16 Riba

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Mak teh, betul ke Khai kena pukul?"

Paginya ditemani seorang anak gadis perumahan yang sama. Kebiasaan hari memang begini. Usai menyiram tanaman di kolam ikan koi rumah Dato Muhsin, mak teh berlabuh ke sebuah kerusi batu.

Pandangannya bagaikan dapat menembusi susunan batu bata dinding dan terus ke kamar Khairul di tingkat atas. "Betul. Tapi... mak teh tak tahu puncanya. Khai pun macam tak nak berkongsi. Mak teh tak naklah desak dia pula."

"Teruk?" soal Asyilla kembali. Panasaran juga. Wajah putihnya berseri secalit pemerah bibir. Dia hendak melonjak gembira apabila mengetahui kepulangan Khairul ke rumah, namun terbantut pula.

"Teruk juga. Sampai bengkak sebelah kepala. Khairul pun banyak baring je dekat bilik sejak semalam." Sempat menjenguk Khairul Iddin sebelum membuat sarapan pagi. Semangatnya agak luluh melihat Khairul berbalut kepala. Sakit ini barangkali perkara kecil bagi anak jantan seperti Khairul, namun mak teh tetap tidak mahu anak jagaannya dihinggap apa-apa jenis kesakitan.

"Kesiannya dia. Siapalah sanggup pukul Khairul..." gumam gadis berselendang itu.

"Mak teh tak tahu... Dato nampak marah sangat pada Khairul," ujar mak teh dengan gelengan. Emosi majikannya tidak begitu baik sejak semalam. Pasti ada suatu perkara besar yang telah terjadi.

Asyilla menoleh ke mak teh lalu dapat menangkap perubahan wajah setengah abad di hadapannya. Dia tersenyum kecil. Kebimbangan mak teh pada Khairul menandakan cintanya pada anak itu. "Mak teh janganlah sedih," pujuk Asyilla.

"Mak teh takut Khai kena pukul dengan Dato macam dulu... Mak teh tak suka tengok Khai sakit..." Jauh benar fikiran mak teh berlayar.

"Papa Khai dah berubah, bukan? Takkanlah Khairul yang besar panjang nak dibelasahnya..." Asyilla menyedapkan hati pembantu rumah Dato Muhsin dengan segaris senyuman.

"Mak teh je kot yang terlebih fikir." Ada benarnya kata Asyilla. Mak teh yang kusut memaksa diri buat beranggapan positif. Susah juga jika terlalu sayangkan seseorang.

"Mak teh ni... sayang sangat pada Khai." Asyilla tidak mengendurkan senyuman malah dia suka melihat hubungan kedua-dua beranak itu. Begitu baik layanan Khairul pada mak teh, itulah salah satu penarik untuk dia jatuh hati pada lelaki tinggi lampai itu. Harapnya Khairul akan melayannya dengan layanan yang sama ketika bercinta nanti.

"Itu je harta yang mak teh ada. Mestilah mak teh cinta dan kasih," kata mak teh. Pandangannya terhenti di kereta Dato Muhsin yang telah dipanaskan enjin. Dari jauh, bunyi deruman pacuan empat roda itu dapat dicam.

"Eh, papa Khai tak ke pejabat lagi?" Sekilas jam paparan telefon ditilik. 10 pagi.

"Tak. Dia sibuk nak uruskan masalah Khai." Begitu banyak sangkaan buruk terlayar di fikiran mak teh. Benar-benar khuatir pada hukuman yang menanti Khairul Iddin. Kiranya ini masalah besar biar pun tidak mengetahui secara jelas.

Asyilla membuat bibir berbentuk 'O'. "Tak selesai lagi? Ingat ke lepas balik balai polis dah sudah dah..."

***

Saling termenung memikirkan jalan penyelesaian. Suasana sepi di restoran tertutup itu mengizinkan pasangan berkenaan memperoleh ruang privasi. Santapan sarapan merangkap makanan tengah hari terdiri daripada potongan roti croissant sahaja.

"Patut ke kita kahwinkan Khai dan Asyilla?" Terluah isi buku hati. Datin Farina mengangkat wajah untuk menyelaraskan mata.

"Saya risau kalau lepas kahwin pun dia buat perangai juga. Kita tak boleh jangka apa akan berlaku..." Dato Muhsin membalas.

Seketika Datin Farina tersentak sendiri. Dialah contoh buruk yang sedang diikut Khairul. Boleh saja jadi Khairul sudah berkahwin namun keesokan hari pergi berzina dengan perempuan lain. "Saya risau dia ketagih lagi nak pergi tidur dengan perempuan. Kalaulah dia memang tak boleh kawal nafsu sendiri, kan hukum berkahwin dah jadi wajib?"

"Iya... Wajib. Bukan lagi sunat atau harus... untuk kebaikan Khai juga. Kalau dah punya isteri, itulah satu-satunya kebun halal yang boleh dia semai benih. " Hendak dipukul anak itu, tetap tak mengubah apa-apa. Cara yang lebih berhikmah perlu dicari kedua-dua orang tua Khairul.

"Asyilla pun dah lama suka Khairul. Mereka tengah berkawan, kan? Mungkin boleh ikat dengan pertunangan dulu..." cadang Datin Farina. Berbesar hati mahu sampaikan khabaran ini kepada rakan baik yakni ibu Asyilla.

"Awak tak risau kalau Khairul rogol Asyilla sebelum kahwin? Saya dah susah nak percaya anak sendiri." Dato Muhsin menghela nafas halus. Jauh berfikir sejak semalam lagi.

"Kenapa pula?" Ibu Khairul sendiri terkejut. Takkanlah mereka mahu pertaruhkan masa hadapan Asyilla ke arah kehancuran.

"Kawan dia kata... Khairul ni suka rasa perempuan dahulu. Kalau dia rasa tak sedap, dia akan tinggalkan terus. Apa pula nasib Asyilla kalau dah bertunang dengan Khai? Mahunya jadi lauk Khai untuk Khai buat keputusan nak teruskan ke arah perkahwinan atau tidak... Saya tak nak benda ni berlaku. Asyilla tu anak kawan saya," kata lelaki tua itu. Gaya cakapnya memang tidak meninggalkan kepercayaan kepada Khairul lagi. Tangan naik menongkat dagu buat seketika.

" Jadi kita nikahkanlah terus? Supaya tak jadi benda buruk... Khairul pun ada cara halal nak lepaskan nafsu dia." Datin Farina terus menyoal. Tambahan pula Asyilla memang menaruh perasaan terhadap Khairul Iddin, sudah tentu Datin Farina menyedari akan hal sebegini.

"Boleh juga macam tu... Nanti beritahu Asyilla untuk siapkan diri. Minggu depan kita akan hantar rombongan meminang, keesokan hari boleh bernikah terus," putus Dato Muhsin. Itu sahaja yang boleh menjadi penyelamat masa hadapan Khairul. Kedua-dua orang tua ini masih sayangkan Khairul selaku seorang anak.

"Harapnya Khai akan bersetuju... Asyilla baik budaknya." Datin Farina menjatuhkan kepala sekali. Langsung tidak dapat meneka bahawa pemberontakan Khairul bakal menjemput.

"Khairul dah dibuang sistem kolej. Baru je saya dapat makluman sebelum datang ke sini... Pengarah kolej tak mahu simpan Khairul lagi..." khabar Dato Muhsin. Aduan bekas-bekas teman wanita Khairul hadir menambah rencah pada kes yang sedia ada hinggakan dekan membuat keputusan untuk menyingkirkan pelajar bernama Khairul Iddin.

"Saya dah agak... Lepas dah kahwin, biarlah Khai ikut Asyilla ke London. Asyilla perlu habiskan pengajian di sana. Mungkin bila duduk di negara orang, Khai akan lebih terbentuk."

"Mudahan macam tu lah. Saya dah tak tahu nak buat apa. Bila buluh dah keras, lentur macam mana pun tiada kesan."

Mereka hanya inginkan yang terbaik buat sang anak. Sang anak pula tidak akan menunduk pada arahan sebegitu. Dari pagi hingga ke petang memikirkan khilaf sebagai ibu bapa, tak juga menemukan mereka kepada jalan penyelesaian yang akan memenangi kedua-dua belah pihak.

***

Matanya kian dihinggap kantuk. Pada kesan pukulan, satu beg kecil ais menuam. Terbaringnya kepala di atas riba mak teh lagi menyorong ke alam tidur.

Mak teh tersenyum kecil apabila menyedari anak susuannya sudah mamai. Jahitan luka ditilik lembut, tak mahu menyakitkan Khairul. Bahagian sisi kawasan itu cuba dituam agar bengkaknya surut. Tidaklah Khairul berbenjol keesokan pagi.

"Penat sangat ke..." Mak teh bertanya.

"Hm, penat," jawab Khairul. Dia menyelesakan baringan, diiring badan ke kanan sebelum menurunkan kelopak mata. Gemar sungguh menginap di atas katil sempit mak teh. Sudahlah ruangannya kecil, ditambah pula badan bidang Khairul lagilah mak teh terpaksa duduk sipi-sipi di penjuru katil.

"Orang tak suruh, nak buat juga. Mak teh boleh sudahkan kerja rumah," balas mak teh. Sakit abdomennya tidaklah menghalang hingga tak mampu berjalan. Khairul sahaja yang suka menghalang padahal kepala berbenjol.

Khairul menggeleng perlahan. "Khai cuma nak tolong mak teh." Dia mencelikkan mata lalu tersenyum nipis dengan terlekuk sedikit lesum pipit. "Mak teh nak kena ke hospital esok pagi, kena simpan tenaga. Jadi Khai tak boleh lembik-lembik. Nanti Khai kena tunggu mak teh, jaga mak teh."

"Khai, kalau mak teh tak ada nanti... Khai tetap akan jadi budak baik?" Mak teh menekur ke cadar katil. Pada hari esok, pembedahan pada usus mak teh bakal dijalankan. Berbaur perasaan di dada. Melihat pada wajah polos Khairul yang tak mahu berenggang, mak teh jadi berat hati.

"Apa maksud mak teh?" Khairul kembali melelapkan mata. Seperti tiada apa yang berlaku, dia lali dalam kantuknya.

Mak teh meletakkan beg ais ke dalam mangkuk di sisi katil. Sisa titisan air pada dahi Khairul diraup ke arah rambut. Lembap rambut anak itu disisir pula dengan jemari hingga Khairul benar-benar jatuh ke alam tidur.

"Tak ada apa," bisik mak teh.

Biarlah Khairul beristirahat di kamarnya. Wanita setengah abad itu mengambil bantal buat mengalas belakang badan sendiri yang bersandar ke dinding.

"Mak teh sayangkan Khai. Walau apa pun berlaku... Kasih mak teh tetap pada Khai." Merah matanya dengan sebak mencengkam. Sampai bila-bila pun hati yang sama tidak betah meninggalkan Khairul terkontang kanting. Sakit yang ditanggung badan menghiris sisa masa umpama pedang.

Mak teh mengesat tangisan sendiri sebelum memaksa bibir mengukir senyuman. Tak jemu mata memandang wajah kesayangan. Lagi suka terduduk mendodoi Khairul tidur seperti dahulu kala.

Tok tok

Tolakan pintu bilik dari luar menarik pandangan mak teh.

"Khai ada dekat dalam ke?" Kehadiran Dato Muhsin di muka pintu disambut mak teh dengan anggukan.

Mak teh mengusap lengan Khairul yang bersilang tika tidur. "Dato cari Khai?"

"Dah besar panjang pun..." omel Dato Muhsin. Berkerut dahi tuanya melihat karenah anak bujang sendiri, terbaring atas katil dalam ribaan sang pembantu rumah.

Mak teh sekadar menggariskan senyuman. "Tak apa. Selalunya dia akan terjaga sekejap lagi."

Nada suara diperlahankan, takut Khairul terkejut. Biarkan terlena di situ. Esok lusa tak siapa tahu apa bakal terjadi. Nanti tiada lagi tangan yang mahu membelai sepenuh kasih di sanubari.

***
votexkomen
***

lama tak update :(( sedih

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro