44 Syarat pertama

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Tangan kiri diangkat dengan penuh berhati-hati untuk menyarungkan sehelai baju kemeja. Dia yang berdiri tegak di dalam bilik air melihat pantulan wajah sendiri di cermin satah yang memenuhi dinding.

Butang baju tidak mampu tuk dipasangkan sendirian. Dibiarkan saja terbuka menampakkan sehelai singlet hitam di tubuh. Potongan rambut yang baru dibuat semalam memberikannya satu semangat baharu. Tampak lebih kemas dan terurus, apatah lagi tanpa simen putih yang membaluti lengan kiri. Meskipun doktor telah menanggalkan Plater of Paris, pergerakan Khairul masih terbatas.

Kain anduh disangkutkan pada leher untuk menampung lengan kirinya. Tangan itu harus dibiarkan dalam keadaan tergantung, untuk mengekalkan posisi rehat. Semasa tidur pun Khairul akan memakai kain anduh, hampir dua bulan dia tidur dalam keadaan duduk bersandar di bahu katil. Progres penyembuhan yang memberangsangkan kali ini memberikan khabar baik untuk pemuda berkenaan. Mahu kembali kepada kehidupan sediakala.

"Kau silap, Haji Daud. Aku akan tetap datang rumah kau," kata Khairul Iddin sambil mencerlung ke cermin.

Kakinya dihayun keluar bilik setelah kunci kereta dan dompet digarap. Di dompet kulit itu terselit satu foto imbasan bunyi yang terbaharu, telah dikecilkan saiznya agar dapat disimpan di dalam saku. Setiap hari pasti Khairul akan melihat gambar hitam putih berkenaan walaupun wajah sang puteri masih belum jelas. Naluri bapanya menyulam di setiap hari-hari yang berlalu.

Nafas dalam ditarik.

Penangan penampar maut Haji Daud tempoh hari menyebabkan lama Khairul Iddin berkurung di bilik. Baru kini punya suntikan semangat baharu untuk menidakkan tuduhan imam kampung itu.

Tiada pengawal peribadi yang akan mengikut setiap langkahan Khairul. Dia sudah mampu berdikari untuk memacu kereta sendiri. Jika Datin Farina ada pada petang itu, pasti Khairul telah meminta untuk memasang butang bajunya. Memandangkan tiada sang bonda, baju Khairul kekal terbuka menerima sapaan angin.

Sebuah kereta berwarna hitam legap yang hampir dicuri samseng tempoh hari dimasuki Khairul.

"Walau apa pun berlaku, aku kena usaha juga untuk kahwin dengan Alya... Tak kisah orang tua tu nak tuduh aku hantar santau ke apa..." omel pemuda itu ketika mengundur kereta melepasi pagar rumah. Tidak boleh terus menerus bersikap lemah, dia ini seorang lelaki yang punya maruah.

Satu cermin mata gelap yang tersimpan di laci dipakai Khairul. Sungguh lama hidup dalam bayang-bayang, menjaga Alya daripada jauh. Dia harus cepat memenuhi syarat Haji Daud kerana bayi kecilnya akan lahir ke dunia tidak lama lagi.

Takkanlah hendak menyorok sahaja sedangkan Alya dan anaknya memerlukan figura seorang ayah.

Dalam memandu kereta melepasi simpang demi simpang, fikirannya turut memikirkan dalang disebalik pertuduhan santau makanan yang diamukkan Haji Daud.

Alya punya musuhkah?

Atau lebih tepat, apakah Khairul punya musuh yang mahu melihat orang kesayangan dalam lubuk kesengsaraan?

***

Ringisan kesakitan di waktu Asar kedengaran tika pulang daripada masjid. Haji Daud bergegas mematikan enjin motosikal dan masuk ke dalam rumah. Matanya tercari-cari keberadaan Alya di ruang tamu. Nampak sahaja anak gadisnya sedang duduk menahan kesakitan, terus dia melangkah lebih dekat.

"Alya sakit perut?" soal Haji Daud lembut. Anak rambut anaknya disikat ke tepi melalui celahan jemari. Rasa cemas terzahir wajah tuanya, mengkhuatirkan keadaan bayi dalam kandungan.

Kontraksi palsu terkadang mengecoh tanda-tanda melahirkan yang sebenar. Alya mengangguk perlahan. Kebelakangan ini acap kali kontraksi dengan pola tidak teratur yang kerap hilang dan timbul menjengah.

Bahagian perut diusap Alya. Perut terasa mengencang di sekitar 60 saat. Masih tenang dalam mengatur pernafasan, naik turun dadanya membenarkan udara keluar dan masuk.

"Alya... Rehatlah dalam bilik." Haji Daud yang kerisauan mengusap belakang anaknya.

"Tak nak... Alya nak tunggu Khairul datang." Tiba-tiba sahaja dihujung perjalanan mengandungkan bayi, Alya jadi begini. Dia asyik menanti apa-apa perkhabaran daripada Khairul Iddin. Sarat menampung benih Khairul ini memekarkan rasa mahukan seorang suami di sisi.

"Dia takkan datang dah... Ayah dah halau dia banyak kali," terang Haji Daud.

"Bukan dia yang hantar santau. Dia tak bersalah." Alya nampaknya mahu berdegil dan mempertahankan lelaki asing berkenaan. Pada mata Haji Daud memanglah Khairul itu insan luar, namun di belakang orang tua berkenaan Khairul sering menjaga Alya daripada jauh. Alya jua tahu Khairul sentiasa ada bersamanya. Walaupun mata tidak dapat menatap, hati tetap merasai.


"Ayah tahu... Salah ayah yang serang dia melulu." Akhirnya Haji Daud menurunkan ego. Tak mahu berbalah pada kejadian tiga minggu lalu di hadapan anak gadisnya. Dia lebih mengasihani Alya yang menanggung sakit kontraksi palsu hampir setiap hari. Mengkhabarkan waktu kelahiran akan bertamu lambat laun.

"Alya baring dalam bilik, ya?" pujuk Haji Daud.

"Kalau Khai datang, panggil Alya tau," pesannya. Lengan sang ayah menjadi tempat pemaut dalam mengatur langkah ke kamar di belakang. Rasa sakit berpusat di sekitar perut bahagian bawah ditahan Alya. Keadaan ini mirip seperti kejang pada otot uterus saat haid.

Haji Daud membaringkan Alya di katil. Benar perut anaknya sudah menerik. Ruas dahi itu diusap sebelum dikucup sekali.

"Alya... Ayah sayang Alya... Apa-apa yang ayah buat, semua sebab Alya. Walaupun untuk pertaruhkan nyawa sendiri, ayah akan buat. Asalkan Alya bahagia dunia akhirat," kata Haji Daud.

"Ayah tak mahu terima Khairul?" bisik Alya. Matanya memandang sayu. Rasa sayang pada lelaki bernama Khairul Iddin memberanikan diri buat menyoal keputusan Haji Daud.

"Ayah akan terima hanya jika dia patuh pada syarat ayah."

"Tapi Alya perlukan dia..."  Berkaca-kaca mata meminta simpati. Nafas hangat ditariknya.

"Ayah lagi sanggup lihat Alya berduka sekarang berbanding di kemudian hari. Tak apa kalau Khairul tak bernikah dengan Alya daripada nanti... Alya dan cucu ayah yang akan sengsara di bawah perlindungan seorang lelaki yang tak mengenal Tuhannya."

Mutiara jernih menitis ke lukah wajah mulusnya. Pada fikiran Alya, dia hanya mahu seorang lelaki di sisi. Kekerasan Haji Daud dalam memberi keizinan harus ditelan biarpun kelat. Gadis yang sarat hamil itu menggenggam cadar katil tatkala sakit pada rahimnya menyerang lagi. Kontraksi tersebut tidak memicu ke arah pembukaan serviks yang menandakan persalinan akan segera dimulai.

Haji Daud mengeraskan hati. Keputusan tidak akan berubah sekalipun Alya menagih simpati. Lelaki tua itu memalingkan wajah ke arah lain, tak mahu melihat anak kesayangannya menitiskan air mata. Dia berlalu keluar, mengizinkan Alya berehat di kamar.

***

Dua mata saling menikam. Firasat Alya pada kehadiran Khairul benar sahaja. Dan pada ketika lelaki kaya itu tiba, Alya sudah terlelap dalam tangisnya di kamar.

"Saya datang untuk berbincang," ujar Khairul Iddin. Baju kemejanya yang tidak berbutang bertiupkan angin. Dia utuh berdiri di situ.

Haji Daud melihat wajah Khairul lama. "Apa yang kau nak bincangkan?" Dingin balasan imam kampung berkenaan. Langsung tidak mahu memberikan muka pada lelaki asing di halaman rumahnya. Pintu utama dikatup perlahan, khuatir Alya akan terjaga daripada lena.

"Bukan saya yang hantar santau tu."

"Ya, aku tahu," kata Haji Daud.

"Mana pak cik tahu?" soal Khairul kembali.

"Alya yang pertahankan kau. Aku tak tahu siapa yang hantar benda tu... Kalau bukan kau, maksudnya ada orang lain yang berhasad dengki pada Alya." Gusar di hati sang ayah sentiasa hadir. Mereka tidak tahu siapakah musuh dan kawan ketika itu. Tidak hairan betapa dia cuba melindungi Khairul daripada Alya. Boleh jadi lelaki yang memakai kain anduh tangan tersebut cuba memutar belitkan keadaan.

"Ada sesiapa datang hantar makanan lagi? Atau pun hantar barangan?" Khairul masih tidak dapat meneka siapakah dalangnya. Tidak pasal-pasal yang menerima pelempang Haji Daud itu dia. Walhal pelaku sebenar sedang berkeliaran di luar sana.

"Kau tahu Alya suka makan nasi lemak sambal kerang?"

"Tak," jujur Khairul Iddin. "Saya tak tahu dan saya sendiri pun tak makan nasi lemak." Kehadiran kacang tanah yang sering diletakkan bersama-sama masakan kegemaran ramai ini mematikan selera Khairul. Sejak kecil, pemuda tinggi lampai itu tidak berani mahu menyentuh nasi lemak.

Nama Azzam tidak terlantas dalam fikiran kedua-dua lelaki itu. Khairul beranggapan bahawa Azzam sedang berjoli dengan wang RM50 000 yang telah diberikan hingga tidak sempat membuat kacau bilau di rumah Haji Daud. Sedang Haji Daud pula tidak bersangka buruk pada Azzam, padanya Azzam sekadar pemuda biasa yang tiada tujuan hidup.

"Pak cik, biar saya yang jaga Alya... Saya janji akan jaga dia macam nyawa sendiri." Kata Khairul secara tiba-tiba. Tekadnya untuk mendapatkan Alya dan melindunginya di saat getir begini memuncak tinggi.

"Dia tak perlukan kau," potong Haji Daud. "Kau dah lengkapkan syarat aku?"

"Ya, saya dah mula solat sikit-sikit dan kurangkan merokok." Khairul berasa yakin pada hari itu. Lamanya mengurungkan diri memberikan lelaki ini masa buat bermuhasabah.

"Dah belajar ilmu fardhu ain?"

"Dah, waktu sekolah KAFA dulu."

"Kau nak melawak dengan aku?"

Dahi Khairul berkerut. Dia jadi terpinga-pinga. "Salah ke apa saya cakap?"

Hati beku Haji Daud sungguh tidak berkenan pada sikap Khairul yang seolah-olah mengambil remeh soal agama. Syarat pertama saja sudah gagal, maka syarat kedua dan ketiga jadi tidak bermakna. "Macam mana kau boleh samakan ilmu waktu sekolah rendah dengan ilmu untuk menjaga keluarga kau? Boleh jadi waktu sekolah rendah, ustaz tak menekankan beberapa perkara penting kerana kau masih budak waktu tu. Mungkin juga kau banyak main waktu kecil. Semua ilmu waktu sekolah rendah jadi tak lengkap. Sebab tu lah aku suruh kau mengaji sekali lagi!"

Keras suara imam kampung itu menerpa. Khairul memandangnya tidak berkelip. "Kenapa pak cik benci sangat dengan saya? Saya dah cuba buat syarat-syarat tu."

Sekali lagi keadaan menjadi tegang. Baik Khairul mahupun Haji Daud sedang menahan bengang. Kedua-dua mereka tak mahu sefahaman padahal segalanya mampu diselesaikan dengan cara baik tanpa pekikan.

"Kalau macam ni perangai kau, kau takkan dapat sentuh anak kau." Haji Daud tak kurang hebatnya ingin menyakitkan lagi hati Khairul Iddin.

"Pak cik tak berhak nak haramkan saya sentuh anak sendiri!" Suara Khairul naik seoktaf. Dadanya turun naik dengan pantas. Pantang disentuh soal anak, dia akan melenting tidak tentu pasal.

"Ayah..." panggil satu suara lunak dari dalam. Pintu rumah dikuak oleh satu tangan kecil. Perbalahan di luar kedengaran hingga ke dalam rumah yang telah mengejutkan Alya daripada lena.

Khairul mengetap bibir dengan segera. Dia memejamkan mata menahan baran sendiri di kala gadis yang sedang sarat membawa anaknya berada di bingkai pintu utama.

"Masuk, Alya," arah Haji Daud.

"Kenapa ayah tak beritahu Alya yang Khairul datang..." soal Alya perlahan. Perutnya yang membukit sedang diperhatikan Khairul Iddin. Rasa tendangan pada abdomen bawah diusap dengan telapak tangan. Alya gembira melihat Khairul hadir pada hari itu, di saat dia berada di hujung kehamilan. Puteri kecil mereka juga seakan-akan bersorak di alam rahim, rasa tendangan itu mengkhabarkan segalanya.

"Ayah kata masuk." Haji Daud menjeling pada Alya.

Alya yang mahu menapak keluar mematikan hasrat.

Dingin perbalahan membuatkan Khairul memutuskan untuk berangkat pergi. Khuatir  semakin lama di situ, dia akan menengking Haji Daud di hadapan Alya. Sedikit pun lelaki ini tidak mahu Alya dan anak dalam kandungan menerima tempias pada ketegangan keadaan.

***
votexkomen
***

Cubalah bincang baik-baik Haji Daud pun...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro