17 Pembedahan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Segalanya cuba diuruskan Khairul sebaik mungkin. Pagi itu dia asyik berulang alik dari rumah ke hospital yang bakal menyorong mak teh ke bilik bedah. Tertinggal sahaja satu barang kepunyaan mak teh di rumah, pasti enjin kereta dihidupkan.

Khairul menoleh ke sekeliling bilik yang serba putih sebelum terduduk di kerusi. Jam tangan yang melingkar pada pergelangan dikerling sekali dua. Telah dijadualkan mak teh akan ke dewan bedah pada waktu tengah hari. Kini jarum panjang sedang menghala angka 11.

"Khai," panggil mak teh yang sedang duduk di atas katil.

Khairul mengangkat wajah pucatnya. Pucat itu kerana khuatir. Lihatlah betapa hatinya tidak enak menanti detik pembedahan mak teh.

"Nurse bagi keputusan bacaan darah dan jantung tadi. Segalanya normal," bilang mak teh pada anak susuannya.

"Oh..." Kepala menekur lantai. Benarlah pembedahan akan dijalankan tidak lama. lagi andai kondisi mak teh sudah optimum.

Ketara sungguh perubahan wajah Khairul Iddin ketika itu. Sudah payah untuk membentukkan senyuman. Mak teh menepuk ruangan di birai katil sambil memandang lembut ke arah tundukan kepala Khairul. "Sayang, sini duduk sebelah mak teh."

Khairul akur.

Sipi punggung dilabuhkan di sebelah mak teh. Masam mencuka wajahnya. Wanita setengah abad itu pun memegang kesan jahitan di atas pelipis Khairul Iddin.

Diusap bengkak itu sebelum hembusan dilalukan lembut ke atas kulit yang terjahit pada kepala Khairul. Khairul masih menyepikan diri, matanya terkelip-kelip menahan empangan tangis. Pasti tidak lama lagi akan menitis jua air mata jantan Khairul.

"Mak teh masuk sekejap je... Tak naklah sedih macam ni." Mak teh mengelus bahu Khairul sambil mengukir segaris senyuman.

"Khai tak sedap hati," jujur Khairul. Bisikannya halus menerpa. Mata sudah teralih ke arah lain, tak mahu melihat mak teh di situ.

"Allah akan berikan yang terbaik untuk mak teh. Jangan khuatir. Nanti bila mak teh dah masuk dalam... Khai pergi solat ya? Doakan mak teh... baca yassin untuk mak teh... Insya Allah segalanya baik-baik sahaja," pujuk sang pembantu rumah. Dia mengusap pula dada Khairul agar kata-kata itu meresap ke dalam hati yang mendengar.

Khairul mengangguk lemah. Tubuh bidang itu pun berpaling ke arah mak teh lalu mendakap erat akan insan kesayangannya.

Lama kekal di posisi begitu. Mak teh yang berbaju kurung tersenyum sahaja. Dia memyambut kasih Khairul dalam. ukuran yang sama. Yang mana anak ini adalah salah satu nikmat paling berharga kurnian Ilahi.

Melihat pada kehadiran dua orang jururawat wanita, Khairul segera turun daripada katil. Mak teh dibawa bersalin gaun bedah berwarna hijau ke tandas dalam ruangan yang sama. Lelaki itu setia menunggu berdekatan katil dewan bedah. Dia menyilangkan tangan ke dada dan menanti dengan sabar sehingga mak teh kembali ke situ.

Seketika, wanita setengah abad yang sudah dianggap sebagai ibu diarahkan buat berbaring di atas katil beroda itu. Seorang jururawat menyelimutkan badan mak teh hingga ke pinggang sementara Khairul tak mahu berganjak. Dia mengelus kekura tangan mak teh dengan mata berkaca.

"Tuan, kami nak sorong katil ke dewan bedah dah," ujar sang jururawat yang memegang palang katil.

Khairul menjatuhkan kepala. Pembedahan berdurasi lima jam akan dilalui mak teh. Ini saja pilihan terbaik yang ada pada waktu itu.

Di akhir sebelum melangkah keluar, sempat Khairul menyimpulkan senyuman perpisahan. "Mak teh... Khai tunggu ya dekat luar?"

Lelaki itu mengucup kedua-dua pipi mak teh lalu tangan orang tua itu disalam. Keluarlah Khairul dalam keadaan terumbang-ambing menanti ketentuan takdir.

***

"Kami datang ni bawa hajat nak menyunting Asyilla. Asyilla dah tahu, kan?" Datin Farina memulakan bicara. Hajat besar kelmarin dibawa bertemu pada tuan badan.

"Ya, tahu. Mama ada cerita." Asyilla lah yang paling berseri di situ. Dia tersipu malu. Tidak menyangka bahawa segalanya akan berlaku sekelip mata walhal dia baru sahaja hendak berkenalan dengan teman sewaktu kecil itu.

Dato Muhsin yang berada di sebelah Datin Farina pun membuka mulut. Elok anak gadis sahabatnya diperhatikan dari hujung tudung hingga ke kaki. "Jadinya, kami nak Khairul dinikahkan dengan Asyilla. Khairul ni... selagi tak ada tanggungjawab selagi tu lah dia akan buat perangai budak-budak. Harapnya lepas bernikah dengan Asyilla, dia akan jadi lebih matang."

"Tak cepat sangat ke?" Puan Mona membalas. Ibu kepada Asyila ini mengerut seakan tidak bersetuju. Bukan niat di hati hendak merendahkan Khairul tetapi baginya Asyila tidak mampu menanggung tanggungjawab sebagai seorang isteri di usia muda.

"Buat apa lambat-lambat kalau Khairul dan Asyilla sedang berkawan sekarang ni. Kan, Asyilla?" Datin Farina cuba menyakinkan bakal besannya. Di ruang tamu rumah, mereka mengadakan perbincangan tanpa Khairul Iddin. Sedang lelaki itu menanti mak teh selesai pembedahan, boleh pula soal masa depannya dipertaruhkan.

"Kami kawan biasa-biasa je." Asyilla menjawab, sedikit segan. Takkanlah hendak menolak impian sejak kecil tuk bersuamikan Khairul Iddin.

"Tak apa. Cinta boleh dibentuk... Nanti dah kahwin, pandai-pandailah nak bercinta." Datin Farina lantas mengangguk. Sungguh mahukan yang terbaik buat Khairul. Baginya, Asyilla cukup pakej lengkap seorang pasangan sempurna.

Puan Mona menggeleng perlahan. "Syila baru 20 tahun... Tak terlalu mendadak? Khairul pun lebih kurang sebaya..."

"Apa salahnya. Farina pun nikah masa umur 20 tahun," dibidas jawapan rakan baiknya dengan perbandingan sewaktu muda.

"Itu lain... Budak-budak sekarang ni lambat matang. Takutnya dibuat main pula soal kahwin," tegas ibu Asyilla.

Barulah datin itu terkatup mulutnya. Dia sendiri tidak mengetahui sejauh mana Khairul akan mengambil serius soal perkahwinan. Naluri keibuannya hanya mahu Khairul mengawal diri daripada terus berzina dan menjadi rosak. Daripada khairul melakukan seks bebas, lebih baik dihalang segera.

"Macam ni lah, Mona. Kami ada berbincang untuk teruskan dengan pertunangan buat seminggu dua. Kalau Asyilla tak berkenan dengan Khairul, boleh saja diputuskan," celah Dato Muhsin. "Soal duit... jangan risau. Kami akan tanggung semuanya. Asyilla cubalah berkenalan dengan Khairul, ya?"

Berat hati Puan Mona hendak berikan kata putus.  "Nanti saya bincang semula dengan Asyila dan ayahnya."

"Saya nak kahwin dengan Khairul," ujar Asyilla perlahan. Penyataan itu mengejutkan Puan Mona di sebelah.

Laju benar anak gadisnya memberikan jawapan. Puan Mona memandang Asyila dengan sedikit kerutan. "Sayang, fikir dulu. Awak tu belajar pun tak habis lagi..."

"Mak teh kata Khairul baik. Mak teh selalu puji Khairul... Rasanya tu dah cukup untuk Syila buat keputusan." Masih terlalu mentah untuk mengenal dunia. Gadis itu meletak kepercayaan pada seorang lelaki yang tak pernah tinggal sebumbung.

"Kalau ayah Asyila bersetuju juga nanti, khabarkan pada kami. Kami sentiasa buka pintu rumah kami untuk kalian." Datin Farina tersenyum kecil. Benar tebakannya bahawa Asyila akan menerima.

"Macam mana pula tentang Khairul? Dia bersetuju?" tanya Puan Mona.

"Dia akan bersetuju. Takkanlah gadis sebaik Asyila nak ditolaknya," kata Dato Muhsin diselangi tawaan kecil. Tidak tahu lagi sang harimau di rumah akan mengeluarkan belang.

***

Bacaan yassin Khairul terhenti pada pertengahan naskhah. Fokusnya teralih seketika. Bunyi ringisan kesakitan mak teh lebih dipedulikan. Terus buku yassin itu diletakkan ke tepi.

Lima jam berlawan di medan pembedahan, bertarung ajal maut. Lesu waktu mak teh dipandang Khairul lama. Dia merendahkan badan mahu memanggil ibu susuannya. "Mak teh..." bisik Khairul.

Ubun-ubun wanita setengah abad itu diusap lembut.

"Sakit ya?" Khairul tersenyum nipis.

Pembedahan usus besar yang menegak itu lebih kurang 16 inchi jua. Air drip menitis setiap detik yang berlalu. Tiub pernafasan pula disalurkan ke rongga hidung. Mak teh terbaring di katil, matanya tidak pun dicelikkan. Hanya aduhan terbit di bibir menyatakan keperitan rasa selepas sisa bius hilang sepenuhnya.

Khairul bertindak menekan ubat penahan sakit yang akan disalurkan ke pembuluh darah mak teh. Dia pun merapatkan kerusi ke katil. Kedutan baju hijau mak teh dibaikinya, yakin ubat itu bakal meninggalkan kesan tidak lama lagi. Kain selimut ditarik menutup bahagian badan mak teh. Tidak sampai lima minit, wanita setengah abad itu jatuh ke alam separa sedar dengan. bantuan ubat penahan sakit.

Meskipun masa melawat bakal tamat, tidak terasa pula ingin pulang ke rumah. Dia lebih gemar duduk di situ dan menjaga insan kesayangannya. Khairul sendiri tidak menjamah apa-apa sejak siang dek tiada selera. Kekallah anak itu di situ mengelus kekura tangan orang tuanya.

Matanya termenung pada wajah mak teh. Pasti mak teh telah melalui saat getir ketika pembedahan. Tampaknya dia sungguh lesu dan masih tidak mampu mencelikkan mata. Bila terjaga saja, aduhan kesakitan yang menyapa pendengaran Khairul. Khairul tidak dapat buat apa melainkan menekan butang bagi ubat penahan sakit disalurkan ke badan mak teh seperti yang diajarkan jururawat.

"Mak teh, Khai dah berdoa pada Allah... supaya mak teh sihat seperti sedia kala. Allah mesti dengar doa Khai, kan?" Khairul tersenyum yakin. Manakan doanya ditolak. Dia ini anak soleh pada mak teh, sekelumit pun tidak mahu derhaka pada orang tua itu biarpun perangai di luar seumpama haiwan liar.

" Khai rasa... Khai banyak sia-siakan masa sebelum ni. Maafkan Khai sebab kadang-kadang tak balik rumah waktu hujung minggu. Patutnya Khai sedar penyakit mak teh lebih awal..." Di saat Khairul semakin dewasa, terlupa pula mak teh jua menghitung usia. Khairul membesar sebagai seorang lelaki berjiwa merdeka, kebebasannya tidak diseka. Mak teh pula tersenyum kerana menyangka anak susuannya sudah menjadi seorang manusia berguna.

Angan-angan mahu menjaga mak teh hingga ke tua sudah tertanam sejak dahulu. Khairul menyedapkan hati sendiri, tak mahu sangkaan buruk menguasai.

"Mak teh rehat, ya?" bisik Khairul di tepi wajah mak teh. Sekuntum kucupan mendarat pada pipi ibu susuannya yang mempunyai garisan kedutan. Tempat ciuman itu dielus Khairul.

Masa berlalu meninggalkan sisa memori untuk diamati di hari mendatang. Yang semakin jauh itu kisah lampau, yang semakin dekat itu kematian. Lari ke pelusuk mana sekalipun, masa kan terus menolak usia untuk menyapa hentian akhir.

***
votexkomen
***

update! vote dan komen. sorry lambat update! lepas ni bab sedih dah :')

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro