13 imbasan CT

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Khai."

Jarang sekali namanya dipanggil oleh seorang gadis bertudung litup elok. Khairul menunding wajah sendiri mahu kepastian. Takut syok sendiri pula.

"Mak teh, siapa tu?" soalnya pada Mak teh tika pintu kereta dibuka bagi mempelawa ibu susuannya masuk. Hairan sungguh apabila ada gadis berpakaian sukan bertandang di hadapan pagar rumah setinggi dua meter lebih.

Mak teh turut memanjangkan penglihatan. Ada anak dara jiran perumahan rupanya sedang mencuri lihat Khairul Iddin. "Tu Asyilla."

"Oh, maaflah. Tak nampak sangat pagi-pagi ni." Matanya ditenyeh perlahan. Bukan biasa bangun di awal pagi, diikutkan hati mahu membongkang sahaja hingga tengah hari. Namun hasrat itu terpaksa ditolak ke tepi demi membawa mak teh ke hospital.

"Dia nak jumpa Khai la tu." Dicuit siku anak bujangnya. Mak teh tersenyum-senyum sendiri. Siapa lagi yang mengkhabarkan kepada Asyilla bahawa tuan muda rumah ini pulang ke rumah pada hujung minggu melainkan mak teh sendiri.

Khairul yang berseluar jeans dan tshirt kosong kelihatan seperti tidak berminat pada kedatangan anak rakan karib kedua-dua ibu bapanya. "Buat apa? Khai ni bukan kawan dia pun."

Kaki melangkah ke bahagian pintu pemandu pula. Sifat tidak endah Khairul menggeramkan hati mak teh sendiri. Sejak kecil lagi Khairul seperti tidak suka berkawan dengan Asyilla. Tak siapa tahu mengapa.

"Sembanglah sekejap. Tak baik buat tetamu macam ni." Mak teh sudah menjeling, itu petanda tidak baik.

Khairul terpaksa akur kali ini. Kereta Ford Mustang Shelby Black dibiarkan panas enjinnya sebelum pergi berdating dengan mak teh. "Hm, okay. Mak teh masuklah dulu. Khai dah hidupkan air cond."

Iris Khairul meneliti anak gadis jiran atas dan bawah. Kasut sukan merah jambu, jumpsuit dan selendang hitam. Wajah tetamunya tampak kemerahan, barangkali kerana penat merembeskan peluh di pagi hari.

Butang automatik pada alat kawalan jauh diteka Khairul seraya melangkah ke hadapan gadis berselendang itu. "Hai, Asyilla. Baru balik jogging?"

"Hai, selamat pagi. Ya, baru balik jogging. Kau nak ke mana pagi-pagi ni? Ke pasar?" Punyalah Asyilla melonjak kegembiraan, dapat juga berjumpa dengan crush sejak zaman sekolah rendah.

Dewasanya Khairul bak jejaka malaya, kiranya cocok sekali dengan gadis seayu itu. Soal rupa paras mungkin Khairul telah cemerlang tetapi sisi jahatnya tak siapa tahu lagi.

"Takdelah... Nak ke hospital. Mak teh sakit perut," jawab Khairul.

Asyilla mengangguk faham. Sebenarnya bukanlah dia kepenatan berjogging di taman namun merahnya pipi dek berkejaran mahu mengambil sekotak coklat khas buat lelaki yang diminati. Barang yang terselindung di belakang badan dibawa ke depan bersama-sama segaris senyuman. "Baik-baik pergi sana. Aku ada buah tangan sikit ni. Ambillah."

"Coklat?" tebak Khairul. Elok pula kotak itu berbalut seperti hadiah hari lahir walhal ulang tahun kelahirannya lambat lagi. "Aku dah besarlah Asyilla... Kau tak boleh umpan aku dengan benda ni."

Cepat-cepat Asyilla melonggarkan atmosfera dan berlagak tenang. Selendangnya dibaiki satu tangan. "Siapa kata umpan? Ini cuma... tanda aku ingat kau. Walaupun dah lama tak jumpa."

Bibir terketap seketika. Khairul memandang kotak itu lama. "Takde kacang, kan?"

"Takkanlah aku nak bunuh kau. Ini coklat famous dekat London, spesial sangat masa musim salji," kata Asyilla bagi menyucuk Khairul. Mulut saja kata tidak mahu, namun gadis itu yakin Khairul akan tewas juga dengan mana-mana coklat.

Huluran kotak itu disambut baik. Khairul memandang Asyilla kembali. Gadis ini bukan calang-calang, bahkan pemilik biasiswa kijang emas Bank Negara. Di saat Khairul menyambung ke kolej swasta, Asyilla berangkat ke London untuk mengaji bidang perubatan. "Bila kau balik Malaysia?

"Semalam," sengihnya. Keayuan gadis itu terserlah lagi dengan barisan gigi putih.

"Oh... Coklat ni masih baharu. Okaylah, aku nak kena ke hospital dulu. Ada masa kita jumpa lagi." Lambaian kecil Khairul mengakhiri perbualan. Selamba badak membawa pergi kotak coklat tanpa berterima kasih kepada sang pemberi.

Asyilla hanya mampu tersenyum senget. Coklat itu dibawa merentas negara semata-mata buat anak tekak Khairul merasa. Namun, perhatian lelaki itu tidak dapat digarap juga.

"Tak apa, Khairul. Kita akan bersatu juga nanti seperti apa yang mama kau janjikan. Mungkin bercinta selepas nikah akan menjadi lebih indah," bisik hati kecil gadis berselendang itu. Kadang-kadang manusia hanya mampu melihat luaran sahaja, mereka tidak mengenali wajah sebenar yang cuba disorokkan.

"Asyilla bagi?" sapa Mak teh. Mujur saja Khairul mahu menyambut huluran persahabatan teman sepermainan. Asyik melihat wajah anak bujangnya yang bagaikan tiada perasaan.

"Ya... Coklat London. Bukan main..." Tali pinggang kaledar dipakai kemas. Khairul mula melepaskan gear kereta mewahnya.

"Awak ni tak malu ya ambil barang daripada seorang perempuan?" Mak teh sengaja mahu menyakat Khairul. Hendak tahu juga apa perasaan si teruna apabila si dara datang memikat.

"Buat apa nak malu? Orang nak bagi, nyiru saya tadahkan." Khairul tersengih sendiri.

Tidak pasal-pasal tamparan halus mak teh menyinggah lengan kiri Khairul. "Muka tak malu..."

Makin galak anak lelaki itu ketawa. Habis hilang segala kantuk di pagi hari. "Khai tak ada masa nak malu-malu kucing. Terima sajalah diri Khai seadanya."

Pacuan empat roda berkenaan menyelusuri lebuh raya sebaik sahaja beberapa simpang perumahan dilalui.

Aroma penyaman udara perisa vanilla mengisi atmosfera kereta tuan muda itu. Terhapuslah segala bau tidak enak daripada puntung rokok. Itu pun Khairul sanggup berjaga lewat malam semalam selepas selesai mendobi semata-mata untuk membersihkan ruang dalam kereta. Bekas abu rokok dicampak jauh, kusyen kereta juga divacuum. Itu semua khas buat keluar bersama-sama mak teh kesayangan.

"Seronok tak keluar dating dengan Tuan Khairul?" soal lelaki itu. Biar dimewahkan dengan pelbagai keduniaan, sedikit pun Khairul Iddin tidak malu membawa pembantu rumahnya keluar sekali.

"Keluar dating tapi tak bagi bunga pun. Tak seronok," balas mak teh. Teringin juga dilayan seperti permaisuri.

Sikap mak teh mencuit hati Khairul. Matanya yang fokus pada pemanduan tidak menghalang tangan untuk bersulam dengan jemari ibu susuannya. "Mak teh suka bunga apa?"

"Bunga lavender... Wangi sangat," bilang mak teh. Sesekali mata memerhatikan jalan yang dilalui kereta.

"Nanti Khai beli satu kedai bunga untuk mak teh."

"Tak naklah. Mak teh cuma nak sekuntum je. Nanti layu juga."

"Susah juga..."

"Kenapa?"

"Nanti Khai tak dapat bezakan mana satu bunga... yang Khai tengah berdating ni pun bunga juga."

Wanita setengah abad yang mendengar itu pun jadi kembang anak tekak. Anak muda zaman sekarang gemar memberikan ayat manis bak gula. Ada-ada sajalah loyar buruknya. Senyuman mak teh tergulung, rasanya seperti sedang bercinta.

Dicubit sisi rusuk Khairul. "Ini mesti dengan perempuan lain pun mulut manis juga..."

Terkekek Khairul ketawa. "Janganlah... geli. Terbabas kereta ni nanti."

Senyuman ibu susuannya itu satu perkara yang amat indah. Sungguh Khairul bahagia walau tanpa sang ibu kandung. Dia di sini menagih rasa pada yang sudi memberi.

Tangannya kembali bersulaman dengan insan kesayangan. Kekuran tangan wanita tua itu dibawa ke bibir lalu dikucup lembut.

***

Tidak semua kebahagian akan berkekalan hingga ke akhirnya. Ibu bapa itu pinjaman Tuhan yang sungguh bermakna.

Hargai mereka selagi ada.

"Mak teh takut," adunya pada anak lelaki di sebelah. Sesudah membuat imbasan bunyi, dia berlabuh di kerusi berdekatan Khairul.

Usapan telapak tangan kasar Khairul Iddin pada bahu memujuk hati untuk tidak berfikiran negatif. Moga sakit yang dihadapi hanyalah sekadar masuk angin sahaja. Mak teh diam di sisi Khairul. Mujur ada Khairul yang menemani, jika tidak sakit yang dihadapi sanggup ditahan berhari-hari tanpa pengetahuan sesiapa.

Sebuah skrin komputer disajikan untuk tatapan mata. Mak teh memandang Khairul, wajah anak itu bertukar serius. Namun, tangan di bawah meja sedang menenangkan hati tua dengan elusan kasih sayang.

"Daripada ultasound ni... Boleh nampak bayang-bayang hitam pada abdomen bawah. Mungkin saja ada batu karang di ginjal ibu awak." Doktor Kareena memaksudkan hasil imbasan bunyi beberapa minit yang lalu.

Keterangan tersebut baru sahaja hendak ditelan Khairul, namun ada kenyataan yang lebih perit sedang menanti.

Selang beberapa ketika doktor wanita di hadapannya bersuara lagi. "Tapi, ketumbuhan ni tak nampak macam ketumbuhan biasa. Kalau tuan Khairul lihat pada bahagian usus pun ada juga bayang-bayang hitam. Jadi, kita akan proceed imbasan CT pada usus dan hati untuk diagnosis lanjut. "

" Kenapa hati?" bingung Khairul. Mak teh kekal mengetapkan kedua-dua ulas bibir.

" Simptom yang ibu tuan hadapi ni tak lari daripada simptom kanser usus. Kerap sakit perut, cirit birit dan susut berat badan... Kanser usus pula akan sampai kepada peringkat yang mana sel kanser akan tular kepada organ penting seperti ginjal dan hati. Berdasarkan ultra sound, mulanya saya perasan bayang-bayang hitam pada ginjal sahaja, tapi rupanya ada ketumbuhan lebih besar pada usus. Apa kesimpulan tak dapat dibuat lagi... kita perlu bawa ibu tuan untuk imbasan CT terlebih dahulu.

"Khai..." Mak teh dihuni suatu rasa gementar. Tangannya sedang berpeluh walhal mereka berada dalam bilik berpenghawa dingin.

"Kita buat CT scan dulu, ya? Jangan takut, Khai ada dekat sini untuk tunggu mak teh." Khairul memaniskan wajah yang hakikatnya dia juga sedang terjerut. Dipujuk ibu susuan untuk berlaku tenang. Keputusan akhir belum dapat dicapai, itu semua hanya andaian sahaja.

" Khai tunggu mak teh," bisik Khairul lembut. Lekukan lesum pipit pada kedua-dua pipi menandakan keikhlasannya dalam berbicara. Jarang sekali Khairul akan menampakkan senyuman mahalnya melainkan ketika bersama-sama insan tersayang.

"Mak cik, ikut saya ya?" Seorang jururawat perempuan menghampiri mereka berdua.

Anggukan Khairul meyakinkan mak teh untuk ke bilik imbasan. Berlalulah masa yang penuh dengan teka teki. Khairul terduduk di luar bilik operasi tersebut dengan lamunan panjang. Disentuh dada kiri, bukan main lagi degupan jantung memainkan rentak. Menipis segala senyuman dan udara pernafasan. Wajah diraup lemah. Allah telah menggerakkan hati Khairul untuk membawa mak teh ke hospital pada hari itu. Hati seorang anak berasa tidak enak.

"Ya Allah, semoga mak teh baik-baik sahaja," bisiknya sendiri.

Telefon langsung tak disentuh semenjak semalam. Apa-apa panggilan tak mahu dijawab. Semalaman Khairul sibuk menguruskan jemuran, pagi ini pula dia perlu membawa mak teh ke hospital. Di sini, lagaknya tak ubah seperti seorang anak soleh. Terpisahlah sebentar dunia kejahilan. Padanlah Asyilla boleh terjatuh hati pada sisi Khairul yang ini.

Setengah jam menanti di tempat sama, barulah kelibat mak teh disapa mata. Terus Khairul berlari anak mendapatkan pengasuhnya.

"Masuk bilik ya untuk berjumpa doktor," pesam jururawat yang menjadi pengiring mak teh.

Andaian doktor perempuan itu benar belaka.

"Kami sudah jalankan imbasan CT pada hati, paru-paru dan juga usus puan.  Seperti yang dijangka, sel kanser sudah merebak ke hati dan paru-paru. Ada tiga ketumbuhan di hati bersaiz 10 sentimeter dan tiga bintik kecil pada paru-paru ibu tuan,” katanya tenang ketika menyampaikan kepada dua beranak di hadapannya.

Khairul hampir kehilangan kata. Dia pula yang luruh semangatnya. Mahu bertanya lebih, akal pula membuntu. Sungguh kenyataan sang doktor kedengaran tidak logik.

"Doktor yakin?" Ragu-ragu Khairul jadinya.

"Ya, tuan Khairul. Kami berdukacita untuk maklumkan yang ibu tuan penghidap kanser usus tahap empat. Kami akan jadualkan pembuangan sebahagian usus dalam masa terdekat, insya Allah."

Bergegar hatinya apabila doktor menganggarkan sang ibu susuan hanya mampu bertahan selama enam bulan. Khairul masih tidak percaya, bahkan kepalanya menggeleng perlahan di luar kesedaran.

Kad rawatan berwarna kuning cair dituliskan beberapa perkara dan penjadualan temu janji yang akan datang sebelum diserahkan ke tangan Khairul Iddin.

***

Kaku di tempat duduk pemanduan. Stereng kereta dipandang lama.

Setiap detik membawa Khairul ke dalam lembah derita. Hatinya dapat merasakan kesengsaraan yang bakal tiba. Diri itu masih belum bersedia.

Air mata menitis di tepi pipi. Esakannya kedengaran perlahan, dada cuba menahan getaran.

"Khai," bisik mak teh pada anak asuhannya. Senyuman nipis wanita tua itu terpamer. Dia menarik badan Khairul ke dalam dakapan.

Kasih Khairul pada mak teh tidak ada tolak bandingan. Menangisnya lelaki itu kerana kerisauan yang membebani. Diusap belakang Khairul lembut.

"Kita akan lawan sakit ni sama-sama..." Mak teh pula yang menyalurkan Khairul semangat. Tangisan anak itu diseka sedaya upaya. Walhal sepatutnya Khairul lah yang menguatkan mak teh.

"Mak teh... Khai takut..." Tersedu-sedu seperti anak kecil, habis merah hidung mancung Khairul. Air matanya bergenang ditubir.

"Sabar..." bilang Mak teh. Tersembam wajah anak bujang itu pada bahunya. Masih tidak henti menangis.

Biarlah seorang Khairul menangis semahunya dalam lindungan mak teh. Kelak, lelaki yang sama harus menjadi pemberi semangat kepada mak teh pula.

"Khai kata nak beli bunga pada mak teh?" Pipi Khairul Iddin diusap mak teh lembut. Kasihan Khairul. Dia cuma terlalu sayangkan ibu susuannya.

Sebak di hati tak lagi habis. Namun, Khairul mengangkat sedikit wajah dengan hangat kasih mak teh. Anak itu tak mahu membiarkan mak teh bersembang seorang diri. "Mak teh gembira kalau Khai beli bunga?" soalnya polos.

Mak teh mengangguk laju. "Iya, jangan menangis... Mak teh sedih kalau Khai menangis..."

"Mak teh... Mak teh janji ya kena kuat? Jangan lemah-lemah. Kalau waktu makan, kena makan nasi. Khai tak nak mak teh cengkung..." Comot sungguh wajah tuan muda Khairul tika itu. Sudah tidak peduli andai ada orang memerhati di sebalik tingkap kereta.

Tersenyum kecil wanita tua berkenaan. Sifat manja Khairul dihargainya setiap detik yang tersisa. Rambut kusut Khairul disisir melalui celahan jemari. "Mak teh akan cuba. Dah... Hero mak teh tak boleh lemah. Jom kita beli bunga dulu."

"Okay... Mak teh nak sekuntum je?" soal Khairul. Air mata dikesat dengan leher baju.

"Ya, cukuplah sekuntum. Takut nanti Khai tak boleh bezakan mana satu bunga, mana satu mak teh pula," seloroh mak teh. Ayat mengorat Khairul tadi diguna pakai kembali.

Khairul ketawa halus dengan sisa tangisan. Hatinya menghangat. "Walau sekebun bunga diberikan, Khai tetap dapat bezakan mana satu mak teh... mana satu bunga lain."

"Inilah rupa buaya darat, ya?" Suasana romantik dicantas mak teh.

"Mak teh! Apa kata orang macam tu..." cebik Khairul tidak puas hati. Mak teh selalu begitu, suka mematikan mood romantisnya. Tindakan Khairul yang hendak merajuk diperhatikan mak teh dengan ekor mata.

Tak lama selepas itu Khairul ketawa terbahak-bahak. Ruas dahi mak teh dikucup lembut, tempat ciuman itu diusap kasih. Mata sembapnya menyepet, bibir pun tertarik sekali membentuk segari senyuman.

"Mak teh, kita balik rumah dan rehat ya? Matahari dah terpacak atas kepala, nanti mak teh penat pula. Soal bunga tu... nanti Khai minta orang kedai hantarkan Khas buat mak teh. Boleh?" kata Khairul Iddin dengan lembut.

Apa sahaja pilihan yang ada melainkan melindungi kekasih hati sepenuh raga. Tangis tidak akan membantu, doa akan dikirimkan sentiasa.

***
votexkomen
***
mak teh :( kuat ke Khai nanti

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro