33 Hospital

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Malam semakin larut. Mata kekal menekur hasil ujian sonogram di skrin yang dihalakan ke arahnya. Gelombang bunyi imej janin dalam rahim Alya yang tidak sempurna. Ada kecacatan pada pembentukan jantung ditemani beberapa-berapa tanda kecil lain lalu memberi risiko tinggi bahawa anaknya penghidap sindrom down.

Khairul tidak mengerti apa kecacatan yang dimaksudkan. Baginya imej ultrasound tersebut normal belaka. Apabila doktor menyebut ukuran ruang pada bahagian belakang leher bayi, seluruh fokus Khairul tertumpu. Mata hitamnya menganalisis rajah itu dengan baik.

Ya, ada cecair terkumpul dalam tisu leher janin. Ia memberikan ketepatan sehingga 70% untuk mengesahkan kecacatan kromosom.

Ujian darah turut dilakukan dalam masa yang sama. Khairul sabar menunggu keputusan skrin empat kali yang bertujuan untuk melihat empat bahan dalam aliran darah ibu mengandung yakni Alpha-fetoprotein (AFP), Estriol, Gonadotropin chorionic manusia (hCG) dan Inhibin A.

Selang beberapa ketika, seorang jururawat hadir ke bilik doktor dan menyerahkan keputusan ujian setelah satu jam menunggu. Di waktu itu, Haji Daud telah pulang ke rumah kerana hari pun sudah lewat, kasihan ibu Alya keseorangan di kediaman. Khairul pula membuat keputusan bagi menunggu hasil pemeriksaan, dia perlu tahu segalanya tentang kondisi Alya dan sang bayi. Wajahnya berlebam sana sini dek dibelasah bapa Alya. Darah kering di tepi mulut telah dibalas dengan air paip sebelum duduk menghadap penerangan doktor bertugas.

Kesemua empat bahan yang diperiksa dalam tubuh Alya memaparkan bacaan abnormal, membawa satu maksud.

"Baby tuan berisiko tinggi mengalami sindrom down. Saya cadangkan untuk tuan mempertimbangkan amniosentesis atau CVS bagi mengesahkan diagnosis." Wajah kosong Khairul Iddin dipandang doktor berbangsa India berkenaan.

"Ujian apa tu? CVS?" soal Khairul separuh berbisik. Entah mengapa dia jadi lemah begini. Jauh diri terlontar ke kehidupan baharu bersama-sama puteri kecilnya. Realiti sekeliling sukar dikesan lelaki itu.

Doktor Kamala yang berkot putih bersih mula menerangkan satu per satu supaya wakil pesakit faham dengan baik. "CVS ialah satu prosedur untuk kita sahkan diagnosis sindrom down semasa minggu kehamilan. Dalam prosedur ini, jarum nipis akan dimasukkan ke dalam plasenta atau uri untuk mendapatkan beberapa sel. Uri berasal daripada sel yang sama yang membentuk janin, jadi dengan melihat sel-sel uri, kita akan dapat melihat sel-sel janin. Sel-sel ini kemudian dihantar ke makmal untuk analisis kromosom. Jika karyotype mendedahkan bahawa janin mempunyai bilangan kromosom tambahan 21, maka janin akan mengalami sindrom Down.

Amniosentesis pula ialah satu prosedur pengambilan air ketuban menggunakan jarum yang ditusuk ke dalam rahim ibu. Sampel air ketuban tersebut akan dikaji untuk mengesan sebarang abnormal pada kromosom. "

"Ada apa-apa risiko gugur?" soal Khairul kembali. Rasa nyeri apabila telinga disapa dengan perkataan 'tusukan'. Dia tidak mahu perkara buruk berlaku baik pada Alya atau puterinya.

"Ya... Ada. Tapi risiko gugur akibat CVS dan amniosentesis ni sangatlah kecil, lebih kurang dua peratus sahaja. Ini terpulang kepada tuan untuk menentukan... Jika manfaat mengetahui kromosom janin tuan melebihi risiko prosedur, maka tuan boleh teruskan dengan ujian CVS."

"Saya tak nak buat ujian tu." Meskipun hanya dua peratus, keguguran tetap akan terjadi kepada bayinya yang baru berusia enam bulan. Melihat kepada figura ultrasound, dapatlah diketahui jantina janin berkenaan ialah perempuan. Khairul boleh menerima kondisi bayi abnormalnya kelak sepertimana Alya yang menerima untuk membawa kandungan anak luar nikah. Justeru, tidak perlulah susah-susah hendak melakukan ujian yang memasukkan jarum ke dalam plasenta atau air ketuban Alya.

"Okay, baik," akur doktor perempuan berkenaan tanpa banyak tanya. Dia menghormati keputusan pasangan muda di hadapan ini.

"Bila Alya boleh keluar?" tanya Khairul Iddin.

"Bila segalanya stabil. Buat masa ini kami letakkan Alya bawah pemantauan. Mungkin esok atau lusa, isteri tuan dah boleh pulang."

Isteri?

Khairul tersenyum nipis. Itulah yang cuba diharapkan, agar gadis bernama Alya ini menjadi miliknya. Dia perlu berusaha tak kira apa untuk meletakkan gadis mangsa rogol dan bayi itu di bawah jagaannya.

Usai menerima beberapa penerangan sehingga hati berasa puas buat pulang, barulah Khairul beransur ke luar bilik doktor. Kakinya kekal melangkah, niat di hati mahu melihat Alya sekali lagi sebelum pulang ke rumah. Pemuda itu pun tercari-cari nombor bilik yang tercatat di atas kad rawatan Alya sebentar tadi.

"Boleh ke saya nak melawat sekejap?" Terhentilah dia di kaunter jururawat.

"Tak boleh. Masa melawat dah tamat. Tuan datanglah esok pagi dalam pukul 10," kata jururawat itu.

"Oh, okay... Baik..."

***

Masih terbayang diri dicempung Khairul Iddin malam tadi. Suara yang dilantunkan lelaki berkenaan tidak kedengaran dek sakit yang teramat. Dia hanya mampu melihat tika itu. Melihat wajah perogolnya yang resah kebimbangan.

Tangan kanan Alya telah ditusuk branula bagi menyalurkan drip air. Kata doktor, bayinya demam. Suhu tubuh pula berada di atas paras normal.

Hidung kecil dibaluti bau ubat-ubatan. Alya termenung sendiri. Sudah lama tidak menjejak ke mana-mana hospital kerana di rumah sakitlah dia dirogol lelaki durjana itu. Sungguhpun pernah diperlakukan sebagai alat pemuas nafsu, gadis itu tidak berdendam kepada Khairul. Hatinya tawar tiada berasa apa.

Perut dielus perlahan.

Rasa tendangan kecil janin menemani Alya yang keseorangan.

Kerdipan mata mengizinkan mutiara jernih jatuh ke baju. Terlalu takut kehilangan bayi yang digendong selama enam bulan. Dia bersyukur kerana dapat merasai pergerakan puterinya pada hari itu.

Mujurlah Khairul tiba di waktu yang tepat, di mana degupan jantung janin melemah dan tiada pun pergerakan yang dihasilkan. Sakit yang dirasai Alya semalam amatlah menyucuk, baginya mengeras.

Mujurlah tiada apa berlaku.

"Alya," panggil seseorang di hujung tirai. Penghadang itu diselak oleh suatu tangan berurat. Suara garau ini tidak pernah Alya lupakan, pernah menjadi igauan mimpi ngerinya.

Dia pun mengelap sisa tangisan. Kain selimut ditarik menutupi perutnya yang membukit. Tidak guna juga dikeringkan air mata kerana setiap kali menangis hidung kecil Alya akan memerah. Mata yang melihat pasti mengetahui.

Khairul berdiri tidak jauh dari hujung katil. Tangannya kosong tanpa membawa apa-apa.

Jam tepat menunjukkan 9 pagi. Waktu melawat pun bermula. Pelawat pertama yang memunculkan diri tika itu ialah Khairul Iddin, setia menanti. Seawal 8 pagi lagi telah menunggu di lobi. Dalam pakaian yang sama seperti semalam, lebam yang tidak berkurang, ternyata pemuda tinggi lampai itu belum lagi pulang ke rumah sejak menghantar Alya ke sini.

"Tak makan?" soal Khairul, cuba memulakan perbualan. Bekas makanan dipandang. Enak lauk hidangan hospital pada waktu pagi membuatkan kantung perut Khairul bergendang.

Terhidang sepinggan nasi goreng sayur campur dan secawan air milo suam di atas meja katil.

"Ambil la kalau nak," bilang Alya. Peka pendengaran gadis ini dapat menangkap bunyi perut Khairul yang kelaparan. Wajah kekal berpaling ke arah yang bertentangan. Seleranya tiada pagi itu. Cukup segelas air suam buat mengalas tenaga.

Khairul tertunduk segan.

Kedua-dua mereka mengunci mulut membiarkan masa berlalu. Alya kekal bersandar di katil sementara Khairul utuh berdiri. Derapan telapak kaki jururawat yang lalu lalang menjadi melodi sunyi.

"Doktor kata... Anak kita berisiko tinggi akan alami down syndrome. Aku dah fikir masak-masak untuk ambil kau jadi isteri aku."

Sepi balasan Alya, bagaikan cendana di atas katil. Setiap bait-bait Khairul tak mahu dibalas dengan apa-apa. Turun naik dada mengisi detik yang berlalu.

"Aku nak jaga bayi ni... Aku nak lindungi kau... Jadi, tolong maafkan aku," sambung pemuda berkenaan. Tidurnya tidak lena di dalam kereta, setiap saat memikirkan cara untuk memujuk keluarga tersebut. Imejnya sebagai seorang perogol bukanlah mudah buat dihapuskan.

"Pergilah cakap dengan ayah."

Ada satu perkara yang menyenangi Khairul. Gadis yang dianggap malang ini tidak menghina dia. Sedikit layanan dingin mampu sahaja diterima, asalkan dia tidak dihalau daripada hospital ini ataupun dipanggil 'perogol'. Alya seorang yang lembut hati. Dari awal lagi telah menerima benih Khairul untuk membesar dalam rahimnya. Khairul banyak terkesan pada layanan gadis ini sejak semalam.

Di hadapan masjid, Alya masih mahu berbincang. Di hospital pagi ini, Alya tidak menghalau. Tak seperti kebanyakan orang lain yang langsung menghukumnya walhal Khairul tidak menzalimi mereka.

Masing-masing memikirkan cara untuk menjaga malaikat kecil mereka. Wajah pucat lesu Alya diperhatikan dengan ekor mata. Jauh pandangan dijatuhkan agar tidak bersemuka dengan Khairul Iddin.

"Orang tua tu nak bunuh aku." Khairul mengangkat kepala dan tersenyum. Dia memaksudkan amukan Haji Daud yang hampir memukulnya dengan batang kayu.

"Semuanya terpulang pada ayah," balas Alya. Untuk membuat keputusan ke atas diri sendiri pun Alya tidak berhak. Yang berhak hanyalah Haji Daud, sang ayah yang telah memeliharanya sepanjang hamil tanpa suami di sisi. Suara Haji Daud lebih pantas didengarkan dalam kondisi sekarang. Alya menyerah bulat-bulat pada orang tua itu.

"Okay," Khairul mengangguk sekali. "Aku janji aku akan kahwin dengan kau dan jaga anak kita sama-sama."

Taburan janji manis pemuda kaya itu sedikit pun tidak memberi kesan pada Alya. "Baliklah, sebelum terserempak dengan ayah."

Jam yang melingkar di pergelangan tangan dikerling Khairul. "Boleh kita jumpa lagi lepas ni?"

"Tengoklah."  Tiada kata putus daripada bibir berkenaan. Dingin pagi ditambah lagi dengan dingin layanan Alya yang berhati tawar. Hatinya tiada mengharap kepada manusia kerana pernah disakitkan sebelum ini.

Namun, Khairul mengambil itu sebagai tanda setuju.

Hari yang baharu untuk tuan muda ini. Memberikan sebuah sinar harapan tuk diperjuangkan. Pasti akan melutut di hadapan Haji Daud beribu kali, hingga hasrat murninya termakbul.

***

votexkomen

***

datang la lagi esok hari kalau nak kena belasah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro