43 Tuan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Tok tok

Tiada sahutan dari dalam.

Datin Farina mengetuk pintu bilik anak bujangnya sekali lagi. Sepi sahaja balasan bak tiada penghuni di dalam. Pintu itu pun ditolak membuka, wanita setengah abad berkenaan menapak sahaja tanpa keizinan Khairul.

Sekujur tubuh berselimut di atas katil menghadap ke arah bertentangan. Malap cahaya matahari tidak menembusi ke ruangan berkenaan. Tirai putih di jendela mengatupi segala kehangatan daripada terus membelah.

"Khai, jom turun makan," kata Datin Farina lembut. Punggungnya berlabuh di birai katil, melihat belakang Khairul yang diselubungi kain selimut hingga ke paras bahu.

"Takde selera."

"Kenapa ni... Dah dua tiga hari macam ni..." Lengan anak bujangnya dielus perlahan, hendak memujuk. Ceruk leher Khairul turut dirasa. Hangat badan pemuda berkenaan langsung berpindah ke permukaan kulit Datin Farina. Ternyata Khairul masih belum kebah demamnya.

"Khai demam lagi ni. Tak nak pergi klinik?" soal wanita itu. Terus merasa kehangatan ruas dahi Khairul dengan belakang telapak tangan. Perbuatannya membuatkan pemuda itu mengalihkan badan berbaring berdekatan ribanya.

Khairul menggeleng lemah. Dia menaikkan kepala ke atas riba Datin Farina buat sebagai pengalas. Kelopak mata diturunkan setelah menjumpai posisi yang selesa. Bersama-sama kehangatan, mahu terus merehatkan diri.

"Putus cinta ke apa anak mama ni... Sampai jadi lembik macam ni," sakat Datin Farina. Niat asal hendak mengendurkan keadaan. Sepi balasan Khairul sepertinya mengiyakan penyataan sedemikian. Barulah Datin Farina dapat meneka tika itu.

Bahawa hati Khairul sedang retak menanti belah.

Sembap tangisan di bawah mata anaknya diusap perlahan. Entah berapa lama telah Khairul menitiskan air mata.

Lelaki beku seperti dia punya juga seketul hati yang lembut. Hinaan demi hinaan melemahkan diri. Apatah lagi bergelut dengan soal hati. Akhirnya Khairul memutuskan untuk mengasingkan diri. Sejak diherdik Haji Daud, sejak itu jugalah Khairul mengunci diri di dalam bilik. Soal kerja langsung tidak menjengah, dia sudah tidak kisahkan apa-apa yang ada di luar sana.

"Khai nak mama buatkan bubur?" Datin Farina mengkhuatirkan kesihatan Khairul. Seharian suntuk tak mahu menjamah apa-apa selain air kosong dan panadol untuk melegakan diri.

"Khai tak selera..." bisik Khairul. Pergerakan bibirnya mampu difahami sang ibu.

Datin Farina memandang meja di tepi katil pula. Tiada pun kotak rokok yang sering tersadai di situ. Mungkin Khairul sendiri telah lama tidak membeli barang haram berkenaan. "Nak mama belikan rokok Khai?"

Apa sahaja yang menyelesakan Khairul, Datin Farina akan penuhi.

"Tak nak..." lirih Khairul menolak. Syarat ketiga Haji Daud, untuk tidak mengambil sebarang rokok. Pada lengan Khairul yang terselindung di sebalik selimut terdapat tampalan nikotin. Ketagihannya pada bahan kimia itu sedang cuba diubati melalui jalan lain.

"Sayang cakap dekat mama... Sayang nak apa?" Bukannya Datin Farina tidak sedih melihat keadaan Khairul yang lemah begini.

Pemuda itu menggeleng. Dia kembali mengatup kedua-dua mata.

Badannya sedang diselimuti Datin Farina. Ketika kecil, luka jatuh tersembam akan dibelek mak teh. Dikira itulah yang terpaling sakit. Sesudah dewasa, mak teh telah pergi terlebih dahulu mendahului semua penghuni rumah kediaman Dato Muhsin dan ketika itu ternyata sakit yang menghentam hati terlebih sakit menjerut.

Datin Farina membiarkan anaknya terlelap di riba. Sedikit pun dia tidak bergerak, malah kekal mengusap kepala Khairul Iddin. Sedar satu perkara, bahawa anak bujangnya telah dewasa. Dia tidak berhak menguruskan soal kehidupan ke atas Khairul. Segala pilihan itu akan dibuat Khairul sendiri. Cuma tuk terus bertahan, sokongan di samping amat diperlukan. Hanya dengan itu, Khairul akan memulihkan diri sendiri dan kembali teguh menjadi Tuan Khairul.

***

"Tinggi tekanan darah Alya," kata seorang doktor yang bertudung litup ketika menanggalkan blood pressure cuff daripada lengan pesakitnya.

Alya sekadar membalas senyuman nipis. Perutnya yang membukit diusap perlahan. Perubahan hormon yang disangkakan dapat dikawal semasa awal trisemester jauh tersasar. Di penghujung kelahiran sebegini, perasaan berbaur di dada. Fikiran yang cuba tuk dirasionalkan terkadang membawanya kepada terlebih fikir. Barangkali kerana ketika itu dia terlalu mahukan seorang suami di sisi.

Setiap kali hadir ke klinik, kebanyakan wanita hamil akan ditemani suami masing-masing kecuali dia. Perasaan cemburu meninggalkan kesan pada gelodak emosi Alya. Sekuat mana pun seorang perempuan masih mahukan bahu seorang lelaki sebagai pelindung. Tidaklah ingin mengetepikan pengorbanan Haji Daud, namun jauh di sudut hati seorang perempuan fitrah ingin berpasangan dan membina keluarga sendiri itu hadir menyemai. Alya tidak dapat menyangkal perasaan sendiri.

"Kita buat imbasan bunyi pula untuk lihat perkembangan bayi," kata doktor itu. Dia membawa Alya ke sebuah katil di bilik yang berasingan.

Alya berbaring perlahan-lahan bersama perutnya yang memboyot. Banyak kenaikan berat badan dapat dirasai. Betisnya melebar, pipi juga naik seperti pau yang putih kemerahan. Kenaikan berat badan mencapai ke puncaknya di bulan itu. Alya yang berbadan dua mengalami pertambahan berat badan sekitar 15 kg daripada berat asal, ini membawa maksud berat gadis kecil itu hampir mencecah 60kg.

Ada suatu gel mula disapu pada kulit perut, rasa sejuk menyapa.

Alat pengimbas diletakkan doktor ke perut Alya, lalu satu imej terpampang di skrin monitor. Janin di dalam kantung rahim sedang meringkuk pada posisinya.

"Bayi cik Alya sihat hari ni."

Gadis itu seperti dapat merasakan sebuah pergerakan di dinding abdomen. Siku, kepala dan kaki kecil puteri Khairul ini sedang menyundul perut Alya, sedang menggeliat barangkali. Mungkin juga bayi pun boleh bosan terkurung terlalu lama di alam rahim.

Alya tersenyum sendiri.

Dinding rahim dan perut itu semakin tipis kerana ia meregang dan membesar. Panjang janin yang terkandung hampir mencecah 45cm, terpaksa di tampung tubuh kecil Alya. Di saat pernipisan lapisan perut terjadi, lebih banyak cahaya yang dapat mencecah puteri kecil itu. Maka, seringlah cahaya mata Alya dan Khairul mengubah kedudukan ke posisi yang selesa dalam kantung rahim, sudah memiliki siklus aktiviti harian. Dalam tempoh 24 jam, banyak pergerakan dapat dirasai Alya di bulan kelapan ini.

"Alhamdulillah, ginjal bayi terbentuk elok. Organ-orang yang lain juga baik-baik sahaja," bilang doktor. Kesihatan bayi di rahim itu menyenangkan hati. Kecacatan pada jantung masih mengizinkan untuk si kecil membesar dengan sihat.

Usai melakukan imbasan, Alya memandang ke luar pintu bilik. Meskipun terhalang dengan dinding, susuk tubuh Haji Daud yang setia menunggu di kerusi terlayar di pandangan mata. "Doktor, nanti kalau ada seorang lelaki yang patah tangan datang ke klinik ni dan minta gambar ultrasound kandungan saya... Doktor serahkanlah. Saya izinkan. Sampaikan juga ucapan terima kasih sebab tolong biaya semua kos perubatan sepanjang saya datang ke klinik ni."

Doktor perempuan itu mengangguk. "Bila cik Alya keluar pintu utama sekejap lagi, mesti dia akan muncul. Saya dah tahu dia akan datang. Okay, baik... Nanti foto ni saya berikan pada dia."

"Terima kasih, doktor. Tapi doktor jangan terlepas cakap depan ayah saya."

Alya serik hendak melihat Khairul ditampar sekali lagi. Dia cukup tidak suka melihat getir hubungan dua lelaki itu yang masing-masing mempunyai ego tersendiri. Perbuatan terkutuk tempoh hari terang-terangan bukan Khairul dalangnya. Mana mungkin insan yang sentiasa menjaga dia dari jauh selama ini sanggup mengirimkan santau untuk memudaratkan diri.

Haji Daud sahaja yang membenci sedangkan Alya sudah lama memaafkan segala kekhilafan Khairul. Kebencian di dada orang tua itu makin menjadi-jadi. Pantang hendak membela Khairul, tidak pasal-pasal Alya yang akan dijeling. Konflik ini memberikan kesan emosi pada gadis yang sedang sarat mengandung itu. Tekanan darahnya naik gara-gara terlalu memikirkan masalah.

"Nanti cik Alya ambil ubat darah tinggi dekat kaunter depan." Kad perubatan diserahkan kepada Alya.

Gadis itu pun menjatuhkan kelopak mata sebagai isyarat mengerti. Perlahan-lahan bangkit dan melangkah ke pintu keluar.

***

Tin minuman dalam pegangan diremuk kasar. Dia mencampakkan minuman itu ke bahu jalan. Sungguh benci pada perkara yang dilihat. Elok sahaja bekas teman wanitanya berjalan masuk ke perut kereta bersama-sama Haji Daud.

Dia tahu setelah Alya melahirkan anak, cinta gadis itu kepada Khairul akan kian berputik mekar seperti bunga kembang pagi. Azzam tidak betah untuk melihat kebahagiaan bekas teman wanita sendiri bersama-sama lelaki lain. Alya yang pernah menjadi miliknya hanya akan didoakan agar menderita.

Bomoh itu telah berdusta.

Stereng kereta dihentak dengan buku lima. Bengang sungguh. Carutan demi carutan terlantun keluar di bibir mulut sepanjang membelah jalan. Pacuan empat rodanya dipandu laju buat bersemuka dengan bomoh pendusta itu. Azzam menyangka dia telah ditipu hidup-hidup. RM10 ribu lesap sekelip mata.

Selang satu jam perjalanan yang panjang, tibalah lelaki berhati busuk itu ke laluan denai sebuah perkampungan. Sanggup diredah apa sahaja demi melihat kesengsaraan insan lain. Tatkala hati telah rosak, kebahagian manusia lain umpama pisau belati tajam yang menghiris.

Rumah kayu usang di hadapan mata tidam menjemput sebarang ketakutan. Angin bertiupan membuka dan menutup tingkap kayu seiring kain tirai berterbangan.

"Dasar bomoh penipu... Aku dah bagi apa yang kau nak, kau kencing aku," hambur Azzam. Dia menerjah terus ke dalam rumah yang terpinggir itu. Tiada jiran di kiri dan kanan. Simpang mati ini hanya menempatkan sebuah rumah terbiar.

Setapak Azzam masuk ke dalam rumah, bau busuk bangkai menerkam ke rongga pernafasan.

Baru sahaja mulut hendak memaki hamun, hilanglah seluruh suara tatkala mata disajikan dengan sekujur tubuh manusia tiada bernyawa. Di muka pintu, Azzam terkaku.

Ulat-ulat putih jatuh ke lantai papan kekenyangan. Lendiran busuk mengalir keluar dari kesemua rongga yang ada. Mata, telinga dan hidung.

Bau yang terlalu kuat itu memaksa Azzam menarik kolar baju ke atas. Hidungnya tertapis daripada bau yang amat melemaskan.

Yang terawal mereput dan membusuk ialah di bahagian perut dan kemaluan. Tidak nampak dek tertutup dengan pakaian lusuh namun lalat yang berterbangan menghurung banyak di dua kawasan berkenaan. Serangga bernama lalat hanyalah menggemari perkara yang busuk memburuk.

Perut dan kemaluan, sinonim sebagai tempat melempiaskan nafsu serakah. Ianya perkara paling awal dihancurkan setelah roh terpisah dari jasad disusuli orang dalaman yang lain. Manusia sombong di atas muka bumi akan mereput, dimusnahkan sang ulat kecil yang kelihatan lemah. Sebanyak mana pun harta dunia dikejar, kematian akan tiba di akhir usia. Dunia itu penuh dengan perhiasan, indah belaka dan banyak tipu daya.

Fatamorgana, yang akan disedari sebahagian manusia.

Azzam tidak dapat bertahan lama di dalam rumah usang itu. Dia segera melompat ke tanah untuk menghirup udara segar. Mayat bomoh berkenaan seperti baru sahaja mati beberapa hari yang lalu.

Keinsafan tidak terhinggap di dada. Yang berada di buah fikiran, jin pendamping sang bomoh bukanlah perkara yang dusta. Buktinya pada hari itu dia disajikan dengan kematian lelaki tua dalam keadaan yang mengerikan. Pasti angkara jin belaan sendiri.

Azzam tersenyum sahaja.

Hati cukup yakin santau terhadap Khairul Iddin akan dapat dijalankan beberapa minggu lagi. Kunci kereta di dalam poket dibawa keluar.

"Sabarlah, Zam... Lagi 35 hari, kau dapat tengok Khairul sengsara," pujuk sang hati.

Malang sekali lelaki itu melangkah ke satu tempat yang penuh dengan makhluk bernama jin tidak bertuan. Dia tersenyum senang, sedang mereka jauh memerhati mahukan tuan baharu.

***
votexkomen
***

Harap Haji Daud fikir balik, kesian Khai.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro