61 Ziarah

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Awak, saya nak jumpa Fatihah boleh?" ujar Alya yang sedang memasang tali pinggang keselamatan di tempat duduk pemanduan.

"Jumpalah. Dia kawan awak, kan?" balas Khairul. Sebelum memulakan pemanduan, dia berpaling ke belakang. Mahu memastikan puteri kecilnya selesa di kerusi khas bayi yang baru dibeli mereka kelmarin.

"Ya. Rasa lama dah tak jumpa lepas dia bersalin hari tu..."

"Zahra suka dapat kerusi baru," gumam Khairul. Fokusnya teralih kepada anak kesayangan, belum memikirkan untuk menambah cahaya mata buat masa ini kerana mereka mahu memberi tumpuan pada tumbesaran bayi istimewa yang bernama Fatimah Azzahra ini.

Sikap kebapaan Khairul yang terserlah asyik membuatkan Alya jatuh hati buat ke sekian kali. Apabila Khairul menghadap ke hadapan kembali, kolar baju kemeja suaminya dibaiki. Diusap bahu lelaki itu, biar tampak segak di mata si pemandang. "Zahra marah awak rampas saya daripada dia."

"Suka hati je awak tuduh saya bukan-bukan. Bukan saya yang rampas awak, tapi awak yang datang dekat saya minta peluk malam-malam," dalih Khairul seperti biasa. Tidak pernah dia mahu mengiyakan rasa cinta membuak-buak di bibir melainkan pada masa tertentu sahaja. Amatlah kontra dengan sikap Alya yang sentiasa melafazkan kalimah penghargaan cinta di setiap masa.

" Saya sayang awak," balas Alya. Bibirnya telah dioles warna membentuk senyuman. Gadis itu meninggikan badan, lalu menghadiahkan sebuah ciuman di pipi kiri Khairul Iddin.

Tidak berkutik Khairul di tempat duduk. "Malu Zahra tengok," omel lelaki itu.

Ketawa kecil Alya kedengaran. Kasihan suaminya telah dicomoti gincu merah. Kesan ciuman itupun diusap hingga hilang. Benar-benar cintakan lelaki di hadapan mata tika itu. Retinanya mengembang bila mana memandang raut Khairul, di hati pula terhias taman bunga semerbak. "Awak tak sayang saya?"

"Siapa sayang awak... Silap orang awak ni," kata Khairul.

"Tapi saya tahu awak sayang saya," bilang Alya. Pipi Khairul dielus lembut. Ketawa ditahan baik.

"Awak jangan nak goda saya dalam kereta ni... Kita nak pergi rumah Mahfuz. Nanti alih-alih dah senja, Mahfuz halau kita pula. Saya akan salahkan awak nanti. Awak kena bertanggungjawab atas apa yang awak lakukan ke atas saya," punyalah panjang bebelan yang dibuat. Moga tangan Alya akan teralih daripada terus mengusap rahangya.

"Awak comel bila malu." Langsung Alya duduk di kerusi dengan baik. Dia berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Tak lama selepas itu, senyuman Khairul Iddin melakar. Tergeleng perlahan lelaki itu, brek tangan pun dilepaskan. Ada kala Alya lah yang paling menjual mahal,  kini mood isterinya bertukar pula.

"Awak... Nanti kita singgah klinik bila balik daripada rumah Mahfuz boleh?" Tudung dibaiki kelipan tepi.

"Kenapa? Awak mengandung ke?" Khairul sedikit terkejut. Bahkan dia belum bersedia untuk menimbang cahaya mata kedua. Belum puas lagi bermanja dengan isteri, mana mahu diganggu anak-anak.

"Kalau mengandung pun apa salahnya... Kan dah seminggu kita kahwin," kata Alya pula. Sepanjang minggu mereka berkasih sayang, ikatan cinta yang terbina pun makin utuh jua.

"Memanglah tak salah... Tapi kesian awak. Badan awak pun kena rehat dulu."

"Awak sayang juga ya dekat saya?"

"Nampaknya anugerah perasan minggu ini jatuh kepada Puan Alya. Tahniah ya puan. Nanti boleh claim hadiah."

"Yeay! Apa hadiahnya, sir?" Alya bertepuk tangan gembira. Keterujaannya mencuit hati suami.

Jalan raya dibelah pacuan hitam legap Khairul Iddin. Sebelah tangan mengusap dagu yang tidak berjanggut, memikirkan hadiah selayaknya bagi gadis seperti Alya. "Hadiahnya awak dapat seorang suami yang kacak dan bergaya."

"Tapi saya dah ada satu dekat rumah. Yang satu ni pun dah penat nak jaga. Makan nak bersuap, baju nak kena pakaikan, rambut nak kena sikat, tidur pun kena berpeluk.... " keluh gadis bertudung bawal hitam itu. Berat sungguh keluhan terbit di waktu senja.

Laju tangan kiri Khairul menutup sebahagian wajah isterinya. Tolakan lembut itu spontan membalas, sambil mata tetap pada pemanduan. "Hahah, sengal awak ni. Bila masa awak jaga saya? Bukan saya ke jaga awak?"

"Rosak awning saya... " omel Alya. Skrin telefon dihidupkan. Dia mahu membaiki kembali apa yang telah dibuat Khairul Iddin. Mulut muncungnya menolak angin ke atas sambil tangan lincah membaiki lipatan tudung.

"Padan muka."

"Awak tolak lagi muka saya... saya gigit tangan awak."

"Ye-ye je." Jeda. "Tapi kenapa awak nak ke klinik?"

Sebuah simpang dimasuki. Selang beberapa buah rumah mereka bakal tiba di kediaman Mahfuz dan keluarga.

"Nak check mengandung ke tak."

"Takkanlah. Awak memang tak tinggalkan pil perancang sejak kita nikah, kan?" gusar lelaki berkenaan. Anak kedua tiada dalam perancangan mereka.

"Saya makan hari-hari."

"Jadi takkan lah mengandung...."

Alya memandang sisi wajah Khairul Iddin yang seperti kebimbangan. Bukan seperti tetapi memang hakikatnya lelaki itu tidak tenang. "Risau sangat dia." Gadis itu tersenyum lalu berkata, "saya tak mengandung pun. Cuma ada nak check something."

"Apa?" Setiba di bahu jalan hadapan rumah Mahfuz, enjin kereta dimatikan.

"Ada lah. Jom... Dah sampai rumah Mahfuz."

Mata Khairul mengecil.

***

Hati mampu memaafkan. Namun, mata tidak akan mampu menatap lelaki yang berkongsi zaman jahiliah dengan diri. Fatihah dengan anak sulungnya berada di kamar tamu yang berbeza. Membiarkan hanya Mahfuz melayani kehadiran Khairul Iddin manakala dia di sini hendak berdua bersama-sama Alya.

Setiap kali terlihat wajah Khairul, betapa dia akan berasa jijik pada diri sendiri. Masa diperlukan buat menerima itu sebagai sebahagian daripada hidupnya.

"Fatihah, maaf sebab tak jemput ke majlis kahwin kami..." kata Alya.

"Tak apa. Awak datang ziarah ini pun dah cukup. Macam mana kehidupan baru jadi isteri orang?" Sedikit pun Fatihah tidak terasa hati.

"Rasa... sempurna sebahagian iman. Rasa hari-hari baru jadi lebih bermakna bila ada insan yang kita berkongsi rasa. Nampak macam tengah mabuk cinta, kan?" Alya ketawakan diri sendiri. Bagaimana boleh terfikir ayat-ayat jiwang begini. Cinta Khairul kepadanya menular ke sanubari. Betapa berserinya wajah yang asyik tersenyum.

" Nampaklah tengah mabuk tu... " sakat Fatihah, mengiyakan sahaja. "Tapi baguslah kalau Khairul betul-betul nak jaga awak."

"Khairul jaga? Saya yang banyak jaga dia adalah..." Balasan Alya yang baru bernikah seminggu menghiburkan hati Fatihah.

Uwais di riba sedang terulik lena. Cahaya mata Mahfuz dan Fatihah, di sebaliknya terkandung berbagai asam garam rumah tangga biar pun baru setahun mendirikan masjid. "Suami sentiasa jaga kita, cuma kita saja tak perasan. Hakikat perempuan memerlukan seorang pelindung. Pelindung yang sentiasa ada..."

Dan ketika Fatihah menutur, waktu itu juga Alya menyimpulkan senyuman bahagia. Yang terbayang di minda ialah wajah sang suami. Betapa sayangnya dia pada lelaki itu.

"Senyum-senyum," tegur Fatihah.

Masih tidak kendur senyuman. Alya menggeleng perlahan. "Fatihah, orang kalau tengah hangat bercinta... tengok dinding pun senyum tau."

"Macam mana dengan progres hijrah Khairul?"

"Ayah yang jaga Khairul. Alhamdulillah, ayah pun makin akrab dengan menantu kesayangan... Bila balik rumah, mesti dia akan bawa Khairul ke surau."

Tak siapa tahu lelaki yang zalim suatu ketika akan berubah angin, menunduk patuh pada Pencipta. Begitu jua pada diari kehidupan Fatihah yang langsung tidak pandai mendirikan solat, kini dialah yang paling menjaga ibadah itu atas bimbingan suami tercinta. "Untunglah Khairul. Allah permudahkan niat hijrah dia... Untung juga isteri dia sebab ada suami yang sedang melangkah di jalan taat."

"Doakan kami, ya?"

"Doakan apa tu..."

"Doakan ikatan perkahwinan kami berkekalan hingga ke syurga. Doakan jalan hijrah kami berdua..." Bertatih dalam episod hijrah, betapa risau salah seorang daripada mereka akan jatuh tersungkur. Alya tak mahu itu berlaku.

"Ya, dah tentulah saya akan doakan. Rasa gembira tengok awak bahagia dengan Khairul. Kenapa Khairul datang jumpa Mahfuz hari ni? Ada hajat ke?"

"Khairul nak berbincang dengan Mahfuz. Dia baru tetapkan satu slot kelas fardhu ain di setiap pagi Jumaat untuk pekerja pejabat dia. Mungkin Mahfuz dapat tolong aturkan jadual pengajian... dapat cadangkan mana yang kurang..."

Berita baik ini sudah pasti akan menggembirakan Mahfuz kerana kebanyakan orang membuat alasan tiada masa tuk belajar agama dek sibuk bekerja. Tindakan Khairul yang mewajibkan slot fardhu ain membawa orang awam mencintai ilmu. "Wah, kira pekerja Khairul semuanya akan belajar ilmu fardhu ain lah?"

"A ah. Khairul tetapkan macam tu. Dia tak nak orang lain jadi macam dia yang jahil ilmu agama dulu. Dia nak... semua pekerja ada asas ilmu fardhu ain, supaya perniagaan mereka akan bertambah berkat," terang Alya.

Esakan kecil bayi perempuan menghentikan perbualan dua gadis. Bibir merah jambu itu membuat bunyi tangis, sambil tangan yang bersarung naik meneyeh mata. Fatimah Azzahra semakin membunyikan tangis pilu. Seraya dengan itu, Alya menggendong anaknya rapat ke dada. Dicium sisi pipi montel Zahra sekali.

"Zahra lapar, ya?" soal Fatihah. Dia merapati rakannya. Belakang badan anak istimewa itu diusap lembut. Anak syurga Alya dan Khairul. Allah memilih pasangan ini buat membesarkan seorang anak penghidap syndrome down. Sebuah tiket ke syurga.

"Saja mengada ni nak papa dia... Nanti kalau papa dia dukung, mesti terus diam. Mengada..." ujar Alya. Bukan Fatimah Azzahra sahaja yang mengada di rumah, Khairul Iddin buat tak kurang hebatnya. Ada sahaja perangai manja yang perlu dilayan. Dua kali lima ayah dan anak.

Fatihah ketawa halus. "Pandai sangat Zahra ni ya..."

Alya terus memujuk hendak meredakan tangis puteri Khairul. Tangan menanggalkan butang baju si kecil yang teratas, mengizinkan pengaliran udara menyapa tubuh anaknya.

Telefon pintar yang tertiarap dihidupkan  gadis itu. Dia memeriksa waktu yang hampir menuju Maghrib.

"Ada nak ke mana-mana ke lepas ni?" Fatihah sedar Alya sedang melihat jam.

"Nak ke klinik. Tapi nak tumpang solat maghrib dekat sini boleh?" Alya meminta izin. Nampak gayanya Khairul pun pasti akan menunaikan sembahyang di rumah tersebut kerana tiada ura-ura lelaki itu sudah habis bersembang.

"Kenapa nak ke klinik?" soal Fatihah.

"Nak check mengandung ke tak," dalih Alya dengan jawapan yang sama kepada soalan Khairul sewaktu di dalam kereta.

Wajah Fatihah sedikit terkejut. Bukankah terlalu pantas untuk menimang cahaya mata kedua?

"Tapi rasanya tak mengandung pun," sengih Alya. Dia tak bermaksud untuk berbohong cuma ada seperkara yang mahu diperiksa.

Azan maghrib berkumandang di langit tinggi. Bait-baitnya indah kedengaran walaupun setiap hari menyapa gegandang telinga, tidak pun jemu.

Tangis Fatimah Azzahra beransur reda dalam dakapan Alya.

***
votexkomen

***

Panjang juga dah 60 bab novel Khairul ni. tapi terima kasih sebab baca. Agak-agak kenapa Alya nak ke klinik?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro