31 Enam bulan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Berlalulah beberapa bulan sebagai tukang cuci sekolah, Khairul semakin terbiasa dengan rutin harian baharunya. Dia baik-baik sahaja biarpun penat seharian bekerja. Habis tenaga dikeluarkan untuk menyiapkan tugasan bersama-sama Pak Mat, nanti tiadalah tenaga untuk melakukan perkara mungkar. Itu suatu matematik mudah yang sering Khairul ambil ringan.

"Papa, Khai dah kerja lama dah... Jadi cleaner..." Pemuda itu membuka mulut. Tangannya leka menguis hidangan makan malam dengan hujung sudu.

Di meja makan yang sama, Datin Farina tersenyum senang pada kesungguhan anak terunanya. Cukup buat meyakinkan sang suami bahawa Khairul hendak berubah.

"Berapa gaji yang terkumpul?" Spageti carbonara, juadah makan malam keluarga kecil mereka. Hampir separuh Dato Muhsin menikmati, baru kini Khairul punya keberanian untuk mengambil tawaran tempoh hari.

"Sebulan dapat dalam RM700. Ini dah nak masuk bulan kedua... Adalah dalam simpanan Khai lebih kurang RM1400," Khairul berkata jujur. Wajahnya segar dek baru lepas bersiram. Tersenyum kemas, bangga pada pengucapan sendiri.

"Kalau papa bagi kerja esok... Khai nak buat apa dengan duit tu?" Soalan cepumas dilontarkan pada Khairul Iddin.

Pelipis yang tidak gatal digaru Khairul. Dia menyisir rambut hitamnya ke belakang dengan jemari tanda sedang berfikir. "Entahlah... Khai ingat nak belanja budak-budak sekolah happy meal McD sorang satu."

Sejuk hati kedua orang tua itu melihat anak tunggal mereka. Datin Farina mencelah pula. "Cukup ke nak belanja dorang? Sekolah rendah tu ada 600 pelajar, bukan?"

"Mungkin tak cukup... Jadi Khai nak belanja kelas budak-budak darjah satu dan kelas pendidikan khas je," terang Khairul Iddin, mata memandang wajah papa dan mamanya silih berganti. Seolah ada sinar baharu dalam kehidupan. Biarpun malap.

Dato Muhsin mengangguk dan tersenyum. "Khai, datanglah kerja balik. Papa perlukan Khai dekat pejabat."

"Papa maafkan Khai?" Mata hitam Khairul Iddin membulat. Dia memandang wajah beku ayahnya, tidak percaya.

"Ya."

"Terima kasih, papa." Terus menapak ke lantai lalu memeluk sisi tubuh Dato Muhsin. Sungguh lebar senyuman Khairul tika itu. Usahanya kian terbalas. Di bibir yang sama, senyuman itu akan mati. Dia berbahagia pada malam itu.

"Makan sampai habis, Khai," kata Datin Farina.

"Khai nak buat surat letak jawatan dulu," khabar Khairul. Pinggan makan malam ditinggalkan terus. Langkah dibuka luas mendaki anak tangga rumah.

Sudah lama menanti kata putus Dato Muhsin. Itu yang riang bukan main lagi. Dunia tukang cuci bukanlah ditakdirkan untuk dia. Setiap hari terpaksa bersabar melakukan pekerjaan itu biarpun ada sebahagian aspek yang digemari Khairul.

Ketukan jemari pada papan kekunci diiringi kunyahan biskut coklat. Sempat juga di dapur tadi Khairul menyambar sebalang kaca biskut kegemarannya.

Merujuk kepada perkara diatas, saya Khairul Iddin bin Muhsin (Nombor Kad Pengenalan: XXXXX-XX-XXX) dengan ini memaklumkan akan berhenti sebagai...

Khairul terhenti di perenggan pertama. Menyedar pada sikapnya yang terlalu formal walhal jawatan sandangan hanyalah tukang cuci. Dia ketawa sendiri.

Maka dengan itu, saya juga menggugurkan jawatan bermula 30 Mei 2021 iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini ditulis.

"Tak apa... Tulis je..."

Selesai menurunkan tanda tangan di atas lembaran digital, barulah alamat email syarikat ditaip. Dengan satu sahaja sentuhan, notis perletakkan jawatan itu dihantar terus pada malam yang sama.

"Esok nak pergi McD," bisik Khairul Iddin.

Maka dengan itu saya berharap Tuan pengurus dapat mempertimbangkan notis ini sebaik mungkin dan mengambil kira kepentingan syarikat yang membawa identiti sebagai koperasi yang berbudi dan beriman (BUDIMAN).

Sekian, terima kasih.

***

Ringisan kesakitan terbit di bibir. Baik tulang belakang mahupun bahagian bawah perut, kedua-duanya terik dan sakit.

Nafas dalam ditarik dan dilepaskan Alya yang sedang bersandar pada kepala katil secara berkala. Hamil tanpa suami itu tidak diinginkan mana-mana gadis. Biarpun ada Haji Daud yang tidak lelah menjaganya, naluri seorang wanita masih mahukan seorang lelaki di sisi bergelar suami.

Perutnya yang membukit dilekapkan telapak tangan. Sebelah tangan yang satu lagi pula sedang meletakkan bantal ke belakang badan. Biar tulang belakangnya dirapati empuk bantal kekabu.

"Alya sakit lagi?" Hajah Norma melangkah ke kamar anaknya bersama-sama sedulang bubur ayam panas dan susu. Telah tiba penghujung waktu Asar. Sudah tentu Alya kelaparan di bilik ini. Anaknya yang bunting hampir enam bulan lebih terkadang mengadu rasa sakit. Kontraksi palsu itu terhasil dek regangan dinding rahim demi menampung janin yang kian membesar.

Dulang besi itu didaratkan ke atas meja kayu berhampiran.

"Sakit sikit..." adu Alya.

Kesakitan menampung anak Khairul bertambah terasa sejak akhir-akhir ini. Kaki kecilnya sudah pandai menendang. Alya sendiri boleh mengesan pergerakan puteri Khairul itu di dalam

"Bila bayi dah besar, memang macam ni.. Perut rasa nyeri... Rehatlah." Perut Alya diusap kasih, di mana terletaknya satu nyawa yang telah memilih rahim Alya sebagai rumah sementara.

Akurlah anak dara itu. Secawan susu suam diambil Alya. Dia mencicip perlahan. Rasa vanilla enak membaluti tekak. Dek berkongsi nutrien dengan anak Khairul ini, Alya perlu menjaga pemakanan bagi melahirkan bayi bertubuh sihat.

"Alya nak pergi masjid," kata Alya setelah menyedari waktu jam di dinding kamar. Tidak lama lagi azan Maghrib bakal berkumandang.

"Sayang tak larat nak berjalan. Solat dekat rumah je..." pesan Hajah Norma.

"Larat. Nanti hilanglah sakit ni." Boleh tahan keras kepala juga si Alya ini.

"Jangan. Rehat je dekat rumah. Esok kalau sakit berkurang, kita pergi masjid sama-sama."

"Hm, okay..." Akur akhirnya.

***

"Nak jadi hensem macam abang." Minat sungguh kanak-kanak lelaki tujuh tahun itu mengikut tingkah Khairul Iddin. Sudahnya stail menyikat rambut pun ditiru juga.

Dia bertenggek di meja kantin sekolah yang terdapat banyak bungkusan kertas berwarna merah berlogokan McDonald's. Set happy meal berharga RM6.50 tersebut diuruskan Khairul sendirian.

Khairul telah pun menggunakan duit gaji yang terkumpul untuk membayar 200 set enam ketul nugget ayam, kentang goreng, minuman dan mainan. Setelah dikira-kira, makanan ini akan didahulukan pada pelajar tahun satu, tahun dua dan kelas pendidikan khas.

"Lepas jadi hensem nak buat apa?" Khairul melontarkan soalan kemahiran berfikir aras tinggi.

"Nanti ramai makwe," kata kanak-kanak itu.

Pemuda berkenaan mengerutkan kening lalu menggeleng. "Tak boleh macam tu, dik. Nanti sakit..."

"Nak ramai isteri," gumamnya pula. Satu kotak happy meal dibawa ke dalam dakapan.

"Tak boleh juga. Kalau satu dah cukup, jagalah yang satu tu." Dilayankan sahaja peneman bersembang. Khairul menunggu di kerusi kantin, menanti kehadiran pelajar kelas demi kelas. Sudah dikhabarkan kepada guru yang bertugas bahawa ada sumbangan makanan pada hari itu.

"Abang ada satu?" Lama membahasakan diri sebagai adik, Amin suka berkawan dengan Khairul.

"Tak ada."

"Kenapa?" Tak jemu menyoal.

"Penat." Lalu senyuman nipis Khairul terukir. Dia tidak tahu apa itu cinta dan apakah akan ada cinta untuk orang jahat sepertinya. Mustahil.

"Pak Mat." Khairul memanggil seorang lelaki tua, tukang cuci seperti dirinya yang berada tidka jauh. Ada sedikit wang saku untuk Pak Mat. Pada hemat Khairul, dia tidak memerlukan wang tersebut. Kelak Dato Muhsin akan membiayai gaji yang jauh lebih mahal. Alang-alang Pak Mat sedang melangkah ke kantin sekolah, ada baiknya duit itu diserahkan sekarang.

"Ini saya ada hadiah duit sikit... Esok lusa saya dah tak kerja dekat sini," bilang Khairul Iddin.

Tukang kebun tersebut melihat wajah Khairul lama bagaikan ada benda yang tidak kena. Sampul huluran pemuda itu tidak disentuh.

"Kau perogol bersiri?" Berdesup soalan maut.

"Siapa kata ni?" Khairul pura-pura tidak tahu. Senyuman dipalsukan baik dan tenang. Sakit di hati mencengkam kuat. Sampul yang sepatutnya menjadi hadiah kepada Pak Mat diremukkan Khairul dalam genggaman.

"Dalam bilik guru... Dorang tengah bercakap pasal kau. Jadi betul lah?"

"Merepek," balas Khairul.

"Muka kau pernah keluar berita seingat aku," tebak Pak Mat. Baru hari ini dia dapat mengecam wajah anak orang kaya tempoh hari yang terlepas daripada pertuduhan dua kes rogol.

"Ramai orang dalam dunia muka sama dengan saya." Ketawa hambar Khairul terledak.

"Kau baliklah. Cikgu-cikgu tu tak izinkan budak-budak turun kantin dan ambil makanan yang kau wakafkan ni. Aku pun tak nak ambil duit haram kau."

Patutlah lama Khairul menanti di kantin. Mujur sahaja ada Amin yang mahu menemaninya. Khabarkanlah sejak awal jika hendak buat begini, tidaklah dia perlu membazir masa pergi ke beberapa restoran McDonald's yang mahu menerima pesanan 200 set happy meals.

Mudah sungguh cikgu-cikgu di situ menghukum wang Khairul ini haram walhal ia adalah titik peluh dia bekerja sebagai tukang cuci sekolah. Hanya Allah yang tahu betapa sakit hati lelaki lewat 20-an itu. Kebaikan yang mahu dibuat dibalas begini pula.

"Abang... Adik nak nombor telefon abang , boleh? Nanti boleh call kalau adik cuti sekolah," pinta Amin. Satu buku nota kecil disuakan kepada Khairul.

Biarpun hati memaki hamun kegeraman, dia tidak boleh berkasar dengan Amin yang tidak bersalah. Kotak-kotak happy meal dipandang sepi.

Khairul telah bercadang mahu melihat senyuman ceria kanak-kanak yang menerima makanan percuma sebelum keluar daripada sekolah itu selamanya. Sayang sekali mereka tidak akan menyentuh pemberian sang perogol bersiri.

"Amin, jangan dekat dengan abang tu." Lantang suara seorang guru lelaki mendekati meja makan kantin sekolah.

"Kenapa?" Kepala yang tidak gatal digaru Amin. Nombor telefon Khairul Iddin telah didapatkannya. Begitu juga dengan Khairul, sedikit kehairanan pada larangan tersebut.

Apakah dia membuat dosa di sini?

"Dia orang jahat," kata cikgu itu.

"Mana ada. Abang ni baiklah..." nafi Amin.

Ternyata aib besar Khairul telah terbuka. Semua mata memandang diri ini penjenayah yang tidak layak melakukan kebaikan. Khairul tidak tahu mahu memberikan reaksi apa. Hanya senyuman sumbing terpeta di wajah.

Cukuplah sampai di sini sahaja percubaan mahu menjadi baik. Sudah jahat sejak kecil, barangkali sampai mati pun tetap jahat. Kebaikan dan Khairul laksana air dan minyak. Meskipun maksud nama Khairul itu sendiri ialah kebaikan, hanya kejahatan yang pantas buat insan seperti dia di mata setiap orang.

Khairul sedar siapa dia di situ.

***
votexkomen
***

✨ update lewat sikit

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro