62 Ke klinik

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Fatimah Azzahra digendong Khairul rapat ke dada.

"Awak masih tak nak beritahu saya?" soal lelaki tinggi lampai itu di koridor bangunan. Dia menghadap isterinya yang sedang melangkah bersama-sama tas tangan. Sesekali kain selimut Fatimah dikemaskan. Pasti si kecil ini kesejukan kerana langit pun telah menggelap.

"Sayang..." panggil Alya lembut. Lengan suaminya diusap perlahan. "Saya sendiri tak tahu nak kata macam mana, jadi biar doktor periksa dulu."

"Periksa apa?" soal Khairul tidak puas hati. Mahu sahaja dia menarik muka di situ. Namun mengenangkan sedang berada di hadapan sebuah klinik, hasrat mogoknya tertunda.

"Ada sesuatu berketul dekat dada saya. Awak sendiri tegur malam tu," terang Alya. Posisi jemarinya di lengan Khairul pada awal naik pula ke pipi lelaki berkenaan.

Tiba-tiba Khairul teringatkan sesuatu. Memang benar dia juga menyedari akan hal itu. "Oh... Saya ingat ke itu benda biasa..."

"Itulah saya nak periksa. Kalau benda biasa, tak apa lah," tutur Alya. Ketinggian mereka yang berbeza membuatkan gadis seperti Alya terpaksa mendongak sedikit.

"Awak kena minta doktor perempuan untuk periksa sekejap lagi. Tak nak doktor lelaki..." Risau pula sang hati. Lagi-lagi Alya ialah wanita kesayangannya. Sebolehnya biarlah doktor perempuan menyentuh isteri halalnya itu. Khairul tidak betah melihat lelaki lain memegang Alya walaupun atas tujuan perubatan.

"Iya, takkanlah saya nak biar lelaki lain pegang saya sesuka hati. Macam ni... Awak masuk dalam bilik jumpa doktor sekali, nanti boleh dengar apa yang doktor tu cakap pasal diagnosis." Di akhir cadangan, senyuman manis tersimpul.

"Ya, memang nak masuk pun." Khairul mencebik. Lihatlah wajahnya yang telah mencuka.

"Jom." Lengan kiri suami dirangkul seraya bukaan langkah yang besar ke dalam klinik. Sengaja mahu berkepit dengan Khairul umpama belangkas. Takut nanti jika ditinggalkan, wajah cemberut Khairul akan memecahkan tangisan mengalahkan Fatimah Azzahra.

Kad pengenalan biru diletakkan di kaunter pendaftaran. Setelah peroleh nombor giliran, Alya mengajak lelaki itu berlabuh di ruangan menunggu.

Lengan kiri Khairul dibuat bantal peluk. Kaki sudah terlipat bersimpuh di atas bangku. Gadis itu tersenyum-senyum sendiri. Dia sejuk, tapi hangat badan Khairul tersalur kepadanya.

"Gedik," ujar Khairul. Tidak pun berasa rimas, cuma hati sedikit terumbang-ambing selagi belum memastikan bahawa Alya baik-baik sahaja. Jauh di sudut hati, Khairul begitu suka apabila Alya bermanja dengannya.

"Saya sejuk," adu gadis itu.

Tidak lama kemudian, Khairul melingkarkan tangan ke pinggul Alya. Dapatlah isterinya memeluk tubuh dari sisi tanpa penghadang lengan lagi.

Begitu rapat wajah dengan Fatimah Azzahra, maka Alya menghadiahkan sekuntum ciuman pada pipi bayinya. Padanlah Zahra ini suka benar bersandar pada dada Khairul, Alya sendiri terasa bagaikan hendak melelapkan mata di bawah pelindungan lelaki tersebut. Rasa nyaman dan selamat saling membaluti.

Mata Khairul asyik melihat skrin yang terpampang. Kertas nombor giliran Alya dipegangnya.

Mereka kelihatan tak ubah seperti sebuah keluarga yang bahagia. Di mana sang isteri bersandar di bahu suami sambil mengelus bayi kecil mereka. Dunia luar telah lama terpisah, langsung tidak hiraukan beberapa mata memandang. Ini kisah mereka, yang lain pula sekadar picisan.

"Kalau saya sakit, awak masih sayangkan saya?" Alya berbisik. Sebahagian wajahnya direhatkan pada dada bidang lelaki itu.

"Siapa sayang awak?" balas Khairul.

"Awak tak sayang saya?" Nada Alya bertukar pilu dan sayu. Nafas halus dihembus. Khairul suka berikan jawapan yang menyakitkan hati. Yang terkadang membuatkan Alya mahu menangis di situ.

Tersedar perubahan mimik wajah isterinya, Khairul menaikkan tangan dari pinggang ke bahu. Ibu jarinya mengusap bahu Alya. "Awak sendiri tahu jawapannya..."

"Tapi saya tetap nak tanya," bilang Alya.

"Alya, saya sayangkan awak... sepenuh hati saya." Perlahan suara garaunya menerpa. Di khalayak ramai, biar mereka berdua sahaja yang mendengar perbualan satu sama lain.

"Lagi..." pinta Alya, dengan harapan Khairul akan memberikannya lebih kata-kata penghargaan.

"Tak boleh lebih-lebih nanti awak overdose."

"Mana ada saya overdose."

"Saya risau je... Risau awak angaukan saya. Susahlah saya nak ke pejabat nanti. Asyik nak cium pipi saya je nanti."

"Mana ada..." Tak semena-mena dada lelaki itu ditampar Alya di luar sedar. Tamparan geram namun ada tersulam kasih sayang. Ringan sahaja tangan mahu mencubit suami pula, mujurlah hasrat itu dibatalkan Alya di kala nombor gilirannya telah tiba.

Khairul turut menyedari akan hal itu. "Bilik enam," bisiknya.

Bangunlah kedua-dua mereka, mencari keberadaan bilik bernombor enam. Di pintu masuk tertera nama doktor yang bertugas yakni seorang doktor perempuan seperti yang dipinta pasangan suami isteri itu. Kehadiran mereka ke dalam bilik disambut dengan sekuntum senyuman petugas perubatan.

Ruangan kerusi di sebelah meja doktor diduduki Alya sementara Khairul kekal berdiri bersama-sama Zahra.

"Puan Alya sihat hari ni?"

"Sihat." Laju Alya menjawab laksana orang yang sihat sejahtera. Wajahnya tiada pun tanda lesu melainkan seri pengantin baharu. Tampak cergas sepadan dengan usianya yang baru di awal 20-an.

"Jadi apa yang boleh saya bantu?" Doktor Shahida bertanya lagi.

"Saya ada rasa ketulan dekat payudara saya. Saya tak tahu la kenapa..." terang Alya.

"Besar mana tu?"

"Besar duit syiling 20 sen."

Khairul memasang telinga dengan baik. Diam di belakang, sambil menjaga puteri kecil. Hati berdebar, memikirkan sesuatu yang tidak diingini.

Doktor berkot putih itu terus bertanya secara terperinci. "Sejak bila rasanya ketulan tu ada?"

"Saya pun tak pasti... Tapi baru perasan minggu lepas. Tahu-tahu ada benda berketul."  Dan setiap itu Alya cuba menjawab sekadar yang termampu.

"Puan ada ambil pil hormon? Pil perancang?"

"Ya, ada. Baru makan sejak minggu lepas... Sebelum ni tak pernah makan pun."

"Puan ada sejarah keluarga? Perihal sakit yang berkaitan payudara."

"Ada... Ibu saudara saya pesakit kanser payudara."

"Oh, macam tu... Okaylah, kita buat pemeriksaan dulu."

Khairul Iddin mula berkerut. Tidak pula dia tahu Alya mempunyai sejarah ahli keluarga penghidap kanser. Lagilah hatinya jadi tidak tenteram.

"Awak, saya nak periksa badan sekejap. Tolong jagakan beg tangan saya tau." Gadis itu mendaratkan tas tangan di papan kerusi. Suaminya kaku, tidak mengangguk mahupun menggeleng. Dicuit pucuk hidung Khairul sekali, tersenyum gadis itu. "Jaga sekejap."

"Ah, ya-ya. Cepatlah periksa..." jawab Khairul. Terbawa ke realiti. Banyak sangkaan menerjah diri, hingga termengelamun di situ.

Alya pun mengikut langkah Doktor Shahida ke sebuah katil yang jua terletak dalam bilik yang sama. Tirai ditarik menutupi setelah dia duduk di katil. Bajunya ditanggalkan sebelum isteri Khairul ini berbaring. Andai peroleh doktor lelaki, mahunya Khairul memaksa Alya balik ketika itu juga. Mujurlah klinik berkenaan memberikan sahaja seorang doktor perempuan.

Kedua-dua belah payu dara yang terdedah itu diperiksa. Baik pada rupanya jika ada perbezaan, ataupun andai ada lendiran abnormal.

"Belah mana yang ada ketulan tu?" soal Doktor Shahida.

"Kanan," kata Alya. Doktor itu memberikan tekanan halus pada permukaan kulit payudara kiri mengikut arah jarum jam dengan gerakan melingkar. Tiada apa-apa ketulan. Namun, di pemeriksaan payudara kanan terdapat sebuah ketulan seperti yang dimaksudkan Alya sebentar tadi.

Ketulan itu tidak statik pada tempatnya, boleh digerakkan dengan tolakan jari. Kemudian ia akan kembali ke tempat asal. Tidak jua memberikan kesakitan pada Alya apabila ditekan.

Doktor itu meminta kebenaran pula buat merasai kawasan bawah lengan Alya.

Usai pemeriksaan fizikal, gadis itu menyarungkan baju seperti sediakala. Tudung bawal dilabuhkan menutupi dada. Dia melompat menuruni katil, tirai ditolak terbuka. Yang pasti ada sepasang mata sedang menanti di sebalik tirai. Khairul berdiri tegak di luar sana, wajah isterinya dipandang dari sisi.

"Encik, jemputlah duduk juga. Boleh tarik kerusi di belakang sana," doktor Shahida menegur Khairul Iddin.

"Tak apa," Khairul menolak baik. Di kerusi berdekatan Alya sedang memandangnya berserta huluran tangan. Mahu Khairul berdiri di sebelahnya, bukannya jauh beberapa kaki ke belakang. Panggilan isyarat Alya  disambut Khairul, tangan kiri lelaki itu ditarik perlahan hingga ke sisi.

"Jadi memang betul lah ada ketulan tu. Kita buat surat rujukan ke department surgery hospital besar untuk jumpa doktor pakar," bilang Doktor Shahida. Meja menjadi penghadang antara dia dan pasangan suami isteri berkenaan.

"Untuk apa?" tanya Khairul drastik. Perkataan 'bedah' mengingatkan lelaki tinggi lampai itu pada peristiwa lama. Terlayar rasa kesakitan melihat ibu susuan mati selepas dibedah, sungguh Khairul tak bersedia untuk merasai buat kali kedua.

"Untuk berbincang sama ada nak bedah atau tidak. Kemungkinan besar ini cuma ketulan tumor bukan kanser. Tapi kena biopsi dulu... Barulah dapat tahu apa sebenarnya ketulan yang kita periksa tadi."

"Oh..." Perlahan Khairul membalas. Alya mula perasan akan perubahan wajah Khairul yang semakin ketat.

***

Suasana malam tidak diserikan dengan usikan. Kamar luas berkenaan sepi sahaja. Setelah menidurkan Fatimah Azzahra di katil bayi, Alya yang masih basah rambutnya bersiram tadi melurutkan tuala di kepala. Ekor mata mengintai keberadaan sang suami di atas katil. Kelihatan dari jauh Khairul sedang sibuk membaca sebuah buku. Bibir lelaki itu terkatup rapat.

"Awak..." Tuala disidai pada penyangkut. Langkar diatur ke katil. Yakin baunya yang wangi akan ditegur Khairul Iddin. Sengaja Alya memakai haruman kegemaran lelaki berkenaan yang berunsurkan mawar merah.

"Awak," panggil Alya tidak berputus asa. Dia berusaha mengalihkan perhatian Khairul, buku di tangan suaminya ditutup sesuka hati. Lalu sebuah dakapan menjemput tubuh Khairul Iddin. Kepalanya pula bersandar pada lengan kekar lelaki itu.

"Saya rindu." Alya memejamkan kelopak mata. Alunan pernafasan dada suami berombak, dapat dirasakan.

"Kenapa awak macam marahkan saya sejak balik dari klinik? Saya ada buat silap, ya?" Biarpun tiada balasan, gadis itu mahu bertanya. Rasa rindunya membelenggu jiwa. Inginkan perhatian lelaki yang dia cintai, setidaknya balaslah pada lantunan soalan-soalan sebelum beradu malam itu. Agar dia bisa berlayar ke alam mimpi dengan bahagia.

Diam menyepi. Buku di tangan dialih ke tepi bantal. Khairul masih berat mulut. Matanya menghasilkan pandangan kosong yang jauh terlempar. Bau haruman isteri naik menusuk reseptor hidung. Tidak membuatkan hati berbunga tetapi sebaliknya mata lelaki itu berkaca tiba-tiba.

"Saya sayang awak," kata Alya. Dia tidak menyedari ada butiran mutiara jernih jatuh menuruni lekukan wajh Khairul.

"Wak, janji dengan saya... Jangan tinggalkan saya..." pinta Khairul. Bahang wajah menahan tangis. Nafas dalam ditarik.

Suara Khairul seolah-olah bertambah serak, menarik Alya tuk mengangkat muka. Air mata suaminya pantas diseka. Dia yang tersenyum manis berkata," awak ni risau sangat... kan doktor kata tak ada apa."

"Doktor nak bedah..." Khairul seperti telah hilang semangat.

Kasihan suaminya. "Sayang, itu cuma luka kecil sahaja. Kecil sangat-sangat... Pembedahan kecil yang tak ada risiko besar. Doktor kata kalau saya bedah pagi, petang tu mungkin boleh balik terus. Nampak tak... pembedahan ni macam luka jatuh basikal sahaja..."

Lelaki itu membalas dengan gelengan. Dia tidak kisah sama ada pembedahan besar atau kecil. Trauma silam membuatkan Khairul menjadi seorang lelaki yang gentar pada prosedur pembedahan yang melibatkan orang tersayang.

Pelukan hangat memujuk. Ada beberapa kucupan berlabuh di pipi Khairul Iddin. Semuanya untuk menenteramkan hati kerisauan itu. Tak lekang Alya melingkarkan pelukan. Hangat badan dikongsi rasa. Hinggalah lelaki itu dapat mengeringkan tangisan, barulah Alya sedikit lega.

Sebelum beradu, telefon pintar dicapai. Alya menjadikan lengan kiri Khairul sebagai bantal empuknya. Ada sesuatu yang perlu ditunjuk, moga hilang kabus di wajah sang suami.

Sebuah video operasi pembedahan kecil dimainkan.

Setidaknya Khairul mempunyai gambaran. Puas memutarkan video atas permintaan suami, baru Alya tahu betapa Khairul menyayanginya. Hingga pembedahan kecil pun sudah mampu menitiskan air mata.

"Saya sayang awak...." bisik Khairul. Syahdu di bawah gelap malam, dia meluahkan isi hati. Bergemersik suara yang semakin menyerak.

"Saya tak kenal erti cinta, melainkan setelah kenal awak..."

"Saya takut kehilangan cinta saya..."

"Alya..."

Setiap patah kedengaran ikhlas. Tiada kata yang ikhlas melainkan pada malam itu.

Yang akhirnya dilafazkan.

***
votexkomen
***
bersambung!

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro