27 Tampar

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21


Sebutan kes jenayah Khairul telah dilakukan di Mahkamah Sebutan, pertuduhan kes rogol ke atas dua orang gadis dibacakan kepada yang tertuduh.

Khairul Iddin tidak mengaku terhadap pertuduhannya lalu meminta agar dibicarakan. Maka kes berkenaan dipindahkan ke Persidangan Pendedahan Kes Jenayah.

Sang pendakwaraya berusaha keras hendak menarik Khairul ke muka pengadilan. Melalui Skim Bantuan Guaman Jenayah, mangsa memohon untuk seorang peguam sukarela membicarakan dua kes berat ini.

Begitu jua dengan pihak Dato Muhsin, yang akan menyebelahi anaknya meski telah diketahui siapa di tempat benar dan salah.

Andai kata kebenaran tersingkap, pasti Khairul Iddin yang tersabit dengan kesalahan jenayah rogol akan dikenakan  Seksyen 376 Kanun Keseksaan yakni hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta hendaklah dikenakan hukuman sebat.

Perbicaraan bermula di kala kedua-dua pihak sudah cukup bukti di tangan. Penilaian hakim terhadap apa yang dibentangkan oleh pihak pembela dan pihak pendakwa di akhiri dengan satu keputusan muktamad.

Khairul Iddin bebas daripada pertuduhan.

***

Bilahan cermin direnung gadis berambut separa bahu itu. Leka dalam menungan. Hari berganti seolah tiada kebenaran akan terperi. Betapa kekalahan dalam mahkamah dapat ditebak Alya sejak awal. Mata luasnya mengerdip. Sikat pada tangan diletakkan ke atas meja solek.

Khabaran bahawa kenalannya, Fatihah sedang hamil menghadirkan rasa gembira. Dua bulan berlalu, minggu-minggu yang sungguh memenatkan. Di penghujung bulan, akhirnya Khairul menang tanpa sabitan apa-apa. Beruntung sungguh terlepas seksaan di dunia.

Helaan nafas halus terbit. Alya meraup rambut ke belakang lalu diikat satu tocang seakan ekor kuda. Dia bingkas bangun dan melangkah ke arah birai katil. Di situ terdapat sehelai telekung berwarna putih bersih.

Sejadah baldu berwarna biru gelap membentang di atas lantai kamar. Sesekali ekor mata melihat suasana gelap di luar tingkap. Masih bumi diselimuti kegelapan malam.

Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Terus dipujuk hati lemah dalam tubuh gadis. Alya menggeleng perlahan, air matanya berlinangan. Dia lekas menyeka sisa tangisan.

Solat subuh ditunaikan sebagai permulaan pagi. Anak seorang imam kampung, membuat onar di belakang ayah. Meniduri lelaki yang dianggap teman lelaki hinggakan satu penyakit menghinggap diri.

Kemaluannya dijangkiti kuman akibat perbuatan zina bersama bekas teman lelaki. Yang paling menyakitkan ialah jika terdapat ulcer di dinding faraj. Ketika hendak membuang air kecil pun Alya terpaksa menahan kesakitan. Padanlah ini balasan Allah ke atas perempuan murahan seperti dirinya.

Jika tidak kerana penyakit kelamin, Amirul tidak akan meninggalkannya terkontang kanting di situ. Allah melindungi dia dengan cara ini, agar tidak berasa mahu berzina lagi. Farajnya sakit. Setiap hari ubat antibiotik akan diambil dengan harapan jangkitan kuman itu akan beransur reda.

Mata terkatup erat. Linangan air mata terus jatuh ke tikar sejadah. Sujudnya ditemani tangis penyesalan.

Sakit dirogol Khairul sudah lama beransur pergi, bahkan sedikit pun hati tak mahu mengingati. Hanya yang mencengkam diri ialah kekhilafan selama ini. Usaha Haji Daud tidak kenal erti penat lelah dalam melindungi Alya telah menyedarkan anak gadis ini bahawa kedua-dua orang tuanya amatlah seorang pengasih.

Usaha Haji Daud sebegini tak mampu dibalas Alya. Kasih sayang seorang ayah melindungi jiwa. Tidak terbalas jua kasih Ilahi yang telah melindunginya daripada terus jatuh ke lembah kemaksiatan.

Tidakkah Allah lebih mengetahui? Belum dapat menyingkap apa hikmahnya kerana dia hanyalah insan biasa.

Usai menunaikan solat fardhu, gadis itu duduk seketika di birai katil. Sejadah diletakkan ke tepi riba. Ada rasa nyeri di sekitar pinggang. Disebabkan itu Alya sedikit menunduk. Dia menekan perutnya yang sakit tak ubah seperti semasa datang bulan.

Tangannya segera menanggalkan telekung di tubuh. Kaki pun melangkah ke luar kamar, hendak ke bilik air. Kebiasaan tanda-tanda ini dapat dirasai semasa hari pertama haid Alya. Maka dia tidak mengesyaki apa-apa. Matanya diperlihatkan secalit darah yang berasal daripada faraj, tidak ubah seperti darah haid.

Cuma harus diingati bahawa tiada haid kurang daripada 24 jam. Jika hanya darah sedikit ini, tidak layak baginya untuk dihukum sebagai haid.

Sudah tentulah itu bukan haid kerana darah yang terhasil adalah daripada proses implementasi benih Khairul pada dinding rahimnya. Tertanam anak luar nikah, diluar kehendak Alya. Siapa sahaja mahu mengandungkan anak tidak sah taraf? Yang akan dihina orang-orang kampung.

Bahagian perut dipegang sahaja. Sakit menyeri di kawasan itu.

"Kenapa Alya? Sakit perut?" sapa sang ibu ramah. Melihat pada tingkah puterinya berjalan melintasi dapur sambil memegang perut meninggalkan persoalan.

"Ya. Sakit. Rasa macam senggugut," jawab Alya. Diiyakan sahaja kerana bayi istimewanya belum lagi menunjukkan tanda-tanda. Kelak pabila perut itu membuncit, barulah semua tahu akan kehadiran bayi berbintikan hamba Allah ini.

"Alya naiklah bilik, makan panadol. Biar mak yang masak sarapan pagi ni," kata bonda Alya yang berada berdekatan singki dapur.

***

PANGGG

"Apa yang kau nak sebenarnya Khairul Iddin?" Mendatar suara Dato Muhsin, kedengaran kekecewaan seorang ayah pada si anak tunggal. Nama penuh Khairul dilantunkan, bergema satu rumah besar berkenaan.

Lelaki tua itu menaikkan tangan kegeraman. Mahu ditampar wajah Khairul sekuat mungkin hinggalah hatinya puas. Baru dirasai betapa seorang ayah merasakan sebuah kegagalan.

Api kemarahan berkenaan tidak dibalas Khairul melainkan dengan bibir yang terkatup rapat. Rasa pijar tamparan maut Dato Muhsin dibiarkan membekas pada pipi kiri. Dia menekur lantai jubin. Hujung bibir Khairul berlebam angkara dipukul polis ketika reman.

Sedikit pun Dato Muhsin tidak kisah anaknya hampir pengsan dianiaya semasa sesi soal siasat. Baginya itu lebih baik untuk mengajar si Khairul ini.

"Kenapa kau buat kerja bodoh? Kau tahu tak yang kau ni ada nama... Kenapa?!" Hambur Dato Muhsin. Dada Khairul ditunding jari telunjuk, tepat di tengah-tengah. Mata hitam mencerlung tajam bak helang yang ingin menerkam mangsa serta menyiat isi santapan ke cebisan tulang terakhir.

Khairul menadah amukan Dato Muhsin. Sekali lagi pipinya ditampar kuat. Padah menconteng arang di muka orang tuanya. Terlalu mengikut hati. Akal pun dikaburi nafsu. Sanggup dikejar isteri ustaz Mahfuz dan menghalalkan segala tindakan haram. Memang Khairul sudah hilang kewarasan akal fikiran.

"Kalau bukan sebab aku uruskan kes kau ni.. Dah lama kau meringkuk dalam penjara," sambung Dato Muhsin kesal. Darah di pembuluh melonjak tekanan tinggi dek terlalu memikirkan soal anak bertuah ini.

Dua beranak itu utuh berdiri di ruang tamu semenjak tadi. Tegang atmosfera zohor, tak siapa dapat meleraikan. Datin Farina sendiri terdiam seribu kata dan tak mahu membela Khairul yang dimarahi sang suami. Wanita setengah abad itu memilih untuk duduk berdiam diri di kamar utama.

"Papa penat... Papa kecewa dengan Khai..." Dato Muhsin meraup wajah kasar. "Khai dah nak masuk 30 tahun.. Papa dan mama makin tua... Kalau macam ni keadaan Khai, baik nanti hantar papa dan mama pergi rumah orang tua. Kami tak nak anak macam Khai pelihara kami."

Kata-kata keramat berkenaan menghiris hati Khairul laksana belati tajam. Lelaki itu pun mengangkat wajah. Sebutir mutiara jatuh pada wajah tua ayahnya.

"Papa..." bisik Khairul Iddin.

"Fikirlah, Khai. Kami cuma orang tua yang gagal bentuk anak sendiri," khabar Dato Muhsin. Dikesat air mata ke tepi. Nyata perasaan berbaur ini menghentam hebat kebapaannya.

Jarang sekali Khairul menyaksikan air mata seorang lelaki bergelar ayah. Wajah ayahnya kecewa, tangisan itu menandakan kepenatan di hujung usia. Senyuman nipis tak bertahan.

"Tak, papa dan mama tak salah. Ini semua salah Khai... Salah Khai." Khairul mendapatkan ayahnya. Kekura tangan Dato Muhsin diangkat. Ini sahaja harta yang Khairul punyai; papa dan mama. Cukup sekali Tuhan mengambil insan kesayangan, jangan pula diambil yang ada di hadapan mata ini.

"Papa pukul Khai sampai papa puas...  Jangan salahkan diri papa. Pukul ampai Khai mati pun tak apa..." rayu Khairul.

Tiada maaf tersisa. Terlalu sakit bekas perbuatan Khairul, jauh ke lubuk hati yang terdalam. Tangan Khairul ditepis lemah. Dato Muhsin memandang anak lelakinya dengan mata yang berkaca.

"Ayah mana nak tengok anak sendiri mati? Kami cuma nak tengok Khai hidup jadi seorang manusia..." jujur orang tua itu. Hujung nada semakin perlahan membisik. Akhirnya, dua ulas bibir dikatup.

Dato Muhsin berlalu pergi dari ruang tamu rumah. Lama mana hendak diherdik anak sendiri andai hati telah menjadi tawar. Wajah Khairul tak mahu dipandang. Secebis harapan yang cuba digarap suatu ketika dahulu punah.

Sepi suasana.

Dipejam kedua mata. Langkah lemah Khairul terhenti berdekatan sofa lalu dia rebah di situ. Betul-betul di sofa tiga serangkai. Badannya yang penat berlabuh. Segala sakit tidak pun dirasakan oleh reseptor kulit.

Lelaki berbaju kemeja itu menekan pelipis. Bawah matanya terserlah lingkaran hitam asbab tidak cukup tidur selama direman.

"Ya Allah... Apa aku dah buat..."

Dia juga penat. Tubuh sendiri minta buat berehat, berehat daripada segala kebodohan yang telah dilakukan.

***

votexkomen
***
Hari-hari update ni, fuhh

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro