul, pintu tu macam ada benda pelik."

"Pelik macam mana pulak?" Ardella layankan saja kerenah Ufaira yang jauh lebih pelik dari pintu tersebut. Tidak dapat tidak, tergeleng-geleng kepala Ardella sambil menatap Ufaira yang sedikit tinggi dari dirinya.

"Walaupun ukiran pintu tu nampak kusam dan lama, tapi benda tu vintage sungguh! Aku rasa nak tengok dengan lebih dekat."

Ketawa halus Ardella menerpa pendengaran Ufaira. Fai, Fai... tadi dia cakap pintu tu berhantu dan pelik, sekarang nampak vintage pula dah! Berseni sungguh mata rakannya ini.

Ufaira mencebik namun bola matanya masih lagi diliarkan ke arah pintu tersebut. Tiada langsung dirasakan calitan-calitan ketakutan malah dia rasa tertarik pula melihatnya.

Kerana dia nampak ada 'seni' yang bukan semua mampu melihatnya. Jika Ardella tidak nampak, tetapi Ufaira nampak. Dan dia yakin waktu itu merupakan satu peluang keemasan baginya.

Ya, dia kena nampak dengan lebih dekat dan menerokai 'seni' tersebut. Tak sedar, kakinya kian menapak laju ke hadapan.

Melihatkan tingkah si sahabat, sisa tawa Ardella sudah mati dan kini diganti dengan langkahan laju. Tangan Ufaira dicengkam kemas bersama kepala yang digeleng perlahan. Memberi isyarat bahawa Ufaira tidak sepatutnya meneruskan niatnya yang satu itu.

"Kau nak buat apa pula ni? Jangan buat benda-benda pelik la, Fai. Cukuplah pintu tu je nampak pelik!" tegah Ardella. Pegangan kemasnya di tangan gadis itu masih belum cukup untuk menghentikan langkah Ufaira, sebaliknya gadis itu semakin laju meninggalkan dirinya di belakang.

"Fai! Kan aku dah cakap..." Bicara Ardella mati seiring dengan kakinya yang sudah terpasung di lantai bersimen itu. Tidak disangkanya Ufaira sanggup melakukan kerja gila. Berdiri di hadapan pintu itu sahaja buat hatinya gementar. Jauh berbeza dengan Ufaira yang kelihatan begitu bersahaja dan selamba.

"Shhh, Della..." Ufaira meletakkan jari telunjuknya di bibir Ardella. Memaksa gadis itu mendiamkan diri buat seketika sementara dia ingin meneroka laman rumah kecil itu. Ya, rumah kecil itulah telah membuatkan dia bersemangat untuk mengetahui perihal itu dengan lebih lanjut.

Ardella melepaskan keluhan kecil dari bibirnya. Ufaira dengan kedegilannya... Memang dalam satu kelompok yang sama! Susah benar Ardella mahu melarang keinginan si gadis yang sedang membuak-buak. Alahai, macam tak pernah tengok pintu saja!

Mahu tidak mahu, dia tetap membuntuti Ufaira dari belakang. Jika dia tinggalkan gadis itu, mahunya dia kena bebel tiga hari tiga malam angkara meninggalkan kawannya itu.

"Apa yang menarik sangat dengan pintu ni? Gamaknya kalau kau jual, rasa-rasa cecah ribuan ringgit ke apa?" Ardella bercekak pinggang. Di waktu itu, hanya mereka sahaja yang berani menjejakkan kaki ke rumah kecil ini dan Ardella tak rasa orang lain berani untuk berbuat demikian.

Dia datang ke sini pun hanya kerana Ufaira. Jika tidak, memang dia takkan buka langkah walaupun sejujurnya dia baru mengetahui kewujudan rumah kecil ini. Setiap kali dia pergi ke Taman Desa, sungguh dia tak pernah tahu akan hal tersebut. Sehingga Ufaira hadir bersamanya barulah dia yakin bahawa ada seseorang yang mendiami rumah tersebut.

"Ni bukan ribuan dah ni, mungkin dah cecah puluhan ribu. You know, Della... zaman sekarang ni kita jarang sangat jumpa benda aesthetic and authentic macam ni. Jadi, aku kena tengok betul-betul mana tahu dapat ilham ke apa..." Menceceh-ceceh Ufaira menjawab. Ada senyuman lebar yang bertamu di hujung bibirnya.

Ardella turut sama ukir senyum. Faham sangat dengan fiil Ufaira yang mengharapkan ideanya turun mencurah-curah bagaikan hujan. Tetapi dia tahu, perkara itu tidak semudah membaca buku cerita sahaja. Perlu juga ada usaha kerana mereka ini freelance painter.

Mana mahu kaut untung kalau tiada idea?

"Betul sangat dah tu. Sekarang ni, kau dah tengok pintu tu dekat-dekat. Apa kata kita balik?" Nada suara Ardella berubah perlahan, bagaikan membisik di telinga Ufaira. Melihatkan Ufaira yang hanya berdiri tegak bak patung manikin, Ardella menyiku pinggang gadis itu.

"Tunggulah sekejap. Aku nak tengok..."

"Hei! Kamu berdua buat apa ni?" Suara terjahan itu membuatkan mereka berdua tersentak. Cepat-cepat Ufaira mengundur ke belakang dan kemudiannya berdiri di sisi Ardella.

Ardella dapat menangkap dengusan kasar yang terlahir dari bibir lelaki pertengahan usia itu. Nampak gayanya, kehadiran mereka seperti tidak diundang. Tambahan lagi, matanya terlihat sebilah parang dan sabit yang kedua-duanya berada dalam genggaman tangan kirinya. Rasa gerun pun ada dia melihatnya.

"Pakcik tanya ni, kau orang berdua buat apa di sini? Kamu tahu tak ni kawasan larangan? Tak ada seorang pun yang menyuruh kamu lalu ke kawasan ini." Suara lelaki itu agak tinggi menyentakkan dada Ardella dan Ufaira. Terhinggut-hinggut bahu mereka apabila dimarahi sedemikian rupa.

"Ini kawasan larangan? Memangnya saya tak percayalah, pakcik. Kalau pun tempat ni jadi kawasan larangan, kenapa tak letakkan papan tanda ataupun apa-apa sign yang menunjukkan tempat ni adalah kawasan larangan?" bidas Ufaira dengan berani.

Mana tidaknya, dia datang ke sini dengan baik kut. Tak sampai sepuluh minit mereka sudah ditegur oleh lelaki ini.

"Kamu... jangan keras kepala nanti buruk padahnya! Pakcik dah cakap dari tadi, sini kawasan larangan, apa susah sangat nak dengar? Banyak mulut kamu ya? Jangan sampai kecelakaan menghampiri kamu berdua!" balas lelaki itu dengan mata terbeliak besar. Tak menyangka kedegilan gadis ini semakin merancakkan lahar amarahnya.

Ardella yang menjadi pemerhati sedari tadi, kini sudah tidak senang duduk. Lengan Ufaira diusap-usap perlahan dengan niat mahu menenangkan. Menatap wajah sang lelaki saja sudah buat dia resah berganda. Dia risau jikalau lelaki itu mengotakan kata-katanya. Nanti tidak pasal-pasal pula Ufaira dicederakan.

"Saya yang keras kepala? Pakcik silap. Saya datang dengan niat yang baik, tak ada pun rasa nak mencuri. Jika pakcik rasa saya sedang buat perkara yang jahat, pakcik hukum aje saya." Ufaira menentang pandangan mata sang lelaki. Kini, rasa takutnya sudah menghilang, digantikan dengan geram. Lelaki memang tahu nak mengugut saja!

"Kamu ini memang..." Belum sempat lelaki itu ingin membantah, Ardella terlebih dahulu menyampuk. Kepalanya ditundukkan sedikit sebelum diangkat menatap si lelaki yang memerah mukanya. Pasti dia rasa geram kerana Ufaira memprovoknya.

"Maafkan kami, pakcik. Memang niat kami masuk sini tapi untuk melihat pintu tu saja. Kawan saya berminat dengan corak dan ukiran pintu rumah pakcik ni. Maaf jika pakcik rasa tak selesa." Ardella cuba menyejukkan keadaan. Tak mahu menjadi minyak kepada api yang sedang hangat membara, bimbang semakin marak menyala.

Lelaki itu menyengap. Seketika, sepasang matanya beralih dari wajah Ardella ke wajah Ufaira. Masih tergambar riak ragu-ragunya di situ. "Apa benar niat kamu itu?"

Ufaira mengetap bibir dan mengangguk perlahan walaupun dalam hatinya masih berbaki sisa ketidakpuasan hati akibat ditengking lelaki itu. Mahu tidak mahu, dia beralah jua. Betul juga apa yang selalu Ardella katakan kepadanya, buat apa perlu berlawan jika boleh beralah. Lagipun, lelaki itu orang yang sebaya seperti ayahnya. Tiada untung pun kalau dia nak ajak bertomoi.

"Betul kata kawan saya. Saya minta maaf atas kekasaran bahasa tadi," ujar Ufaira dengan intonasi suara yang rendah.

"Baiklah, jika itu kata kamu. Pakcik harap kau orang jangan kembali lagi ke sini. Ini bukan tempat kamu. Pakcik risau seandainya kau orang bakal berada dalam bahaya." Lelaki itu juga berkata dengan nada rendah. Walaupun ada garis kedutan yang melakari wajah itu, namun raut garang yang bertamu tadi sudah hilang.

Ada kelegaan yang terpampang pada riak wajah Ufaira. Eloklah lelaki ini dah tak menengking lagi. Walaupun dia tidak puas mahu melihat 'seni' pada pintu itu, tetap digagahkan kaki untuk melangkah pergi. Dia patut lupakan segala niatnya itu. Biarlah dia meninggalkan rumah ini tanpa menggores perasaan sesiapa. Baik pada hatinya mahupun pada hati lelaki itu.

Usai lelaki tersebut beredar pergi, Ufaira menarik tangan Ardella agar mereka dapat pergi dari kawasan rumah kecil ini. Pada awalnya, Ardella kelihatan sedikit keberatan tetapi diikutkan juga langkah Ufaira dengan seribu satu persoalan yang menerpa kotak fikirannya.

Ardella tidak mampu menolak rasa panasaran yang hadir melalui butir bicara lelaki tadi. Dalam monolog hatinya, dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Bagaikan ada segunung rahsia yang disembunyikan oleh lelaki itu serta sesuatu yang ada di dalam rumah kecil tersebut.

Jika tidak, mengapa lelaki tadi mengatakan bahawa mungkin mereka boleh berada dalam mara bahaya jika mereka meneruskan hasrat untuk berlama-lama di situ?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro